Translate

Friday, 30 August 2013

Berangan atau Beramal

Kisah 1
Diriwayatkan seorang hamba Allah telah menyeberangi sungai dengan berjalan di atas air. Dia hanya berbekal kalimah Bismillahirrahmaanirrahiim.
Kisah 2
Seseorang mengalami histeria, dibaca ayatul Kursiy oleh pemuda pertama...tiada perubahan. Hadir pemuda kedua membaca ayat yang sama...mangsa pulih.
Kisah 3
Seseorang yang amat disenangi oleh sesiapa sahaja. Kehadirannya menceriakan suasana. Tiada iri hati juga dendam terhadapnya. Malah dia menjadi tempat luahan rasa.
Kisah 4
Seekor anjing dengan garang menuju ke arah seseorang dan mahu menggigitnya. Orang itu lantas membaca ayat yang boleh menundukkan haiwan. Anjing itu berlalu pergi.

Empat senario di atas mewakili insan istimewa yang dianugerahi sifat-sifat Thoiyib (segala yang baik). Adakah sifat itu wujud secara semulajadi? Tidak sebenarnya...dengan segala yang baik berada di sekitar, mereka menterjemahkannya dengan amalan-amalan yang konsisten. Hasil dari segala yang dipraktis, maka jadilah mereka insan istimewa yang sentiasa di dalam jagaan Allah. Apabila Allah bersama mereka, tiada apa yang mustahil di sisi mereka.

Contoh dirujuk kepada Nabi Khidir yang dianugerahi ilmu Laduni (mengetahui peristiwa ghaib yang belum berlaku). Nabi Musa telah diarah untuk mengembara bersama Nabi Khidir untuk Allah tunjuki sesuatu kepadanya. Sesuatu yang boleh menundukkan rasa berbangga-bangga dengan kelebihan diri (Allah hendak menegur Nabi Musa sebenarnya).

Bayangkan apabila Nabi Khidir membunuh seorang kanak-kanak yang tidak berdosa dan ini ditegur oleh Nabi Musa (baginda yang merupakan seorang Nabi juga tidak mengetahui ilmu Allah yang hebat ini). Apabila diterangkan, baharulah Nabi Musa faham yang mana kanak-kanak tersebut apabila dewasa kelak akan menderhakai kedua ibu bapanya dan tentulah tidak baik untuk dibiarkan perkara itu berlaku.

Kejadian aneh yang lain pula apabila Nabi Khidir merosakkan sampan seorang miskin dengan menebuk lubang, padahal mereka berdua telah diberi menumpang naik sampan itu sebelumnya. Perkara itu juga ditegur oleh Nabi Musa. Rupanya ilmu Laduni yang dimilikinya menegaskan bahawa jika tidak dirosakkan sampan itu, ia bakal dirampas oleh Raja yang zalim. Tentulah keadaan itu lebih tidak memihak kepada pemilik sampan yang miskin itu.

Kejadian aneh terakhir yang memisahkan Nabi Khidir dan Nabi Musa (perjanjian telah dimeterai jika Nabi Musa mempertikaikan tindakan Nabi Khidir sebanyak tiga kali, maka mereka akan membawa haluan masing-masing). Mereka telah sampai di satu perkampungan tetapi kehadiran mereka tidak dipedulikan oleh penduduk sekitar. Walau begitu keadaannya Nabi Khidir meminta Nabi Musa untuk membantunya membaiki sebuah rumah yang usang.

Nabi Musa tidak berpuashati dengan keadaan itu kerana penduduk sekitar tidak mengalu-alukan kehadiran mereka apatah lagi untuk mereka berdua membantu membaikpulih rumah di kampung itu. Penerangan diberi bahawa rumah itu adalah milik seorang anak yatim yang mana tertanam emas di bawah tanah tapak rumah itu. Nabi Khidir ingin memelihara harta anak yatim itu yang tidak diketahui oleh penduduk kampung.

Begitulah kisah insan istimewa yang mana kadang kala mengundang rasa pelik bagi orang awam. Bilamana seorang Tuan Guru mengatakan Allah juga mencarut...itu atas kapasiti ilmu agama yang dimiliki yang tidak difahami rakyat. Dia tidak pernah meninggalkan solat tahajjud seawal usia mudanya. Jadi, apakah manusia jenis ini tidak faham agama dan merendah-rendahkan taraf Tuhan? Kata-kata Wali-wali Allah banyak yang perlu diterjemah, tidak boleh diambil secara terus. Lihatlah ayat-ayat Allah menerusi kitabnya al Quran...penuh simbolik, penuh makna yang tersirat. Tidak untuk ditafsir oleh orang kebanyakan.

Tegasnya, amalan yang konsisten bisa menatijahkan kesan yang hebat ke atas diri seseorang. Tonasi fatihah seseorang yang sentiasa beramal, jauh bezanya dibanding mereka yang hanya menghafal. Ayatul Kursiy yang dibaca oleh dua orang yang berbeza karektornya memberi kesan yang berbeza.

Tinggalkan berangan kerana benih yang ditanam perlu diiringi usaha menjaganya agar ia tumbuh menjadi pokok yang tegap. Beramallah sebanyak mungkin diiringi ikhlas untuk kita rasa lazatnya keistimewaan yang bakal menanti...anugerah dariNYA.

Catatan dari Incheon, Korea Selatan, 30 Aug 2013


Thursday, 29 August 2013

Ilham Dari Korea


Aku bersama kawan-kawan sekerja menjarah bumi Seoul, Korea Selatan mengecap nikmat percutian...ke taman tema Disneyland, gembira tidak terkata. Mencari salji yang entahkan bila berkunjung tiba. Makin ditunggu makin sejuk rasanya tetapi kapas putih itu masih menyepi.

Sedang kami lena tidur, terdengar bunyi jentera seawal pagi. Menjenguk ke tingkap dan...."horeeeeyyyy...salji turun, salji turun", suara Isa memecah hening pagi lantas mengejutkan kami semua. Itu bunyi jentera yang sedang menolak timbunan salji ke sisi jalan. Apalagi, bergegas kami bersiap untuk tidak melepaskan peluang merasa 'ais kepal' original. Klik, klik, klik kami bergambar.

