Translate

Saturday, 14 September 2013

Sketsa Rasa

Kita semakin berjaya dalam hidup. Kerjaya, bisnes, jawatan dan harta benda menyerlahkan lagi siapa kita di mata dunia. Bila di dalam mesyuarat, banyak sumbangan idea yang diberi. Bila dipertanggungjawabkan untuk memikul sesuatu tugasan, komitmen yang diberi tidak berbelah bahagi...HEBAT...itulah kita.

Apa rahsianya? Pernah kita terfikir dari mana datangnya kekuatan itu? Dari usaha kita sendiri? Dari kawan-kawan yang banyak memberi galakan? Atau dari kebijaksanaan akal anugerah Allah? 
Mari kita lihat sketsa di bawah...

Hidup kita bermula dari rumah. Sedari kecil segala makan minum dan pakai dijaga selia oleh orang tua. Ibu memasak tanpa imbuhan bayaran dari anak-anak. Ayah menggalas tulang empat kerat demi kelangsungan kehidupan keluarga.

Ada ke ucapan terimakasih keluar dari mulut kita kepada keduanya sejak dahulu hingga sekarang? Walau tiada imbuhan yang diterima mahupun kalimah penghargaan, mereka tetap setia memasak dan mencari rezeki untuk keluarga.

Bila kita melanjutkan pelajaran di menara gading, mereka tiada pilihan...mencuba sedaya mampu mencari wang untuk meneruskan pengajian kita. Mereka di kampung menahan lapar, mengikat perut dan mengorbankan segala yang bernama bahagia semata-mata untuk melihat kita berjaya.

Ya..kepuasan mereka muncul apabila kita berjaya dengan segulung ijazah dan tambah membahagiakan bila kita menyandang jawatan penting di dalam syarikat...HEBAT!!!
Kita kembali kepada kehidupan lampau semula. Bila lapar, pada siapa kita ucap perkataan itu? Ibu akan memasak walau diselubungi letih.

Bila hendak ke sekolah, kepada siapa kita merujuk untuk minta duit belanja? Ayah sedia menghulur walau ayah sendiri tiada belanja di pejabat.

Di zaman kanak-kanak, kepada siapa kita suka bercerita untuk berhibur? Ibu sedia mendengar cerita bosan kita.

Bila kedapatan masalah dengan kawan-kawan di sekolah, kepada siapa kita mengadu? Ibu sedia mendengar walau dibaluti masalah dapur tak berasap.

Di Universiti, kepada siapa kita berharap untuk segala perbelanjaan sepanjang pengajian? Ibu dan bapa tempat rujukan walau terpaksa menebalkan muka meminjam sana sini.
Tetapi bila kita sudah berjaya dan berkeluarga, mana perginya tempat rujukan kita sedari kecil?

Kita beralih kepada sahabat-sahabat bercerita masalah syarikat di padang golf.
Kita mencari laman-laman sosial dan pakar-pakar motivasi untuk leraian masalah.
Kita melebihkan 'ramalan bintang' di dada-dada akhbar dan majalah untuk penyelesaiannya.

Di mana ibu, di mana ayah? Di mana letaknya mereka berdua di hati kita apabila kita meningkat dewasa?


Ibu bukan pakar ekonomi yang tahu selok belok dan turun naik saham. Ayah pula tidak sebijak mana untuk menyelesaikan masalah perakaunan di pejabat. Mereka tak sekolah tinggi.

Tapi jangan lupa, mereka ada mukjizat anugerah Allah. Restu mereka berdua merupakan lesen untuk Allah sempurnakan hidup kita di dunia hingga menuju ke akhirat.
Berbuallah bersama mereka, kongsikan kegembiraan kita yang telah berjaya bersama mereka. Hiburkan hati mereka dengan kisah-kisah silam tentang didikan mereka kepada kita yang bisa menjadikan kita manusia yang sempurna.

Tetapi cukuplah...cukuplah, jangan dilonggokkan lagi masalah dunia di hadapan mereka. Mereka sudah cukup menderita membesarkan kita. Jika tidak mampu memberi sedikit wang perbelanjaan mereka di kampung (tak mampu?), jangan dengan rasa tak malu meminta dari mereka pula..cukuplah!!!
Kita berjaya dalam hidup? 

Alhamdulillah...tetapi jangan dikesampingkan untuk meminta restu dari mereka berdua untuk setiap apa yang akan kita lakukan. Cari masa untuk berbual bersama mereka bukan CURI masa mereka (bermaksud masa yang sepatutnya kita bersama orang tua telah diberikan kepada kawan-kawan mahupun gajet di tangan).

Mungkin kita lupa...mereka sebenarnya sering merestui kehidupan kita bersama keluarga sendiri walau kita lupa untuk memintanya. Di situlah terletaknya kekuatan diri kita yang berjaya.


Tetapi di mana mereka di hati kita? Mereka terus-terusan sunyi dalam diam.

MASIH HEBAT kah kita?


No comments:

Post a Comment