Translate

Sunday, 4 May 2014

Meletak Ikhlas Pada Hukum?

Kerajaan negeri Kelantan akan membentangkan enakmen jenayah berlandas Hukum Hudud yang akan dilaksanakan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Enakmen yang merangkumi hukuman zina, qazaf (menuduh zina), mencuri, merompak, minum arak, memberontak dan murtad.

Menurut sistem demokrasi berparlimen yang sekian lama diamalkan di Malaysia, rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen untuk mendapat persetujuan majoriti ahli Parlimen.

Jadi, bolehkah undang-undang arahan Allah ini terlaksana? Nampaknya arahan manusia yang akan menentukan terlaksana atau tidak undang-undang milik Pencipta manusia itu...pelik bunyinya! Allah cipta manusia dan beri arahan agar melaksanakan syari'atNYA, manusia pula mengatakan undang-undang mereka lebih adil, telus dan berperikemanusiaan.

Bertonasilah seorang Menteri yang berpengaruh mempunyai latarbelakang perundangan, "ikhlaskah mereka hendak melaksanakan hukum hudud, atau hanya untuk memancing undi Melayu". 

Nampaknya, pendidikan tinggi yang Pak-pak Menteri kecapi lebih menjauhkan diri mereka dari kesyumulan Islam. Mereka bijak dan petah berbicara memanipulasi agama. Sehingga mereka lupa bahawa mereka sedang berdolak-dalik memain hukum Allah.

Pelaksanaan Hudud tidak menanti timbulnya keikhlasan penguasa, baharu mahu dilaksanakan. Ia adalah arahan mandatori yang wajib ditegak atas nama kita hamba yang patuh pada arahan.

Cuba lihat analogi di bawah...

Di zaman perhambaan, ikhlaskah seorang hamba menjalankan perintah tuannya tanpa cuai? Hamba tersebut tiada pilihan. Ikhlas tolak ke tepi, asal segala yang diarah dapat dibuat sebaik mungkin.

Di dalam bidang pekerjaan, ikhlaskah kita berhadapan dengan segala lambakan kerja yang diarahkan oleh 'boss'. 'By hook or by crook', kita harus selesaikan untuk mengelak dari menerima komen negatif mahupun surat amaran.

Di dalam solat, bolehkah kita menilai keikhlasan diri sendiri dalam mengerjakannya? Buat dahulu, sekurang-kurangnya kita sudah melepasi tuntutan fardhu yang datangnya dari 'Arasy. Bila solat terus-terusan dilakukan tanpa beralasan, Insyaallah kita bakal merasa kelazatan mengerjakannya...kerana solat penyelesai segala masalah!

Begitu juga Hudud. Kita diperintah untuk melaksanakannya tanpa perlu beralasan. Apabila sudah menjadi undang-undang dan telah dilaksanakan, baharulah kita cuba menambah baik pelaksanaannya...atasi segala kelemahan.

Tegasnya, sebagai hamba kita tiada pilihan melainkan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Jika tidak, hukuman bakal menanti atas engkar arahan majikan!

Jadi, masih mahu pertikai keikhlasan seseorang atau hendak menunggu ikhlas baru laksana hukum Tuhan?


                                 

No comments:

Post a Comment