Eeerrmmm...itu semua sudah menjadi sejarah yang tidak diterima masuk untuk dipamerkan di Muzium Negara. Kisah 21 tahun yang lalu segar mengusik rasa. Aku mengembara lagi, tidak diiringi teman ceria...berseorangan. Kali ini aku ditugaskan untuk menyelesaikan misi di Korea Selatan, lebih terperinci lagi ke Incheon. Situasi yang amat berbeza...berbeza ya amat! Aku berlepas dari KLIA dengan rasa yang pelbagai.

Aku bukan dalam situasi berhibur tetapi penuh dengan pelbagai persediaan misi. Misi yang tidak boleh gagal sama sekali. Persediaan yang mencakupi mental dan fizikal. Jika mentalku tidak fokus...imej syarikat bakal tercalar pedih. Jika fizikalku lemah tidak bertenaga, bisa mengganggu segala yang dirancang.

Korea...sejarah menyatakan nama negara ini datangnya dari pedagang Parsi yang pertama melawat Semenanjung di zaman pemerintahan dinasti 'Goryeo'. Nama 'Goryeo' telah dimodenkan menjadi 'Koreans' (Choson) yang bermaksud 'Negara Pagi Yang Segar dan Nyaman'.

Negara yang berkapasiti penduduk lebih kurang 50 juta ini di penuhi gunung-ganang yang mendominasi 70% negaranya juga dikelilingi 3,000 buah pulau. Majoriti penduduknya menganut agama Buddha dan selebihnya Kristian juga Confucianism. Apa yang menarik perhatian aku ialah lebih kurang 40% populasi penduduknya tidak percaya wujudnya Tuhan...Atheist! Yang lebih membuat aku teruja bilamana salah seorang kakitangan mereka yang berurusan denganku adalah spesis Atheist!!!

Kami berbual dan aku semakin rancak ingin mendalami mindanya yang karut marut itu. Tidak pula sudi untukku berdebat dengannya atas kapasiti aku sebagai 'auditor' dan 'konsultan' yang pastinya harus menjaga integriti diri dan syarikat. Tumpuan kuberi kepada penceritaannya...dia tidak percaya wujudnya Tuhan dan segala yang berlaku adalah perencanaan alam semulajadi. Tiada hidup selepas mati. Tiada ritual agama, yang wujud hanyalah kehidupan yang tiada arah tuju. 

Dia seorang yang kuat bekerja (memang itulah resmi jiwa mereka) dan aku lihat memang penduduk negara ini menjadi hamba dunia. Jadi, tidak hairanlah jika mereka naik menjadi bangsa yang berjaya. Disiplin diri, integriti, komitmen adalah antara ramuan kejayaan ditambah dengan klausa 'Hamba Kerja'.


Jenama Samsung, LG, Daewoo, Hyundai, KIA, K Pop (yang menggila di Malaysia) juga Park Ji Sung (pemain bolasepak yang berjaya di arena antarabangsa). Itu semua membuktikan betapa hebatnya spesis yang menghambakan diri kepada dunia ini. Memang hukum alam menetapkan begitu. Berusaha tanpa jemu dan henti, pasti membuahkan hasil. Tetapi hasil itukah yang kita cari? Ini bukan konsep Islam. Bercucuk tanam di dunia...menuai di dunia. Sudahnya...tiada bekalan langsung tinggalan akhirat.


Tetapi banyak yang boleh dipelajari di bumi Korea ini. Kehidupan mereka ironinya boleh memalukan umat Islam sendiri. Kebersihan amat merata tidak terkata terutama tandas awam. Di tandas pejabat, sedang aku membasuh tangan di sinki, ekor mataku menjejaki seorang kakitangan sedang mengelap air dengan tisu di sekeliling bibir sinki selepas membasuh tangan, mereka terlatih dengan suasana bersih dan kering di dalam tandas. Di bandar, aku terkilas kepada seorang pemuda yang berlari-lari ke arah tong sampah untuk membuang sesuatu kerana bas sudah menghampiri. Ya...mereka tetap mengamalkan disiplin walau apa jua keadaannya.

Berada seminggu di sini menatijahkan impak yang besar kepadaku. Sejujurnya, tekanan datang dari pelbagai arah. Berhadapan dengan mereka tidak semudah yang disangka, mereka amat kritis dan inovatif. Setiap apa yang kucadang untuk penambahbaikan mesti beserta justifikasi logik atau pasti aku akan berhadapan masalah. Ya, kehidupan mereka hanya bersandar logik akal tanpa mahu menerima norma-norma agama. Jadi, aku ubah strategi...aku merangka-rangka logika untuk setiap cadangan. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan tidak sepicingpun mereka melatah malah menyambut baik segala saranan yang aku berikan. Natijahnya aku semakin matang mengendali situasi yang pelbagai..Alhamdulillah, Allah bersamaku.

Ini malam terakhir aku bermusafir tetapi bukan akhiran kepada tugasan. Aku lebih memerlukan situasi-situasi yang mencabar kematangan diri. Yang nyata, permusafiran bisa memakbulkan doa. Aku perlu banyak berdoa atas kapasiti 'aku insan yang lemah'.

Ini bukan bumi Korea tetapi bumi Allah untuk didiami makhluk-makhlukNYA.

Sekian...Incheon, Korea Selatan 29 Aug 2013, Jam 2345.


Monday, 19 August 2013

Masih Wujudkah Karektor Yusuf?

Kerap kita dikhianati, disakiti, disisih walau sudah puas kebaikan diamal. Begitulah ceritanya apabila kita berurusan dengan makhluk Allah yang bernama manusia. Sejarah awal manusia dimulai dengan persengketaan Habil dan Kabil. Habil dibunuh lantaran ketidakpuasan hati yang membara di hati Kabil, abangnya.

Begitu juga kisah Yusuf, seorang Nabi yang mempunyai adik-beradik yang berasa tidak senang hati terhadapnya lantaran ayahnya Nabi Yaakub dianggap terlalu menyayangi Yusuf.

