Translate

Thursday, 27 August 2015

Sehati Sejiwa

Tema hari kebangsaan pada tahun ini lebih

menjurus kepada penyatuan rakyat Malaysia...'Sehati Sejiwa'. Ya...Malaysia harus dan wajib bersatu demi kedaulatan dan kemakmuran negara. Berdaulat yang bermaksud pemerintahannya tidak boleh diganggu-gugat oleh sebarang kuasa luar. Kemakmuran yang meletak kepentingan dan penyatuan rakyat pelbagai bangsa sebagai prioriti.

Kekuatan sesebuah negara terletak kepada kebijaksanaan dan keadilan pemerintah, penyatuan rakyat, kestabilan ekonomi juga hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara luar. Tanpa elemen-elemen tersebut, negara akan mudah diserang oleh anasir-anasir dari dalam dan luar.

Aku optimis tetapi agak sinis bila bercakap soal penyatuan di Malaysia.

Kita pernah bersatu dalam menuju ambang kemerdekaan. Union Jack telah akur dengan tekanan dari bangsa Melayu lalu diganti dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu di hadapan 20 ribu rakyat pelbagai bangsa dan agama.

Kita pernah bersatu menentang komunis dan anasir subversif. Pemimpin kita yang bijak dahulunya telah membina penempatan baharu untuk rakyat yang menetap di pinggir hutan bagi mengelak dari berhubung atau diganggu komunis. Pemerintah mula memperkenalkan kad pengenalan untuk rakyat yang layak memilikinya.

Bangsa Melayu pernah sehati sejiwa selepas berlaku peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang menyaksikan kekalahan parti perikatan di tangan parti chauvinist seperti Gerakan dan DAP di Kuala Lumpur. Keberanian Melayu yang bersatu menyerang balas keangkuhan kaum Cina menjadi satu kegerunan sehingga kerajaan terpaksa mengisytihar darurat.

Pemimpin kita menggunakan kebijaksanaannya dalam menghadapi serangan penyangak matawang George Soros sehingga matawang ringgit terpaksa ditambat. Rakyat Malaysia masih bersatu dan berdiri kukuh dalam ekonomi yang merudum dikala negara-negara jiran jatuh tersungkur mengharap belas ihsan IMF.

Ya...kita mampu mengukir sejarah gemilang dalam penyatuan yang ada. Bagaimana sekarang?

Aduuhhhh...'Sehati Sejiwa' serasa dipaksa-paksa untuk temanya dihayati oleh seluruh lapisan rakyat Malaysia. Bangsa Melayu bukan sahaja retak seribu, bukan juga retak yang menanti belah, malah sudah berpecah di medan politik menjadi serpihan-serpihan kaca yang berserakan.

Ekonomi yang menjadi tunjang negara menjadi rebutan golongan bangsawan yang mem'bangsat'kan rakyat yang tidak menyokong mahupun mempertikai kepimpinannya. Menambah parah dengan pengenalan GST ke atas barangan asas...golongan pertengahan menggigit jari, yang miskin terjelupuk dan yang melarat menjadi hilang arah tuju.

Pemimpin tidak menjiwai tema hebat itu. Hati dan jiwa mereka tidak bersama rakyat bila asyik dengan kemilau intan berlian, jet peribadi, anjuran perbelanjaan perkahwinan yang di luar batas, menjadi 'biliawan' dengan sekelip mata...

Namun sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kemakmuran negara, aku arahkan hati dan jiwa untuk mengimarahkan tema 'Sehati Sejiwa' walau jiwa memberontak menagih keadilan!

Ingin ku laung keramat MERDE...aahhh...suara itu tersekat di kerongkongan. Kukawal sudahnya diri sendiri untuk sebuah jiwa yang MERDEKA.


Saturday, 22 August 2015

Rokok Elektronik Haram

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mewartakan bahawa penggunaan rokok elektronik (vapor, vape) adalah haram. Ini berdasarkan implikasi pengambilannya yang membahayakan kesihatan (kandungan nikotin) dan juga berlaku unsur-unsur pembaziran.

Menurut Pengerusi Majlis Fatwa Kabangsaan Profesor Emiritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin, keputusan itu dibuat mengguna pakai hukum menghisap shisha yang telahpun diputuskan sebelum ini.

"Kita sudah bincangkan rokok dan shisha dan kita boleh samakan dengan 'vape'. Apabila cukup dapatan iaitu yang pertama membahayakan, kedua ia membazirkan dan ketiga ia memudaratkan daripada segi kesihatan, maka apabila perakuan-perakuan ini sama, maka kita mengatakannya haram".

Jika merujuk artikel bertajuk 'Vape Merbahaya?' bertarikh 22 Ogos 2015, aku telah mengeluarkan pandangan peribadi tentang penggunaannya yang kurang berisiko berbanding rokok tembakau. Bagaimanapun, mereka yang arif telah membuat ketetapan bahawa rokok tembakau, shisha dan 'vape' kesemuanya adalah haram. Ini bukan lagi soal lebih atau kurang risiko tetapi ianya menjurus kepada halal haram sesuatu perkara.

Tiga unsur yang boleh membawa keharaman sesuatu perkara...memudarat, memabukkan dan beracun.

Aku tidak berminat untuk mengaitkan fatwa tersebut dengan komen-komen negatif dari mereka yang tidak berilmu seperti di bawah ini...



Fatwa yang tidak digazetkan tidak tertakluk di bawah undang-undang. Mereka yang berterusan menghisap rokok, shisha mahupun rokok elektronik, tidak akan didakwa di bawah sebarang akta. Itu peraturan dunia yang dikawal selia tangan-tangan yang berkuasa.

Hanya kita harus berlapang dada menerima satu pernyataan syari'ah dari mereka yang arif. Tetapi harus diingat bahawa mereka mungkin terlepas hukuman dunia, ceritanya tidak habis di situ. Mereka akan disoal kelak di akhirat kerana melakukan perbuatan haram sepertimana yang difatwakan Ulama'.

