Suara memberi salam memecah hening pagi. Aku yang sedari tadi leka berkemas rumah agak terganggu dengan lantunan suara yang diulang-ulang perkataannya.
"Tapi itu bunyi suara anak kecil", hatiku meneka-neka dalam samar.
Hari ini hari Isnin dan aku sedang bercuti...bukan untuk urusan juga bukan untuk beristirehat, cuma bagi menghabiskan cuti tahunan yang akan tamat tempoh. Biasalah, bila sudah ada di rumah...ada sahaja kerja-kerja rumah yang menagih tenagaku. Bukan untuk kesempurnaan tetapi lebih kepada kepuasan diri.
Aku berasal dari spesis 'perumah'. Maksudnya, aku banyak menghabiskan waktu di rumah bersama keluarga. Ditambah pula hobiku yang suka kepada kekemasan dalaman dan luaran. Semuanya kujaga kerana bila sudah berada dalam kategori spesis 'perumah', sudah tentu masaku banyak di rumah...aaar, dari situlah bermula aku suka mengemas rumah...untukku mencari 'tenang' dalam suasana sekitar yang mendamaikan.
"Assalaamualaikuuuuuum"...
Aaahhhh suara itu bergema lagi, kasihan pula aku mendengarnya. Aku jenguk ke muka pintu...alahaaiii comelnya budak tu. Berkopiah kemas dan berpakaian seragam, serasa umurnya baru mencecah 5 tahun.
"Mungkin baru balik dari tadika", aku menelah lagi.
Bila kubuka luas daun pintu, terlihat tersergam sebuah kenderaan mewah berjenama Alphard yang dipandu oleh seseorang dalam lingkungan umur 40an. Pemuda itu berkopiah dan tersenyum manis memandangku.
"Pakcik, nah surat", anak kecil itu menyapa dan menghulur sepucuk surat ke tanganku dari luar pagar.
"Surat tu posmen hantar ke rumah saya...salah alamat. Jadi, saya hantar ke alamat yang betul ni", si ayah menyampuk dari dalam kereta.
Aku lantas membelek surat itu bagi mengesahkan penamanya. Ya, memang tertera nama anakku.
"Saya hantar ke rumah ni takut surat tu penting buat encik", pemuda itu menambah lagi bicaranya.
Aku rasa boleh sahaja pemuda itu meletakkan surat itu di dalam peti suratku. Tetapi terlanjur ada orang di rumah, dia sanggup tunggu dan mengarahkan anak kecilnya turun dan menyerahkan surat ke tanganku.
Sejujurnya aku agak terkesima dengan situasi itu. Pemuda itu telah memberi satu nilai tambah dalam situasi yang tidak terjangka olehku.
Terdapat 3 faktor yang menarik minatku untuk menulis 'Hikayat Merong Maha Amanah' ini.
Pertama - pemuda itu telah menjelaskan lagi apa itu Islam. Sifat amanahnya boleh menarik minat 'non Muslim' untuk lebih mendekati agama syumul ini. Sebenarnya apabila surat itu kubuka, tiada perkara penting yang menuntut untuk aku bertindak. Sekali lagi, pemuda itu telah meletakkan prioriti tinggi untuk memastikan yang empunya diri memiliki surat tersebut.
Kedua - pemuda tersebut sebenarnya sedang mendidik anak kecilnya untuk mewarisi sifat para Nabi dan Rasul! Amanah.
Ketiga - dia seorang yang kaya dan berharta (melalui jenis kenderaannya) tetapi masih tidak mengkesampingkan amanah sekecil itu.
Boleh sahaja dia membiarkan surat asing itu atau jika mahu bertanggungjawab, dia boleh memasukkan kembali surat itu ke peti surat di tepi-tepi jalan...habis cerita. Tetapi tidak begitu skrip yang dikehendakinya. Dia mengolah jalan cerita yang nampak ringkas tetapi memberi impak yang jelas ketara di mata penduduk langit.
"Terimakasih banyak ye", hanya itu yang mampu kuucap.
PEMUDA ITU SEDANG BERDAKWAH kepadaku...hatiku amat terkesan.
No comments:
Post a Comment