Ibrahnya, persengketaan boleh berlaku dengan sesiapa sahaja waima dengan darah daging sendiri. Adik-beradik bermula dari kandungan ibu yang sama tetapi mempunyai watak yang berbeza antara sesama mereka. Mesejnya di sini, rasa hati tidak boleh diwarisi...ia perlu dibentuk sedari kecil. Tentunya usaha keras diperlukan untuk natijah hati yang baik. 

Ikutilah kisah Nabi Yusuf kerana banyak yang boleh dipelajari...segalanya boleh ditatapi di dalam lembaran al Quran Mushaf Resam Uthmani. Surah 12, juzuk 12 dan 13. Ayat ini diturunkan di Mekah sebanyak 111 ayat...kisah yang benar-benar menyentuh hati jika dihayati.

Cerita bermula...

Yusuf menceritakan mimpi kepada ayahnya Nabi Yaakub. Dilihat sebelas bintang, matahari dan bulan semuanya tunduk hormat kepadanya. Nabi Yaakub yang diberi kelebihan oleh Allah boleh mentafsir mimpi telah berpesan kepada anaknya agar tidak menceritakan mimpi itu kepada adik-beradiknya yang lain. Dikhuatiri akan timbul rasa iri di hati mereka.

Adik- beradik Yusuf memang berasa kurang senang kepadanya dan Bunyamin kerana mereka berdua lebih dikasihi dari yang lain. Mereka mula merancang sesuatu untuk memisahkan Yusuf dari keluarga. Mereka meminta izin dari bapanya agar membenarkan Yusuf dibawa keluar jauh dari rumah untuk bermain-main  dan mereka berjanji akan menjaga Yusuf sebaik mungkin.

Nabi Yaakub sebenarnya memang tidak mempercayai kata-kata anaknya. Tetapi atas desakan yang keterlaluan, dia melepaskan Yusuf bersama adik-beradiknya yang lain untuk keluar bermain.

Sampai sahaja ke tempat yang dimaksudkan, mereka menolak Yusuf jatuh ke dalam perigi buta lalu mereka pulang dan menyampaikan berita bahawa Yusuf telah mati dimakan serigala. Ditunjukkan bukti baju Yusuf yang dilumuri darah binatang.

Amat dukacita Nabi Yaakub bila mendengar perkhabaran itu dan beliau hanya berdoa dan bersabar dengan apa yang berlaku. 

Yusuf pula ditemui oleh segerombolan khafilah perniagaan lantas beliau dijual dengan harga yang murah di pasar.

Raja Mesir yang membelinya telah menjadikannya sebagai anak angkat sehinggalah dewasa. Isterinya Zulaikha dalam diam telah menaruh hati kepada Yusuf lantaran kekacakannya. Apabila Yusuf menolak godaan Zulaikha, dia telah memfitnah Yusuf dengan mengatakan sebaliknya.
Yusuf dipenjara (penjara lebih disukai oleh Yusuf dari godaan dunia lantaran takutkan Allah). 

Berlaku suatu hari Raja telah bermimpi dan tidak seorangpun yang berjaya menafsir mimpi baginda. Seseorang yang mengenali Yusuf sewaktu dipenjara (dia telah dibebaskan) pergi mendapatkan Yusuf bagi menafsir mimpi Raja.

Tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu kurus, tujuh tangkai tanaman hijau dan tujuh tangkai tanaman kering ditafsir oleh Yusuf bahawa tujuh tahun mendatang adalah musim yang subur. Hendaklah menanam tumbuhan dan disimpan sebahagiannya untuk persediaan musim kemarau selama tujuh tahun berikutnya.

Raja berpuashati dengan tafsiran mimpi itu lantas diarah untuk membebaskan Yusuf. Isteri Raja, Zulaikha pula membuat pengakuan bahawa dia yang sebenarnya menggoda Yusuf dan meminta maaf di atas apa yang berlaku.

Yusuf dilantik sebagai Menteri yang mengurus perbendaharaan negeri Mesir (Menteri Kewangan).

Apabila datang musim kemarau (seperti yang ditafsir oleh Yusuf), adik-beradiknya datang meminta bekalan makanan. Mereka tidak mengenali Yusuf tetapi Yusuf tahu akan mereka.

Yusuf menjalankan muslihatnya. Diarah pengawal meletakkan salah satu barangan miliknya ke dalam bekas abang-abangnya yang tergantung di atas unta milik mereka. Keesokannya Yusuf membuat pengumuman bahawa barangan miliknya telah hilang. Apabila diperiksa, barangan itu dijumpai di dalam karung mereka. 

Abang-abangnya terkejut dengan penemuan itu. Untuk melepasi hukuman itu, Yusuf mensyaratkan kepada mereka untuk membawa adik mereka Bunyamin di lain masa dan sebagai balasan, tambahan bekalan makanan akan diberi. Apabila mereka kembali ke rumah di Palestin, syarat itu disampaikan oleh anak-anaknya. Dengan berat hati Nabi Yaakub melepaskan Bunyamin dan baginda hanya berserah kepada Allah kerana sudah hilang kepercayaan kepada anak-anaknya itu.

Apabila semua adik-beradiknya hadir di bumi Mesir, Yusuf memperkenalkan dirinya. Mereka semua insaf dan memohon maaf kepada Yusuf. Yusuf menjemput bapanya Nabi Yaakub untuk datang ke negeri Mesir. Semua keluarga mereka telah bersatu kembali dan Nabi Yaakub bersyukur tidak terkira di atas rahmat Allah menyatukan keluarganya semula.

Sebelas bintang, matahari dan bulan tunduk hormat kepada Nabi Yusuf...itulah tafsir mimpi seorang Nabi.

Tamat.