Hukum syara' adalah berkaitan 'kehidupan selepas mati'. Mereka yang terlepas di dunia akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Mereka bakal didakwa tanpa berpeluang melantik peguambela yang boleh memutar belit fakta.

Mahu mempertikai fatwa ulama'? Jangan berani mengambil risiko kerana akibatnya tidak tertanggung dek tulang empat kerat di barzakh, mahsyar dan titian sirat.

Thursday, 20 August 2015

Anak Itu Buang Sampah...

Sedang aku menunggu di dalam kereta untuk anakku membeli barang keperluan di kedai, ekor mataku ditarik oleh sesuatu. Kelihatan plastik roti melayang keluar dari kereta bersebelahan keretaku.

Aahhhh...sangat-sangat tidak berkenan naluriku yang dungu ini melihat kejahilan yang melata. Apalagi bila perkara itu dilakukan oleh orang Melayu yang didefinisikan sebagai beragama Islam menurut perlembagaan Malaysia.

Bermula dari ekor mata, kutoleh untuk melihat lembaga yang wujud di dalam kereta tersebut. Hhmmm...seorang kanak-kanak riang Ribena rupanya yang melepaskan plastik roti keluar dari cermin kereta.

Anak-anak adalah cerminan ibubapa. Segala perlakuan mereka mahupun tutur kata semestinya bermula dari persekitaran rumah.

Naluriku yang sedari tadi tidak keruan, mengarah anak mata untuk melihat lembaga di sebelah kanak-kanak tersebut yang duduk di bahagian pemandu semestinya.

Aaahhhhhh....benarkah itu yang kulihat? Mindaku terus menjadi tepu, tak mampu untuk aku melayan kerenah dunia ini.

Apa persepsi kita jika melihat ibu kepada kanak-kanak tersebut memakai niqab?

Duhai muslimah Srikandi Islam, jangan kau salahkan mereka yang jahil di sekelilingmu bilamana mereka sering mempertikai tindak-tandukmu. Lekapkan telapak tanganmu ke dada dan berbisiklah pada hati...apakah Islam itu hanya terletak di jubah, purdah mahupun niqabmu?

Anak itu hanya menterjemah apa yang diajar kepadanya...



Sunday, 16 August 2015

Vape Berbahaya?

Utusan Malaysia 13 Ogos 2015 menyiarkan berita tentang bahaya penggunaan 'vape' (rokok elektronik). Kandungan propylene glycol dan nikotin yang terdapat dalam cecair rokok elektronik tersebut boleh menyebabkan kulit kering dan penggunanya berpotensi untuk diserang penyakit asma, angin ahmar dan jantung.

Pakar bedah jantung dan paru-paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Dr Khairulfaizi Haron berkata walaupun peratusan untuk pengguna 'vape' mendapat penyakit tersebut terlalu rendah, mereka perlu berwaspada dan berhati-hati.

Menteri Kesihatan Datuk Seri  Dr. S Subramaniam menggesa para pengguna 'vape' berhenti dari tabiat menghisap bahan tersebut sehingga status penggunaannya di negara ini dikeluarkan.

Ermmm...apa sebenarnya mesej yang ingin disampaikan oleh pakar kesihatan dan kerajaan Malaysia? Rokok tembakau berbahaya atau 'vape'?

Di perkembangan terkini, ramai perokok yang bercita-cita untuk berhenti merokok sudah beralih kepada rokok elektronik...kurang risiko, kata mereka. Aku juga berasa begitu kerana sepertimana yang kita tahu dan pendedahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa asap rokok tembakau mengeluarkan 4000 bahan kimia beracun dan 53 darinya boleh menyebabkan kanser.



Di sini aku senaraikan sebahagian dari bahan-bahan kimia yang terkandung dalam asap rokok tembakau (sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia):-

1. Metanol - sumber bahan api
2. Nitrobenzena - sumber gasolin
3. Karbon monoksida - sumber asap kereta
4. Butana - sumber cecair pemetik api
5. Raksa - sumber logam dalam jangkasuhu
6. Vinil klorida - sumber bahan utama plastik
7. Toulena - sumber pelarut industri
8. Ammonia - sumber pencuci lantai
9. Arsenik - sumber racun tikus
10. Kadmium - sumber bahan utama bateri alkali
11. Stearik - sumber bahan utama dalam lilin
12. Sianida - sumber racun berbisa

Tertanya-tanya aku mengapa kerajaan tidak menyokong penggunaan 'vape' yang nyata bukannya datang dari tembakau yang mempunyai 4000 jenis bahan kimia beracun seperti rokok. Jika 'vape' juga berisiko, kesannya tidak seperti rokok.

Eerrmmmm...yang terfikir di minda, bila jualan rokok menurun, berkuranglah pula hasil cukai rokok dari kerajaan. Maka itulah sebabnya serangan terhadap penggunaan 'vape' semakin rancak berjalan. Tanpa sedar, segala program tentang bahaya menghisap rokok yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mahupun dari jabatan-jabatan kerajaan yang lain menjadi satu retorik.

Seolah-olahnya kerajaan mahu mengatakan bahawa tinggalkanlah 'vape' dan teruskan membeli rokok. Jangan pula nanti 'vape' disekat penggunaannya atas faktor-faktor kesihatan dan di waktu yang sama penjualan rokok tembakau berjalan seperti biasa.

Aku bukanlah perokok bukan juga pelanggan rokok elektronik. Cuma aku hanya mahu berhujah di atas apa yang terfikir di minda naif ini. Yang nyata samada rokok tembakau mahupun rokok elektronik, aku tidak nampak kebaikan yang wujud melainkan menyesakkan nafas juga kepulan asap putih yang disebar luas mengganggu penglihatan aku yang sudah semakin kabur jadinya....huurrrmmmmm.



