Translate

Sunday, 30 November 2014

Aku Tak Setuju Dengan Mashitah

Datuk Dr Mashitah di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini telah mengupas isu-isu yang menyentuh sensitiviti dan hukum-hakam Islam yang semakin dicabar martabatnya.

Aku setuju...memang itu yang sepatutnya beliau lakukan.

Tetapi ada perkara yang aku tidak setuju di dalam ucapan beliau. Beliau mengkritik ustaz-ustaz yang berceramah secara berlawak, melakonkan aksi-aksi spontan juga secara bernyanyi di pentas ceramah.

"Kita datang nak dengar ceramah agama bukan nak tengok lawak".

"Nak berlawak pergilah pentas Maharaja Lawak".

Eerrmmm...Datuk Mashitah tak pernah hadir solat Jumaat di Malaysia. Datanglah sekali di mana-mana masjid atau lihat siaran langsung solat Jumaat di Masjid Negara di TV1.

Akan kelihatan jemaah yang tidur. Kenapa? Sebab konsep khutbah memang begitu. Tiada lawak tiada nyanyian. Sebab tu lah juga isi khutbah kena pendek, ringkas dan padat...bagi mengelak jemu dan mengantuk.

Itulah kreatifnya penceramah kita dewasa ini. Diselit selingan jenaka, nyanyian bollywood dan lakonan-lakonan seperti di rancangan Pencetus Ummah.

Impaknya ramai anak-anak muda tertarik dan mendapat manfaat ilmu dari inovasi para da'i.

Ini bukan mesyuarat hukum-hakam. Ini bukan perhimpunan ulama yang memerlukan keseriusan dalam membincang isu Islam. Ini bukan Majlis Fatwa yang harus fokus berkerut dahi untuk mengeluarkan resolusi.

Ini hanyalah majlis perkongsian ilmu dan peringatan yang menjanjikan pahala dan catatan Malaikat sekalipun mereka yang hadir tidak memahaminya. Malaikat akan memayungi siapa sahaja yang duduk di dalam majlis ilmu tersebut.

Jika 'serius' merupakan syarat menyampai ilmu, harus yang berminat, yang sabar dan bertaraf 'otai' sahaja yang bakal memenuhi ruang ceramah agama. Yang muda remaja, yang kaki rempit dan lepak, juga yang senja berjiwa muda akan terus mengelak-elak dan beralasan mengimarah majlis ilmu...BOSAN katanya! Kelak hanyutlah mereka bersama alunan noda dan dosa.

Aku tak mahu mengulas lanjut. Cuma aku terfikir...sebab itulah Melayu semakin menolak UMNO. Mereka rasa gah memerintah ikut acuan lama tanpa mahu berubah. Mereka lupa bahawa statistik remaja dan anak muda terutama Gen Y semakin lantang mahukan perubahan. Rupanya YB syok sendiri berucap dan berceramah.

Datuk Mashitah...teruslah lena beradu yeee...


Saturday, 29 November 2014

Beriman Dengan CCTV

Terminalogi 'Iman CCTV' aku dengar dari seorang Ustaz yang memberi ceramah di syarikat baru-baru ini. Ya...aku tertarik dengan penggunaan perkataan yang kontemporari itu.

Ia memberi maksud bahawa kita akan berlagak baik, menjaga tingkah-laku, berhemah, tidak melakukan sesuatu perkara yang mengundang curiga dan segala macam kebaikan yang perlu diterjemah...hanya apabila terdapatnya CCTV di persekitaran.

Samalah juga bagi pemandu-pemandu di jalanraya. Apabila terperasan adanya AES jarak 500 meter di hadapan, mereka terus memperlahankan kenderaan bagi mengelak dari rakaman kamera perangkap had laju. Sejurus melepasi AES, masing-masing memecut laju (penulis juga tidak ketinggalan!).

Kita semua sememangnya pelakon-pelakon hebat tanpa sutradara. Skripnya sudah dihafal sejak sekian lama. Di mana-mana sahaja keadaan memerlukan, kita bisa merubah karektor menjadi yang paling alim dan terlebih Ulamak.

Apa kisah di luar jangkauan CCTV dan AES? kita hanya menurut telunjuk nafsu tanpa berbelah bahagi. Kita berlagak semacam Tuhan tidak wujud. Kita menapak seolah Malaikat tiada di kiri bahu bagi mencatat perlakuan sebenar diri.