Ujian yang menimpa Nabi Yusuf:-

1. Dipisahkan dari keluarga.
2. Digoda oleh wanita kaya (Zulaikha).
3. Dipenjara walau tidak bersalah.

Sifat Nabi Yusuf yang boleh diambil iktibar:-

1. Bersabar dalam menempuh ujian.
2. Mengelak melakukan zina walau berpeluang sehingga baginda lebih rela dipenjara.
3. Memaafkan walau disakiti darah dagingnya sendiri juga difitnah oleh isteri Raja

Ibrah kisah Nabi Yusuf:-

1. Persengketaan boleh berlaku dengan sesiapa sahaja walau dengan keluarga sendiri. Oleh itu, kawallah diri agar perkara kecil tidak merebak menjadi wabak yang boleh membinasakan.
2. Jika dikhianati, bersabarlah walau memakan masa yang panjang kerana Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Sabar yang jitu menatijahkan hasil yang baik dikemudiannya.
3. Jangan berhenti berusaha dan berdoa mencari jalan keluar dari kemelut sengketa menuju perdamaian walau diri dianiya.

Mungkinkah karektor 'Yusuf' masih wujud di akhir zaman ini...Wallahua'lam

Tuesday, 13 August 2013

Dia Kahwin Dua?



Kahwin...ia merupakan tuntutan Islam yang tidak boleh dipandang remeh apalagi dipertikaikan. Gunanya untuk kita salurkan nafsu kurniaan Allah ke jalan yang betul...melalui perkahwinan yang sah. Juga untuk mendapat zuriat yang diiktiraf hak-haknya di sisi Islam seperti boleh mewarisi harta pusaka dan mempunyai nasab yang jelas.

Apabila kita mendapat kad undangan perkahwinan dari saudara-mara mahupun handai taulan, tidak banyak persoalan dan pertanyaan yang timbul di benak fikiran. Paling tidak, kita akan fokus kepada tarikh jemputan dan lokasi. Mungkin juga kita ingin tahu pasangannya berasal dari mana dan apa pekerjaannya.

Tetapi apa keadaannya jika senario ini yang berlaku...kita mendapat khabar bahawa si polan itu kahwin dua, tiga mahupun empat!

"hhmmm..part kahwin ikut sunnah tapi part lain punah".

"aku memang tak percaya dengan ustaz-ustaz ni, kenapa mesti nak kahwin dua?".

"kalau betul nak bantu wanita-wanita agar tidak teraniaya, kahwin je lah dengan ibu-ibu tunggal dan mak janda, kenapa mesti nak kahwin dengan anak dara muda belia?".

Walau tanpa mendapat kad undangan, kita begitu teruja mempersoalkan status kahwin lebih dari satu. Bagi kita, itu sesuatu yang kurang baik yang dilakukan oleh seseorang. Pendek kata, sesiapa yang berkahwin dua atau lebih bakal menerima cemuhan dan pandangan serong masyarakat MELAYU!

Nyata...emosi keMelayuan kita sudah ke tahap 'Ultra Melayu'. Jika konsep 'Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah', tidak menjadi masalah untuk digunapakai kerana pegangan 'adil' itu memang dituntut di dalam Islam. 
Tetapi konsep 'Melayu kahwin satu Melayu dihormat, Melayu kahwin 2, 3 dan 4 Melayu dilaknat' adalah amat keterlaluan untuk diserapmasuk dalam pemikiran kita.

Nyata sekali lagi...emosi kita melangkaui pegangan syara' yang terkandung di dalam NAS yang datangnya dari langit...bukan buatan manusia.

Ya...mungkin cemuhan yang datang itu ditujukan kepada manusia-manusia yang tidak mampu sebenarnya melaksanakan sistem kahwin lebih dari satu...itu mungkin benar untuk manusia kelas biasa yang hanya berseronok-seronok mengikut telunjuk nafsu.

Tetapi mengapa kita tidak berlembut hati kepada orang-orang agama yang cuba sebaik mungkin mengimarahkan sunnah demi menggapai pahala. Mereka yang berilmu pasti mahir dalam hukum halal dan haram juga keadilan di dalam melayari alam rumah yang berbilang tangganya.

Mereka takut untuk tidak berlaku adil kerana segalanya bakal disoal di akhirat. Mereka gerun untuk berkahwin melebihi satu jika kewangan tidak mengizinkan demi nafkah yang mencukupi. Mereka tidak terniat untuk menikah lagi jika tahajud dan hajat di kedinginan awal pagi tidak memberi alamat yang baik untuk diteruskan hajat itu. SEGALANYA BERPAKSIKAN REDHA DAN KEIZINAN ALLAH.

Yang terlebih nyata...mereka kahwin atas dasar syariat membenarkannya...tidak kira siapa mereka. Kelas bawahan, jahil agama mahupun ustaz dan Tuan Guru.

Aahhh...yang kita cemuh itu sebenarnya tiada perempuan simpanan, sebaliknya mereka memiliki isteri-isteri yang sah.

Yang kita pandang serong itu sebenarnya meraih pahala berganda kerana telah menghidupkan sunnah. Sekiranya kaum Ultra Melayu berpakat untuk memboikot kahwin melebihi satu, akan terpahat di dalam sejarah bahawa Islam Melayu Malaysia telah mematikan satu sunnah Nabi SAW.

Mereka yang kita jadikan bahan cerita sesama berkumpul itu sebenarnya mendapat bahagian pahala kebaikan yang diambil dari perkumpulan itu. Tak terasa rugi ke? Sudahlah kebaikan pahala tidak sebanyak mana hasilnya, hendak diberi pula kepada orang lain.

Biarlah mereka yang berkahwin lebih itu bahagia bersama dunia mereka. Mereka tidak bermaksiat tetapi cuba menambah pahala. Jika kedapatan masalah, biar sesama mereka selesaikannya tanpa kita menambah asam garam kunyit.

Kemungkinan amalan mereka tidak sehebat mana malah jauh kurangnya dari kita, tetapi sikap adil mereka sesama isteri boleh menjadi penyelamat untuk mendapat syafaat Nabi SAW.

Usah dipertikai calon isteri mereka...janda beranak dua, janda berhias mahupun anak dara, itu semua atas ketentuanNYA. Jodoh, ajal, maut adalah urusan Tuhan. Jangan kita pula yang hendak mengambil alih tugas Tuhan dengan mempertikaikan calon-calon isteri mereka.

Aaahhhhh...rupanya tanpa sedar, mulut kita pula yang galak bermaksiat.