Saturday, 15 August 2015

Selamat Malam Mak II

Semalam 13 Ogos 2015 mak dah boleh keluar dari hospital. Segala dokumen sudah diserah untuk temujanji yang lain. Mak tersenyum girang...ye lah, sudah hampir 3 minggu mak bergelumang dengan persekitaran hospital. Emosi mak sudah semakin menurun dek kerana lamanya mak menetap di sana.

Tetapi takdir Allah mengatasi segala perancangan manusia. Bila mak dah sampai ke tingkat bawah untuk ke lobi...langsung mak tercungap-cungap keletihan, mak susah nak bernafas. Berkerumun doktor dan jururawat membantu mak di lobi. Mereka meletak mak di atas kerusi roda untuk dibawa masuk ke wad kecemasan.

Jantung mak sudah semakin mesra tanpa masalah. Buah pinggang mak semakin lancar bekerja tanpa gagal. Tetapi paru-paru mak pula yang menempah payah.

Hari ini 14 Ogos, mak dimasukkan ke wad CCU untuk pemantauan rapi. Doktor kata mak mengalami jangkitan kuman dan air di paru-paru. Malam semalam mak tak dapat tidur kerana batuk yang tak henti-henti...naik sakit dada mak.

Lengkap sudah 3 pusingan untuk kami 7 beradik bergilir menjaga mak di hospital setiap malam. Bermakna sudah 3 minggu mak terlantar di IJN. Jika mengikut 'roster', malam ini merupakan giliran aku menjaga mak tetapi takdir Allah mendahului tadbir manusia. Peraturan di CCU amat ketat. Tiada siapa dibenarkan berada di wad tersebut melainkan di waktu melawat 12.30 -  1.30 tengahari dan 6.00 petang - 8 malam.

Ini malam pertama mak tidur tanpa anak-anak di sisi. Sebelum kami pulang, keadaan mak semakin bertambah baik. Pernafasan, tekanan darah, denyut nadi dan kandungan oksigen darah berada di tahap normal...Alhamdulillah.

Harap mak tabah menempuh ujian ini. Kami anak-anak mak akan sentiasa bersama walau malam ini kami tiada di sisi mak...doa kami sentiasa mengiringi.

Selamat Malam Mak...



Monday, 10 August 2015

Konspirasi Menolak Mazhab

Dalam melayari FB untuk informasi berkaitan ehwal politik semasa, terlihat aku sebuah pernyataan yang seolah-olah mahu menafikan kewujudan mazhab-mazhab di dalam Islam.

Terlebih dahulu elok rasanya aku berkongsi sedikit tentang apa itu mazhab (setakat apa yang aku pelajari). Secara umum, mazhab merupakan suatu jalan yang dilalui dan dicipta untuk dijadikan pedoman dan arah tuju. Pandangan setiap mazhab yang berbeza mewujudkan ciri-ciri khas kepada siapa yang menciptanya. Pembangunan mazhab merujuk kepada penelitian yang jitu dan mantap tentang satu-satu isu berdasarkan ilmu yang dikuasai dan ianya akan menjadi ikutan dan panduan umum bagi sesuatu permasalahan (rujuk artikel blog 'Apa Itu Ijtihad').

Menjadi suatu yang penting untuk umat Islam bermazhab agar tidak timbul sebarang taklid membabi buta dalam merujuk kepada sesuatu isu. Dalam ertikata lain, kita akan menyerahkan kepada yang pakar bagi sebuah jawapan. Kita juga digalak untuk merujuk kepada setiap mazhab yang wujud (tidak berpegang kepada satu mazhab sahaja) dalam merungkai permasalahan. Ijtihad mereka adalah untuk digunapakai malah kita bebas memilih penyelesaian yang sesuai mengikut kesesuaian waktu dan zaman.

Okey, apa yang kita faham berkenaan pernyataan yang aku titipkan di bawah ini...


Aku merasakan bahawa sedang wujud anasir-anasir Wahabi yang hanya menjurus kepada amalan Rasulullah SAW. Mereka seolah mahu menafikan kitab-kitab Ulama' salafi yang menjadi bahan terpenting membantu kemaslahatan umat Islam.

Siapapun tidak menafikan bahawa kita semua umat Muhammad dan wajib berpegang teguh kepada ajaran yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. Justeru, jika kita sudah faham tentang fundamental Islam yang merujuk al Quran dan al Hadis, mengapa mesti mengatakan bahawa IMAM SHAFI IS NOT SHAFI...THEY ALL FOLLOWED MUHAMMAD. Bukankah wujudnya ciri-ciri bagi menolak segala mazhab dan seterusnya hanya merujuk al Quran dan Hadis sahaja!

Jika kita selusuri kehidupan Ulama-ulama salafi, kita akan kagum dan akui betapa hebat kecintaan mereka kepada Islam dan teramat kasih kepada Nabi Muhammad SAW. Imam Anas bin Malik (mazhab Maliki) yang mendiami bumi Madinah tidak mahu menunggang kuda terbaik pemberian khalifah. Ini kerana beliau tidak sanggup melihat kaki kuda itu menginjak-injak tanah Madinah di mana bersemadinya kekasih Allah Rasulullah SAW di ketika beliau menunggang kuda tersebut!

Dalam menjawab soalan penduduk sekitar, Imam Abu Hanifah (mazhab Hanafi) akan meninggalkan sebentar tetamunya untuk mengambil wudu' sebelum beliau membacakan Hadis Nabi yang menjadi rujukan beliau dalam memberi penerangan kepada yang bertanya.

Begitu juga dengan Imam Muhammad bin Idris (Imam Shafii) dan Imam Ahmad bin Hambal (Imam Hambali). Perjuangan dan jasa mereka dalam mengeluarkan kitab-kitab terkemuka banyak membantu menyelesaikan permasalahan syariah.

Adakah kita mahu menolak insan-insan hebat tersebut yang menjadi pewaris Nabi? Justeru, berhati-hati dalam menyebar perkara yang kita tidak arif tentangnya kerana diakhir zaman ini wujud terlalu ramai mereka yang berkepentingan duniawi bersama agenda-agenda kotor memecah-belahkan komuniti Islam yang semakin rapuh.