Terserlah...iman kita boleh ditinggal jauh jua boleh diletak rapat di dada.

Iman tulen tidak mmerlukan CCTV, AES dan peralatan canggih bagi memantau pergerakan. 
Iman tulen amat yakin kewujudan Allah dan Malaikat yang mencatat segala perlakuan.
Iman tulen tetap menjaga integriti diri walau jauh berseorangan.

Mereka yang beriman dengan CCTV tidak lebih dari hanya menipu diri sendiri...tanpa mereka sedar!

Tuesday, 25 November 2014

Ayam Itu Mula Berkokok

"Assalamu'alaikum Ustaz, saya ada benda nak tanya ni", aku ditegur oleh seorang kakitangan bila kami berselisih di koridor pejabat.

"Wa'alaikum Salam...ye apa bendanya tu?" sambutku mesra.

"Biasa kita dengar kalau ayam berkokok, maknanya ayam tu nampak Malaikat. Hadis tu sahih ke Ustaz?" dia seakan tidak sabar menunggu jawapanku.

"Eerrmmm..kalau tanya saya sekarang, susah sikit saya nak tentukan sebab saya kena buat sedikit rujukan. Kenapa pulak ni?" aku sudah mengagak-agak ada perkara lain yang mahu dikongsikan.

"Ada cerita sebenarnya Ustaz. Macam ni...hari tu waktu tidur saya tersedar dalam lebih kurang pukul 3 pagi, terus saya ambil wuduk untuk bermunajat kepadaNYA. Suasana bilik...gelap dan sunyi. Bunyi cengkerik memang jelas kedengaran".

"Tiba-tiba saya nampak ada cahaya terang-benderang di tingkap bilik datangnya dari luar. Saya cuba amat-amati dari mana datangnya cahaya tersebut. Adakah dari suluhan kereta atau motosikal mereka yang baru balik bekerja? Tidak kedengaran bunyi kenderaan langsung. Sah...sifat cahaya itu bukan berasal dari suluhan lampu kereta atau motor...agak pelik saya memikirkannya", beria-ia dia bercerita sambil tepat matanya memandang anak mataku.

"Saya tak berani nak buka tingkap...hanya biarkan sahaja cahaya itu berlalu pergi. Sehabis cahaya beredar, tiba-tiba ayam berkokok bersahut-sahutan. Bunyi kokokan ayam kedengaran jelas di tepi tingkap di mana cahaya tadi muncul. Agaknya ayam tu nampak Malaikat kot. Tidak kedengaran langsung bunyi cengkerik seperti mana sebelum cahaya itu muncul", dia menanti ulasan dari aku.

"EErrmm..macam ni lah", aku mula mengulas dari kisah penceritaannya.

"Jika hadis yang mengatakan bahawa ayam berkokok tandanya nampak Malaikat adalah sahih statusnya...Alhamdulillah, agaknya cahaya Malaikat lah yang awak nampak tu tetapi jika taraf hadis itu dhaif pula, adakah kita akan mengatakan Malaikat tak wujud?"

"Sebenarnya bukan itu isunya. Keyakinan kita wujudnya Malaikat harus kukuh kerana ia terkandung di dalam Rukun Iman. Ayam berkokok nampak Malaikat atau tak nampak, tidak lagi menjadi masalah. Yang penting, awak dah bangun di sepertiga malam dan tentu ada Malaikat yang mencatat amalan hebat tu". Aku cuba seimbangkan isu 'keajaiban' dan 'kehambaan' dalam mengulas.

"Kita boleh beramal melalui hadis yang dhaif bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan juga dalam memotivasikan diri untuk beramal. Tetapi hadis dhaif tidak boleh menjatuh 'hukum'. Hukum-hakam wajib bersandar kepada hadis sahih". Aku sudah mula bersandar di dinding dalam memperjelas isu.

Kami beredar kerana aku kesuntukan masa. Dalam aku berjalan menuju ke pejabat, hatiku berdetik..."bila kali terakhir aku bangun di sepertiga malam?" Mungkin ini juga mesej buatku...terimakasih bro!



Tuesday, 18 November 2014

MAS TerArak Laris

Negara Malaysia telah dinobat sebagai Negara Islam di zaman Tun Dr Mahathir...semua orang tahu.