Aaahhhhh...rupanya tanpa sedar, kehidupan keluarga kita (yang beristeri cuma seorang sahaja) yang kucar-kacir tanpa asas agama. Mereka yang beristeri lebih itu pula bersungguh-sungguh menerapkan Islam dalam rutin harian.

Aaahhhh...rupanya tanpa sedar, kita menjadi penentang kepada syari'atullah!!!

Jika yang bermaksiatpun harus kita jaga airmukanya dengan tidak menyebarluas keaibannya (dengan mendoakan agar mereka berubah), inikan pula mereka yang melakukan perkara halal dan sah di sisi syara'...atas dasar tidak setuju, kita terus memburuk-burukkan situasi seolahnya mereka bergelumang maksiat..Masyaallah!

Akhir kalam, kepada suami-suami yang tidak terlintas untuk menambah cawangan, janganlah merendah-rendahkan status isteri dengan mengatakan ,"Yang seorang inipun tak terjaga". Bukankah lebih manis dengan ungkapan, "Yang seorang ini sudah amat menghiburkan hati...tak perlu 2, 3 mahupun 4".

Renung-renungkanlah ye...

Saturday, 10 August 2013

Sempurnakah Hari Raya Itu?

Ramadhan sudahpun melabuhkan tirainya, peranan yang dimainkan bulan mulia itu bukan sedikit impaknya kepada umat Muhammad...tidak pernah ditawarkan kepada selain umat Muhammad. Menunjukkan betapa Allah telah melebih dan memuliakan kita semua!

Bertamu 1 Syawal diarah kita bergembira tanpa melanggar batas-batas syarak. Berhibur mendengar lagu-lagu raya, menonton program-program tv di samping menziarahi sanak saudara dan handai taulan...antara aktiviti yang diharuskan sepanjang kita beraya. Itu yang dinamakan hari kemenangan. Kita berjaya dalam pertempuran bersama hawa nafsu sendiri tanpa hadir syaitan di sekitar.

Tetapi syaitan ada muslihatnya sendiri di pagi syawal. Dibisik untuk berbangga-bangga dengan pakaian baru, kereta baru, hiasan rumah serba baru untuk dipamer di laman-laman sosial.

Leka berhibur sehingga mengkesampingkan solat fardhu di awal waktu. Bersalam-salaman tanpa membataskan hak di sekitar mahram. Makan berlebih-lebihan sehingga lelah untuk bernafas.

Jika itulah tafsiran kejayaan menempuh Ramadhan, nyata syaitan yang sebenarnya telah berjaya mendidik kita dengan segala perilaku negatif itu di sepanjang 11 bulan misi dan visinya terhadap kita. Ditinggalkan buat kita bekalan kejahilan dan kita yang menjadi bahan objek untuk melaksanakan legasi peninggalannya.

Tidak cukup dengan itu, dihambatnya pula kita dengan berlumba-lumba berpuasa 6 hari Syawal. Amalan sunat itu amat baik dikerjakan atas kekuatan hadis sahih yang menggalakkannya. Tetapi perlaksanaannya agak tersasar bila mana sibuklah kita bertanya sana sini pada yang lain, sudahkah berpuasa 6? Konon untuk mengingatkan yang lain tentang kelebihan amalan sunat itu. Tanpa sedar, kita sebenarnya galak mempromosi diri dan berbangga-bangga dengan sekelumit amalan itu. Lihatlah peranan syaitan yang amat licik itu!

Wahai diri, berbaliklah kepada sifat tawadhuk dan penuh syukur dalam menyambut Hari Raya agar 'maqasid'nya tercapai. Disamping berhibur merayakan kejayaan, kita juga boleh meraih pahala dalam mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Kita lihat pula bagaimana dengan segala amalan di sepanjang Ramadhan? Membaca al Quran contohnya, jika kita galak membacanya setiap sehabis solat fardhu di bulan puasa...mengapa tidak kita panjangkan amalan baik itu di bulan-bulan seterusnya? Ya...mungkin kita membaca al Quran demi meraih pahala berlipat ganda atas setiap huruf yang dibaca...baguslah tu. Tetapi al Quran merupakan mukjizat yang masih wujud untuk umat Muhammad...rugi tidak kita amalkan di dalam kehidupan seharian.

Di sinilah Hadis mengambil tempat yang bermaksud, "Jika kamu sembah Ramadhan, maka Ramadhan akan berlalu pergi. Tetapi jika kamu sembah Allah, maka Allah itu tetap ada dan tidak mati...".

Jadi segala amalan itu sebenarnya bukanlah hanya untuk diamalkan di bulan Ramadhan sahaja tetapi guna untuk dihayati di sepanjang kehidupan kita.

Semoga kita tidak menyimpang dalam mempamer erti 'kejayaan' menyambut Syawal.  

Hanya berpesan-pesan pada diri sendiri...



Thursday, 8 August 2013

Malam Seribu Bulan

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi di atas segala kurniaannya untuk kita melepasi ujian di sepanjang bulan Ramadhan. Puasa memerlukan ketahanan diri yang ampuh untuk melayakkan diri dianugerahi pahala berlipat ganda.

Bukan maksud penulis mengatakan ketahanan diri itu atas berlapar dan dahaga, kapasitinya lebih dari itu. 

Sejauh mana kita mampu mengawal lidah, mulut, cebikan bibir, mata, telinga, tangan, kaki dan perut.

Sejauh mana pula kita betah dalam pengisian selama sebulan Ramadhan. Adakah Quran menjadi teman rapat setiap hari? Amalan sunat boleh dikerjakan dengan rela hati? 

Sedekah mampu dikeluarkan tanpa mengira had? Tergerakkah kita mengunjungi dan merayakan anak-anak yatim dan mereka yang susah untuk kita sama-sama merasai derita mereka?

Bukan kuantiti bilangan hari puasa, tetapi di sinilah terletak kualiti yang diambil kira untuk kita meraih pahala berganda dari Allah.

Di akhir Ramadhan, akan menanti malam yang menyamai pahala seribu bulan bagi mereka yang layak. Sudah tentu mereka yang terpilih untuk meraihnya berada di kalangan mereka yang melepasi 20 malam pertama...hidup seharian mereka sarat dengan amalan-amalan sunat, apatah lagi yang wajib...dilaksanakan sebaik mungkin.