Khilaf (berbeza pandangan) adalah rahmat dan kita disaran untuk berlapang dada menerima segala perbezaan selagi tidak menyalahi syara'. Sahabat Nabi bersyukur di atas segala macam perbezaan pandangan yang wujud kerana ini memberi peluang bagi mereka memilih pandangan yang sesuai untuk penyelesaian sesuatu masalah.

Siapa kita untuk menolak Mazhab Hanafi, Maliki, Shafii dan Hambali?

Wallahu Rasul A'lam

Saturday, 8 August 2015

Aku Tak Campur Politik

Minat berpolitik tidak timbul dengan sendiri melainkan ia berkait rapat dengan karekter seseorang yang kritis dan analitikal kepada persekitaran. Apatah lagi dengan isu-isu semasa yang membuatkan mereka tidak boleh duduk berdiam tanpa mengulas atau meluah.

Jika di zaman pasca merdeka mahupun sebelum penubuhan sebuah negara Malaysia...tidak ramai yang menghulur tengkuk untuk mengambil pusing tentang iklim politik negara, ia agak munasabah kerana 'survival' itu lebih menjadi prioriti. 

Tetapi dalam kita memasuki era ledakan maklumat ini, masih ada yang tidak hirau tentang perkembangan politik tanahair...maka di mana rasionalnya? Alasannya politik itu kotor, politik itu rasuah, politik itu caci maki, politik itu kroni...ermmm aku kurang bersetuju dengan persepsi tersebut.

Betul, jika tidak kena cara...politik bisa terjerumus ke dalam acuan negatif dan menjijikkan. Tetapi bukan itu fokusnya. Objektif untuk kita mengetahui perjalanan politik adalah bagi memilih sebuah kerajaan yang mantap dan mampan dalam menerajui negara.

Jika benar politik itu sudah tercemar, maka kita perbetulkan dengan teguran, pandangan, lontaran idea juga perbincangan. Jika tahap ini tersekat kita boleh gunakan kuasa undi demi memberi peluang parti lain untuk memimpin.

Aku tidak taksub kepada parti tetapi aku taat kepada keadilan dan kesejahteraan manusia berlandaskan Syari'ah. Namakan sahaja mana-mana parti yang boleh mendukung aspirasi tersebut...itulah pilihanku.

Rasulullah mula berpolitik ketika di Madinah untuk sebuah pentadbiran Islam dimulai dengan sebuah piagam Madinah. Disitu wujudnya Ketua Negara, menteri-menteri dan mufti juga gabenor yang dihantar ke negara-negara yang memerlukan perkhidmatan untuk sebuah penubuhan negara Islam.

Justeru, bagi yang mengkesampingkan politik tanahair, mereka sebenarnya tidak layak menduduki sebuah tanahair yang bernama NEGARA. Mereka malas mengundi juga tidak tahu parti mana yang mahu dipilih sebagai pemerintah bagi menjaga hal ehwal rakyat. Yang mereka tahu hanya menyalahkan situasi gawat dan persekitaran ekonomi yang merudum. Padahal kuasa memilih berada di tangan mereka!

Janganlah tidak ambil pusing dengan apa yang berlaku. Dapatkan maklumat secukupnya untuk kita menjustifikasikan sesuatu isu. Jangan hanya memilih rangkaian perdana tetapi selusurilah lorong-lorong kecil demi mendapatkan informasi yang telus, seimbang dan adil.

Jika mahu terlibat dengan komentar di laman sosial mahupun blog, silakan tetapi usah terlalu vokal dalam melontar bahasa kerana bahasa menggambarkan tahap mana pendidikan juga mentaliti sesuatu bangsa itu.

Ibuku suatu waktu dahulu merupakan penyokong tegar sebuah parti politik. Tetapi dengan maklumat lengkap yang diperolehinya dari anak-anak yang bercerita kisah yang 'dilarang keras' siarannya di media perdana, maka ibu sudah boleh membuat pilihan sendiri tanpa paksaan sesiapa. Pemikiran ibu sudah semakin terbuka kesan dari maklumat lengkap yang ibu perolehi.

Jika ada yang tidak mahu masuk campur urusan politik dan kenegaraan, dicadangkan agar mereka bermigrasi ke sebuah pulau yang tidak bertamadun. Berbahagialah hidup bersama flora dan fauna tanpa sebarang gangguan isu-isu politik. Di pulau tersebut tetap ada peraturan tetapi diketuai oleh mergastua. Siapa kuat, dia mendominasi persekitaran. Jika lemah, dagingnya bakal dirobek tanpa belas dan kasih sayang. Itulah peraturannya.


Ada berani?



Friday, 7 August 2015

Aidilfitri vs Aidiladha

Di Malaysia, sambutan Hari Raya Aidilfitri disambut meriah. Meriahnya bukan bermula di malam raya, tatapi ia sudah mencuit hati naluri bangsa Melayu Malaysia sejak sebelum puasa lagi! 

Ibu-ibu terutamanya sudah mula meng 'Gerak Khas' langkah membeli baju raya untuk anak-anak. Tempahan langsir dan perabot juga pantas mengambil tempat. Sampel-sampel kuih galak diedar oleh kakitangan pejabat untuk tempahan awal. Sibapa pula lebih bertenaga mengecat rumah dan menyelenggara apa yang patut.

Kedai dan pasaraya memulakan strategi mantap menjerat pembeli dengan potongan harga...sehingga tidak perlu membayar ansuran selama 3 bulan pertama!

Majikan bengkel-bengkel kereta mengarahkan kakitangan untuk membuat kerja lebih masa di atas barisan panjang kereta-kereta minta diselenggara untuk perjalanan jauh.

Itu persiapan sebelum tibanya Hari Raya. 1 Syawal tiba...meledaklah apa yang dirancang selama berbulan-bulan. Beraya pula dianjak selama sebulan penuh walau takbir raya berakhir selepas sahaja selesai solat sunat Hari Raya...iaitu waktu yang dibenarkan bertakbir hanya tidak lebih 14 jam.

