Bertaubat...tidak semudah yang diungkap tetapi menempuh sukar dalam melaksanakannya. Dalam diri setiap manusia sudah tercipta sejak azali sifat-sifat yang sukakan kebaikan. Lantaran itu suara-suara halus kadangkala menerpa mengingatkan banyaknya maksiat juga keburukan yang telah kita lakukan.
Lumrah yang berlaku seseorang itu bertaubat tetapi kerap mengulangi dosa mahupun maksiat. Di hati berjanji sakan untuk meninggalkan segala yang hitam tetapi tersungkur di pertengahan kesedaran...maksiat itu berulang kali dijemput hadir. Sehabis nikmat bermaksiat timbul lagi kesedaran akan dosa yang terpalit. Persoalannya...di manakah letak kehendak untuk benar-benar berubah atau kata singkatnya TAUBAT NASUHA?
Ini memang sifat insan...dinamai insan lantaran sifat pelupa itu memang kita. Sebab itulah 'tazkirah' itu perlu bagi memperingatkan sipelupa itu. Ada pula yang berpendapat adalah lebih baik menangguhkan taubat bagi mengelak mempermain-mainkan taubat itu sendiri. Iyalah...sesudah menangis di malam hari, siang harinya pula tidak betah mengelak suapan dari perasuah. Amat lemah iman untuk mengelak godaan dunia.
Aaahhh...nak menangguh taubat? Jika itu yang terlintas di benak fikiran, aku ingin ajukan satu soalan yang mungkin boleh merubah fikiran itu. ANDA TAHU BILA TARIKH MATI ANDA? Adakah dengan menggunapakai teori 'tidak mahu mempermain-mainkan taubat' membolehkan anda selesa untuk menangguh taubat? Orang yang waras akalnya pasti tidak akan menangguh taubat lantaran tidak mampu merungkai rahsia Allah tentang tarikh mati. Lagi sukar dibuatnya jika mati tanpa bertaubat.
Ulama' memberi panduan...bertaubatlah setiap hari walau setiap hari juga kita bermaksiat. Tadahlah tangan memohon ampun dan beristighfar 70 kali sehari walau niat melakukan maksiat masih ada. Dalam kita berdoa dan bertaubat itu, kita tidak tahu waktu yang mana sebenarnya mustajab untuk taubat kita diterima. Yang penting kesedaran untuk bertaubat itu masih ada. Kita menadah tangan untuk berdoa itupun sebenarnya ilham dan langkah pertama untuk Allah membuka pintu taubat.
Manusia yang tidak pernah timbul kesedaran untuk bertaubat apatah lagi tidak pernah menadah tangan untuk memohon keampunan, sebenarnya hidayah itu bukan untuknya. Sebaliknya kita yang diberi hidayah untuk bertaubat itu harus mengambil peluang untuk BERTAUBAT SETIAP HARI SEHINGGA RASA UNTUK BERMAKSIAT SEMAKIN HARI SEMAKIN BERKURANGAN DAN TIMBUL RASA YANG KUAT UNTUK BERAMAL!!! Teori alam, apabila 'banyak' mendominasi yang 'sedikit'...maka yang sedikit akan tertekan dan lama kelamaan akan pupus. Apabila amalan ditambah atas rasa bertaubat yang diulang setiap hari, maka rasa untuk bermaksiat akan semakin hari semakin terhakis dan selebihnya kita akan sampai ke tahap benci kepada maksiat itu!
Inilah teori yang digunapakai oleh sekian ramai umat Islam yang diberi hidayah. Setiap perkara yang dilakukan secara konsisten dan penuh yakin, lambat laun akan menghasilkan sesuatu. Jika 'sesuatu' itu berupa maksiat, maka maksiatlah yang sebati pada dirinya tanpa ada ruang untuk menggapai cahaya. Tetapi jika 'sesuatu' itu berupa rasa 'sedar' atas silap sendiri, Insyaallah kena pada masa dan ketika yang mustajab, pusingan 360' akan dianugerahkan kepada insan yang pelupa itu.
Cerita seorang artis yang telah meninggal dunia...tetapi seseorang yang mengenali dirinya menjaja cerita, "Artis tu...alaaa aku kenal dia. Dia tu dulu kaki mabuk...". Masyaallah, aku tak selesa mendengar cerita itu tetapi tidak kuluahkan atas umurnya yang berpangkat 'ayah'. Ya, mungkin dulu dia bermaksiat tetapi bagaimana kalau dia sudah bertaubat sebelum ajal tiba? Jika kita rasa hebat sangat untuk membuka aib seseorang, ingin kukongsi satu cerita berlaku di zaman Nabi Musa.
Diriwayatkan kemarau berlarutan sehingga para pengikut Nabi Musa memohon agar baginda bermunajat kepada Allah untuk diturunkan hujan. Dalam berkomunikasi, Allah memberitahu Nabi Musa bahawa punca hujan tidak diturunkan kerana terdapat 'seseorang' yang bermaksiat selama 40 tahun. Baginda diarah untuk mengumpulkan seluruh pengikutnya untuk berita itu.
Berkumpullah sekalian pengikut Nabi Musa untuk perkhabaran itu. Sesudah dibuat pengumuman, Nabi Musa mengarahkan 'seseorang' itu untuk keluar dari perkumpulan itu agar rahmat Allah diturunkan semula kepada mereka yang lain. Berkali-kali pengumuman dibuat tetapi tidak seorangpun yang kelihatan keluar (menurut riwayat, mereka yang berkumpul dianggarkan sebanyak 60,000 orang).
Ya, 'orang' yang bermaksiat itu ada sebenarnya dalam kumpulan itu dan dia berasa amat malu sekiranya dia keluar, pasti semua mata akan tertumpu kepadanya. Di kala itu dia benar-benar bertaubat dan memohon agar Allah ampunkan segala dosa-dosanya. Sejurus selepas itu, berarak mendung awan hitam lalu menurunkan hujan di bumi yang kontang itu.
Lantas Nabi Musa bertanya kepada Allah untuk apa hujan diturunkan kerana 'orang' yang bermaksiat tidak kelihatanpun keluar dari kumpulan itu. Jawab Allah kerana 'orang' itu telah bertaubat dan Allah terima taubatnya. Ya...kerana 'orang' itu hujan ditahan dan kerana 'orang' itu juga Allah memerintahkan hujan turun.
Nabi Musa memohon agar Allah tunjuki siapa 'orang' yang dimaksudkan. Allah berfirman bahawa selama 40 tahun 'orang' itu bermaksiat dan Allah telah tutupi aib nya, mengapa pula Allah harus membuka aib nya apabila dia telah bertaubat!
Subhanallah!!! Allah sendiri berperanan menutupi aib hamba ciptaanNYA dan kita pula beriya-iya menyebarluas aib manusia!
Bertaubatlah...jika dikata belum sampai masanya, tahanlah dirimu dari mambuka aib orang yang bertaubat. Semoga rahmat Allah hampir kepadamu untuk memiliki rasa taubat itu. Carilah tanpa rasa jemu agar hidayah taubat itu bakal kau ketemu.