Translate

Thursday, 6 November 2014

Jenayah Atas Jenayah

Kesalahan jenayah sudah menjadi hukum alam yang tetap akan berlanjutan sehingga ke hari kiamat. Turunnya hukum Hudud membuktikan bahawa Allah Maha Mengetahui tentang perjalanan khalifah di muka bumi. Lantaran itu Hudud mengambil tempat bagi mengimbangi kejahatan bersama pencegahan. Peraturannya tidak boleh diubah-ubah walau dalam apa jua kondisi. 

Telah berlaku satu kejadian curi motor di sebuah masjid di Pauh 5, Kelantan sewaktu solat maghrib. Salah seorang pesalah telah dapat ditangkap dan seorang lagi dapat meloloskan diri. Kejadian mencuri adalah merupakan satu jenayah dan jika sabit kesalahan di bawah hukum Hudud, pesalah boleh dipotong tangan mahupun dirotan.

Tetapi bukan itu yang mahu aku rungkaikan. Kisahnya pesalah telah dibogel, diletak di atas motor untuk dimalukan di khalayak ramai. Gambar pesalah diambil untuk di'viral'kan di laman sosial (aku sendiri menerima kiriman 'whatsapp' memaparkan keadaan pemuda tersebut yang berbogel penuh tanpa disunting).

Pesalah memang sudah melakukan jenayah tetapi berlaku satu lagi jenayah oleh mereka yang baru lepas solat berjemaah di negeri yang didakwa sebagai Serambi Mekah...jenayah atas jenayah. Jika merujuk al Quran dan Hadis, tidak satupun peraturannya mengharuskan hukuman bogel lalu dimalukan di khalayak umum. Malah jika mahu disebat sekalipun, pesalah haruslah dipastikan auratnya tertutup penuh dan hukuman tersebut harus disaksikan oleh umum sebagai iktibar.

Islam amat menekankan peribadi dan akhlak dalam semua keadaan. Agak kesal di kejadian itu kerana tidak seorangpun cuba menghalang orang ramai untuk membogelkan pesalah...di mana AJK masjid, di mana Imam? Agaknya peranan dan suara mereka turut tenggelam bersama emosi kariah yang mendominasi keadaan (jika mahuku untuk berbaik sangka).

Pernah aku terima sebuah video yang menayangkan rakaman cctv di masjid tentang seorang pemuda yang hanya berpura-pura menunaikan solat di sebelah peti besi derma. Di antara pergerakan solat, pemuda tersebut menjolok peti besi dengan dawai untuk mengeluarkan seberapa banyak wang yang boleh. Video disebar tanpa 'sensor', wajah pencuri tersebar buat tatapan dunia!

Jika hebat sangat peribadi kita dalam beramal, mengapa mesti dimalukan mereka yang jahil. Jika mereka telah bertaubat, siapa yang boleh menebus aib mereka yang telah ditelanjang luas ke mata dunia? Inikah peranan kita sebagai Khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir dunia?

Jika boleh aku bertanya...apa perasaan mereka sekira yang dibogelkan itu adalah anak-anak mahupun kaum keluarga mereka? Apakah hanya di waktu tersebut baru kita mahu merujuk al Quran dan Hadis?

Aku teruja untuk pembaca menerobos masuk artikel EVOLUSI JIWA yang bertajuk 'Gapailah Cahaya Itu' bertarikh 29 April 2013...kisah Allah sendiri berperanan menutupi aib hambaNYA.

Moga kesedaran menjadi milik kita...




No comments:

Post a Comment