Meriah amat!!!

Bagaimana dengan sambutan Hari Raya Aidiladha? Mengapa kemeriahannya tidak segalak persiapan Aidilfitri? Walau takbir bergema selama 4 hari tetapi mereka bagai endah tak endah menjawabnya.

Ada faktor-faktor menyumbang mengapa sambutan Hari Raya Aidilfitri disambut meriah berbanding Aidiladha di Malaysia.

1. Orang Melayu biasanya jika menempuh susah, mereka akan beria-ia meraikan hari kemenangan. Contoh jika sudah sembuh dari sakit, akan dibuat kenduri kesyukuran. Apalagi selepas berpuasa sebulan...maka sebulanlah rayanya!

2. Syaitan sudah memasang misi sebelum dan selepas Ramadhan kerana mereka tidak berpeluang menggoda manusia selama sebulan. Di bulan Sya'ban dan Syawal, mereka bekerja keras menusuk minda manusia dengan amat hebat. Maka jadilah persiapan Hari Raya sebelum Ramadhan dan sambutan Hari Raya pada Syawal seperti pesta gila dek hasutan syaitan.

3. Aidiladha tidak meriah kerana ibubapa mahupun atuk nenek tiada di sisi. Mereka mengerjakan Haji. Maka 'mood' nak beraya tawar hambar.

4. 1 Syawal adalah hari 'kemenangan' manakala 11 Zulhijjah pula adalah hari 'pengorbanan'. Tentu kemenangan yang dilebihkan perayaannya berbanding pengorbanan yang dirundung sedih dan penuh iktibar.

5. Pra 1 Syawal sebenarnya banyak berperanan dalam mempengaruhi kemeriahan Aidilfitri. Puasa sebulan, bersusah payah bertarawih, bertadarus, bersahur diikuti dengan Nuzul Quran, melunasi zakat fitrah seterusnya penantian malam al qadar...menjadikan orang Melayu Malaysia menyambut hari kemenangan secara bersungguh-sungguh setelah melepasi banyak ujian di sepanjang Ramadhan.

Inilah Malaysiaku...



Sunday, 2 August 2015

Kau Yang Bersuara, Mereka Yang Panas!

Tak mampu untukku mengulas lagi. Apa sahaja yang diutarakan dari pihak kerajaan, bakal berdepan respon kronik terjemahan rakyat marhein. Setiap hari setiap ketika. Inilah sebahagian darinya...hhmmmmm.




Saturday, 1 August 2015

Ijtihad Satu Keperluan 2

Kepada para pembaca yang sudah membaca artikel 'Ijtihad Satu Keperluan' bertarikh 22 May 2013, tentu perasan kes yang aku utarakan iaitu tentang kewujudan bank susu. Adakah ia menepati syariat dan diharuskan mahupun di sebaliknya.

Edaran artikel yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor sudahpun mengeluarkan fatwa mengenai status bank susu tersebut. Bagaimana jabatan mufti boleh memberi perhatian kepada isu bank susu ini?



**"Pada 18 Ogos 2011, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah mengadakan perbincangan berkaitan cadangan menubuhkan bank susu di pusat perubatan tersebut. Cadangan dilihat relevan kerana ia membantu bayi-bayi terutama bayi pra-matang yang memerlukan rawatan segera kerana susu ibu merupakan penawar terbaik bagi memulihkan kesihatan mereka. Di samping itu, terdapat juga kes ibu yang kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik / berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi mereka. Bagi mendapatkan pengesahan, mesyuarat bersetuju supaya perkara ini dibawa ke dalam Mesyuarat Panel Kajian Syariah (PKS) JAKIM".

**"Mesyuarat khas jawatankuasa fatwa negeri Selangor kali ke 1/2012 yang bersidang pada 21 februari  2012 bersamaan 28 rabiulawal 1433H memutuskan bahawa penubuhan bank susu ibu adalah tidak diharuskan. Ini memandangkan penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam".


Perlu diingat, setiap negeri yang beraja, hal-ehwal agama Islam adalah tertakluk di bawah nasihat raja di negeri masing-masing. Manakala negeri di bawah takluk Wilayah Persekutuan mendapat nasihat Yang Dipertuan Agung.

Mufti dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mendapat perkenan Sultan bagi mewartakan fatwa bank susu untuk negeri Selangor. Fatwa di setiap negeri lain boleh jadi bercanggah dengan apa yang diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor dengan sebab dan alasan yang berbeza dan munasabah menurut situasi di negeri masing-masing.

Melainkan jika Majlis Fatwa Kabangsaan bersidang dan mengeluarkan resolusi fatwa, maka fatwa tersebut adalah terpakai di seluruh negeri Malaysia.

Inilah ijtihad Ulama'.

Tanda ** merujuk kepada sumber asal yang diambil di dalam artikel yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Thursday, 30 July 2015

Selamat Malam Mak

29 hb Julai 2015 @ jam 2230.

Tiba giliran aku untuk menjaga mak di hospital. Sejak dimasukkan ke IJN, sudah 5 malam anak-anak mak menggiliri tidur di kerusi bersebelahan katil mak. Giliranku jatuh di malam ke 6. Jika masih berlarutan untuk mak mendiami hospital, genaplah putaran 7 pusingan bersama 7 orang adik-beradik menjaga mak.

Petang tadi mak menjalani proses 'angio' iaitu proses memasukkan sejenis cecair ke dalam salur darah menerusi lengan hingga ke jantung. Ianya bagi mengenal pasti punca jantung mak lemah. Jika perlu, proses memasukkan belon akan dilakukan untuk melancarkan saluran darah mak.

Alhamdulillah, salur darah mak tidak berdepan situasi kritikal...cuma sedikit sempit dan bekalan ubat yang dimakan sudah cukup untuk melebarkannya. Terdahulu mak mengadu sakit sewaktu proses memasukkan jarum dilakukan di lengan sehingga mak sedikit menjerit.

