Translate

Saturday, 26 May 2018

Parti Hanya Ideologi

Alhamdulillah, PRU ke 14 telah berakhir bersama tertubuhnya kerajaan baharu yang mana 'tagline' nya 'Malaysia Baharu' mencerminkan perubahan landskap politik tanahair yang amat drastik.

Tampuk pemerintahan parti yang dikatakan 'keramat' yang tidak mahu melakukan perubahan, telah dihukum dan dimalukan oleh solidariti kaum yang amat menakjubkan dunia luar. Inilah semangat Malaysia Baharu.

Banyak cerita-cerita politik pra dan pasca pilihanraya yang kita lihat dan dengar. Sabotaj, fitnah, strategi, serangan peribadi, persempadanan semula yang tidak adil, isu katak (lompat parti) dan kekalutan pembentukan kerajaan negeri di Perak dan Perlis.

Di antara warna-warni pastel tersebut, aku cuba menyelami kisah keluarga Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang nampaknya agak sedikit bergolak.

Ia bermula dengan keputusan drastik yang diambil oleh Nik Omar bagi menyertai Pakatan Harapan (PH). Kata beliau, tiada beza PAS dan PH, Islam diletak di hadapan dalam membentuk kerajaan baharu. Mungkin beliau lebih melihat kepada pembentukan kerajaan baharu yang lebih praktikal bersama gabungan PH berbanding parti PAS yang mengasingkan diri dari sebarang kerjasama bersama parti lain.

Isunya, berlaku konflik keluarga. Ya lah, keluarga Allahyarham Datuk Nik Aziz yang taksub bersama PAS, tidak memungkinkan ahli keluarga mereka berhijrah ke parti lain. Nik Omar dipulaukan oleh ahli keluarga. Beliau dilarang untuk menjadi imam juga menyampaikan kuliah di masjid Tok Guru! "Ini adalah keputusan keluarga", kata adiknya Nik Abduh.

Eerrmmm, aku melihat naratif yang bercanggah dengan Islam di sini. 

Parti adalah sebahagian dari ideologi manusia dalam membentuk perkumpulan, bersama objektif perjuangan yang digariskan oleh mereka yang mencipta ideologi parti masing-masing.

Sementelah Islam bukannya ideologi. Ia adalah perakuan Tauhid dalam menyembah Allah yang Satu, juga peraturan hidup yang digariskan oleh Syariatullah!

Bagaimana boleh berlaku konflik keluarga atas penghijrahan ahli keluarga ke parti lain? Agamanya tetap sama malahan itulah perjuangan asas apabila Putrajaya dapat ditawan. Adakah hanya parti yang membawa ideologi Islam hanya satu-satunya parti yang ahli-ahlinya Islam? Murtadkah Nik Omar berhijrah parti yang hanya berbeza ideologi? Ahli UMNO bukan Islam? Ahli AMANAH bukan Islam? Ahli BERSATU bukan Islam? Ahli PKR bukan Islam?

Tuan Guru Hadi Awang pula meng'analogi'kan Nik Omar dengan kisah Nabi Nuh dan anaknya yang terputus nasab keluarga kerana enggan menerima Islam.

Ooohhh..kronik sungguh pemikiran tersebut! Meletak taraf parti sebegitu rupa sehingga boleh mengelirukan umat Islam itu sendiri. Di mana puncanya? TAKSUB! Harus rasa taksub yang melampau itu sebenarnya yang memecah-belahkan kehidupan masyarakat.

Aku tidak menentang perjuangan PAS dalam memartabatkan Islam...tidak sama-sekali! Aku sendiri mengimpikan sebuah negara pemerintahan Islam yang adil dalam mengimarahkan ras, etnik dan bangsa yang pelbagai. (aku memangkah PAS di setiap PRU bagi mengimbangi landskap politik  tanahair!). Aku hanya tidak mahu kiblat umat Islam tersasar...meletak perjuangan parti ke tahap tidak boleh dipertikaikan. Jika keluar parti, seolah-olah terkeluar dari Islam sehingga sanggup mengenepikan pertalian darah daging sendiri. Inikah ajaran Islam?

Nik Omar terpaksa membayar harga yang amat tinggi dalam laluan politik ideologi. Kata beliau, "apabila saya pergi (menyertai PH), saya tidak akan undur ke belakang".

Analogi akhir kalam...adakah kita yang bermazhab Shafie mengatakan mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali tidak betul dan terkeluar dari ajaran Islam? Itulah hikmahnya kepelbagaian dan perbezaan pandangan dan pendapat. Matlamat kesemua mazhab tetap sama iaitu mengEsakan Allah dan menurut Syariat-syariatNYA tetapi bersama ideologi-ideologi yang sedikit berbeza demi mengimarahkan 'uruf, masyarakat dan kepelbagaian adat dan budaya setempat.

Aku berdoa agar bartaut kembali hubungan keluarga Allahyarham Datuk Nik Aziz. Ingat...Hablumminallah harus ada bersamanya hablumminannas!


Sunday, 20 May 2018

Qalbun Salim

Sering kita dengar dan lihat, disebabkan masalah yang kecil cuma, tindakan yang menyusul seakan tidak masuk akal. Perceraian berlaku kerana masalah ubat gigi yang tidak diselia dengan berhemah. Kereta yang bergesel dan sedikit kemek, mangsa tidak berpuashati dan menghamburkan kata-kata kesat..jika tidak dikawal boleh bertumbuk (berlaku di hadapan mata aku). Anak-anak kecil selepas bermain, tidak mengemas barang mainan, lalu dirotan seakan melakukan kesalahan yang boleh memalukan ibubapa. Persahabatan akrab yang dibina terputus begitu sahaja dek merajuk tentang sesuatu perkara.

Di mana silapnya? Mengapa perkara-perkara kecil tersebut boleh mempengaruhi keputusan yang besar di dalam tindakan yang diambil.

Okey...perhatikan betul-betul. Sebenarnya perkara yang kita nampak kecil tersebut, adalah terjemahan dari beberapa perkara yang berlaku sebelumnya yang cuba dikawal oleh empunya diri. Cuma apabila perkara tersebut berlaku berkebetulan dengan rentetan masalah-masalah yang dipendam, maka meledaklah amarah seseorang sehinggakan sanggup mengambil tindakan drastik yang tidak sepadan dengan cetusan masalah di waktu itu.

Jelas, masalah-masalah lama dikumpul bagai menunggu bom jangka meletup bila-bila masa. Di mana puncanya? Ianya berkisar dari hati seseorang. Hati yang tamak untuk memberi maaf lantas masalah-masalah tersebut tidak terlepas dan bersarang penuh di dalam jiwa.

Mengapa payah memaafkan? Ia boleh berkait dengan pemakanan seharian dari segi halal dan haramnya lantaran menatijahkan hati menjadi keras.

Seperti yang dinukilkan oleh Imam Ghazali di dalam kitab Ihya' Ulumuddin, hati adalah raja kepada anggota-anggota badan yang lain. Jika baik penjagaan hati, maka baiklah arahan-arahan yang dikeluarkan untuk anggota lain bertindakbalas.

Di dalam kes-kes tragik yang berlaku, hati kotor dan berkarat itulah yang menjadi punca kekalutan yang berpanjangan. Masalah diperap tanpa dilepas, lantas menjadi barah. Tercuit sedikit dengan perkara yang tidak digemari maka meledaklah amarah mereka.

Mahu meraih Qalbun Salim? (hati yang damai). Jagalah apa yang dihadam di perut, jagalah solat (khusyuk), lunakkan hati dengan banyak berzikir...Insyaallah, bugar hati untuk memaafkan. Datanglah masalah sebesar gunung, tetap kita berdiri teguh menghadapinya tanpa menggila melepas amarah. FIKIR dan ZIKIR!



Friday, 11 May 2018

Ini Malaysiaku, Malaysia Baharu

9 May 2018, seluruh rakyat Malaysia telah bersedia untuk menterjemah apa yang terbuku di hati, apa yang mencengkam di jiwa sehingga terpaksa bergelut dalam menghirup udara yang semakin menyesakkan nafas.

