Translate

Tuesday, 22 July 2014

Sepi Itu Indah

Hari ini kami menerima kunjungan penceramah untuk slot Ceramah Ramadhan di syarikatku. Penceramahnya sangat dekat di hatiku. Dia tak 'glamour' juga bukan popular. Tetapi ada satu keistimewaan yang tersimpan dan terhijab dari pandangan manusia. Kata-katanya amat menyentuh hati yang mendengar. Gerak lakunya bersahaja dan tonasi penceritaannya dimainkan bagai alunan lagu simfoni yang mengasyikkan.

Penampilannya menarik...berbaju Raihan, berseluar hitam, bersongkok putih dan berkasut hitam...bersesuaian dengan imej Islam kontemporari yang ditonjolkannya.

Kami pernah berkolaborasi menjayakan Kem Khemah Ibadah untuk kakitangan. Dari situ bermula aku mencemburuinya dalam diam. Ya...cemburu dengan anugerah Allah kepadanya...itulah nikmat pemberian Pencipta kepada hamba yang ikhlas berdakwah.

Ustaz Sabri Abd Rani...pernah aku berkongsi ceritanya di blog bertajuk 'BILA HATI IBU MENANGIS'. Cerita tersebut mendapat kedudukan ke 3 paling popular bacaannya.

Hari ini beliau datang lagi dengan kisah 'SEPI ITU INDAH'. Beliau memberi tips bagaimana untuk menggapai malam al Qadar di 10 malam terakhir Ramadhan. Dikala sepi adalah waktu yang sesuai untuk kita mengadu kepadaNYA. Kata Saidina Abu Bakar, 'makin kamu menyepi, makin terbuka pintu hati'.

Dalam menempuh Ramadhan, dianalogikan di dalam satu pertandingan larian 400 meter. Mereka yang memecut awal bakal letih di pertengahan berbanding dengan mereka yang konsisten momentumnya dan memecut di 100 meter terakhir sehingga ke garisan penamat.

Ini yang berlaku kepada kita. Seawal Ramadhan, habis segala sudut surau dan masjid dipenuhi insan-insan yang memecut mengejar rahmat. Di pertengahan mereka mula rasa letih di atas pecutan awal. Rumah-rumah Allah mula kelihatan lapang dan luas. Di akhirnya mereka tewas dan yang tinggal hanya bilangan saf yang merudum.

Cerita Ustaz disambung kepada amalan meminta maaf dengan method yang sesuai. Disebut kisah bersama ibu, ayah dan anak-anaknya. Beliau sendiri pergi mendapatkan isteri dan anak-anak untuk ungkapan maaf. Beliau ketepikan segala perasaan ego. 

Anak lelakinya bakal menapak keluar dari rumah dalam melayari hidup baru berumahtangga. Ustaz Sabri merasakan bahawa inilah masa yang sesuai untuk beliau memaaf dan dimaafi.

Ustaz bercakap santai untuk anaknya meluah segala rasa ketidakpuasan hati. Rupanya peristiwa 17 tahun lalu baharu sahaja dilepaskan peledaknya. Berlaku di mana sewaktu hendak berbuka puasa, anaknya tidak mampu menunggu lama sebaik sahaja azan berkumandang. Nasi yang disuap belum sampai ke mulut habis bertabur jatuh ditepis oleh Ustaz kerana ritual doa berbuka puasa belum dibaca.

Anaknya berasa malu diperlakukan begitu di hadapan adik-beradik yang lain. Malunya bukan kepalang disimpan sehingga dewasa. Ustaz terpempan dengan luahan tersebut. Tak sangka perkara kecil baginya menghiris luka di hati anaknya. Buat pertama kali mereka anak-beranak berpelukan erat melerai segala kusut yang terpendam.

Hati hadirin mula tersentuh dengan cerita yang dikongsi. Rakan di sebelahku mula menyeka mata beberapa kali menahan lelehan air jernih. Tiba-tiba kederangan suara tangis raung di bahagian muslimah...amat tersentuh!!! Berkemungkinan ada kaitan cerita yang buat mereka tersentuh.

Itulah Ustaz Sabri yang aku kenal...terimakasih Ustaz.


Ustaz Sabri Abd Rani

No comments:

Post a Comment