30 hb Julai 2015 @ jam 0015. 

Mak lena sehingga sedikit mendengkur. Agaknya melepas letih dalam mengharungi proses 'angio' semalam.

Aku di sisi merenung wajah mak. Itulah wajah yang paling agung yang menjaga kami anak-anaknya tanpa sepicingpun merungut. 3 hari lepas sewaktu aku melawat mak, mak berkongsi cerita denganku bahawa ada ketikanya sewaktu anak-anak mak kecil berderet...mak hilang daya untuk mengendalikan kami...letih katanya. Sehingga terdetik di hati mak untuk masuk hospital dan berehat sepuasnya!


Pada detik ini mak di sisiku. Mak memang berehat semahunya. Dengkuran mak menyerlah puas bahawa mak sedang menikmati sisa-sisa hidup dengan rehat yang cukup. 

Sanggup aku untuk berjaga sepanjang malam demi melihat tidur mak tidak terganggu.

Selamat malam mak...



Sunday, 26 July 2015

Dugaan Syawal

Telah aku berkongsi cerita tentang ibu mertuaku yang diserang 'stroke' sehari sebelum menyambut Hari Raya (baca artikel 'Taqabbalallahu Minna Waminkum'). Alhamdulillah...adik-adik ipar dan biras semuanya memain peranan dalam bergilir menjaga ibu. Bukan setakat menjaga ibu, mereka juga memasak untuk bekalan bapa mertua. Biasalah...orang dulu-dulu makan dilayan dan berhidang. Mereka tidak ke dapur untuk memasak walau hanya menggoreng telur.

8 Syawal, keluargaku pula menerima tempias. Ibuku yang berpenyakit jantung tampak semakin lemah dan dimasukkan ke IJN. Oohhh...aku dan isteri harus berbahagi masa dalam mengambil giliran menjaga ibu masing-masing. Berkejaranlah hidup kami...nak tergelak pun ada! 

Sekali lagi aku memanjat rasa syukur kerana adik-beradik aku tidak berkira dalam menterjemah tanggungjawab menjaga ibu. Pendek kata...ibu tidak sunyi dengan kehadiran anak-anak di sisi.

Ibu masih di hospital. Penggiliran menjaga ibu pada waktu malam sudah dinamai. Giliran aku pada 29 hb Julai. Teringat kembali nostalgia menjaga arwah ayah di hospital...al Fatihah.


Monolog di Kedai Gunting

Hari itu hari minggu. Sebelum menghantar anakku ke asrama, kubawa ke kedai gunting rambut bagi melengkapkan kekemasan dirinya. Kujeling senarai harga yang dipamer untuk perkhidmatan yang disediakan di kedai India tersebut.

1. Gunting rambut dewasa RM10
2. Gunting rambut bawah 18 tahun RM7
3. Gunting rambut bawah 12 tahun RM6

Errmmmm...aku menerobos logik minda sendiri. Mengapa perkhidmatan untuk orang dewasa lebih mahal dari remaja bawah 18 tahun? Mengikut senario semasa, rambut orang dewasa di alaf sekarang lebih menipis. Jadinya tenaga dan masa untuk menggunting rambut kategori dewasa tidak melebihi perkhidmatan untuk kategori remaja yang rambut mereka lebih tebal dan kekadang berfesyen jadinya atas permintaan remaja tersebut. Mahu sahaja aku bertanya mereka...bukan untuk mempertikai tetapi lebih kepada sebuah jawapan bagi kepuasan sendiri. Disebabkan ramai pelanggan lain, kumatikan begitu sahaja monolog diri.


Dalam menunggu, hadir seorang lelaki disekitar usia 50an meminta di 'trim' misainya sahaja. Selesai sudah, lelaki itu ingin membayar tetapi pekerja India itu tidak mahu mengambil bayaran...oohhh strategi berniaga yang amat baik bagi menarik dan mengekalkan pelanggan.

Satu lagi strategi 'menjadi' yang membuat kami penduduk Melayu tertarik. Dipamer gambar-gambar pemerintah negeri dan negara di pintu masuk...simboliknya mereka akur dan melahir rasa taat setia kepada pemerintah Malaysia. Inilah Malaysiaku...


Dengan pakaian seragam putih ala doktor dan kekemasan kedai yang nampak teratur, tidak hairanlah bila aku selalu ketinggalan untuk menjadi pelanggan tetapnya...kerana aku malas beratur panjang menunggu...ermmmm.

Tuesday, 21 July 2015

Low Yat Punya Cerita...



A: "Jom boikot Low Yat sampai tutup". 

B: "Mungkin berhasil tapi apa objektifnya?"

A: "Supaya peniaga Cina gulung tikar!"

B: "Kat mana plak kita nak cari gajet? 

A: "Kat tempat lain banyak la!"

B: "Sape yang jual kat tempat lain tu...bukan peniaga Cina gak ke?"

A: "Errkkk..."

B: "Camni la bro...objektif kena betul. Kalo stakat nak ambush Low Yat, bermakna kita masih terdedah dengan penipuan kat tempat lain. Sebab apa? Sebab 'gadget trading' ni dikuasai oleh kaum mereka. Kesatuan mereka akan bantu untuk stabilkan apa yang patut. Mereka boleh sepakat untuk turunkan harga bagi menarik balik pelanggan".

"Lebih baik susunkan dulu strategi untuk kaum kita masuk pasaran perniagaan gajet. NGO kita banyak...bincang dan cari jalan untuk pecahkan dominasi mereka. Baru la ada persaingan dan boleh elak penipuan kaum lain ke atas kita".

"Biasanya isu-isu cam gini hangat-hangat tahi ayam je la. Esok nampak harga gajet murah...caaaiiiirrŕ sumeerrrr!!!"

"Nak bertindak biar ada matlamat bro!"