Lailatul Qadar...malam penuh berkat. Malaikat jua Allah diberitakan turun ke langit dunia bagi menganugerahkan sesuatu yang teramat istimewa buat manusia. Mereka yang istiqamah beramal berpeluang menempuhnya.

Di zaman kanak-kanak, kita sering mendengar 'simptom-simptom' malam seribu bulan itu. Diberitakan pokok-pokok akan sujud menyembah bumi, air membeku jua tiada haiwan yang berdecit...suasana tenang dan aman. Penulis tidak berani menafikan itu semua kerana lebih dari itu Allah boleh tunjuki. 

Tetapi penulis mahu mengalih persepsi Lailatul Qadar itu ke arah yang lebih selesa untuk kita fahami tanpa mengambil kira kepelikan-kepelikan yang berlaku di sekitar.
Memang biasalah bunyinya orang Melayu ni, lebih tertarik dengan perkara-perkara ajaib dan mistik melebihi yang normal.

Melalui rujukan penulis atas beberapa buah buku karangan ulama', jika seseorang itu terpilih untuk habuan seribu bulan...dia bakal merasakan sesuatu. Di waktu qiamullail dan sedang dia khusyuk beribadah, tubuh badannya seakan meremang menggeletar seolah diselimuti sesuatu dari atas. Itu petanda Malaikat sedang mengunjunginya untuk anugerah 'amalan terbaik'. Seseorang akan berasa sebak dan hiba dalam bermunajat kepada Allah...itu 'simptom' Lailatul Qadar ke atas diri seseorang. Hanya yang terbabit sahaja dapat merasainya.

Kesan lain yang boleh dilihat oleh masyarakat sekeliling, kita dapati diri semakin mudah beribadat dan terasa amat dekat denganNYA. Perjalanan hidupnya dimudahkan walau ujian getir mendatang. Kebergantungan diri kepada Allah amat jitu dan tidak gentar dengan mainan politik manusia...inilah manusia yang dianugerahi Lailatul Qadar!!!

Tidak perlu kepada magis dan perkara-perkara pelik untuk dihubungkait dengan Lailatul Qadar kerana kehebatan malam seribu bulan itu ada pada diri manusia...kita sahaja yang jahil menerokanya.

Bagaimana pula mereka yang tidak berpeluang meraih tawaran hebat itu? Jangan risau kerana Allah tetap membalas pahala puasa setimpal dengan tahap kualiti masing-masing. Seperti majikan dan pekerja, selesai pekerjaannya...akan diberi upah..begitu jualah janji Allah kepada makhlukNYA.

Semoga segala amalan baik di sepanjang Ramadhan akan mewarnai kehidupan kita hingga ke akhir hayat...Insyaallah

Sunday, 4 August 2013

Aku dan Asrama...


Asrama...ya itulah kehidupan awal yang selayaknya membentuk siapa diri kita. Kita belajar berdikari, selesaikan masalah tanpa kedua ibubapa di sisi. Mahu tidak mahu, segalanya harus diselesaikan sendiri. Membasuh kain baju, menggosok, mengemas katil dan bilik. 

Asrama...peranan keluarga diganti bersama kawan-kawan. Pendapat, nasihat, pandangan dan pertimbangan segalanya bersama teman. Jika betul atur langkah...Alhamdulillah kita keluar menjadi insan yang dihormati. Tetapi jika tersilap perkiraan...kaki bakal tersadung, yang baikpun boleh terpengaruh dengan segala yang negatif bawaan kawan-kawan di sekeliling.

Aku merupakan salah seorang yang menjadi penghuni asrama selama beberapa tahun. Banyak sangat memori yang berstatus harta karun di mindaku. Tetapi dalam sekian banyak kisah, aku agak teruja untuk berkongsi satu cerita...cerita yang sering membentuk senyuman di bibirku. 

Ikutilah kisah ini...

Hari itu hari Sabtu. Hari yang sering ditunggu-tunggu oleh kami yang bernama pelajar kerana terdapat sedikit ruang kebebasan yang diberi. Kami boleh melepak, bermain di gelanggang juga bercerita hingga larut malam. Jika malam tiba, ada yang menonton tv dan mendengar lagu dari 'walkman'.

Aku pula? Ya...aku telah merekacipta satu idea untuk menceriakan malam minggu kami. Sebagai ketua asrama, pengaruh itu kugunakan untuk menjalankan aktiviti yang dirancang.

Kukumpul rakan-rakan rapat dan mula berbincang agar segalanya berjalan lancar. Persiapan telahpun lengkap. Mangkuk plastik berisi air, bekas alumunium, kain kuning, potongan kertas putih berbentuk manusia, lilin, mancis dan jubah putih. Malam itu aku bakal menjadi dukun!

Kami telah mempunyai senarai pendek 'freshie-freshie' yang bakal menjadi mangsa. Disiangnya, mereka telah mendapat mesej dari rakan-rakan subahatku mengatakan bahawa ada taklimat dari ketua asrama pada pukul 12 malam...kehadiran adalah wajib.

Tentunya mereka yang terbabit tertanya-tanya apakah gerangan aku memanggil dan taklimat jenis apa pula di tengah malam itu? Sebagai pelajar tahun pertama yang menduduki asrama, mereka tiada pilihan selain akur dengan arahan 'senior'.

Tepat waktu mereka hadir di hadapan bilikku. Lampu hanya berbentuk samar-samar. Aku sudah bersedia dengan permainan yang dirancang. Memakai jubah dan kain lilitan di kepala.

Mereka yang terpilih hanya seramai 3 orang. Apa kriteria aku memilih mereka? Yang agak berlagak, air muka 'arrogant' dan kurang menegur 'senior'.

"Rafi, Saleh, Mail...anda bertiga terpilih untuk menjadi saksi kepada satu pengalaman yang jarang-jarang saya dedahkan kepada orang lain", pembuka ayatku meluncur laju.

"Kamu bertiga pernah nampak makhluk halus?"

