Translate

Tuesday, 25 November 2014

Ayam Itu Mula Berkokok

"Assalamu'alaikum Ustaz, saya ada benda nak tanya ni", aku ditegur oleh seorang kakitangan bila kami berselisih di koridor pejabat.

"Wa'alaikum Salam...ye apa bendanya tu?" sambutku mesra.

"Biasa kita dengar kalau ayam berkokok, maknanya ayam tu nampak Malaikat. Hadis tu sahih ke Ustaz?" dia seakan tidak sabar menunggu jawapanku.

"Eerrmmm..kalau tanya saya sekarang, susah sikit saya nak tentukan sebab saya kena buat sedikit rujukan. Kenapa pulak ni?" aku sudah mengagak-agak ada perkara lain yang mahu dikongsikan.

"Ada cerita sebenarnya Ustaz. Macam ni...hari tu waktu tidur saya tersedar dalam lebih kurang pukul 3 pagi, terus saya ambil wuduk untuk bermunajat kepadaNYA. Suasana bilik...gelap dan sunyi. Bunyi cengkerik memang jelas kedengaran".

"Tiba-tiba saya nampak ada cahaya terang-benderang di tingkap bilik datangnya dari luar. Saya cuba amat-amati dari mana datangnya cahaya tersebut. Adakah dari suluhan kereta atau motosikal mereka yang baru balik bekerja? Tidak kedengaran bunyi kenderaan langsung. Sah...sifat cahaya itu bukan berasal dari suluhan lampu kereta atau motor...agak pelik saya memikirkannya", beria-ia dia bercerita sambil tepat matanya memandang anak mataku.

"Saya tak berani nak buka tingkap...hanya biarkan sahaja cahaya itu berlalu pergi. Sehabis cahaya beredar, tiba-tiba ayam berkokok bersahut-sahutan. Bunyi kokokan ayam kedengaran jelas di tepi tingkap di mana cahaya tadi muncul. Agaknya ayam tu nampak Malaikat kot. Tidak kedengaran langsung bunyi cengkerik seperti mana sebelum cahaya itu muncul", dia menanti ulasan dari aku.

"EErrmm..macam ni lah", aku mula mengulas dari kisah penceritaannya.

"Jika hadis yang mengatakan bahawa ayam berkokok tandanya nampak Malaikat adalah sahih statusnya...Alhamdulillah, agaknya cahaya Malaikat lah yang awak nampak tu tetapi jika taraf hadis itu dhaif pula, adakah kita akan mengatakan Malaikat tak wujud?"

"Sebenarnya bukan itu isunya. Keyakinan kita wujudnya Malaikat harus kukuh kerana ia terkandung di dalam Rukun Iman. Ayam berkokok nampak Malaikat atau tak nampak, tidak lagi menjadi masalah. Yang penting, awak dah bangun di sepertiga malam dan tentu ada Malaikat yang mencatat amalan hebat tu". Aku cuba seimbangkan isu 'keajaiban' dan 'kehambaan' dalam mengulas.

"Kita boleh beramal melalui hadis yang dhaif bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan juga dalam memotivasikan diri untuk beramal. Tetapi hadis dhaif tidak boleh menjatuh 'hukum'. Hukum-hakam wajib bersandar kepada hadis sahih". Aku sudah mula bersandar di dinding dalam memperjelas isu.

Kami beredar kerana aku kesuntukan masa. Dalam aku berjalan menuju ke pejabat, hatiku berdetik..."bila kali terakhir aku bangun di sepertiga malam?" Mungkin ini juga mesej buatku...terimakasih bro!



No comments:

Post a Comment