Translate

Wednesday, 17 April 2013

Rawatan alternatif atau kita yang negatif

Ilmu perubatan alternatif...merupakan rawatan yang bersumber al Quran, Hadis, pengalaman para sahabat Nabi juga petua-petua yang tidak melanggar syara'. Rawatan ini biasanya lebih kepada permasalahan alam dua dunia...alam manusia dan makhluk halus. Pandangan kita yang terhijab sebenarnya merupakan 'nikmat' kepada kehidupan ini. Bayangkan tiada sekatan, kita bakal melihat banyak jin-jin dan yang seangkatan dengannya dan ini akan mengganggu kehidupan seharian kita. Dunia 'kita' dan 'mereka' tidak boleh bersatu. Tetapi 'mereka' dibenarkan melihat dunia 'kita' lantaran yang lemah iman akan mudah dijadikan sebagai perumah oleh 'mereka-mereka' itu.

Ilmu perubatan alternatif yang benar kaedahnya tidak mengkesampingkan perubatan moden. Dato' Haron Din sendiri telah berkali-kali menjalani rawatan jantungnya di hospital pakar...tidak hanya mengharap bacaan-bacaan keramat, dihembus ke air dan minum. Itu juga pesan Dato' bahawa jangan terlalu menjurus ke arah dunia ghaib. Jika kita merawat seseorang dan 'simptom' ghaib itu wujud seperti terkena santau atau buatan orang, kita dilarang memberitahu sipesakit itu sebaliknya kita usahakan dengan kaedah yang dipelajari sehingga pesakit itu sembuh.

Aku sendiri kurang bersetuju bilamana masyarakat terlalu berkiblatkan air penawar dan bacaan-bacaan keramat dari pengamal perubatan alternatif ini. Anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan besar...minum air penerang hati. Anak-anak liat nak solat...dibawa berjumpa ustaz untuk lembutkan hati. Rumah kediaman serasa seram dan tidak selesa...dipanggil ustaz untuk 'pagar rumah'.

Habis tu...di mana peranan suami, isteri dan anak-anak dalam melayari kehidupan yang berlandaskan realiti ini? Tidak keterlaluan jika boleh kukatakan bahawa ibubapa yang terlalu mengharap rawatan air dan bacaan ini hanya melepaskan tanggungjawabnya kepada pihak lain.

Sepatutnya jika kedapatan masalah...suami boleh menjadi motivator dan penasihat, isteri seharusnya menjadi pendamai dan perawat minda, anak-anak pula perlu menjadi pelaksana yang baik. Ini yang diajar oleh Nabi kita!

Realitinya anak-anak jangan diajar dengan segala air mukjizat sebaliknya pandu mereka untuk belajar dengan tekun atas dasar ilmu itu 'fardhu ain' untuk dipelajari. Naikkan imej Islam bahawa kita adalah penganut agama Islam yang professional dan sarat dengan ilmu dunia dan akhirat. Bukan bergantung kepada air untuk berjaya.

Anak-anak liat solat? Lihat di mana puncanya. Adakah perbelanjaan harian yang diberi kepada keluarga itu bersumber yang halal, syubhah atau haram! Jika 'grass root' nya berlaku percampuran haram, minum air penerang hati bergelen-gelen pun tidak mampu untuk membuatkan anak-anak solat tanpa disuruh.

Rumah seram dan muram, adakah kita dan keluarga dirikan solat? Alunan muzik yang lebih dominan atau bacaan ayat-ayat al Quran yang lebih berperanan? Memasuki rumah dimulai dengan ucapan salam atau marah-marah sebab menempuh kalut sesak di jalanraya? Wujudkah internet yang berpaksi kepada filem-filem 'porno' di dalam rumah? Haaa...kalau itulah keadaannya...dari memagar rumah, lebih afdal kita pagar dulu isi dalam rumah itu..penghuninya!!!

Tidak menjadi salah untuk kita meminta pertolongan orang-orang agama yang dekat tarafnya dengan Allah tetapi pastikan akar umbi masalah telah dikenalpasti...cari puncanya. Jika solat dan pelbagai amalan sunat sudah dipasak dan memasuki rumah masih lagi serasa meremang bulu tengkuk, maka disaran berjumpa pakar rawatan alternatif untuk menghalau jin yang tidak diundang.

Jika anak-anak telah diberi segala yang mungkin untuk pembelajaran mereka dan mereka masih lagi ada penyakit berdebar-debar untuk menghadapi peperiksaan sehingga boleh menjejaskan prestasi, jangan bertangguh...bawalah berjumpa Dato' Haron Din atau anak-anak muridnya.

Jika ibubapa sedari awal telah banyak memain peranan dan bersolat jemaah bersama keluarga di rumah juga sumber hasil pendapatan dikawal rapi dari yang shubhah tetapi anak-anak masih degil serta liat untuk bersolat tanpa disuruh, buatlah temujanji dengan ustaz-ustaz terlatih agar dilembutkan hati anak-anak kita.

Islam tidak berdiri dengan ilusi, fantasi mahupun sakti. Jika benarlah air penawar itu mampu mengubah persekitaran, Baginda Rasulullah tidak perlu bersusah payah menempuh peritnya manusia-manusia degil yang enggan memeluk Islam...hembus sahaja ke air dan beri minum...lembutlah hati mereka. 