Di dalam pesawat MAS terhidang arak...semua orang tahu (wajarkah dengan pegangan status negara Islam?).

Hidangan arak di pesawat MAS boleh dinikmati tanpa bayaran...semua orang tahu.

Menteri kabinet mempunyai kuasa untuk menghentikan hidangan arak di pesawat...semua orang tahu.

RUPA-RUPANYA HARGA TIKET PENUMPANG PESAWAT MAS SUDAH TERMASUK KOS HIDANGAN MINUMAN ARAK...ADAKAH SEMUA ORANG TAHU?

Memang agak memeranjatkan bahawa selama ini penumpang setia yang memilih MAS sebagai pilihan untuk merantau ke serata dunia, telah membayar harga minuman beralkohol walau tidak meminumnya. Bermakna penumpang telah bermurah hati memberi subsidi kepada penumpang lain untuk merasai 'nikmat minuman gila' itu!

Ini yang didedahkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi di Dewan Rakyat baru-baru ini apabila menjawab soalan Khalid Abdul Samad (PAS Shah Alam) yang bertanya adakah minuman keras diberi secara percuma atau sebaiknya.


Aku jadi semakin takut melihat kuasa-kuasa yang ada pada Pak-pak Menteri tetapi tidak diguna sebaik mungkin menurut kehendak syarak. Malah aku rasa tertipu dengan permainan kuasa yang ada pada mereka.

Bangga dengan semangat patriotisme yang ada dalam diri, langsung aku setia bersama MAS. Tetapi bangga bertukar menjadi 'dungu' bila jatidiri aku diperkotak-katik sedemikian rupa.

Baiklah...mungkin aku boleh bersabar dengan percaturan gila Menteri yang memandang arak dari sudut keuntungan semata (tak juga untung, malahan rugi dan tidak berdaya saing). Tetapi halalkah permusafiranku apabila aku turut menaja minuman keras di dalam pesawat? Naik GILA aku menahan amarah!!!

Nampak lebih berhemah dengan penerbangan AirAsia. Walau banyak perkhidmatan tersembunyi yang dipertikaikan tetapi aku hanya bayar apa yang aku mahu. Aku tidak dipaksa untuk mambayar subsidi minuman keras kepada penumpang lain. Mereka mahu minum, mereka bayar sendiri.

Halalkah penerbanganku bersama MAS? Aku tidak berani membuat andaian hukum. Isu ini mungkin akan dipanjangkan kepada menteri Agama Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Biarlah Majlis Fatwa menentukan hukum-hakam...mereka lebih arif.

Aku? sedang cuba melunakkan hati dengan banyak beristighfar...juga nekad untuk meminggirkan MAS sehingga isu arak dikebumi rapi.



Monday, 17 November 2014

Apa Pilihan Kita?

Apa hak kita untuk membuat pilihan?

Sebenarnya kita tiada pilihan apabila dihidupkan oleh Yang Maha Pencipta. Kita harus akur bahawa Allah memilih kita untuk melalui fasa kehidupan di dunia.

Seawal 40 hari di dalam rahim ibu, kita diberi nyawa dan nasib kita sudahpun tertulis di Lauh Mahfuz. Mahu atau tidak, kita dipaksa keluar dari rahim di usia matang 9 bulan. Apa pilihan kita?

Di awal usia bayi, kita bergantung penuh kepada rezeki yang Allah peruntukkan. Apa pilihannya jika hidup terbiar dan dicampak ke dalam longkang...mati dihurung semutlah jawabnya. Apa pilihan kita?

Kita tidak boleh selamanya menjadi bayi, hukum alam memaksa kita menjadi kanak-kanak, remaja, dewasa dan akan sampai ke penghujung usia. Apa pilihan kita?



Sehari-hari, perut bakal meminta makanan dan minuman. Perut tidak boleh berlapar sepanjang hari. Mahu atau tidak, kita dipaksa berusaha dengan membuat pelbagai pekerjaan demi sesuap nasi. Apa pilihan kita? 

Dalam menelusuri kehidupan, kita terpaksa akur dengan ujian dan cubaan yang hadir...kita langsung tidak berupaya menolak takdir. Apa pilihan kita?

Kita dipasang-pasangkan bersama jodoh yang ditentukan sejak azali. Ada yang menjadi, ramai juga pasangan yang kecundang. Apa pilihan kita?