"Eerrr tak pernah bang", jawab mereka serentak.

"Bagaimana kalau saya beri peluang malam ni untuk kamu menyaksikannya?"

"Nak bang, nak!"

Puuiihhhhhh...umpanku sudah direntap ikan liar. Mereka teramat yakin dengan apa yang bakal kuhidang. Kugunakan identiti aku yang agak 'Islamik' untuk meyakinkan bahawa mereka bakal menyaksikan sesuatu yang tidak terlintas di fikiran. 

"Baik, tetapi ada syaratnya. Mata kamu bertiga harus ditutup dan bila sampai masanya, baru ikatan dibuka dan kamu akan saksikan sesuatu yang asing".

"Kamu harus ikut arahan pembantu saya. Jika engkar, saya tak jamin peluang kamu untuk melihat makhluk halus itu".

"Baik bang, saya akan turut semua arahan", begitu teruja nampaknya mereka bertiga. Apa taknya, masuk sahaja bilik mereka sudah ternampak segala alatan yang sinonim dengan upacara perbomohan.

Pembantu-pembantuku yang bersubahat mula menutup mata mereka dengan kain kuning petanda permainan bakal bermula.

Lilin dinyalakan dan jampi serapah bermain-main di bibirku. Kuubah tonasi suara bagi menunjukkan yang aku dalam keadaan sedang 'menurun'.


"Pancaindera yang terhijab menentang alam. Namamu kuseru seakan bisu meledak nafsu. Raja bertandang menampak seri. Hamba yang tidak bernama menunjuk hajat. Seruan wajib menjemput takdir...hadirlah..hadirlah".


Dalam keadaan aku berpura-pura menurun itulah pembantuku memula peranan. Dibakarnya punggung bekas aluminum sehingga menghasilkan jelaga hitam. Jelaga itu yang disapu ke atas muka-muka 'freshie' itu! Sapuan itu meliputi keseluruhan muka sehingga layak mereka digelar orang 'Habshi'.

Tidak cukup dengan itu, mereka dipakaikan dengan rambut 'afro' ala David Arumugam (Alleycats). Hahahaaaaaa.....aku serasa tidak tertahan dengan paras rupa mereka.

Tak puashati lagi, pembantu mula menyapu tepung yang bercampur air seperti ramuan membuat cekodok. Pipi kiri, pipi kanan, dahi dan dagu bercalit pangkat sarjan...dah jadi macam orang Afrika menari tarian 'Wakarewarewa'.

Aku dah hilang kawalan sehingga terhambur gelak besar tetapi yang seronoknya mereka masih lagi menganggap itu gelak 'menurun'. Salah seorang dari mereka sampai menggigil menggenggam tangan ketakutan menanti ikatan dibuka untuk melihat makhluk halus.

Kcak, kcak, kcak...'snap' gambar berbunyi. Gambar yang bakal menghapuskan iras 'arrogant' mereka.

Aku hampir kepada penyudah kerana melihat pembantu-pembantuku sudah macam nak gila menahan gelak. Kuarah pembantu membawa mereka keluar dari bilik berdiri di koridor. Pembantu yang seorang lagi bergegas memanggil pelajar lain yang sedang menonton tv untuk menonton rancangan sensasi hidangan kami.

"SATU, DUA, TIGA...BUKAAAAAAK!!!!!", arahku.

Hahahahahahaaaaaa kikikiiihhhhhhhh huhuhuuuuuu hohohoooooo.....pelajar-pelajar lain hilang harga diri dalam menghamburkan gelak yang bukan main...sehingga ada yang terduduk menahan sakit perut melihatkan 3 orang 'Kunta Kinte' sesat di asrama. 

Balutan mata dibuka dan masing-masing melihat wajah satu sama lain. Mereka sendiri mula tersenyum malu. Cermin diberi, apalagi....mereka bertigapun berdekah-dekah gelak melihat 'makhluk halus' yang dijelmakan oleh aku.

Keadaan menjadi riuh rendah dan tidak terkawal sehingga penghuni asrama putri yang bangunannya bersebelahan kami, terintai-terintai dari celahan cermin untuk melihat apa yang berlaku.

Habis kisah. Mereka bertiga menjadi rapat denganku dan mula menegur 'senior-senior' yang lain.

Tetapi kisah lain pula yang muncul. Peristiwa malam minggu itu telah tersebar ke asrama putri kerana mereka mendesak pelajar lelaki untuk menceritakan apa yang berlaku. 

Al kisahnya mulai saat itu, penghuni asrama memanggil aku 'KUN'...singkatan nama DUKUN. Wajah 'African Look' itu tetap segar sehingga sekarang.

TAMAT

Saturday, 3 August 2013

Perpisahan Mengundang Rahmat

"Boleh ke saya garap cerita ni untuk tatapan umum?" soalku inginkan kepastian.

"Silakanlah kalau cerita ni boleh menjadi iktibar dan pedoman pembaca tapi rahsiakan identiti saya ye". ikhlas dia membenarkan.

Aku jarang berkesempatan berbual dengannya walau bekerja di dalam satu bangunan. Tetapi ruang lingkup kerjanya memang memerlukan kami untuk berhubung samada melalui telefon mahupun di dalam perbincangan. Untuk perkara-perkara berkaitan personal, tidak pernah aku termimpi yang dia sudi berkongsi cerita...aku cuma menelah.

Hari itu aku dikejutkan dengan satu berita. Berita dia telah menyerahkan surat perletakan jawatan. Aaahhhhh...perkhidmatannya di syarikat ini agak lama, melebihi 15 tahun kukira. Berita itu benar-benar mengejutkanku juga kepada sesiapa yang mendengarnya. Persoalan pertama bermain di benak...dapat tawaran baru yang lebih baik?

Persoalan itu berlegar-legar di benak selama beberapa hari tanpa jawapan. Boleh sahaja aku menaliponnya untuk sedikit pencerahan tetapi aku matikan hajat itu begitu sahaja kerana tidak mahu mengganggunya.

Berlaku pada hari itu dia menjelmakan dirinya ke jabatan kami...haaaa rezeki datang bergolek untuk aku terjah soalan-soalan yang hampir meledak ini. Seronok kami berborak sehingga melangkaui 1 jam bersama.

