Translate

Tuesday, 18 September 2018

Giliran Aku Bila?

Innalillahi wainna ilaihi roji'un. Hanya patah kata itu sahaja yang mampu kulafaz sebaik sahaja membaca kiriman whatsapp tentang berita kematian kakitangan. Arwah menghidap asthma...dibawa ke hospital malam tadi dan terus menuju ke akhir riwayatnya...semudah itu maut menjemput.

Baru sahaja kelmarin sahabat baikku menghembuskan nafasnya yang terakhir (rujuk tajuk 'Kita Calon Jenazah'). Hari ini seorang pemuda semuda usia 28 tahun sudahpun bergelar allahyarham!

Termenung aku di dalam kereta menuju ke tempat kerja. Mesej apa yang mahu Allah tunjukkan kepada aku..kepada kita semua? Kedua-dua sahabatku pergi dalam keadaan sihat sebelumnya. Mereka berdua berada bersamaku di dalam sesi townhall minggu lepas.

Kami galak bercerita tentang keluarga, kampung dan kerjaya...hari Jumaat. Hari Ahad beliau menjadi arwah...allahyarham Hanafi.

Mesej dariNya jelas..amat jelas. Mati adalah rahsia Allah yang tiada siapa boleh merungkainya. Disediakan dunia di hadapan mata demi untuk menguji sejauh mana tindakan kita dalam berhadapan dengan rempah ratus dunia. Sejauh mana persediaan kita untuk menuju ke alam kekal. Baru nak bersedia? Atau sudah bersedia seawal usia muda? Atau masih terbuai dengan segala yang melekakan?

Hanya kita sahaja yang tahu jawapannya. Aku, kau, mereka dan kita semua tahu jawapannya. Bila jawapannya milik kita, jangan lewat bertindak...takut-takut nafas yang dihembus menjadi hembusan terakhir di atas mukabumi!

Peringatan untuk aku, aku dan tentunya aku...tak tahu bila tiba giliranku...

Al fatihah untuk sahabatku allahyarham Mohamad Hanafi Idris. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin.


No comments:

Post a Comment