Translate

Sunday, 4 August 2019

Cepat Sembuh ye Mak!

Kami sekeluarga diuji lagi. Allah tarik nikmat untuk kami bersama mak. Mak sakit...sakit yang harus dirujuk ke hospital. Teringat aku sewaktu arwah bapak sakit...sakit arwah yang meletak kami adik beradik untuk mengenepikan segala perbezaan pendapat dan pandangan. Kami bersatu untuk kesembuhan arwah. Tetapi qada' dan qadar Allah mendahului perancangan kami...kami redha dan pasrah.

Mak merupakan tiang seri untuk kami adik beradik berkumpul. Kami sedar bahawa yang hidup akan mati...dan yang hidup pula harus hidupkan kehidupan. Tetapi kami belum puas untuk mengusik dan bermesra dengan mak.

Mak sentiasa nampak ceria dan riang bersama anak cucu bila berkumpul. Mak tak pernah besar-besarkan masalah walau masalah itu sebenarnya memakan diri mak sedikit demi sedikit.

Korban diri mak buat arwah suami dan anak-anak bukan sedikit. Tapi jiwa dan semangat mak kuat sangat untuk melihat anak-anak membesar.

Misi mak dahpun selesai. Kami dah besar, kami ada anak..mak pula dah lama bergelar nenek kepada cucu yang berderet-deret ramainya. Insyaallah jika panjang umur, taraf mak naik setahap lagi...moyang.

Mak...kami rindu senyum mak. Jika Rabi'atul Adawiyah boleh menyatukan haiwan liar bersama mangsa di dalam satu jemaah, mak juga punyai aura yang kuat dalam mengharmonikan hati sesiapa sahaja yang duduk bersama mak...damai jiwa dibuatnya.

Kami pegun bila doktor kata risiko rawatan mak 50/50! Mak takut, mak nangis..kami semua menangis...apakah! Tetapi kami harus akur dengan ketetapan ilmu langit. DIA berkuasa ke atas segala!

Tapi aku percaya dengan qada' Allah yang boleh berubah. Kami banyak berdoa dan berkumpul adik beradik bersama anak buah...Yaaseen dialunkan untuk kesembuhan mak.

Aku di sini...4 pagi di hospital menemani mak walau mak tak sedar. Biar mak tak tahu aku di sini...biar mak tak sedar adik beradik juga menantu bergilir menemani mak 24 jam. Hanya kami yang tahu...hanya kami yang sedar bahawa apa yang kami lakukan ini, jauh sangat untuk menyaingi jasa dan kasih sayang mak pada kami...jauh sangat!

Kami sayang mak. Cepat sembuh ya mak!

HKL 4 Ogos 2019

No comments:

Post a Comment