Dia baik..memang aku akui. Walau pernah berlaku sekelumit selisih faham atas kapasiti kerja tetapi keadaan itu telah kuramas menjadi hampas tebu untuk kubuang jauh tanpa memberi peluang untuk berlaku lagi...kami sama-sama faham.


Usianya dilingkungan 30an, berperawakan menarik dan sering menjaga penampilan diri juga murah dengan senyuman. Satu sikapnya yang aku teruja...dia berani berhadapan dengan masalah, tidak sesekali melarikan diri. Walau harus dia berhadapan dengan peringkat pengurusan, tetap dia tempuh. Ya...aku benarkan dia tahu tentang keterujaan itu kerana aku rasa dia perlu tahu bahawa itu satu kelebihan yang harus dikekalkannya.

Dalam seronok berborak, tersentuh sedikit kisah peribadi. Aneh...lancar dia bercerita kisah-kisah peribadi walau melanggar tebing sejarah hitam. Ya...dia ada sejarah pahit...maungnya usah cerita. Hampir gila menempuhnya.

Hubungan mereka suami isteri mesra sehingga melangkah musafir menuju Madinah dan Mekah bagi menunaikan umrah. Tetapi malang menimpa, perceraian rumahtangga bertamu tanpa dapat dielak. Puas dia meneroka mencari penyelesaian, namun segalanya menuju jalan mati. Berpunca dari pihak ketiga yang juga sahabat yang dikenalinya. Tak sangka pula begini akhirnya kisah yang dimulai dengan ijab dan kabul itu.

Masalahnya cuma satu, belum dikurniakan cahaya mata. Mereka telah berusaha berbagai cara tetapi masih belum menemui lorong sinar.

"Itu kerja Tuhan, kita manusia hanya merancang dan berusaha" kataku menyampuk mengekspresikan rasa ketidakpuasan hati dengan punca itu.

Menambah parah bila ada insan lain yang datang menghimpit...mendamba kasih sayang. Di ketika itu tiada lagi definisi bahagia apabila melangkah masuk rumah...hanya situasi ketat dan tegang sentiasa. Pernah suatu ketika dia nekad untuk lari dari neraka dunia itu...menuju tenang ke luar negara.

Keadaan tambah keruh...mereka sudah tinggal berasingan. Betah mahupun tidak, hidupnya harus diuruskan berseorangan. Kalut jadinya waktu itu...kewangan mula susut, memberi kesan hebat kepada fizikal dan mental.

Dia harus kuat berdiri demi kelangsungan hidup. Jika lemah, dia bakal menjadi mangsa zalim keadaan. Kepada siapa lagi hendak dia mengadu, hanya berserah kepada pertolonganNYA. Hanya itu sahaja yang mampu memberinya kekuatan menempuh ujian hebat ini.

Rasmi sudah...talak telah dilafaz dan statusnya secara automatik berubah. Aaahhh..ujian lain pula yang bertandang...pandangan serong masyarakat. Dia pasrah lagi...

Alhamdulillah, ombak dan badai itu berjaya diharungi...segalanya beransur-ansur tenang dan senang. Bekas suaminya sudahpun menamatkan zaman duda tetapi dia masih senang sendirian..."buat masa ini", katanya.

Kata- kata akhir yang yakin diucap sebelum kami beredar, "Hari ke hari saya rasa bertambah kuat untuk menempuh hidup ini. Terimakasih di atas ujian ini dan pertolongan dariNYA".

Sejujurnya...disebabkan kata-kata penutup itu yang menggamit aku untuk meminta izin menghidangkan kisahnya di ruangan blog ini. Ya...untuk sama-sama kita hayati kekuatan dalaman anugerahNYA.

Dia bertambah kuat jadinya atas ujian hebat itu. Nyata...perancangan Allah amat hebat dalam membentuk sikap dan sifat seseorang. Aku tidak melihat apa yang berlaku ke atasnya kerana itu semua hanya menjadi penyebab atas qada dan qadarNYA. Tetapi aku lebih melihat bagaimana dia menempuh takdir itu sehingga menatijahkan kesan hebat ke atas peribadinya.

Ya...nyata dia bertambah kuat dan matang dalam merencanakan masa depannya sendiri. Dia mulakan dengan berhijrah ke persekitaran baru, telah dibuktikannya dengan penyerahan surat perletakan jawatan!

Selamat maju jaya sahabat...Allah tetap bersamamu selagi kau sentiasa memperbaharui syahadahmu. 

Syukran Jazilan / Jazakum Allahu Khair



Thursday, 1 August 2013

Tazkirah Ramadhan


Berdoalah sekali...jika belum makbul berdoa lagi..lagi dan lagi sehingga berkali-kali tanpa jemu.

Usah risau makbul mahupun tidak. Setiap doa yang dilafaz dianugerahi pahala.

Yang merisaukan apabila kita tidak mampu berdoa...terasa lengkap segala, petanda sombong merajai diri.

Ramadhan fasa akhir..'pelepasan dari api neraka'. Berdoalah kerana cucuhan api mancis sekalipun tak mampu kita bertahan!


                               _________________________________________


Jika bersama Ramadhan masih tidak betah beribadah, bermalas-malasan dan tak hirau gandaan pahala...usah meletak salah kepada syaitan kerana mereka semua sudah dibelenggu.

Musuh itu ada dalam dirimu...NAFSU!!!


                                     ____________________________________________


Seronok bermaksiat...lazatnya sebentar cuma tetapi dosanya kekal selagi tidak bertaubat.

Menempuh sukar beribadat...letihnya bakal hilang tetapi pahalanya kekal selagi kita tetap bersyahadah.

Ramadhan...kekadang menempuh sukar dan letih menjalani ibadah..sian
g dan malam.

Tempuhlah sukar dan letih itu sementara di dunia...berehatlah semahunya nanti di sana.

Di Jannah, tiada istilah rukuk dan sujud. Yang ada cuma kerehatan dari letih dunia..beristirehatlah semahumu. 

                           ______________________________________________