A: "Ererrkk..errkkk. Memang la aku tengah tunggu harga henpon turun niii...erkkkk"

B: "Pulaaaaaakkkkk..."



Saturday, 18 July 2015

Ibadah Syawal

Alhamdulillah di atas rahmat dan nikmat yang dianugerahkan kepada umat Islam dalam merai hari kemenangan...Hari Raya Aidilfitri. Nikmat makan, minum dan segala yang diharamkan di bulan Ramadhan telah dibenarkan kembali tanpa halangan. Malah diharamkan pula kita berpuasa pada 1 Syawal bagi menekankan lagi betapa kemenangan tersebut wajib disambut oleh seluruh umat Islam.

Selepas melepasi Ramadhan dan bergembira di 1 Syawal, Allah tawarkan lagi peluang untuk kita menambah amal iaitu dengan berpuasa sunat Syawal sejumlah 6 hari. Amalan tersebut boleh dilakukan berterusan mahupun berselang-seli menurut keselesaan kita di sepanjang bulan Syawal.

Pendapat mengatakan boleh untuk disatukan niat puasa qada bersama puasa sunat Syawal tetapi yang paling afdhal adalah mengasingkannya kerana puasa qada adalah wajib, sementara puasa di bulan Syawal hanyalah bertaraf sunat. Ermmm...tidak kiralah apa statusnya, terpulang kepada yang empunya diri. Apa yang penting adalah kita imarahkan puasa sunat Syawal tersebut.

Bagaimana dengan seseorang yang ingin memulai puasa sunat Syawal di hari raya kedua ataupun di awal bulan Syawal. Ermmm...untuk mengupasnya sila lihat hadis di bawah:

"Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah S.A.W maka Baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata "aku berpuasa". Rasulullah S.A.W pun bersabda, "Saudara kamu telah menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu". Kemudian Baginda berkata kepada lelaki itu, "Bukalah puasa dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti, jika mahu". Hadis riwayat al Baihaqi dalam al Sunan al Kubra dinilai hasan oleh al Hafiz ibn Hajar dalam Fath al Bari.

Dalam riwayat lain oleh al Tabarani dalam al Ausad, Baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: "Saudara kamu telah menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata "aku berpuasa!".

Jadi di sini jelas Rasulullah amat mementingkan hubungan sesama manusia yang mana ia patut diambil kira bilamana berlaku pertembungan di antara amalan sunat dan peradaban manusia.

Dengan ilmu, amalan bisa menjadi molek dan mantap...Wallahua'lam


Taqabbalallahu Minna Waminkum

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Ilhamd.

1. Syawal bertandang lagi petanda ikatan syaitan terlerai. Mereka yang dilimpahi rahmat taqwa akan terhindar dari tipu daya iblis. Berlainan pula bagi mereka yang merasa lega dengan berakhirnya Ramadhan. Ramadhan hanya tinggal Ramadhan...mereka akan mengamal kembali rutin lama tanpa betah mahu berubah.

2. Tahun ini giliran aku beraya di rimba batu...Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Populasi kota metropolitan ini sudah berubah wajah...warga asing semakin mendominasi suasana. Solat Hari Raya di masjidpun bersesak-sesak dengan warganegara antarabangsa. Terasa bagai merantau di negara orang.




Masjid Jamek Kampung Bharu sudah berubah wajah. Dahulu berlaku penambahan bangunan di bahagian kiri, kanan dan belakang bangunan asal. Tetapi sekarang keseluruhan bangunan lama telah diroboh bagi pembinaan sebuah bangunan yang serba-serbinya baharu. Ruang utama solat berhawa dingin bersama tiga buah kipas gergasi. Keseluruhan bangunan masjid boleh menampung kira-kira 7000 jemaah pada satu-satu masa.







3. Hari Raya tahun ini juga keluarga isteriku diuji dengan nikmat kesihatan. Ibu mertuaku mendapat serangan 'stroke' yang mengakibatkan tubuh di bahagian kanannya lemah. Di usia 75 tahun, memang menjadi adat bila hukum alam menjengah. Kesihatan makin merosot juga tenaga semakin berkurang. Kita yang sihat inilah yang harus mengepalai apa yang patut di'kepala'kan. Yang pasti, keceriaan berhari raya tidak semeriah dahulu. Banyak perkara yang dirancang awal terpaksa diubah bagi diselaraskan dengan penjagaan ibu. Kami pasrah dan redha...



4. Itu semua tidak lebih merisaukan aku. Hanya yang terfikir di minda, adakah amalanku di sepanjang Ramadhan berbekas di hati untuk kuteruskan di bulan-bulan seterusnya...entahlah.

5. Di Hari Raya kedua aku membuat keputusan yang kurang popular...aku arahkan isteri dan anak perempuanku untuk terus berada di sisi ibu bagi menjaga segala keperluannya. Aku tidak mampu membayangkan keharu-biruan situasi sekira-kira aku terus membawa kesemua ahli keluargaku untuk beraya bersama keluargaku pula di kampung (walau kuasa berada di tanganku). Dua orang anak lelaki mengikutku untuk melunaskan misi Hari Raya di Beranang. Sekali lagi kukorbankan apa yang menjadi milikku demi sebuah syari'at.

6. Sg Jai, Beranang - Berkebetulan kami seramai 7 orang adik beradik dapat berkumpul serentak. Inilah kelebihan dan kehijauan kampung. Tanah begitu lapang untuk memakir kereta dan keluasan saiz rumah memberi kami pilihan untuk beradu di sudut-sudut tertentu. Kesepakatan kami telah lebih menceriakan lagi keadaan. Alhamdulillah...suatu nikmat yang tiada nilai untuk ditukar ganti.




Posing di hari raya ke 3

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Ilhamd.