Di akhir usia, Malaikat Izrail bakal bertandang menjemput kita ke daerah yang amat asing petanda berakhir fasa hidup di dunia. Apa pilihan kita?

Ya...nampak seakan kita dipaksa-paksa untuk melalui semua kerenah kehidupan yang tidak dipinta oleh diri kitapun! 

Apa pilihan yang kita ada?

Sebenarnya kita masih ada pilihan...iaitu dengan mentaatiNYA!

Jika kita menjalin hubungan akrab dengan Pencipta, segala yang dirasa sebagai 'terpaksa' akan berubah menjadi sebuah keseronokan dalam mengharungi kehidupan menuju kepadaNYA.

Itulah pilihannya...

Saturday, 15 November 2014

Proksi Angelina Jolie

Aku terbaca di dalam satu artikel berkenaan pasangan Angelina Jolie dan Brad Pitt. Bukan kisah lakonan mereka yang ingin kukongsi tetapi bagaimana cara mereka mendidik anak-anak.

Mereka pasangan bukan Islam yang mempunyai cara liberal dalam memberi pengisian rohani terhadap anak-anak. Mereka percaya bahawa semua agama adalah sama...semua agama menjurus ke arah kebaikan...semua agama mempunyai Tuhan yang harus disembah.

Di rumah mereka ada Bible, ada kitab Confiucus, ada ajaran Hindu juga ada kitab al Quran. Mereka adunkan Islam, Kristian, Hindu dan Buddha di dalam kehidupan.

Konsep ini sebenarnya yang digunapakai oleh pejuang Liberisme. Tiada beza antara Islam, Hindu, Buddha dan Kristian. Semua agama sama dan menjurus ke arah kebaikan. Agama tidak boleh dibeza-bezakan lantaran ia menjadi satu diskrimasi. Anak-anak tidak boleh dihalang dalam memilih jalan beragama.

Angelina Jolie dan Brad Pitt bebas memilih konsep beragama...itu tidak menghairankan. Tetapi mereka juga mungkin dijadikan proksi bagi menyebar fahaman liberisme. Jangan nanti kita yang terlalu meminati pasangan Hollywood tersebut, terjebak dalam fahaman mereka.

Kita yang beragama Islam harus berhati-hati. Islam adalah agama langit dan ayat-ayatnya datang dari pencipta makhluk. Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama penambahan dan ciptaan tangan manusia.

Kumpulan Liberisme ini sudah bertapak di Malaysia. Mereka mula lantang menyebar dakyah dan doktrin ciptaan manusia.

Kelibat mereka banyak terlihat di mahkamah di dalam kes-kes hak penjagaan anak apabila salah seorang pasangan berstatus bukan Islam. Anak juga bebas memilih agama mereka tanpa paksaan.

Melayu Islam diserang di bumi sendiri kesan dari tinggalan penjajah dalam konsep 'pecah perintah'. Penjajah berjaya meyakinkan Raja-raja Melayu bahawa mereka tidak berhak menyentuh acara keagamaan dan adat istiadat Melayu.

Tetapi sekarang? Bukan sahaja hak-hak Melayu dipertikaikan malah kuasa Mahkamah Syari'ah sudah boleh dicabar di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan.

Melayu masih betah tidur lena...



Tuesday, 11 November 2014

Provokasi Viral

Kes kertas soalan bocor? Kes curi? Kes buli? Kes dera? Itu semua sudah acapkali berlaku lama dahulu. 

Teringat di zaman remajaku. Kes buli pernah berlaku padaku sewaktu bergelar 'freshie' di asrama. Kalau setakat basuh baju setiap minggu tu biasa la. Suruh ambil makanan di dewan makan, jadi 'machai' pos surat kat awek. Kena penampar pun pernah. Tapi kalau kes belasah, tak pernah la pula sebab aku ni jenis tak melawan sangat.

Sudahnya bila aku mengambil alih peranan 'senior' dan arahkan 'freshie' basuh baju...esoknya mak ayah dia datang. Aku dipanggil oleh Pengetua. Masuk je pejabat Pengetua, mak ayah 'freshie' tu dah sedia menunggu termasuklah 'freshie' manja tu. Apalagi kena dua 'das' penampar dan cubitan di perut dari Pengetua (En Othman bin Kaman)..heheee. Bukan salah apapun...suruh 'freshie' basuh baju jeeeee. Nasib laaa kena dengan budak manja.

