Translate

Tuesday, 15 April 2014

Ogos 1995

Detik itu tiba...air ketuban isteriku telah pecah petanda amaran awal untuk kelahiran. Aku tiada pengalaman, maklumlah kelahiran pertama. Segalanya mengikut naluri hati dan keadaan.

Lantas aku capai segala yang perlu dan bergegas ke Pusat Rawatan Islam tempat isteriku didaftarkan. Isteriku mula rasa tidak selesa...serasa ingin kupecut kenderaan selaju boleh tanpa menghirau segala halangan.

Alhamdulillah kami selamat tiba di pusat rawatan dan aku serahkan segalanya kepada jururawat yang bertugas. Sebelum berpisah, isteriku mencium tanganku seraya memohon maaf, "Bang...maafkan gee atas segala kesalahan. Kalau apa-apa berlaku, abang jaga anak kita ye". Aaahhhh...naluriku semakin resah untuk menghadapi situasi yang tidak terjangka. Aku tergamam dengan permohonan maaf itu...sebak.

Selang setengah jam, aku dipanggil oleh jururawat untuk menemani isteriku yang hampir melahirkan. Aku masuk ke bilik dan berdiri di sampingnya. Tanganku digenggam erat...raut wajah isteri menahan sakit masih dapat kubayang hingga ke saat ini. 

Tiba-tiba dalam keadaan yang kalut itu, aku seolah hilang pertimbangan dan hampir terjatuh. Namun sempatku berpaut di birai katil. 

"Encik ok ke? Kalau rasa tak ok, Encik boleh tunggu di luar ye", jururawat menyapaku.

Baru aku sedar bahawa sedari pagi tadi, tiada apa yang kujamah. Ditambah dengan segala bauan ubat-ubatan hospital membuatkan aku sedikit pening. Aku keluar dari bilik bersalin dan menuju ke surau hospital di tingkat atas. 

Sehabis dhuha, aku berdoa selayak ini hari terakhirku bersama isteri. Aku sebak, sedih dan benar-benar berharap agar segalanya selamat untuk aku mengazankan anakku yang pertama dan sempatku kucup dahi isteri yang telah melahirkan zuriat buat kami.

Setengah jam di surau, aku turun untuk mengetahui perkembangan ahli keluarga baruku. Sampai di bawah, kelihatan ibu dan bapa mertuaku sudah menunggu. Wajah mereka juga berbaur...sedih dan berharap.

Aku berdiri di satu sudut memerhati dari jauh jururawat yang sedang memandikan seorang bayi comel yang baru lahir. Hati berdetik, kalaulah anak aku comel macam tu...aahhhh. Apa pula cerita isteriku di dalam bilik bersalin.

Aku sapa jururawat yang baru keluar dari bilik isteriku.

"Cik, isteri saya macam mana...Fauziah Jamaludin".
"Aaarr...isteri Encik dah selamat bersalin, tu anak Encik".


Subhanallah, bayi comel yang aku perhati sedari tadi anak aku rupanya!!! Aku bergegas masuk ke bilik dan ucap tahniah kepada isteriku. Alhamdulillah, bayi dibawa masuk ke bilik untukku azankan.

Anakku...ini suara ayahmu. Di sebelah adalah ibumu yang mengandungkanmu selama 9 bulan. Balaslah kesakitannya dengan sentiasa menggembirakannya. Berilah ketaatan kepada ibumu 3 kali melebihi ayah kerana syurga itu letaknya di bawah telapak kaki ibumu.

"Allahu Akbar Allahu Akbar..." azanku laungkan buat cahaya permata kami.

Isteriku...walau aku tidak merasa keperitan yang kau tanggung sewaktu melahirkan, namun itu sudah cukup menginsafkanku betapa ibu, isteri jua anak perempuanku mendapat taraf istimewa di sisiNYA.

Isteriku...tidak mampu untuk kusia-siakan hidupmu...percayalah!!!


No comments:

Post a Comment