Rakyat Malaysia mahu mengadu..mengadu kepada siapa? Mereka yang di atas sana terlalu jauh jaraknya untuk mendengar keluhan rakyat marhein. Sengaja menjarakkan diri, memekakkan telinga seraya membutakan mata untuk melihat kami mengais-ngais pasir mencari butiran beras untuk dimasak.

Kehidupan kami terjerut..gaya hidup kamu semakin rakus. Kami minta perhatian..kamu menggula-gulakan aduan kami. Kamu ambil duit kami, kamu tabur dedak kepada mereka yang tidak tahu. Nafsu kamu makin tidak terkawal...kamu wujudkan GST bersama sejuta alasan untuk menghalalkannya, suapan nasi kami makin dicatu.

Jika ada yang di atas sana prihatin dengan cuba menyampaikan mesej kami, kamu pecat mereka mentah-mentah...kami hendak mengadu pada siapa lagi?

Subhanallah...pengutus ilhamMu kau lantik demi membela nasib kami dan melumpuhkan kesombongan kamu. DIA pilih yang lanjut usia tetapi diberinya akal yang sihat. Ilham itu menerobos ke segala pelusuk tanahair seperti limpahan air laut yang tidak meninggalkan seincipun tanah daratan.

Mesej ilham itu diterjemah pada 9 May 2018. DIA yang Maha Mendengar telah menghantar bala tentera yang memasuki peti-peti undi yang tidak mampu disekat lagi alirannya.

Apakah tidak kau baca kisah-kisah sejarah yang dinukil di dalam kitabullah? Firaun, Haman, Qarun, kaum Saba', kaum Tsamud dan mereka yang mendustai ayat-ayat Allah? Oohh..kau bisa membaca tetapi ditutup hatimu sehingga menjadi kelam untuk menerima kebenaran. Kau bisa mendengar keluhan mereka tetapi disumbat telingamu dek terpana dengan cahaya kemilau di depan mata.

Kau dihukum! Kau mencipta sejarah yang unggul dalam menenggelamkan kapalmu sendiri. Kau dimalukan di khalayak ramai sehingga hilang senyum bibirmu yang mungil kemerah-merahan...wajahmu sahaja yang merah menahan tangis malu tatkala kau berhadapan dengan kami buat kesekian kalinya.

10 May 2018, Malaysia baharu ku wujud di hadapan mata. Serasa Tanah Melayu baru merdeka dari cengkaman British. Tidak berkelip mataku melihat Pengutus Ilham yang kau kata telah lanjut usia menandatangani surat lantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke tujuh.

Ini bumi Malaysia milik kami...bukan milik keturunanmu. Jika insaf itu ada di balik jeriji besi...kau tunggulah...masanya akan tiba untuk membersihkan dosa-dosa besar yang kau lakukan kepada mereka yang diAMANAHkan kepada kau dahulu. Bermusabahlah, menangis dan bertaubatlah bila kau berseorangan di sana...kerana Allah Maha Penerima taubat!

Kkrrriiinnngggg....ahhh jam locengku berbunyi mengejutkan aku dari lena pagi. Indah sungguh mimpiku malam tadi dan terlebih indah bila kuterima berita Malaysiaku telah berwajah baharu..Subhanallah, Alhamdulillah.



Sunday, 22 April 2018

Berhemah ke tu?

Mahu aku bercerita 'trend' semasa yang banyak berlaku di parkir awam terutamanya di hospital-hospital kerajaan. Apa 'trend' nya tu? Petak parkir penuh, mereka meletak kenderaan berhadapan dan mempamer nombor telefon untuk dihubungi.

Eerrmmm...berlaku padaku sewaktu menghantar emak ke hospital. Seusai urusan, aku bergegas menuju ke kenderaan sambil emak menunggu di lobi. Ya la, orang tua memang dah tak larat nak berjalan, harus kita mudahkan perjalanannya agar kesihatannya terjaga.

Aiisshhh...dalam aku nak cepat, ada pula kenderaan yang menghalang untukku keluar dari parkir tersebut. Ada nombor untuk dihubungi yang dipamer di papan pemuka. Sekali, dua kali, tiga kali, empat kali dan lima kali...panggilanku tidak berjawab.

Aku kembali ke lobi memberitahu emak apa yang berlaku. Hampir 30 minit masaku terbuang begitu sahaja. Aku menuju ke arah pengawal keselamatan meminta bantuan untuk buat pengumuman agar tuan punya kenderaan dapat mengalih kenderaan beliau.

Alhamdulillah...nampak seorang anak muda bergegas keluar dan meminta maaf berkali-kali kerana tidak perasan panggilan masuk tadi...aku senyum je laaa.

Itulah ceritanya...tetapi apakah rasional mahupun berhemah kita meletak kenderaan di hadapan kenderaan yang lain? Cuba lihat analisa ringkas di bawah:-

1. Orang dihalang keluar terpaksa menggunakan kredit sendiri untuk menghubungi tuan punya kereta yang menghalang..rasional ke tu?

2. Sekiranya kredit telefonnya habis, maka dia terpaksa menunggu ataupun menghubungi pihak pengawal keselamatan meminta bantuan. Tak pasal-pasal terpaksa berusaha lebih...padahal hak memakirnya yang diganggu..rasional ke tu?

3. Jika kenderaan orang menghalang itu dapat dihubungi, waktu keluarnya tetap  tertunda kerana ia akan mengambil masa untuk orang tersebut sampai ke kenderaannya. Sekiranya seseorang itu ada urusan lain, akan lebih menyulitkan keadaan kerana terpaksa menunggu...rasional ke tu?

Tiada pilihan? Mustahil!

Jika nak letak juga, harus ada seseorang yang menunggu.

Jika pemandu yang terpaksa mengendali ahli keluarga, harus keluar awal subuh untuk mendapat parkir yang selesa.

Jika tak mampu juga, harus mereka mengakses 'trending' sekarang...UBER atau GRAB.

Itukan jalan penyelesaian!

Aku lebih ingin agar mereka yang merasakan bahawa dengan mempamer nombor telefon adalah cara berhemah, agar memikirkan semula tindakan tersebut kerana ia bertentangan dengan norma-norma kehidupan. Mereka mencuri kredit, waktu dan hak-hak individu dan kemasyarakatan!

*Aku sendiri bertolak keluar rumah seawal jam 0615 pada hari tersebut agar mendapat pakir selesa...ermmm.



Sunday, 25 February 2018

Misi di bumi Hijaz

Berjalan balik dari Masjidilharam, aku terserempak dengan seorang wargatua. Dari tonasi bahasa, dia berasal dari negara jiran... Indonesia. Mundar-mandir melihat ke kiri dan kanan. Aku pasti, dia kehilangan arah untuk balik ke hotel. Aku tidak menunggu lama untuk membuat keputusan, terus ku sapa dan meminta butiran diri dari dokumen yang tersimpan di dalam beg galasnya.

"Mana hotelnya pakcik?
"Enggak ingat tapi anunya di depan hotel ada mobil lalu atas jambatan". Aduuuuuhhh...aku mana tau selok belok di sini. Tiada kelibat polis mahupun sekuriti. Aku pergi kedai ke kedai bertanya gambaran hotel yang diceritakan oleh pakcik itu. Mereka mengatakan letak hotel di hadapan perkuburan Baqi'. Aku membawanya ke sana. Sesampai, pakcik tersebut menafikan..."bukan ini, anunya jambatan enggak ada".

Berpatah balik aku ke tempat tadi. Sudah hampir 1 jam aku cuba membantu tetapi belum berhasil. Ooohhh...aku sekali- kali tidak akan meninggalkan pakcik itu keseorangan...misi aku untuk menghantarnya selamat hingga ke hotel penginapannya.

Dalam perjalanan berpatah balik, aku terserempak dengan sebuah teksi yang berhenti di tepi jalan menunggu penumpang. Aku bertanya dan memberi gambaran hotel kepada pemandu teksi tersebut. Dia juga memberi arah yang yang sama...di hadapan perkuburan Baqi'!

Aahhh...aku semakin buntu. Mana harus aku tuju sebab pakcik itu beriya-iya menafikan lokasi tersebut. Dalam aku terpinga-pinga, pemandu teksi mengarah aku masuk ke teksinya untuk menghantar kami. Aku menolak kerana tidak membawa wang...semuanya tinggal di bilik hotel. Dia memaksa kami masuk juga dan memberi isyarat tidak perlu bayar.

Haaa...aku bergegas mengarah pakcik masuk dan aku ikut sekali untuk kupastikan pakcik selamat sampai ke hotelnya. Dibawanya kami ke lokasi perkuburan Baqi' dan menelusuri simpang-simpang jalan...terus berhenti di hadapan hotel.

Pakcik masih tercangak-cangak bila aku bertanya kepadanya. "Okey pakcik meh saya bawa pakcik masuk ke lobi hotel". Masuk sahaja ke ruang lobi...pakcik tersenyum lebar "haaaaaa iya..ini hotelnya, kok ada tangga ditepinya".

Alhamdulillah...aku melepaskan pakcik naik ke bilik hotel bertemu keluarganya yang mungkin risau tentang kehilangannya. Aku mengucap terimakasih kepada pemandu teksi kerana sudi membantu.

2 jam waktu bersama pakcik...memberi aku rasa suatu kepuasan. Puas kerana aku dapat menyelesaikan misi yang telah tertulis untukku di sana. Terimakasih pakcik kerana sabar bersamaku...Syukur Ya Allah kerana memilih aku untuk menghambakan diri di bumi Mekah!


Sunday, 17 December 2017

Al Hijrah vs Oasis

Malam itu aku membaca sambil isteriku menonton tv siaran Astro Oasis. Siaran bual bicara Bismillah Ad-Duha yang dihoskan oleh Diana Amir dan Yana Samsudin membicarakan isu-isu semasa, keibubapaan, fesyen, motivasi yang berlandaskan Islam. Panel jemputannya merupakan 2 orang Ustaz yang mahir di bidang masing-masing.

Maklum tentang siaran Oasis yang berimej Islamik, apa sahaja kandungan rancangan yang dihidang pastinya menepati citarasa dan citra Islam itu sendiri.

Tetapi tidak pada malam tersebut. Otakku beralih tepu bilamana di dalam siaran Bismillah Ad-Duha itu dimasukkan promosi Konsert Akhir Gegar Vaganza...sebuah rancangan hiburan yang tidak menepati syariah. Tiada pengasingan audien lelaki dan wanita dan diiringi penari-penari pentas yang ligat. Kedua-dua pengacara begitu bersemangat bercerita tentang barisan penyanyi Konsert Akhir tersebut. Aduuhhhh kenapa promosi berlaku di siaran Oasis..tak kena gamaknya.

Oohhhh...orang kata minyak takkan bercampur dengan air. Maksudnya siaran hiburan 'non syariah compliance' tidak dihidang di dalam siaran Oasis..hanya membantu promosi siaran Astro Ria sebab mereka berada di bawah satu bumbung.

Oohhhh...aku silap agaknya, mereka orang perniagaan. Promosi perniagaan harus disebarluaskan bagi menjamin imbuhan-imbuhan yang datangnya dari syarikat-syarikat pengiklanan. Kami satu keluarga, tiada beza siaran Islamik dan bukan Islamik.

Mengapa tidak cuba melihat TV al Hijrah. Mereka diiktiraf sebagai siaran TV Islamik terbaik di Asia baru-baru ini. Negara Jepun dan Singapura merupakan penduduk negara paling ramai menonton TV al Hijrah secara online.

Rancangan-rancangan yang dihidang kesemuanya menepati syariatullah...tiada isu minyak bercampur air...mereka menyebar Islam secara amat professional bagi santapan rohani masyarakat.

Hanya mengupas isu dari kacamata aku sendiri yang bukan berimej ahli perniagaan juga hanya meluah situasi yang agak menjengkelkan yang tidak seharusnya wujud di siaran TV Islamik.

Itu jeee...




Saturday, 16 December 2017

Mesej Penting

Hari itu kami kesiangan, sedar-sedar jarum jam menunjuk arah 0645. Apa lagi, macam lipas kudung aku dan isteri bersiap. Ye lah, kalau keluar rumah di luar waktu awal..alamat bertembung dengan sesak kenderaanlah jawabnya.

Seusai solat subuh, aku dan isteri bersiap lebih kurang. Haruman wangian lupa hendak disembur..nasib baik ada simpanan kekal di pejabat hiihiii.

Sebelum keluar dari bilik, aku capai apa yang nampak di mata..dompet, jam tangan, beg sandang dan telefon bimbit. Bergegas aku memakai kasut dan terus keluar sambil mengungkap ayat SOP pagi..."G abang pergi dulu" sambil isteri mendapat dan mencium tanganku.

Mengikut perkiraan, aku hanya ada waktu yang cukup-cukup sahaja untuk sampai ke tempat kerja..itupun sekiranya tiada kemalangan yang menghalang kelancaran kenderaan.

Alhamdulillah, rekod aku masih bersih. Aku tiba sebelum sistem waktu beralih ke zon merah.

Aaaaahhhhh...tetapi berlaku sesuatu yang kurang lebih merentap jantungku. Penting...amat penting...lebih penting dari kad pengenalan!

Aku telah tersalah ambil telefon bimbit! Haaiiissyyyyy...telefon yang kucapai adalah kepunyaan isteri, bermakna telefon bimbit aku ada di tangan isteri. Kalendar, jadual mesyuarat, komunikasi bersama konsultan, maklumat terkini operasi bla bla bla...Allahu Akbar!

Telefon isteri berdering di tanganku..."bang, amek tepon G ya..haaa tu laaaa". Eerrmmmm, tiada apa yang mampu aku lakukan. Serasa mahu aku berpatah balik untuk sebuah gajet yang semakin mempengaruhi hidup manusia. Aahhh..biarkan je la. Aku masih boleh merujuk akaun Google di komputer pejabat..segala maklumat telah dipusatkan ke akaun tersebut.

Tetapi bila aku amat-amati, ada mesej yang mahu diserlahkan disitu. Mesej dari langit!

Kedua-dua telefon bimbit kami mempunyai kata laluan dan kami berdua tahu kata laluan tersebut untuk diakses oleh pasangan pada bila-bila masa...tiada masalah kerana tiada apa-apa rahsia yang mahu diselindung di bawah tikar mengkuang.

Disepanjang kami di pejabat masing-masing, tiada panggilan nakal mahupun mesej-mesej 'romantika d amor' yang masuk.

Subhanallah, kejujuran kami tekah dibuktikan dengan perancangan Allah yang amat licik. Ya...kami tidak bermain ungkapan kata untuk sebuah kejujuran. Sifat kami yang saling percaya mempercayai, dibalas oleh Allah dengan sebuah pembuktian yang amat jelas.

Jiwa kami makin lunak dan harmoni...tiada apa lagi yang kami mahu melainkan hanya untuk menambah amal yang kurang bersama hidup yang damai.

Sesampai aku di rumah pada petangnya, tersenyum-senyum dan bergegas kami mendapatkan telefon bimbit masing-masing...bukan untuk menutup rahsia sulit tetapi untuk membuka mesej-mesej penting yang masuk...hahahaaaa.

#tiadarahsiaantarakami

Terimakasih ya Allah!


Friday, 22 September 2017

Kisah Aku

Terpanggil untukku berkongsi sebuah kisah bilamana hangat diperkatakan tentang peranan para guru dan ibubapa dalam mendidik anak-anak mahupun pelajar.

Aku pernah digantung asrama dan sekolah bersebab mengarah pelajar baru membasuh baju. Arahan membasuh baju untuk 'freshie'..bagiku itu adalah perkara biasa di kala aku sendiri pernah diarah oleh abang 'senior' membasuh baju-baju hapak mereka pada setiap minggu..takde masalahpun.

Masalahnya bila 'freshie' manja tersebut mengadu kepada ibubapa. Ibubapa hadir ke sekolah berjumpa Pengetua. Aku diarah masuk ke bilik Pengetua dan kelihatan ibubapa masing-masing juga hadir. Beliau dengan tidak teragak-agak mencubit perutku dan pipiku ditampar perit. Di waktu itu juga beliau menalipon ayahku memaklumkan tentang penggantungan asrama dan sekolah selama 2 minggu berkuat kuasa serta-merta. Penggantungan 2 minggu atas kesalahan membuli pelajar membasuh baju. Hahaaaaa...jahat sangat lah aku yeee..hihiiii.

Apa respon ayah dan ibuku sesampai sahaja aku di rumah? Mereka tidak memarahiku tetapi mempertahankan tindakan mencubit dan ditampar oleh Pengetua.

Banyak yang aku belajar dari rentetan peristiwa tersebut. 

1. Nyata tindakan Pengetua tersebut memang wajar diterjemah di hadapan ibubapa pelajar yang mengadu. Bahawa sekolah mempunyai autoriti penuh untuk mengambil tindakan disiplin terhadap para pelajar.

2. Ayah dan ibuku tidak mempersoal tindakan Pengetua dan mengatakan bahawa aku patut bersyukur dengan penampar yang hanya sekali sahaja hinggap di pipi.

3. Ayah dan ibu tidak memarahiku bukan kerana mereka memihak kepadaku tetapi sebetulnya mereka terlebih kenal sikap dan perangai anak-anak mereka dan meletak sepenuh kepercayaan terhadap apa yang aku ceritakan kepada mereka.

Apa hasilnya? Jiwaku semakin lunak dengan pendekatan ayah dan ibu. Kepercayaan yang mereka berikan membuatkan aku lebih mesra bersama mereka dan lebih bersedia menghadapi dunia luar.

Aku cuba kaitkan kisah tersebut dengan topik hangat masa kini...peranan ibubapa dan guru dalam membentuk sahsiah dan peribadi anak-anak dan pelajar.

Ya..mungkin mak bapak kita dahulu tidak sebijak dan secerdik ayah ibu generasi sekarang tetapi mereka amat menitikberatkan sahsiah diri dan disiplin hidup. Marahlah, tamparlah, cubitlah, rotanlah, berdirilah di atas kerusi, berlarilah sekeliling padang sekolah...jika matlamatnya untuk mendidik.

Malangnya sekarang, semakin tinggi ilmu dan pengetahuan ibubapa, semakin dirobek-robek imej dan kerjaya perguruan mahupun pendidik. Profesion perguruan bukan lagi menjadi kebanggaan dan mendapat penghormatan masyarakat malah menjadi objek cemuhan dan ugutan 2 generasi...ibubapa dan pelajar!

Musibah demi musibah mula menjelma memberi mesej kepincangan akhlak yang kronik sedang menyerang generasi terkini...natijah dari kecerdikan ibubapa yang semakin buta mata dan kelam hatinya!

23 nyawa terpaksa dikorbankan sekaligus bagi membuka mata Negaraku...Sehati Sejiwa!

Al Fatihah buat arwah ayahku, pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan Pengetua STAD 1985 Tn Hj Kaman b Othman.


Sunday, 17 September 2017

Bukan Salah Keluarga?

Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang berpunca dari perbuatan khianat dan dendam remaja di lingkungan usia 11 hingga 18 tahun menjadi sejarah hitam buat negara.

Amat mengejutkan apabila insiden ejek-mengejek berakhir dengan tragedi dan kematian 23 nyawa. Generasi apa yang sedang menghuni tanahair yang tercinta ini.

Ada yang menyalahkan para guru (walau remaja terbabit tidak lagi bersekolah). Tidak adil sama sekali untuk kita meletak salah kepada para pendidik yang diikat kaki dan tangannya dalam mendidik anak bangsa. Wujudnya spesis ibubapa yang tidak membenarkan anaknya dijentik mahupun dijemur di kawasan lapang, tambah membantutkan lagi pembentukan sahsiah pelajar.

Ibubapa dan institusi keluarga...mereka adalah insan yang paling hampir dan lebih bertanggungjawab penuh membentuk peribadi anak-anak. Mengapa tidak? Islam meletak anak-anak sebagai amanah yang harus diurus sebaik mungkin. Islam telah menggaris panduan lengkap method mendidik anak-anak. 

Ibubapa...tolong jangan beralasan dan meletak salah kepada persekitaran. Berhempas pulas mencari rezeki tidak pernah melupuskan tanggungjawab mendidik anak-anak. Di zaman yang mana alat komunikasi melangkaui pemikiran kita untuk berhubung, bisa merapatkan jurang tersebut. Ibubapa boleh sentiasa berhubung dan memantau pergerakan anak-anak.

Alasan rumah sempit? Sebenarnya jiwa kita yang sempit dalam mengimarah keluarga. Kita tidak meletak Islam di hadapan. Tiada solat berjemaah, tiada tazkirah, tiada alunan al Quran yang dibaca. Ada keluarga yang hanya duduk di rumah pangsa 2 bilik. Sebahagian anak-anak tidur di ruang tamu beralas tilam nipis..tetapi hubungan keluarga tersebut akrab kerana jiwa mereka diisi penuh dengan sifat-sifat kekeluargaan. Mereka bahagia.

Kedapatan ibubapa yang tidak bersedia menerima perubahan-perubahan jiwa remaja anak-anak. Mereka mahu anak-anak mengikut seratus peratus apa yang disaran tanpa mempeduli jiwa remaja anak-anak yang sedang menggila ingin mencuba sesuatu yang baru. Mereka tidak mengimarah pendapat anak, lantas berlaku konflik dalaman keluarga.

Ibubapa merupakan mentor di dalam institusi keluarga yang bakal mengeluarkan produk masing-masing.

Wahai ibubapa, tanyalah diri sendiri...produk jenis apa yang sedang kau cipta untuk diperkenalkan kepada masyarakat? Jawablah...jangan berlepas tangan dari tanggungjawab tersebut kerana aku sudah tidak betah lagi melihat kes-kes buli yang mengakibatkan kecederaan dan kematian yang tidak berkesudahan.

JAWABLAH...kerana kita akan 'tanggung' akibatnya di dunia dan 'jawab' di akhirat!



Al Fatihah untuk 23 para syuhada Darul Quran Ittifaqiyah.

Darul Ittifaqiyah

Sebelum bicaraku bermula, sama-sama kita menadah tangan berdoa seikhlasnya agar para pelajar tahfiz dan asatizah Darul Ittifaqiyah seramai 23 yang terkorban di dalan kebakaran tragis, ditempatkan bersama para syuhada dan mereka yang berjuang di jalanNYA. Ameen.

Terkesan...amat-amat terkesan jiwa ini bilamana rebung yang di dalam proses untuk memartabatkan Islam telah menemui Tuhan di dalam situasi yang hanya DIA sahaja yang mengetahui rahsia, ibrah dan kebaikannya. 

Pelbagai reaksi yang diterjemah oleh 'netizen' di alam maya. Yang sedih, terharu, marah, mengkritik, menegur...menampakkan betapa masyarakat kita amat prihatin dengan senario yang berlaku.

Aku di dalam 'mode' memerhati...mengumpul maklumat sebetulnya untuk kukupas segala yang terhidang di hadapan mata. 

Eerrmm rata-rata mentaliti menuding jari masih mendominasi masyarakat prihatin ini. 

Bekas menteri penerangan mengarah tutup sahaja sekolah aliran tahfiz. Selebriti yang ber'jalan-jalan cari makan' mem'bangsat'kan pengetua yang dikatanya berlepas tangan. Aktivis masyarakat mempersoal tindakan melaungkan azan di kala bantuan lebih diperlukan. Orang awam menyalahkan para guru yang menjadi punca kebejatan masyarakat ke tahap berani membakar sekolah.

Tutup sekolah tahfiz boleh selesai masalah? Sepatutnya kita lebih malu kerana tiada dana khas yang diperuntukkan bagi sekolah tahfiz beroperasi sepertimana yang diperolehi oleh sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Aliran tahfiz itu sendiri sebetulnya cuba mengimbangi segala yang tidak keruan di dalam perjalanan sistem pembelajaran semasa.

Mengeluar kata-kata kesat (bangsat) boleh selesai masalah? Itu hanya 'method' picisan mahu menjadi pejuang keselamatan (konon). Sudahnya bila situasi reda dan mengetahui duduk perkara sebenar..meminta maaf di atas keterlanjuran ayat.

Mempertikai laungan azan (yang digariskan oleh sunnah apabila berlaku kebakaran dan ribut) boleh selesai masalah? Jika tiada laungan azan, bolehkah muazin itu merempuh masuk ke tingkat 3 bagi menyelamatkan pelajar yang terperangkap? Sudahnya melakar ayat 'maaf' di atas emosi berbicara.

Meletak salah ke atas para guru boleh selesai masalah? Sudahnya bakal menjadi dendangan lagu 'bangau oh bangau', habis semua terpalit menjadi mangsa tudingan jari.

Kita semua berhak menyuarakan pendapat dan pandangan peribadi...mari kita imarahkan semuanya. Tetapi tahap mana mentaliti pandangan itu berada? Mentaliti provokatif? Mentaliti pasif/neutral? Mentaliti optimistik?

Mentaliti provokatif...melepas emosi dan provokasi dalam mengeluarkan pandangan.

Mentaliti pasif...mengupas isu berpandu ilmu terhad yang dimiliki.

Mentaliti optimistik...mengumpul maklumat dan membuat 'homework' agar pandangannya tidak tersasar dan lari dari fakta.

Dari menutup sekolah tahfiz, lebih optimis untuk kita utarakan proses membaikpulih prasarana sekolah tahfiz di Malaysia.

Dari membuta tuli membangsatkan Pengetua, lebih berhemah untuk kita bersabar dan mengumpul maklumat beserta fakta dalam memberi ulasan.

Dari mempertikai azan, lebih elok membekukan jemari dari menulis sesuatu yang kita tidak berada di situasi kritikal tersebut.

Komen ringkas aku...

Ya...nampaknya kita terpaksa mengorbankan sesuatu untuk membuka mata semua...hanya berjumlah RM50 juta untuk 23 jiwa para syuhada. Renung-renungkanlah...

Wallahuwa Rasul a'lam...Allah dan Rasulnya lebih mengetahui

Al Fatihah untuk anak-anak syahid...


Sunday, 3 September 2017

Imarahkan Dunia dan Seisinya

Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali! Begitulah nukilan pepatah Melayu yang sudah berakar umbi di benak kita. Pepatah tersebut sebenarnya menelanjangkan sikap bangsa Melayu yang terus menghukum si pesalah walau hanya sekali berbuat silap. Segala kebaikan yang pernah diperbuat dahulunya, terus lenyap dari ingatan tanpa memberi peluang kedua. Si pesalah dicerca, disindir, dipulau.

Kita menghukum manusia selagak mereka ahli neraka. Kita meletak salah pada manusia sepertinya mereka tidak akan bertaubat. Kita mengata nista manusia macamlah kesempurnaan itu millik diri.

Eerrmmm...kita lupa bahawa manusia yang di hadapan kita itu, dicipta penuh dengan kelemahan termasuk diri sendiri! Hakikat itu agaknya sukar diterima yang menjadikan diri amat payah untuk bertolak-ansur apatah lagi berkongsi rasa.

Kita sibuk bersama persepsi-persepsi dangkal tanpa bukti. Apa sahaja terlintas di hadapan mata, terus disusuli bersama rumusan tanpa tahu hujung pangkal.

Hanya yang kita fokus adalah objek di hadapan mata. Itulah punca segala permasalahan yang berlaku. Kita rimas dan lemas dengan kerenah dan mehnah alam. Serasa mahu lari ke hujung dunia tanpa manusia-manusia berwatak antagonis mengelilingi diri. Kita tidak mahu cuba menyesuaikan diri dengan dunia yang dicipta khas buat kita.

Jika begitulah keadaannya...mahu aku syorkan jalan penyelesaian? Okey..mari kita andaikan Allah makbulkan doa dan munajat kita untuk hidup tanpa perlu berkomunikasi sesama manusia lain...dengn ertikata lain, kita hidup bersama robot!

Pergilah ke mana sahaja...hanya pergerakan besi dan keluli yang terlihat. Pergi ke pasaraya, hanya robot yang menyapa di mesin juruwang. Mahu makan di restoran, masukkan sahaja jumlah wang lalu 'vending machine' berperanan mengeluarkan makanan dan minuman pilihan.

Di pejabat tidak perlu risau, tiada ketua yang akan memarahi dan tiada kakitangan lain yang menjadi pesaing..hanya kita sendirian menghabiskan tugasan dan hantar secara talian terus.

Di jalanraya, tiada kereta lain..hanya kita bersendirian memandu. Tiada kesesakan dan tiada lampu lalu-lintas yang mengawal. Tiada polis yang menyaman. Tidak berlaku senario potong barisan dan tiada bunyian hon kenderaan.

Di taman permainan, tiada kelibat keluarga lain. Anak-anak kita tidak perlu berebut-rebut hendak menaiki buaian dan gelongsor. Masjid kosong..tiada kedengaran suara anak-anak berlari-lari bermain di ruang solat yang menjadi kerimasan.

Pendek kata, tidak timbul masalah kejiwaan yang selama ini menghantui diri sehingga menyempitkan pergerakan hidup. Tiada sakit hati, tiada iri, tiada dengki, tiada dendam, tidak menjeruk rasa, tiada masalah kejiranan. Tidak perlu menjaga hati sesiapa, tidak perlu menyapa sesiapa, tidak perlu senyum. Hanya kita-kita aje.

Kita hidup di alam serba bisu! Mahu?



Di kala itu, baru kita sedar betapa berkomunikasi itu adalah fitrah manusia lalu kita meraikan rakan handai taulan, lalu kita bersabar dengan kerenah mereka, lalu kita tersenyum melihat anak-anak berlarian di masjid, lalu kita memberi laluan kepada kenderaan lain di kesesakan lalu-lintas, lalu kita akur dengan teguran ketua jabatan. Kita ketepikan rasa penting diri!

DI ATAS KESEDARAN BAHAWA KITA TIDAK BOLEH HIDUP BERSENDIRIAN!!!

Lantas, bersabarlah wahai sahabat. Jika kedapatan masalah bersama makhluk, jangan dilepaskan kepada makhluk..nescaya masalah tersebut akan terpantul kembali kepada empunya diri lantas kita terperangkap dalam masalah ciptaan sendiri. Sebaliknya lepaskan masalah tersebut menuju kosmos dan biar ia lepas bebas ke langit 7 tanpa kembali ke hati kita.

Kerana kita ada DIA!!!

Sunday, 6 August 2017

Mendekati Selebriti

Beliau bergelar ustaz..sejak lama dulu.  Beliau dijemput ke majlis-majlis ilmu, memberi tazkirah, memberi ceramah bersambil menjual produk-produk kismis, vcd ceramah dan selawat.

Mendahului 10 tahun lepas, syarikat kami kerap menyenarai nama beliau untuk sebarang aktiviti keagamaan. Memang beliau komited dengan gelaran ustaz yang disandang.

Masa berlalu, beliau semakin dikenali. Sering dijemput untuk slot-slot di radio dan TV. Begitulah hukum alam menentukan tahap dan kedudukan seseorang yang komited dengan bidang mereka.

Bukan ustaz tersebut yang menjadi subjek aku. Telatah mereka yang di sekeliling yang sebenarnya mencuit jemariku untuk bercerita. Apa ceritanya?

10 tahun lalu, di kala peranan ustaz tersebut biasa-biasa sahaja...tiada siapa peduli. Seusai ceramah, mereka bersurai. Hanya yang berdekatan beliau, menghulur tangan untuk bersalam.

Hari ini? Beratur mereka menunggu giliran untuk bersalam dan bergambar sehingga mereka tidak hirau bahawa mereka telah melangkaui jamuan yang telah dihidangkan untuk ustaz tersebut!

Bukan salah ustaz tetapi salah kita yang memilih bulu dalam mengimarah tetamu. Kita tegar mendekati mereka yang ada nama dan dikenali ramai. Bergambar sakan dan kongsi semahunya di alam siber.

Alhasil, kita hanya mengakhiri majlis tersebut dengan rakaman gambar-gambar selebriti berbanding dengan amalan ilmu yang telah disampaikan dalam ceramah. Ilmu itu tidak meresap ke dalam jiwa. Masuk telinga kiri..melantun kembali keluar ke telinga kiri! Hanya yang ada di hati..bangga bersama penceramah selebriti. Sebar ke seantero dunia!

Aku bermuhasabah...jangan perasan di kala kakitangan mengimarah diri kita..hanya kerana kita masih berjawatan. Bersara kita..habis segala. Nak hormat apa lagi?

Sebetulnya sewaktu masih berjawatanlah kita imarahkan sesiapa jua. Berhemah dengan semua kakitangan, tidak kira apa peringkat dan jawatan waima bersama pencuci tandas!

Aku hanya memerhati dari jauh. Mereka masih lagi berkumpul mengelilingi ustaz. Biarkanlah mereka...tidak mahu aku terjangkit dengan virus glamour yang menjadi kegilaan mereka..aahhhh.


Monday, 31 July 2017

Aku Dah Letih



Manusia...sifatnya lemah dan memerlukan kebergantungan yang tinggi kepada PenciptaNYA. Manusia..jika mahu diukur kemahuan bersama kudrat yang ada, semangatnya tampak tinggi melangit seolah tiada had untuk mereka menoktahkan segala usaha.

Baginda Rasulullah SAW dianugerahi semangat juang tinggi hingga mengenepikan segala kemahuan dan kepentingan diri. Pengorbanan yang tiada tolok banding jika mahu diukur bersama jumlah 7 billion manusia di atas muka bumi. Menganalogikan bulan di tangan kanan dan matahari di tangan kiri...tetap mahu Baginda teruskan perjuangan.

Aku...aku letih sebetulnya. Kudratku terhad untuk segala keperluan yang mahu diperjuangkan. Letih dengan kerenah manusia..letih menghadapi tugasan yang makin mencabar minda dan akal fikiran. Letih bersama masa yang semakin merenggut kecergasan diri.

Letih..ya letih!

Perlukah aku menyerah dan berserah? Ohhhhh...siapa kata aku akan ditewaskan oleh persekitaran? Biar masa berlalu..biar waktu merenggut usiaku..biar detik memamah ingatanku..aku tetap teguh bersama ikon manusia yang dicipta bersama sunnah-sunnah yang memayungi diri.

Letihku sebentar cuma...sehabis lenaku beradu, terus semangat dan kudrat itu berganti baru bersumberkan 'recharge' dariNYA. Ya...ayat-ayat itu bisa melunak dan mengembalikan tenaga yang hilang. Besarnya ayat-ayat tersebut bisa mengecilkan segala masalah lantas sirna diulit waktu.

Kerenah makhluk di sekitar, bertukar menjadi selingan hiburan santai tatkala bayangan 'maut' terpapar di kelopak mata. Siapa aku untuk mengatakan tidak kepada ujian itu? Siapa aku untuk merungut-rungut dengan tohmahan manusia walau seribu kebaikan disemai? 

Aku layak dihina..aku pantas dikeji kerana aku adalah HAMBA! Biar letih itu menjadi sahabatku..untuk aku berehat di sana...dengan seizinNYA.

Thursday, 15 June 2017

Untuk Aku...Untuk Kamu

Semua kita pasti inginkan perkara-perkara baik berlaku dalam kehidupan. Punya keluarga harmoni, rakan-rakan yang membantu, kerjaya yang cemerlang, keperluan hidup yang teratur, kesihatan yang stabil dan sempurna serta bermacam-macam harapan yang indah-indah.

Tidak salah mengimpikan semua itu kerana memang fitrah manusia begitu. Islam tidak melarang kita berusaha untuk sebuah kebaikan apatah lagi sekiranya kebaikan tersebut boleh dikongsi bersama yang lain.

Apa pula kisah jika apa yang diharap tidak menjadi. Mengharap keluarga harmoni..macam-macam masalah yang ditimbulkan anak-anak, rakan-rakan bersifat keakuan, kehidupan yang kurang stabil dan bergelut dengan hutang-piutang, kesihatan yang tidak mengizinkan untuk kita melangkah jauh.

Apa respon kita terhadap segala kemelut yang mendatang. Merungut? Membebel? Menyalahkan orang lain? Oohhh..semua itu tidak membantu ke arah sebuah penyelesaian.

Mengapa terjadi begitu? Kerana hanya yang indah-indah bermain di fikiran. Eskpetasi kita tentang kehidupan melangkaui takdir Allah.

Mari kita kembali kepada asas kehidupan...mengapa manusia dijadikan? Ya..jin dan manusia dicipta untuk beribadah kepada Allah. Amanah sebagai khalifah di muka bumi harus dipikul kerana segalanya akan dijawab di akhirat.

Sebagai manusia bertaraf 'hamba', kita tidak boleh mempertikai perancangan yang datang dariNYA. Memang ditakdirkan perkara yang meresahkan itu menimpa kita...beriman dengan qada' dan qadarNYA. Hanya yang boleh untuk kita berusaha sebaik mungkin dan mencari jalan penyelesaian.

Justeru, wajarkah kita merungut-rungut melahir rasa tidak puas hati terhadap sesuatu yang tidak menyenangkan? 

Ingat...perancangan Allah tidak pernah tersilap. Jika hadir seseorang marah-marah kepada kita, memang itulah takdirnya yang dirangka sejak kita diberi nyawa pertama di dalam kandungan. Bertabah dan bersabarlah dalam menangani orang yang marah-marah itu. Jangan hanya memikirkan objek manusia yang sedang marah tetapi selamilah hati sendiri bahawa Allah sedang memerhati kelakumu.

Jika kereta seseorang merempuh kereta kita dari arah belakang...hari dan waktu tersebut memang tepat berlaku ke atas kita. Bersabarlah dan jangan marah-marah. Lekas-lekaslah selesaikan dengan meminta butir-butir yang diperlukan untuk urusan tuntutan insuran. Sedarlah..Allah sedang mengujimu.

Jangan keliru. Sebarang perkara yang membabitkan kesilapan kita...itu adalah kafarah terhadap dosa-dosa sekarang atau terdahulu. Tetapi sekiranya semuanya baik-baik sahaja tetapi masih lagi datang musibah..itu yang dinamakan ujian.

Bersedialah...ujian bukan hadir sekali, dua kali..tiga kali. Ujian telah ditakdir ke atas kita berkali-kali. Lepas satu, satu..lepas satu, satu. Ujian hanya akan berakhir bila terputusnya nyawa dari jasad. Apabila melepasi ujian semasa..bersedialah dengan ujian yang seterusnya.

Jika ditanya mengapa ujian yang sama dilalui berkali-kali? Jawapannya kerana kita tidak lulus dengan ujian tersebut. Justeru ditimpakan ujian tersebut berkali-kali agar kita lebih bersedia dengan tingkatan ujian yang seterusnya.

Ujian Allah tidak pernah tersilap alamat...ia tepat menuju kepada empunya diri...TEPAT!

Justeru bersedialah dalam menghadapi skrip kehidupan yang direncanakan seawal kita diberi nyawa. Ubahsuai skrip tersebut menurut apa yang telah digariskan oleh 2 Nas al Furqan dan al Hadis. Hanya yang tidak bisa diubah adalah skrip hembusan nafas akhir yang bakal menentukan pemastautin kita di sana...bersedialah!

Jangan meminta dikecilkan ujian tetapi pintalah untuk dibesarkan iman untuk melaluinya.

Untuk aku...untuk kamu...

20 Ramadhan 1438 H


Tuesday, 30 May 2017

Isteriku Semakin Yakin

Aku dan isteri...rutin seharian kami tidak sesibuk mereka yang ada anak-anak kecil. Bermacam kerenah, keperluan dan pemantauan yang harus diletak demi memasti semua berkeadaan sempurna dan lancar.

Sungguh...banyak ruang waktu berbaki di kala hanya kami berdua menjadi penghuni setia teratak. Hendak memasak? Sungguh tidak berbaloi..sudahnya banyak lauk yang terbuang. Kalau masakpun hanya di hujung minggu. Kamipun bukannya cerewet dalam soal makan...asal kenyang..sudah.

Bagi mengisi ruang waktu yang ada, isteri banyak meminjam buku dari perpustakaan. Sekali pinjam, sampai 6 buah buku dibawanya balik. Haaa..banyak yang tidak sempat dibaca..diperbaharui lagi tarikhnya. Hihiii..senyum aku melihat gelagatnya.

Alhamdulillah...sikapnya meminjam buku meletak aku di posisi teruja. Dia faham buku jenis apa yang menjadi kegemaranku...aku tumpang sekaki. Sering dia berkongsi apa yang dibaca dan meminta agar aku mengulas.

Errmmm...salah seorang pengarang buku kegemarannya dinamai sebagai 'Bonda Nor'. Isteriku memuji-muji gaya penyampaian dan ilmu jiwa yang dimiliki pengarang. Dengan gaya penceritaan yang santai tetapi amat menusuk...banyak bicaranya tentang hati. Disua-suanya untuk aku membaca. Kucapai buku bertajuk 'Bila Hati Berkata Biar Hati Terasa', kolaborasi karangan beliau bersama Prof Muhd Kamil Ibrahim juga buku 'Pujuklah Hati'.

Haaahhh...tersenyum-senyum aku seusai membacanya bilamana isteri meminta komentar aku. Banyak soal hati yang pernah kukongsi bersama isteri sebelumnya..terdapat di dalam tulisan Bonda Nor. Apalagi jika bukan kerana bagaimana untuk melunakkan hati, bagaimana untuk meletak sabar yang tinggi, bagaimana mengawal hati agar tidak terasa dengan kelaku manusia di sekeliling, bagaimana mahu melawan rasa amarah dan banyak lagi.

Bergurau aku dengan isteri dengan mengatakan.."agaknya sebab abang takde gelaran 'Profesor' atau 'PHD'...apa yang abang cakap macam takde apa je. Orang yang ada gelaran tu kalau karang buku..memang menusuk kalbu awak baca kannnnn".

Hahahaaaa...isteri aku tergelak besar dengan usikan itu. Aku tahu memang dia tidak bermaksud begitu, cuma buku yang dibacanya mengesahkan lagi bahawa segala teori yang aku utarakan terdahulu memang sahih dan terpakai.

Alhamdulillah...ilmu itu milikNYA. Ia boleh disampaikan oleh sesiapa sahaja. Suami yang naif, penulis bersama gelaran 'Profesor' atau 'PHD' bukan lagi menjadi isu. Yang penting..sejauh mana ilmu tersebut boleh diserap masuk menjadi amalan.

Isteriku semakin yakin dengan kehidupannya..Alhamdulillah.



Sunday, 7 May 2017

Betul ke Islam Itu Indah?

Merujuk kejadian yang berlaku di Johor Bahru di Masjid Austin Perdana. Solat Jumaat penduduk setempat terganggu dengan sikap biadap lelaki Cina yang membunyikan hon kereta kerana laluan trafik terhalang.

Secara dasar memang orang-orang yang bersikap begitu perlu diajar untuk belajar menghormati agama lain...apatah lagi di Tanah Melayu! Tetapi pendirian aku bertentangan dengan semua itu.

Ok..kalau boleh aku bertanya. Cuba lihat paparan video berkenaan, agak-agak la apa pandangan orang luar terhadap Islam? Indah? Harmoni? Berkasih sayang? Sabar? Bertolak ansur? Jauh panggang dari api. Jangan marah la kalau mereka cop orang Islam sebagai 'terrorist'...itu semua berasas! Yang berjubah mengesahkan lagi bahawa Islam itu ganas! Tampak seperti tiada ruang untuk sebuah perbincangan. Umat Islam tak habis-habis diratah provokasi.

Baca ni...cuba lihat apa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Hadis menukil bahawa sewaktu seorang Badwi buang air kecil di sudut masjid, para sahabat ingin memukul lelaki tersebut tetapi dilarang oleh Baginda Rasulullah. Mengapa? Ya...kerana Islam itu indah dan diajar untuk diterjemah lagi keindahannya oleh Baginda Rasulullah SAW. Baginda hanya menyuruh para sahabat membiarkannya dan mengarah membasuh air kencing itu. INI HADIS!!!

Di dalam peperangan, Islam meletak SOP untuk tidak membunuh wanita dan kanak-kanak, tidak membakar rumah juga dilarang memusnahkan rumah ibadat orang kafir!

Sudahpun ada panduan untuk kita berhadapan dengan segala kejahilan dunia luar...tetapi emosi juga yang merajai hati kita. Islam apa ini? Mana mungkin untuk kita berdakwah menarik orang luar memeluk Islam jika tak habis-habis berbangga dengan ketuanan Melayu yang pantang dicuit hak eksklusifnya.

Ingin aku bertanya lagi...menghalang lalu-lintas itu Islam? Sedangkan membersihkan duri di jalananpun dikira pahala...tentunya berdosa untuk kita menghalang perjalanan orang-ramai. Bila hon berbunyi maka melatahlah sekelian kita bersatu untuk mengajar sikafir.

Bagi aku penyelesaiannya mudah. Ambil video berkenaan tindakan lelaki Cina yang kurang ajar itu..viralkan untuk sebuah justifikasi juga untuk pengajaran buat semua disusuli dengan laporan polis. Biar dunia melihat Islam yang penuh berhemah. Selebihnya biar pihak berkuasa mengendalikannya.

Betulkan mentaliti kita. Bertindak mengikut garis panduan dan undang-undang. Ingat, ini bukan zaman batu dan barbarian yang boleh seenaknya bertindak ganas. Sekali kita bertindak, satu dunia dapat menyaksikannya. Ini yang berlaku di kalangan kita...kita sendiri yang menjadi fitnah terhadap agama yang indah dan syumul ini.

Aku sudah semakin muak dengan mentaliti kuno ini! Maaf.

Saturday, 8 April 2017

Bolasepak dan Organisasi

Bolasepak...pemain telah dipilih berdasar tahap pencapaian yang digariskan oleh sesebuah pasukan. Penjaga gawang merupakan akses terakhir dan penentu kepada serangan pasukan lawan. Pemain pertahanan selayak perajurit yang mempertahankan negara dari serangan musuh. 'Sweeper' pula merupakan pertahanan terakhir yang tugasnya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Pemain tengah merancang pergerakan balas dengan mengkucar-kacirkan pertahanan pasukan lawan. Dua sayap merupakan laluan kiri dan kanan yang akan melambung bola ke tengah untuk umpanan gol. Penyerang pula diberi tanggung-jawab yang berat agar pelaburan besar menghasilkan kejayaan setimpal bersama ledakan gol di setiap perlawanan. Jurulatih dilantik untuk mengemudi perlawanan bersama strategi baru, kreatif dan inovatif dalam memburu kejayaan.

Segalanya perlu dirancang dengan rapi dan kemas agar teori yang diajar dipraktikkan dengan jayanya di atas padang. Tontonan video perlawanan yang lalu diulang tayang beberapa kali bagi mencari punca kelemahan. Strategi taktikal dilakar di atas kertas untuk difahami oleh semua pemain. Diupah pula pakar motivasi bagi memberi semangat dalam menggerakkan minda dan jatidiri para pemain.

Setiap pemain memiliki skil tersendiri. Apabila berada di atas padang, mereka akan mempraktikkan segala taktikal dan teori yang diajar. Bakat dan kelebihan semulajadi menjadi nilai tambah kepada sesebuah pasukan tanpa mengkesampingkan bermain secara berpasukan.

Namun begitu, berlaku juga kes pemain-pemain yang terlibat dengan rasuah. Mengapa? Segalanya berpunca dari kepentingan diri dalam mendapat laba yang lumayan sehingga sanggup mengetepikan semangat setiakawan dan patriotisme pasukan.

Lihat...itu hanyalah sebuah perlawanan bolasepak yang bukan setakat menghibur jutaan penonton malah bisa menghasilkan pulangan lumayan dan menjana pendapatan yang bukan sedikit.

Oohhh...aku hanya meng'analogi'kan permainan bolasepak bersama pengurusan sesebuah organisasi. Apa perbezaannya?

Tiada beza sama sekali!

Organisasi perlu penjaga gawang yang cekap. Jangan biar syarikat digelumangi fitnah dan dijangkiti virus..tepis segalanya dengan fakta dan penerangan lengkap. Setiap jabatan harus berusaha keras meletak sasaran yang dirancang.

Organisasi perlu pertahanan yang kuat. Kakitangan harus bersatu dalam mempertahankan kredibiliti dan maruah syarikat.

Organisasi perlu kepada pemain tengah (middle management) yang berperanan besar dalam menggerakkan misi untuk mencapai visi.

Organisasi perlu pemain sayap kiri dan kanan (sales & marketing) yang dengan segala daya menarik pelanggan baru dan mengekalkan pelanggan lama.

Organisasi perlu kepada barisan penyerang yang bertugas mempromosi kelebihan syarikat di mata luar. Inovasi baru direka cipta bagi menarik perhatian pelanggan.

Organisasi harus diterajui oleh pemimpin tertinggi yang berwibawa lagi berpandangan jauh dalam mengemudi pelayaran dalam mencapai misi dan visi syarikat.

Setiap individu pekerja dibangun dan diasah bakat mereka dengan segala kursus yang berkaitan agar mereka lebih bersedia menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Minda, jatidiri, kemahiran dan idea-idea perniagaan dibangunkan sebaik mungkin bagi memastikan syarikat berada di landasan yang betul dalam mencapai misi dan visi yang telah digariskan.

Dalam aktiviti pembangunan yang rancak berjalan, kedapatan juga kakitangan yang melawan arus. Bakteria dan virus disebar demi memastikan kelangsungan pengaruh dan kepentingan individu terjamin.

Keadaan in harus dibendung dengan memberi rawatan segera agar tiada sesiapapun terkebelakang dalam proses mencapai misi dan visi syarikat.

Bolasepak..di akhir liga mahupun kejohanan, hanya sebuah pasukan yang akan dinobat sebagai juara.

Organisasi...sekalipun gelaran juara tampak gerhana, tetapi kelangsungan kewujudannya harus dikekalkan sebagai sebuah syarikat yang berdaya saing sehingga mampu meninggalkan legasi cemerlang dalam melestari misi dan visi baru!

Bolasepak dan Organisasi di mata aku...


Monday, 13 March 2017

Islam Itu Mudah dan Indah

Hari itu hari Jumaat..aku bermusafir. Permusafiran yang hanya bertaraf domestik. Aku berkesempatan menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid yang dibangunkan oleh Yayasan AsSofa di Rembau, Negeri Sembilan.

Di tapak tersebut wujudnya Sekolah beraliran Agama bersama silibus Kebangsaan, Sekolah Tahfiz yang menekankan hafazan Al Quran juga aliran silibus bermatlamat melahirkan Ulama' dan Umara'.

Masjid yang sederhana besarnya bersama pendingin udara yang nyaman dan permaidani tebal membuat aku berasa teruja. Mereka memberi mesej bahawa Islam itu indah dan kaya bersama penganutnya yang dermawan.

Suasana putih membaluti landskap ruang utama masjid. Para pelajar mengenakan jubah dan kopiah putih lambang kepada rawatan hati untuk kembali kepada fitrah asal...diahirkan tanpa dosa.

Azan mula dilaungkan diikuti bacaan 2 khutbah oleh khatib...segalanya ringkas dengan hanya mengambil keseluruhan masa selama 10 minit!

Ini yang disarankan oleh Islam...meringkaskan khutbah bersama isi yang padat dengan objektif yang jelas. Tidak sempat untuk para jemaah berasa mengantuk!

Ya...Islam itu mudah tetapi dek rasa keterujaan melampau di atas mimbar, ramai khatib tidak melihat keindahan Islam yang tidak membebankan penganutnya bersama teks-teks panjang dan membosankan.

Bangunlah wahai khatib-khatib  di mimbar!



 

Monday, 27 February 2017

Etika 'Trainer'

Memandu Kelas Latihan bersama peserta-peserta dewasa apatah lagi yang berjawatan, harus bersama etika dan tolak ansur yang bukan sedikit. Melalui pengalaman dan dalam keterujaan aku mengendalikan kelas bersama peserta-peserta yang lama berkhidmat, membuatkan aku lebih meletak muhasabah ke atas diri...apakah aku menepati citarasa peserta atau dalam diam, mereka menolak personaliti diri ini.

Hari itu aku menghadiri kursus bersama Konsultan yang dilantik oleh pihak syarikat. Melihat usia, melalui penceritaan dan cara beliau mengendalikan peserta, aku tahu beliau seorang yang berpengalaman. Kejayaan beliau diserlahkan lagi dengan paparan biodata diri dalam sesi pengenalan.

Kelas latihan menginjak ke separuh hari, ahhh..semakin ketara apa yang kurasa. 'Rasa' itu semakin disahkan apabila peserta lain juga bercerita perkara yang sama.

Kedapatan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh beliau melalui penyampaian bahasa dan gerak laku yang tidak sesuai digunapakai...beliau tidak perasan agaknya.

1. Apabila kelas agak hingar-bingar dengan perbincangan dikala beliau ingin menyampaikan sesuatu...tonasi 'sshhhhhh..shhhhhh...' digunapakai untuk menarik perhatian peserta.

2. "Do you understand what I'm trying to say or not". Terlihat seperti merendah-rendahkan kemampuan pesertaSeolahnya para peserta adalah di kalangan mereka yang cetek ilmu dan kurang memahami penerangan mudah dari beliau.

3. 'Gesture'...beliau memberi penerangan seraya menuding jari telunjuk kepada para peserta. Amat tidak manis keadaan itu kerana beliau memberi isyarat 'autokrasi' kepada para peserta. Padahal beliau hanyalah seorang konsultan yang dibayar perkhidmatannya untuk sebuah produk.

Dari senarai di atas, aku percaya beliau tidak berniatpun untuk perlakuan tidak manis itu dan mungkin beliau juga tidak menyedari tonasi dan bahasa isyarat bisa memberi persepsi salah terhadap personaliti beliau.

Alhamdulillah...itu yang diajar di sepanjang aku menghadiri kursus 'Train The Trainer' suatu waktu dahulu. Personaliti 'trainer' amat dititikberatkan kerana ia bakal memberi impak yang besar kepada penerimaan organisasi terhadap apa yang dipamerkan.

'Trainer' bukan hanya berbekal ilmu yang beliau kuasai tetapi lebih dari itu...kemampuan menarik perhatian dan kecenderungan untuk mengimarahkan para peserta dengan tidak meletak diri 'tinggi melangit'...adalah di antara bahan ramuan yang amat penting untuk tidak dipinggirkan.