Translate

Saturday, 13 April 2013

Aku Terima Nikahnya...



Perkahwinan adalah sesuatu yang dituntut oleh syariat. Gunanya untuk memelihara diri dari melakukan maksiat demi membentuk generasi yang mulia. Di zaman Rasulullah SAW terdapat sahabat yang enggan berkahwin untuk menumpukan perhatian kepada amalannya sahaja. Perkara ini ditegur oleh Baginda kerana tindakannya itu telah menentang naluri semulajadi manusia yang perlukan teman hidup.

Baginda Rasulullah SAW adalah manusia yang paling takut dengan Allah tetapi tidak sampai menidakkan pasangan hidup. Lantas sekiranya seseorang itu waras pemikiran dan cukup keperluan dan dengan tidak berkahwin akan membuatkannya terjebak dalam zina, maka wajib ke atasnya untuk berkahwin.

Bila terdapat wali, saksi, pasangan lelaki dan perempuan, ijab dan kabul maka komitmen ke atas pasangan sudah termetri. Syariat telah mengikat perkahwinan dengan syarat dan peraturan. Sekiranya peraturan dilanggar, keharmonian rumahtangga bakal mengundang padah. 

Nafkah zahir dan batin, rumah kediaman, didikan ke atas isteri dan sebagainya perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelak sebarang kemelut yang menjerut.

Peperiksaan untuk kertas 'alam rumahtangga' adalah wajib untuk diambil. Buatlah persediaan rapi untuk menjawab segala soalan agar setidak-tidaknya kita lulus di dalam peperiksaan tersebut.

Jika soalannya berbunyi...'Di dalam situasi isteri engkar atau nusyuz, apakah yang perlu dilakukan oleh suami? Huraikan'.

Agaknya apa tindakan kita terhadap isteri seperti soalan di atas? Ada suami yang tidak sabar terus menjatuhkan talak. Terdapat juga yang menggunakan kekerasan untuk membetulkan isteri. Yang lebih tersasar, suami mula beralasan untuk mencari hiburan luar.

Eerrmmm...semua tindakan di atas mencerminkan betapa ceteknya pengetahuan ketua rumahtangga. Maka tidak hairanlah jika usia perkahwinan sekarang rata-rata berjangka hayat pendek.

Isteri nusyuz, tindakan pertama suami ialah menasihatinya dengan baik. Tiada perubahan, dipisah dari tempat tidur. Masih persis, dipukul dengan pukulan yang tidak meninggalkan kesan (ini digambarkan sebagai melibas kain ke lengan isteri dengan kadar yang tidak menyakitkannya. Suami yang tak pernah memukul isteri, tindakan libasan lembut itu amat menakutkannya sebagai tanda amaran).

Pernah dengar suami nusyuz? Ya...memang berlaku suami juga nusyuz bilamana ia mengabaikan tanggungjwabnya terhadap keluarga. Apa tindakan isteri? Berhak meminta tebus talak...jalan keluar ialah perceraian.

Eerrmm bercerai? Mudahnya ungkapan itu tetapi tidak semudah untuk kita menempuhnya. 

Ada satu kisah yang aku terbaca tentang bagaimana si isteri menangani masalah suaminya yang bermain kayu tiga. Malamnya bergaduh, pagi sebelum ke tempat kerja dia tetap salam suaminya. Siang bertengkar, malamnya dia tetap menyediakan hidangan makanan. Habis daya usahanya untuk menyelamatkan keadaan. Isteri nekad merelakan suami untuk berkahwin lain...dia pasrah

Kisah balada rumahtangga itu berakhir dengan suaminya kembali kepada keluarga dan berubah 360'. Apa yang aku kagum bagaimana method yang baik yang telah digunapakai oleh isteri itu. Bermasalah tetapi tetap menyediakan segala keperluan suami. Di sinilah ibu memain peranan dengan menasihati anak perempuannya agar tetap istiqamah dengan status sebagai isteri.

Nampak jelas bahawa Allah redha dengan apa yang dilakukan oleh isteri terhadap suami. Lantas Allah ilhamkan kepada suami untuk berfikir waras dan membetulkan tindakan salahnya itu. Maka hadirlah rahmat Allah ke atas rumahtangga mereka.

Berapa ramai yang boleh bertindak sebegitu? Di kala orang ketiga yang tidak dinafikan suami mencelah, isteri masih mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai surirumah.

Bertindak mengikut emosi bakal merugikan kita juga pasangan. 
Marah suami sekejap cuma tetapi tindakannya membabit masa depan anak-anak dan keluarga.

Marah bakal reda menempuh masa tetapi pukulan suami kepada isteri akan diingati sampai mati.

Marah isteri boleh hilang tetapi bila tak sabar takut kita kehilangan segala-galanya.

Kembalilah kepada al Quran Sunnah Nabi. Bila hidup berlandas kedua Nas tersebut, Insyaallah hidup bisa terurus bilamana Allah menjanjikan RAHMAH, SAKINAH dan MAWADDAH ke atas rumahtangga kita.

Bahagia rumahtangga boleh dibeli? Jika benar, carilah kekayaan dan cuba tawarkan RM 1 juta kepada pasangan dan anak-anak. Bahagia hanya beberapa ketika, wang yang dibelanja menjadi susut. Suami yang berhibur di luar usah diganggu kerana perjanjian RM 1 juta telah ditandatangani. Rumah sunyi sepi...anak dan isteri sibuk berbelanja sakan. Tinggallah bibik yang mengecapi nikmat rumah besar itu. Mana letaknya bahagia keluarga?

Sebaliknya bahagia rumahtangga boleh dicipta dengan menyemai cinta Allah dan Rasul. Bila cinta sudah disemai dan dibajai...segalanya menjadi mudah. 

Tak perlu RM 1 juta kerana RM 100 sudah boleh diadakan kenduri berkumpul bersama keluarga dan adik beradik. 

Tak perlu RM 1 juta kerana RM 10 sudah boleh makan aiskrim bersama keluarga di rumah sambil menyakat sesama sendiri. 

Tak perlu RM 1 juta kerana RM 1000 sebulan tidak diganggu dengan kesakitan, kemalangan juga gangguan mental!!!

Ber'akujanji' lah dengan AKU TERIMA NIKAHNYA...

No comments:

Post a Comment