Translate

Sunday, 20 July 2014

Mengkorporatkan Imej Islam

Di syarikatku, sering kami mengadakan majlis-majlis agama bagi pengisian rohani kepada kakitangan. Solat berjemaah, bacaan Yaasiin, tahlil dan doa selamat di setiap bulan juga ceramah-ceramah agama memang menjadi rutin yang telah dibajetkan oleh pihak pengurusan. Alhamdulillah...aku rasa bersyukur menjadi warga kerja di syarikat ini...professional berciri Islamik.

Topik yang ingin aku kupas adalah berkenaan penceramah-penceramah yang diundang untuk mengisi slot-slot ceramah. Mereka memang pakar di dalam bidang mereka...jarang yang mengecewakan. Penyampaian dan kupasan tajuk yang kami beri dapat diimplementasi dengan baik oleh mereka.

Di dalam slot ceramah, pandai pula mereka berjenaka bagi menghidupkan suasana. Inilah method yang baik bila bersama masyarakat biasa. Jangan terlalu serius, tidak pula terlalu santai hingga tersasar dari tajuk utama.

Tetapi ada satu perkara yang kelihatannya tidak 'mesra' di pandangan mataku. Bila menyentuh bab pakaian dan penampilan, nampak tidak seimbang dengan suasana dan persekitaran. Tak salahpun mereka berjubah juga berselipar. Tetapi apabila lokasi ceramah bertempat di Dewan Perdana dan dihadiri oleh CEO, aku lebih suka mencadangkan agar mereka berpenampilan lebih professional. Lainlah jika ceramah bertaraf surau dan masjid...nak pakai baju Melayu, berkain pelikat dan berselipar pun rasa tak kisah.

Tetapi bila melangkah ke syarikat korporat, penampilan kemas harus ditonjolkan oleh para penceramah...berkasut, berseluar dan berbaju Raihan atau kemeja juga berbaju Melayu sebagai contoh. Tidak hilang ilmu agama untuk mereka berpakaian begitu.

Tunjukkanlah bahawa Islam itu boleh menelusuri apa jua persekitaran. Bak kata pepatah Melayu, "masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek". Penceramah bukan hanya datang dengan ilmu agama, tetapi mereka juga mesti melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu duniawi yang lain seperti ilmu protokol majlis, ilmu bersosial bersama masyarakat, ilmu penampilan diri (grooming) dan lain-lain percambahan ilmu yang berkaitan.

Barulah nampak imej Islam kontemporari yang boleh diketengahkan di majlis-majlis korporat. Keadaan ini pastinya boleh merubah persepsi pihak pengurusan dan menarik lagi minat mereka untuk mendekati penceramah-penceramah yang nampak 'pro' itu.

Aku menulis atas kapasiti komen-komen dari pihak pengurusan.

Aku juga menulis atas satu nawaitu...agar da'i lebih dihormati terutamanya di kalangan mereka yang tinggi kedudukannya dalam sesebuah organisasi. Juga aku ingin Islam itu nampak 'gah' di mata dunia, bukan hanya menjadi juara kampung.



No comments:

Post a Comment