Tetapi tidak begitu keadaannya, misi ke Taif untuk sebaran Islam tidak disambut meriah oleh penduduk di situ. Malah mereka melontar dengan batu sehingga diriwayatkan sewaktu Baginda berlari untuk menyelamatkan diri, terdengar bunyi kasut Baginda ber 'cepak-cepak' seolah digenangi air...itulah darah Baginda yang mengalir ke kaki hasil lontaran batu penduduk di situ.

Baginda juga tidak perlu berperang untuk menegakkan syi'ar Islam, baca ayat al Quran hembus ke pasir dan lontarkan kepada musuh-musuh yang berganda banyaknya...tertidurlah mereka semuanya, bunuhlah satu persatu...kan mudah. 

Tetapi bukan begitu kehendak Allah, Baginda dan para sahabat diarah berperang dan di situ keimanan masing-masing teruji. Mereka cedera, terluka, putus tangan juga syahid. Berlaku juga seorang sahabat yang tidak dapat dikenali rupanya akibat ratusan anak panah yang tertusuk di seluruh tubuh dan muka. Baginda sendiri patah gigi dalam pertempuran di Bukit Uhud!

Lantas di mana letaknya perjuangan kita sebagai umat Islam...adakah semata-mata mengharap keajaiban air atau ia perlu berdiri dengan segala usaha yang tidak mengenal jemu, letih, jerih payah dan sebagainya.

Pernah berlaku di rumah, aku menghadapi masalah 'plumbing' yang kerap bocor. Selepas ditukar, selang seminggu tempat lain pula yang bocor. Tukar lagi, bocor lagi...tukar lagi, bocor lagi...aikk, pelik pula rasanya. Keadaan itu berlarutan agak lama dan berkali-kali pula tukang paip itu mengarahkan aku untuk ke Darul Syifa bagi membantu untuk menghalau jin ataupun penunggu yang menggigit-gigit saluran paip itu...katanya.

Hahaaaa...nak tergelak aku dalam hati. Nak gelak bukan kerana saluran paip aku sahaja yang bocor tetapi minda dia juga bocor! Aku tetap berkeras untuk tidak memulakan upacara memagar rumah kerana yakin masih ada ketirisan yang aku mungkin terlepas pandang. Mungkin tekanan air terlalu kuat atau sambungannya longgar. Kalau nak pagar rumah, aku sendiri boleh memagarinya atas sedikit ilmu yang aku perolehi di Darul Syifa' lewat pembelajaranku. Sebelum pagar rumah...aku pagar dulu hati sendiri agar 'taksub' kepada alam mistik tidak bersultan dan menjadi diri aku.

Alhamdulillah, prinsip aku berbaloi. Ditakdirkan Allah aku telah menyusul ke rumah 'plumber' itu untuk meminta khidmatnya atas kebocoran yang entah kali ke berapa berlaku. Nak tahu apa yang aku lihat? Haaa..jelas kelihatan gulungan saluran paip pvc diletakkan di luar rumah, dibelinya dalam kuantiti yang banyak agar memudahkan kerja-kerjanya (tak perlu untuk ke kedai). Bermakna saluran paip itu terdedah kepada hujan dan panas, sudah tentu akan terjadi rekahan-rekahan halus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Bila dipasang, rekahan itu tidak boleh menampung tekanan air yang kuat dan akan melebarkan lagi jurang rekah...terjadilah kebocoran air...BUKAN GIGITAN JIN!!!!

Bagi mengesahkan lagi teori itu, aku berbelanja besar untuk menukar keseluruhan saluran paip yang berkualiti baik (melalui 'plumber' yang lain). Alhamdulillah...sehingga sekarang tiada satu pun jin yang berani gigit saluran itu, keras agaknya...alahaaaiiiiii.


Aku juga berpengalaman memagar rumah seseorang atas permintaannya yang bersangatan. Aku bersetuju kerana itu rumah baru dan kawasan baru. Kawasan belantara yang dahulu tentunya didiami makhluk-makhluk halus. Untuk mengelak sebarang gangguan, perlu untuk dibaca ayat-ayat tertentu. Aku juga berpesan kepadanya, jangan hanya berharap kepada apa yang aku lakukan. Jika rumah sudah dipagar tetapi penghuninya tidak mengamalkan segala syariatullah seperti solat dan membaca al Quran...jangan kata makhluk halus, penghuni itu sendiri boleh menjadi jin yang tanpa disedari menjemput segala syaitan dan suku sakatnya untuk sama-sama mendiami rumah itu. "haaaa..ingat tuuuu!!!" aku memberi amaran kepadanya.

Errmmm...boleh merujuk rawatan alternatif tetapi jangan sampai kita menjadi pasif dan negatif, melepaskan segala permasalahan kepada pihak lain. Bentuklah keyakinan diri, isteri, anak-anak dan keluarga dengan daya kemampuan sendiri...jika segalanya sudah berada di landasan yang betul dan tetap ketemu jalan mati maka baharulah kita mencari alternatifnya...Fahami makna 'alternatif' iaitu 'pilihan' bukan 'keutamaan'!

SELAMAT MELAYARI KEHIDUPAN DI ALAM NYATA.

No comments:

Post a Comment