Translate

Sunday, 19 October 2014

Kita Ada Mukjizat

Jika ditanya berapa kali kita membaca al Quran sehari? Berapa ayat yang mampu kita alunkan tonasinya? Berapa kali kita katham Al Quran dalam sebulan atau setahun? 

Pasti berbagai bentuk jawapan yang bakal kita dengar. Ada yang membaca al Quran sehari satu muka. Ada yang memfokus membacanya di setiap malam di antara Maghrib dan Isya'. Ada yang mengkhatamkannya setahun sekali di setiap Ramadhan dan berbagai lagi.

Alhamdulillah kerana kita masih hampir dengan Kalam Allah...tidak kiralah berapa kali kita khatam asalkan istiqamah hadir di dalam pembacaannya.

Terdapat pelbagai nama yang dinukilkan bagi Kalamullah selain dari al Quran iaitu Al Kitab, al Furqan, al Dhikr dan al Tanzil. 

Al Quran juga mempunyai sifat-sifat seperti yang disebut di dalam kitab itu sendiri seperti Nur (cahaya), Huda (petunjuk), Syifa' (penawar), Rahmah (membawa rahmat) dan Mau'izhah (nasihat).



Walau terdapat berbeza pandangan berkenaan bilangan ayat al Quran, para Ulama' telah sepakat  bahawa bilangan ayat-ayat secara keseluruhannya adalah sebanyak 6200 ayat. Bilangan surahnya pula adalah sebanyak 114 surah. (TV al Hijrah mengambil bilangan surah itu sebagai saluran TV mereka...114).

Penurunan al Quran berlaku dalam 3 peringkat. Peringkat pertama al Quran diturunkan ke Lauh Mahfuz. Dari situ ia diturunkan serentak ke Bait al Izzah di langit dunia secara serentak. Diikuti dengan penyampaian risalah secara beransur-ansur melalui Malaikat Jibril a.s kepada Nabi Muhammad saw.

Sedarkah kita bahawa al Quran adalah sebesar-besar mukjizat yang dianugerahkan kepada umat akhir zaman?

Mendengarnya sahaja sudah dikira pahala apatah lagi membaca. Bertambah lagi laba yang diperolehi bagi yang mengamalkan mesej yang terkandung di dalam ayat-ayatnya.

Untuk sentiasa bersama Kalam Allah, tidak perlu hanya mengimarahkannya di rumah atau surau. Teknologi terkini amat ketara kemudahannya untuk kesepaduan insan dan ayat-ayatNYA. Janganlah hanya gajet kita berteman perisian duniawi...bukan tidak boleh tetapi imbangilah ia dengan perisian al Quranul Kareem.

Semakin banyak waktu yang diluang untuk mukjizat itu, semakin banyak tenang bertandang ke lubuk hati. Semakin kerap kita membacanya, semakin kerap pertolongan Allah menghampiri. Semakin tidak boleh kita berjauhan dengannya, semakin mudah perjalanan hidup kita.

Wallahua'lam.

* sumber rujukan: Pengajian Syariah, al Quran oleh Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Ahmad. Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment