Translate

Tuesday, 28 October 2014

'Insta' Buat Anakku

Bersambil duduk di hadapan TV seusai makan malam bertujuan untuk mengimarahkan hidup berkeluarga. Sebetulnya aku lebih tegar berdamping dengan bahan-bahan bacaan ilmiah...tetapi aku jua harus bersikap adil kepada keluarga. Aku seharusnya memberi waktu yang berkualiti untuk keluarga...bertanya keperluan mereka dan bergurau senda seadanya bersama anak-anak.

Berkebetulan ke udara sebuah rancangan hiburan yang memaparkan perkembangan terkini artis-artis tanahair. Berkisah sepasang artis yang membuka akaun 'instagram' buat bayi mereka dan telah berjaya mengumpul seramai seratus ribu lebih (100,000++) 'follower'.

Ucapan ALHAMDULILLAH diucapkan oleh sibapa di atas jumlah peminat yang ramai yang ingin mengetahui setiap saat perkembangan anaknya.

Akan sentiasalah si pasangan artis ini meng'update' segala perkembangan dan setiap sudut pergerakan bayinya. Dari pemilihan baju, peralatan mandi, katil bayi, botol susu, 'pram'...namakanlah apa sahaja.

Jika dibuat majlis 'cukur jambul', pasti mengalahkan kenduri kahwin orang biasa. Ye lah...kan nak dapat 'rating' tinggi!

Gambar dan liputan untuk bayi mereka pasti mendatangkan hasil lumayan yang dibayar oleh stesen-stesen TV mahupun majalah. Memang benar-benar berbaloi bisnes mereka.

Inilah jenama 'pemerdagangan bayi' berlesen. Ia sah di sisi undang-undang dunia tetapi tidak sah untuk undang-undang akhirat. Hilang berkat...dijauhi Malaikat.

Beginilah cara mereka mensyukuri nikmat Allah yang menganugerahkan zuriat yang sihat, cantik dan comel. Zuriat untuk mereka berbangga-bangga di waktu selari bisa mendatangkan hasil yang cukup lumayan.

Adakah perkara yang sama bakal mereka rencanakan sekiranya ditakdirkan anak mereka cacat? 'Down syndrome'?

Masih bisakah mereka mengucap ALHAMDULILLAH? Masih mahukah mereka menjemput media membuat liputan?

Aku lantas bergegas meninggalkan ruang tamu bagi mengelak dari mengeluarkan kenyataan-kenyataan di hadapan keluargaku yang menampakkan sikap tidak sabar aku dalam melayan kerenah dunia.

Kucapai gajet...laju pergerakan jari-jemariku dalam meledakkan apa yang terpendam!

Selesai aku berkarya...kutarik nafas sedalam boleh dan berbisik sendiri..."Ya Allah, lindungi aku dari diperhambakan dunia",



No comments:

Post a Comment