Translate

Saturday, 31 May 2014

DNA Babi

Khatib yang berdiri di mimbar bagi menyampaikan khutbah telah mempersoalkan pengumuman JAKIM bahawa isu coklat Cadbury jatuh di bawah kategori 'umum al balwa' (kemudaratan/kesulitan yang tidak dapat dielakkan), ia adalah halal dan harus dimakan walaupun mengandungi DNA babi.

Khatib menjustifikasikan bahawa tidak kena pada tempatnya meletak darurat kepada memakan coklat kerana coklat bukan makanan asasi yang menjadi prioriti.

Khatib mencadangkan untuk JAKIM menarik dan mengkaji semula pengumuman tersebut.

Ulasan aku...

DNA babi bukanlah merupakan najis yang kelihatan sifatnya seperti daging, lemak, minyak, darah dan sebagainya. Ia merupakan sesuatu yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar. Sifat najis sudah tidak wujud dan pencemarannya boleh berlaku di mana-mana tanpa dapat dikawal.

JAKIM telah mengeluarkan pensijilan halal kepada kilang Cadbury di Malaysia sejak tahun 2004 lagi (diperbaharui setiap 2 tahun) dan tiada apa-apa bukti untuk menuduh kilang Cadbury telah dengan sengaja mencampur bahan terlarang di sepanjang proses pengeluarannya.


Tetapi apabila sampel ujian diambil di pasaran dan dihantar ke makmal, didapati produk tersebut positif DNA babi. Bermakna pencemaran DNA babi berlaku bukan di kilang, boleh jadi sewaktu penghantaran, melalui sentuhan tangan atau juga melalui pencemaran udara sekitar.

Sekiranya DNA babi ini boleh mencemari produk Cadbury, tidak mustahil pencemaran juga boleh berlaku kepada produk lain.

Jika DNA babi menjadi perkiraan untuk menjatuh hukum haram memakannya, akan berlaku bencana besar ke atas produk-produk makanan kerana semuanya berisiko untuk dicemari DNA babi. BERAS DAN NASI JUGA TIDAK KETINGGALAN!!! Tidakkah keadaan ini akan benar-benar membuat masyarakat panik dan timbul isu lain...iaitu ketirisan makanan di pasaran. Ini yang dimaksudkan dengan 'umum al balwa' iaitu kemudaratan/kesulitan yang tidak dapat dielakkan. 

Kaedah Fiqh harus berdiri bersama perkembangan teknologi dan persekitaran, syariat yang akan mengatasi dan mengeluarkan hukum ke atas sesuatu isu.

Ciri-ciri Fatwa yang diwartakan lebih berbentuk memudah dan tidak menyusahkan masyarakat untuk di adaptasi di dalam kehidupan mereka. Fatwa semestinya menepati syarak tetapi bukan untuk yang warak. Jika masih ragu-ragu dengan status coklat Cadbury, tinggalkan sahaja tanpa perlu berdebat atau mempertikai hukum yang telah diputus.

Nampaknya ustaz yang berdiri di atas mimbar itu hanya menggunapakai pandangan konservatif, tidak mengambil kira perkembangan teknologi terkini dan kesan kepada keputusan hukum.

Wallahua'lam.

Sumber rujukan: Analisa Isu DNA Khinzir karangan Dr Lokman Ab. Rahman (Presiden Persatuan Eksekutif Halal Malysia PEHMA).


No comments:

Post a Comment