Jam hampir ke jarum 11 malam. Aku melangkah masuk ke bilik bagi merehatkan minda. Mindaku berehat
apabila dapat menatap buku-buku yang kuminati. Ilmuku tak banyak, jadi dengan
mambanyakkan bahan-bahan bacaan terpilih dapatlah menampung minatku untuk berkarya. Berkarya
mesti berilmu. Ilmu pula harus diguna sebaik mungkin agar ia tidak mati ditelan
masa.
Dalam leka membaca,
kelopak mataku beransur-ansur berlabuh menutupi seluruh anak mata.
Aaahhh...terlena pula aku sebentar. Beginilah keadaannya dalam usia menginjak
senja. Kugagahi meneruskan bacaan...berlaku 'perang saudara' di antara lena dan
sedar. Lena semakin berjaya menewaskan semangat membaca.
Aku berhenti
membaca...kututup buku dan kuletak di meja bersebelahan katil. Aku bangun untuk
menekan waktu 'jam penggera'. Esok aku harus bangun pagi bagi meneruskan rutin
hidup seperti yang direncanakan. Tiba-tiba mindaku menyapa...
"Yakinkah aku bahawa
nyawaku sampai ke esok pagi?"
Tidak terfikirkah olehku
bahawa malam ini adalah hari terakhir buatku?
Niat untuk menekan 'jam
penggera' tampak seolah aku yakin esok adalah milikku.
Aku tidak bersalam
bermaaf-maafan bersama keluarga tampak seolah esok aku masih bernyawa.
Aku menangguh berwasiat
terhadap familiku tampak seolah esok masih ada buatku untuk merencanakannya.
Aku tidak cepat
menyelesaikan hutang piutang tampak seolah esok masih ada waktu untuk aku
membuat perkiraan.
Aahhh...aku duduk meneleku
di birai katil termenung sendirian memikir sekiranya esok aku tidak
bangun-bangun lagi.
Aku bangun lantas
menekan 'jam penggera'...simbolik sebuah pengharapan sambil berdoa sekiranya esok masih ada...aku pasti memulakan dengan bersyukur kepadaNYA kerana memberi peluang untuk
aku bertaubat sebanyak mungkin.
Sekiranya malam ini namaku
bakal menjadi tinggalan sejarah...semoga 'LAA ILAA HA ILLALLAH' merupakan
kalimah terakhir yang dapat kulontarkan tonasinya bagi menghadapi sebuah mahkamah yang paling Agung!
No comments:
Post a Comment