Translate

Wednesday, 29 October 2014

Ego Yang Merasuk Diri

Ego? Siapa yang tiada sifat ego bermakna dia bukan manusia...dia Malaikat yang tiada dibekal nafsu. Manusia dicipta bersama pakej lengkap...punya hati, perasaan, akal dan nafsu.

Setiap pancaindera tersebut memain peranan masing-masing dalam menyeimbangi tugasan manusia sebagai khalifah yang mentadbir mukabumi.



Ego datangnya dari hati...bersebab akal gagal menjinakkannya. Mengapa? Kerana nafsu sudah mendominasi akal dan hati. Bagaimana nafsu boleh bersultan di mata beraja di hati? Kerana tarikan magnet dunia amat kuat...akal, hati dan seluruh pancaindera yang lain telah bertumpu penuh untuk menggapainya.

Jadilah material itu pelengkap ego yang tegar. Jadilah kelebihan diri penambah angkuh. Jadilah pangkat dan kedudukan sebagai perlambangan kualiti diri.

Apakah simptom-simptom yang boleh dikaitkan dengan ego?



'Rasa bersalah apabila berbuat salah' amat kurang...boleh jadi rasa itu tiada langsung. Natijahnya golongan tersebut jarang mendahului meminta maaf. Mereka tak rasa yang mereka telah melukai, menyakiti, merobek, mencalar hati insan lain.

Tidak mengiktiraf kejayaan orang lain. Mereka buta dalam menilai kelebihan yang diraih pihak lain. Hanya yang mereka celik...bahawa diri dan kaum kerabat mereka sahaja yang cemerlang.

Sering bercerita tentang kehidupan dan pencapaian mereka dan keluarga. Tidak jatuh minat untuk mereka mendengar kisah rakan taulan.

Merujuk kepada diri sendiri dalam memberi contoh kepada mereka yang ingin berjaya.

Tidak suka mendengar malah suka orang mendengar hanya cerita mereka.

Selalu meletak salah kepada pihak lain jika bertembung dengan permasalahan.

Errmmm..mungkinkah senarai simptom di atas berada di sekeliling atau tanpa sedar simptom tersebut milik kita sebenarnya?

Buanglah egomu atau kau bakal berhadapan dengan kemelut jiwa yang sarat!!!


No comments:

Post a Comment