Monday, 13 July 2015

Mencari Damai

Lahir aku di sebuah perkampungan yang jauh dari hiruk-pikuk kota. Di sekitar tahun 60an, tidak banyak keperluan asas yang dimilki penduduk kampung. Letrik dan air adalah keperluan terpilih...hanya mereka yang mampu sahaja yang akan memohon untuk disambung ke teratak masing-masing. Selebihnya mereka akan bergantung kepada air sungai dan pelita minyak bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Kampung Sungai Jai yang terletak di Beranang, Selangor hanya tidak lebih dari dua kilometer untuk memasuki sempadan Negeri Sembilan. Biasalah...jika jarak geografi hanya sepelaung, pengaruh negeri jiran akan jelas kelihatan.

Aku boleh berbahasa 'nogori' dengan baik. Aku boleh hilang selera makan jika tiada masakan pedas. Aku juga senang mendengar alunan lagu dialek 'Minang'. Itulah pengaruh sempadan yang menjajah jiwa penduduk Beranang dan sekitarnya.

Sebetulnya aku hanya dilahirkan di persekitaran kampung tetapi tidak menetap di sana. Kehidupanku adalah di bandar...Petaling Jaya. Baru sekarang aku terasa bertuah kerana sewaktu kecil terutamanya pada cuti sekolah, bapaku sering berziarah ke kampung....agaknya untuk memberi peluang anak-anaknya merasa sendiri nikmat membuat pistol dan senapang dari kayu, merasa membanting padi di sawah, mandi sungai dan menangkap ikan, memburu pepatung, membela ikan laga juga bermain congkak dengan membuat lubang di atas tanah bersama biji pokok getah sebagai buahnya.

Sayang...nikmat itu semakin pupus untukku kongsi dengan anak-anakku pula. Tiada lagi semangat 'survival' di kampung. Tiada lagi idea kreatif dalam mencipta permainan bermusim. Sungai di belakang teratak juga semakin dikambus tanah dan bersemak. Tanah sawah sudah hilang batas diganti dengan binaan rumah.

Tetapi...kampung itu tetap hidup di jiwaku. Rumah di kampung yang dahulunya dibina hanya sebagai tempat persinggahan, sudah menjadi kediaman tetap ibuku setelah pemergian ayah. Dari ukuran sekangkang kera bersama hanya sebuah bilik tidur dan bilik air, sekarang sudah semakin luas dengan jumlah empat bilik tidur. Ditambah dengan binaan musolla di bahagian hadapan rumah agar mudah untuk kami solat berjemaah disaat ramai anak cucu balik berkumpul.




Pokok rambutan, langsat, betik dan manggis masih sudi memberi hasil. Begitu juga pokok limau dan jering. Kelibat ayam itik masih galak mematuk-matuk landskap bumi bagi mengesahkan simpulan bahasa 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.




Kampungku...entah sampai bila untuk kau bertahan dengan ledakan kemajuan dunia yang semakin meminggir kehadiranmu. Entah kedengaran atau tidak, bunyi siulan burung, katak dan cengkerik menemani malam yang semakin larut.

Kampungku...walau apa sahaja yang bakal terjadi ke atasmu, aku di sini layak menjadi saksi bahawa kau pernah mendidikku untuk bercinta dengan alam. Di situ adanya sebuah damai...




Monday, 6 July 2015

Menunduk Ego

Imam Ghazali dalam kitab karangannya Ihya' Ulumuddin, menggariskan sifat manusia yang terbahagi kepada 4.

1. Sifat Malaikat - manusia boleh jadi lebih mulia dari Malaikat kerana berjaya melawan nafsu.

2. Sifat iblis - manusia mewarisi sifat iblis dengan selalu mengadu domba, berdengki khianat, sombong dan bongkak.

3. Sifat anjing - manusia boleh memakai topeng anjing yang rakus menyambar dan menerkam mangsa...juga tidak pernah puas dengan apa yang ada dengan sentiasa menjelir lidah.

4. Sifat babi - manusia bisa berbuat sesuka hati tanpa memikir halal haram sesuatu perkara.

Aku berfokus kepada sifat iblis yang sering kita tewas bila diuji...sifat sombong dan bongkak bila berada di kedudukan yang tinggi dan dihormati. Iblis menjadi sombong kerana perbandingan api dan tanah yang dijadikan percaturan sebuah kemuliaan.

Justeru bagaimana mahu menunduk ego diri agar kebersamaan kita bersama kakitangan bawahan atau rakyat biasa dapat diterjemah.

Cuba tips ini (yang diajar oleh guruku)...

Jika dirumah kita selalu membasuh bilik air dan tandas agar kelihatan segar dan bersih...itu merupakan satu permulaan yang baik.

Sekarang kita praktis dan paksa diri untuk basuh tandas awam atau tandas di pejabat yang mahu kita gunakan. Bila melangkah masuk ke tandas, jirus keseluruhan lantai melalui semburan air. Semburkan air ke atas najis-najis yang melekat dan air kencing yang berbau...sehingga najis tertanggal dan bau hancing hilang.

Selepas bersih, kita gunakanlah untuk melepas hajat sendiri. Sebelum meninggalkan tandas tersebut, pastikan ia bersih sepertimana yang kita basuh sebentar tadi.

Inilah di antara praktis Ulama' dan mereka yang berjaya memotivasikan diri...dengan meletak diri di kedudukan rendah seperti tukang cuci. Insyaallah...hilang ego diri dan kita akan lebih menghormati sesiapa sahaja tidak mengira pangkat dan kedudukan.

Tetapi sekiranya selepas membasuh tandas masih tidak berubah sikap ego itu, sujudlah lama-lama selepas solat sunat berseorangan. Kepala yang diposisikan di serendah-rendah tempat mungkin boleh membantu membuang ego diri.

Jika ego masih persis merajai hati, banyakkan bertaubat dan bergaullah bersama mereka yang miskin dan melarat.

Jika masih gagal menanganinya, tinggalkanlah segala harta dunia, pangkat dan kedudukan yang menatijahkan ego itu...kerana hakikatnya dirimu bakal dicampak ke neraka bersama iblis atas sifat sombong yang menghalangmu mencium wangian Jannah!

Fikir...