Tetapi sekarang bila berlaku kes soalan bocor, kes buli, kes dera...semuanya melompat dan menyinga menyuarakan rasa tak puas hati. Kementerian tak pantau, sekolah cuba sembunyikan kes, tadika tak main peranan, pembantu tak diberi latihan bla, bla, bla. Betullah tuuu.

Apa puncanya masyarakat cepat memberi respon? Ya...apabila 'gadjet' mengambil alih peranan media massa! Sebelum lahirnya sang 'gadjet' ini, kes-kes yang berlaku hanyalah bersifat terpencil dan setempat. Pihak sekolah boleh tutup kes buli, pihak tadika boleh sembunyikan pekerjanya yang mendera kanak-kanak, pihak kementerian tidak perlu risau sangat dengan soalan bocor kerana hanya sekolah-sekolah tertentu sahaja yang dapat meng'akses'nya.

Sekarang? Bukti jelas terpapar di skrin pemain-pemain 'gadjet'. Kes-kes yang bertentangan dengan norma-norma hidup telah dirakam samada secara sembunyi mahupun terang-terangan. Terminalogi 'viral' digunapakai oleh dunia 'cyber' bagi menunjukkan betapa ia boleh menjadi wabak yang merebak dengan pantas...sepantas kelajuan cahaya! Tak perlu buat laporan...polis sendiri boleh bertindak untuk memburu 'suspek' bagi membuka kertas siasatan. Inilah PROVOKASI VIRAL! 

Jadi, janganlah melatah jika banyak 'viral' berlegar sedari kita membuka mata di awal pagi kerana dunia sekarang telah hilang sempadannya. Ceritanya sama seperti dulu...bezanya, maklumat yang sampai kepada umum amat cepat dan tidak terbatas berbanding 30, 40 tahun lampau.

Ada pro dan kontra. Kebaikannya apabila kita tidak lagi boleh sewenang-wenangnya berbuat perkara-perkara negatif...kerana sang 'gadjet' sedang memantau segala aktiviti dunia.

Keburukannya pula apabila perkara-perkara yang melibatkan peribadi, aib diri, tersebar meluas di dalam situasi masyarakat kabur tentang kisah sebenar yang berlaku. Peristiwa boleh dimanipulasi oleh pengarang cerita.

Inilah wabak 'cyber' dan provokasi 'viral' yang kemaraannya tanpa dapat dikawal lagi. Hanya kita yang harus bersedia agar tidak menjadi mangsa dunia tanpa sempadan ini!



Lelaki 'Transgender'

Mahkamah Tinggi pada Oktober 2012 memutuskan tiga lelaki yang berpakaian seperti wanita perlu mematuhi undang-undang kerana mereka Muslim dan dilahirkan lelaki.

Di bawah Seksyen 66 Akta Jenayah Syari'ah Negeri Sembilan 1992, mereka yang disabitkan berpakaian silang jantina boleh dihukum sehingga enam bulan penjara, denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Mereka yang dituduh akhirnya memfailkan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan tidak berperlembagaan sebuah fatwa Syari'ah yang melarang lelaki daripada "memakai pakaian perempuan" atau "menyamar sebagai seorang wanita" di Negeri Sembilan.

Aku mula beranalisa...

Perlu diketahui bahawa lelaki 'transgender' bermaksud mereka yang dilahirkan sebagai lelaki tetapi mahu menukar jantina kepada wanita atas alasan jiwa mereka terperangkap di dalam tubuh lelaki.

Islam telah menggaris sempadan hak kepada penganutnya. Ini terkandung jelas melalui Maqasid Syari'ah  iaitu bagi menjaga agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Agak mengejutkan bila baru-baru ini Mahkamah Rayuan Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus termasuk Hakim Aziah Ali dan Lim Yee Lan membuat keputusan Seksyen 66 Enakmen Syari'ah (Negeri Sembilan) 1992 tidak sah dari segi perlembagaan melalui Perlembagaan Persekutuan Artikel 5, 8, 9 dan 10.

Keturunan apa agaknya yang mahu diperjuangkan oleh lelaki 'transgender' ini? Tidak timbul isu jantina kerana mereka dilahirkan lengkap dengan sifat lelaki (mereka bukan 'khunsa' yang lahir bersama 2 jenis alat kelamin). Cuma mungkin cara didikan mahupun persekitaran tumbesaran mereka dipengaruhi keadaan sekeliling.

