Translate

Sunday, 8 September 2013

Angka 40..Tahun Yang Kritikal


Kita hidup sebetulnya bertujuan iaitu untuk menghambakan diri kepada Allah. Di sini, ibadat khusus mahupun yang umum memain peranan untuk menentukan siapa kita di sisi Allah di alam akhirat. 

Persoalannya, bagaimana cara kita menjalani kehidupan sepanjang kita diberi tempoh hidup di dunia? 

Seawal usia baligh bagi lelaki di lingkungan usia 13 ke 16 tahun juga perempuan di sekitar 10 ke 13 tahun usia. Melepasi usia sedemikian telah dipertanggungkawabkan segala kewajipan syariatullah ke atas bahu masing-masing. Buku catatan amal telah mula dicatit di kiri kanan bahu kita oleh Malaikat Kiraman dan Katibin.

Seawal remaja, kita masih tercari-cari identiti diri sendiri. Ibubapa seharus memain peranan dalam memberi panduan juga memilih bagi pihak anak-anak tentang kecenderungan mereka.

Melepasi usia remaja, kita meningkat dewasa dan telahpun berdiri atas tanggungjawab juga terpaksa membuat keputusan untuk menempuh masa depan sendiri. Kita bergelut untuk mencapai kejayaan..adakala jatuh tersungkur dan bangkit kembali demi sebuah kehidupan dan masa depan.

Perkahwinan menambah beban hidup dan tanggungjawab menjadi semakin besar keraknya. Gandaan usaha dipertingkat ataupun perut harus diikat. Tiada pilihan...kita harus maju ke hadapan kerana semakin banyak mulut harus disuap.

Alhamdulillah...ujian hidup telah kita lalui dengan jaya. Jatuh bangun hidup telah dirasai. Hidup mula stabil...kita hanya perlu konsisten dengan kerjaya yang ada. Ini kebanyakannya dilalui dalam tempoh usia 40an.

Ya...usia ini sebenarnya mempunyai pengertian yang besar untuk direnungi. Jika tidak, masakan ia disabdakan oleh Rasulullah SAW. Apa sahaja yang datang dari sumber Nas yang sah, seharusnya untuk kita beri perhatian lebih kerana malapetaka bakal menyusul bagi sesiapa yang tidak menghiraukannya.

Kita dibezakan di usia ini...40. Jika hati cenderung kepada segala yang baik, Insyaallah, kita bakal mendatangi segala yang baik di usia mendatang. Begitu juga sebaliknya, jika mencecah 40 masih selesa dengan perkara-perkara yang tidak menjurus kepada pahala, berat hati untuk mengatakan bahawa hanya hidayah Allah sahaja yang boleh menyelamatkannya (cukupkah hanya dengan mengharap hidayah datang bergolek tanpa sekelumit usaha menuju perubahan?).

Mereka yang tidak betah mencari perhatian Allah pasti jiwa berteman dunia dan makhluk seisinya...hanya itu yang boleh menghiburkan hati. Oleh itu, jangan hairan apabila usia 40an memulakan era baru dalam kehidupan seseorang. Kewangan sudah stabil, segala keperluan telah lengkap...hadirlah rasa ingin berkawan sana dan sini. Menambah perit bila peratusan bersama keluarga dan kawan-kawan tidak seimbang...dilebihkan dunia luar. 

Di sinilah juga bermula jelingan manja dari perawan-perawan muda. Ye lah...ada gadis yang tertarik dengan personaliti 'otai' yang tenang sentiasa dan lebih berhemah kehidupannya. 'Otai-otai' yang kontang rasa dalam beragama, mula berasa terhibur dengan dunia sekitar. Pucuk dicita ulam mendatang. Fasa baru telah bermula...dicari hiburan luar.

Tetapi jika di usia stabil itu meresap masuk keinsafan, rasa menyesal dengan segala perbuatan lampau dan melampau...dicari segala yang berunsur syariat untuk dipelajari...walau bermula dengan mengenal huruf al Quran melalui Iqra' (muqaddam). Terisilah masa mereka dengan segala yang bermanfaat. Tidak terlintas kepada segala aktiviti yang sia-sia.

Bagaimana pula untuk yang konsisten dengan amal ibadat sedari muda. Pemisah usia 40an tidak menjadi masalah kerana segala yang baik telah bersatu dalam dirinya. Datanglah segala perawan mahupun godaan duniawi yang melekakan...hatinya tetap tidak terpaut. Dia tahu menilai kehidupan dan amat berwaspada dengan segala tipu helah. Malah dia berasa gusar jika kehidupan mula stabil dan harta semakin bertambah...kerana dia tahu kemewahan itu juga merupakan suatu ujian dari Allah.

Justeru apa pilihan kita? Mahu konsisten dengan amal seawal usia muda...atau menunggu untuk berubah di persimpangan usia 40...atau terus berhibur dan mengharap hidayah Allah mendatangi diri. 

Mereka yang konsisten akan menuai hasilnya bila mencecah angka 40. Mereka semakin galak menambah ibadah dan semakin banyak memberi ilmu kepada yang lain. Jiwa mereka tenang dan kehidupan semakin dimudahkan olehNYA.

Mereka yang akan berubah di persimpangan 40 bakal berhadapan dengan kesulitan tetapi masih belum terlewat. Mereka merangkak mencari yang asas dan terpaksa banyak mengganti amalan-amalan wajib yang tertinggal. Walaubagaimanapun, golongan ini masih boleh mengucap syukur lantaran Allah mula memberi perhatian dengan segala macam ujian..bersabarlah.

Untuk yang mengatakan 'kehidupan bermula di usia 40' bakal menempah neraka. Dunia yang dirasa seronok sebenarnya menuntun diri mereka ke lembah hina...berpeluangkah mereka mendapat hidayah Allah? Allah lebih mengetahui.

Jika mahu selamat, bermulalah sedari awal dalam mencari redhaNYA kerana perkara yang dilakukan secara terpaksa dan tergesa-gesa itu menolak kesempurnaan hidup.

Hiduplah dalam redhaNYA sebelum mencecah angka 40 agar kita boleh menuai hasilnya di dunia sebelum mati menjemput.

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment