Translate

Saturday, 10 October 2015

Ritual Solat Hajat

Sudah menjadi 'trend' kebelakangan ini, sekolah-sekolah akan menganjurkan solat hajat bagi mendoakan kejayaan murid-murid di dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PT3, SPM dan sebagainya. Ia bertujuan agar anak murid mendapat kejayaan cemerlang dan meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya. 

Menjadi sesuatu yang janggal dan melawan arus pula jika ada sekolah yang tidak turut serta dalam permohonan hajat melalui solat beramai-ramai itu yang mana ibubapa akan berlumba-lumba untuk turut serta dalam menyokong usaha pihak sekolah.

Aku setuju dengan 'trend' semasa tersebut. Selain dari mendidik diri dalam kebergantungan hidup kepada Allah, ia juga dapat menyemai ukhuwah para guru dan ibubapa dalam usaha mencapai kejayaan.

Hanya ada ketika yang kita terlepas pandang dalam mentafsir erti 'kejayaan'. Kejayaan apa yang kita mahu anak-anak kecapi? Berjaya di dalam peperiksaan? Seterusnya ke menara gading untuk segulung ijazah dan mendapat pekerjaan yang baik...menjadi orang yang dihormati di atas kedudukannya yang tinggi di dalam kasta masyarakat.

Jika itu definisi 'kejayaan', bagaimana seorang Menteri Besar boleh menyalahguna kuasa dalam mendapat hak milikan tanah di Selangor?

Bagaimana seorang ahli politik biasa boleh membina rumah selayak istana, di Kelang suatu ketika dahulu?

Bagaimana boleh berlaku pecah amanah oleh pegawai tinggi Tabung Haji...di sebuah institusi berlandas agama.

Bagaimana seorang doktor tentera yang dihormati boleh bersubahat dalam kes pembunuhan timbalan pendakwaraya baru-baru ini.

Mereka semuanya orang yang berjaya dalam bidang masing-masing tetapi kejayaan tersebut tidak mampu menjadikan mereka insan yang amanah dan berintegriti apatah lagi bertakwa. Sebaliknya mereka menjadi semakin rakus mengguna kuasa dan kedudukan demi habuan dunia.

Justeru, jangan hanya memohon kejayaan dalam peperiksaan tetapi pohonlah agar anak-anak menjadi insan yang bertakwa seterusnya berjaya di dunia dan di akhirat. Hanya mereka yang bertakwa akan pasti mencapai kejayaan di dalam mengharungi ujian dan cabaran di dunia.

Silapnya kita apabila hanya mengikut 'trending' semasa dalam memanjat doa kepadaNYA. Solat hajat dilakukan apabila ada jemputan dari pihak sekolah. Islam diletak hanya sebagai ritual rasmi untuk diimarahkan.

Solat hajat seharusnya dilakukan secara berterusan oleh para ibubapa, guru dan anak-anak di rumah, kerana memang kita perlu ehsan Allah di setiap hari setiap ketika...menterjemah betapa bersyukurnya kita dengan nikmat dan rahmat dariNYA.

Seharusnya kita sentiasa lebih kerap tunduk sujud kepadaNYA kerana kita dijadikan untuk itu!!!

Semoga kalian berjaya di dunia dan di akhirat...buat semua pelajar.



No comments:

Post a Comment