Translate

Sunday, 16 December 2018

Luka di Madinah

"Aahhhh...macam mana nih", hatiku semakin tak keruan dengan luka kecil di bahagian tumit kanan di hari ke 2. Cuaca Madinah yang semakin menurun ke 15'c semakin menyiat-nyiat kulit di tumit. Garis-garis luka semakin ketara hingga membuat aku berjalan terhincut-hincut.

Misiku kali ini sudah kutukar rentaknya. Jika misi pertama di tahun 2009 aku bebas beramal mengikut rentak sendiri, tetapi kali ini ia harus kutukar kepada berkhidmat untuk sebuah syurga yang berada di bawah telapak kakinya...mak. Mak berkerusi roda...tak mampu untuk kerap berjalan.

Tapi apa pula ceritanya jika aku sendiri yang cedera. "Allah ya Allah..tak mungkin aku mempertikaikan apa yang telah disuratkan buatku. Walau baik mana niatku untuk berbakti tetapi perancangan Allah tak dapat ku telah rahsianya", hatiku bermonolog sendirian meminta perhatianNya.

Tak mengapa, walau teruk garis lukanya..tetap akan kutepati janjiku pada mak. Biar terhincut-hincut gerak kakiku menolak kerusi roda mak..biar!

Hari ke 3 selepas solat Asar, seperti yang kurancang aku akan berziarah ke makam Baqi' dalam meraih pahala mengusung jenazah juga untuk sebuah keinsafan. 

Strateginya aku bersolat di bahagian luar Masjid bersebelahan makam Baqi' yang terletak di bahagian tenggara Masjid Nabawi agar aku boleh terus keluar saf tanpa perlu bersesak.

Alhamdulillah keadaan berlaku seperti yang dirancang. Sehabis solat Asar dan solat jenazah, lantas terus aku menuju ke perkuburan. Sudah kelihatan jenazah diusung oleh jemaah keluar masjid menuju ke perkuburan.

Aku berlari menuju ke tempat kubur yang telah digali agar dapat kusambut jenazah masuk ke liang lahat. Jarak dari pintu masuk Baqi' ke kubur yang baru digali dalam 500 meter jauhnya!

Aku berlari, berlari dan terus berlari tanpa menoleh kiri dan kanan. Aku harus tiba sebelum jenazah sampai..atau aku bakal terlepas peluang menyambut jenazah masuk ke liang lahat.

Syukur ya Allah syukur..letihku berlari berbaloi. Aku dapat sambut jenazah (mungkin dari negara India melihat kepada warisnya yang mengelilingi kubur apabila doa dibaca). Beruntung bagi tetamu Allah yang terpilih untuk disemadikan di pemakaman Baqi' bersama para isteri Rasulullah, para sahabat Nabi dan para tabi'in.



Rasulullah pernah bersabda, “Aku adalah orang pertama yang keluar daripada Bumi (ketika hari kebangkitan), kemudian Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian giliran penghuni Baqi’ yang akan berhimpun bersamaku. Kemudian aku menunggu penduduk Mekah sehingga penuh di antara dua Masjidil Haram”.

Alhamdulillah..misi Baqi' selesai. Aku berjalan perlahan menuju ke hotel..ya, perlahan sangat kaki melangkah dalam melepas lelah larian pecut seawal tadi.

Terperasan aku sesuatu..."aik..tak sakit la pulak kaki ni?" getus hatiku seakan tak percaya. Aku meletak posisi luka di belakang tumit untuk dipijak sebagai pengesahan. "ya..memang dah tak sakit!" Lukanya dah bertaut kemas seakan tiada kecederaan yang berlaku sebelumnya. Subhanallah..macam tak percaya!




Terus aku imbas larian pecut 500 meter yang kulakukan sebentar tadi...baru aku perasan yang aku berlari selaju itu tanpa rasa sakit sedikitpun. Allah ya Allah..Subhanallah yang menghilangkan kesakitan secara tiba-tiba.

Rupa-rupanya Allah beri tunai atas doa bisuku untuk berkhidmat pada mak di sepanjang ibadah umrah. Debu-debu tanah di Baqi' adalah makhluk Allah jua, telah merawat luka tumit dengan perintahNya. Subhanallah, lukaku di Madinah menjadi pelengkap atas rasa syukur yang tidak terhingga di atas nikmat-nikmatNya!

Terimakasih mak kerana sudi menerima tawaranku...dalam melengkapi misi umrah 2018.




                    

No comments:

Post a Comment