Translate

Sunday, 6 April 2014

Bila Kaki Melangkah Lagi

Aku sudah bersedia tetapi persediaan itu diduga dengan pembatalan penerbangan Lufthansa atas mogok yang dilancarkan oleh juruterbangnya di seluruh dunia. Sibuk aku menguruskan pertukaran penerbangan agar misiku tidak tertangguh. 

Alhamdulillah...aku berjaya mendapatkan pertukaran penerbangan lain. Kali ini bersama Qatar Airways yang bertransit di Doha, Qatar untuk ke destinasiku yang seterusnya...Milan, Italy.

Seperti biasa, aku akan meluangkan masa dengan ibuku menceritakan perkembangan diri seterusnya meminta restu agar dimudahkan perjalanan dan mendoakan agar misiku berjaya.

Sudah berada di dalam pesawat, lunak hatiku bila mendengar alunan bacaan 'doa perjalanan' yang dimainkan sebelum pesawat berlepas. Ini tidak berlaku di pesawat MAS. Tetapi lunak itu bertukar senak bila anak kapal menghidangkan arak kepada penumpang sebagai 'welcome drink'. Patutkah...

Transit di Doha tidak lama...aku teruskan perjalanan ke Milan bersama pesawat QR 123. Di dalam pesawat, aku menonton dokumentari video tentang negara China berkenaan wilayah Nanjing.

Di sebuah jambatan yang sibuk, terdapat beberapa kakitangan yang ditugaskan untuk mencegah dan menyelamatkan manusia-manusia yang ingin membunuh diri. Dalam setahun, lebih kurang 300 orang yang terjun melalui jambatan tersebut atas masalah peribadi! 

Ditemu-ramah salah seorang yang berjaya diselamatkan. Beliau mempunyai anak yang menghidap leukimia dan kos rawatannya mencecah kepada USD 200,000. Beliau mengambil jalan singkat untuk melupakan segala bebanan itu dengan membunuh diri. Itu salah satu kisah peribadi yang menjurus kepada penyelesaian singkat.

Aahh..betapa mereka yang tidak beriman langsung hilang pedoman dalam menghadapi kerenah dunia. Alhamdulillah kita yang diberi hidayah untuk menjalani ritual Islam terasa benar-benar dianugerahi pedoman untuk tidak tersasar dalam kehidupan. Kita ada Allah...hanya kepadaNYA kita kembalikan permasalahan itu.

Syukur...aku selamat tiba di Lapangan Terbang Malpensa jam 6.30 pagi bersama cuaca pagi bersuhu 7'c.

Sewaktu blog ini dikemaskini, MH 370 masih unik bermisteri...hampir sebulan! Sekiranya pesawat selamat mendarat, aku doakan keselamatan mereka. Ditakdir berlaku bencana kepada pesawat, doaku agar mereka yang beriman ditempatkan bersama para solehin dan mendapat syahid akhirat. 

Alfatihah...

Catatan pengembara...Ahad 6 April 2014. Milan, Italy.



No comments:

Post a Comment