"Mengisytiharkan tidak berperlembagaan sebuah fatwa syari'ah yang melarang lelaki daripada "memakai pakaian perempuan" atau "menyamar sebagai seorang wanita" di Negeri Sembilan".

Pernyataan di atas sudah menampakkan betapa rapuhnya iman mereka...ditakuti boleh menjejaskan akidah.

Di negara barat, hak mereka terpelihara dan sah di sisi undang-undang ketamadunan manusia tetapi tidak bagi undang-undang Syari'ah. Manusia tertakluk di bawah undang-undang langit yang mana jika tidak dipatuhi, pasti bakal membawa kemudaratan.

Aku telah membuat sedikit pembacaan berkenaan mereka yang sudahpun membuang alat sulit lelaki bercita-cita menjadi wanita sepenuhnya...dengan membuat salur faraj (yang sudah tentu tidak berfungsi, hanya untuk keseronokan semata-mata).

Dilewat usia, rata-rata mereka berasa menyesal dan ingin kembali ke pangkal jalan. Ada yang dihinggapi penyakit kelamin mahupun jangkitan kuman di atas risiko pembedahan membuang alat sulit. Tidak kurang juga mereka yang mengalami depresi dan tekanan jiwa melampau kerana melawan fitrah diri mereka sendiri.

Aku tidak peduli tentang barat atas norma kehidupan mereka hanya berlandas undang-undang ciptaan makhluk. Yang terdetik di hatiku betapa di Malaysia sendiri sudah ada pejuang-pejuang ciptaan tangan barat yang ke tahap berani mencabar undang-undang Penciptanya sendiri.

Ketua Hakim Mahkamah Rayuan sendiri berbangsa Melayu dan sudah tentu menganut agama Islam.

Kita semakin hampir ke penghujung kehidupan!



Monday, 10 November 2014

Hati Berteman Jasad

Jika isinya berkualiti tetapi tiada yang melindungi, isi bakal terbiar rapuh ditelan masa.

Jika kulitnya padu melitupi isi yang hambar, peranan kulit tidak langsung bermanfaat.

Itu hanya suatu analogi...

Hati yang baik ditampilkan dengan jasad yang lemah, dunia tak mampu mengimarah dirimu sebagai da'i.

Jika jasad pula berkarisma gagah ditemani hati yang kelam, sungguh...jasad umpama mayat hidup bernyawa ikan.

Justeru...jagalah hati dan jasadmu. Hati yang berintegriti memerlukan jasad yang berkualiti untuk melindunginya.

Fikir...



Saturday, 8 November 2014

Menyelami Jiwa Pembuli

Buli...semua pihak melenting dan melahirkan rasa amarah di atas kejadian buli di sebuah sekolah anak yatim di Perlis baru-baru ini. Aku cuba untuk tidak hilang pertimbangan dalam menganalisa punca kejadian.

Ada yang menyalahkan pihak sekolah, warden asrama, pengetua...habis jari ditelunjuki ke pelbagai arah. Betul...semua pihak berkenaan terlibat dan seharusnya memain peranan bagi mengekang aktiviti yang bermasalah itu.

Tetapi itu semua hanyalah berada di aras permukaan sahaja. Jika aku juga diberi pilihan untuk menuduh siapa puncanya...dengan tidak teragak-agak aku akan memulakannya dari keluarga seseorang. Di situlah bermulanya kehidupan.

Keluarga umpama sebuah mini masyarakat yang di dalamnya terdapat hirarki. Bapa sebagai ketua, ibu sebagai penasihat, abang sebagai pembimbing, adik sebagai pelaksana peraturan...semua memain peranan besar bagi melengkapi sebuah kehidupan.

Jika ketua keluarga gagal dalm misi besar ini, kemungkinan si ibu bakal mengambil alih. Tetapi jika kedua ibu dan bapa ternyata tewas dalam mengemudi kapal yang belayar...terumbang-ambinglah jadinya kapal tersebut.

Cuba fikir...anak yang dipupuk dengan kasih sayang, ayah dan ibu sering bertanya keperluan anak, mereka sering berkumpul keluarga dan merangka percutian bersama...mungkinkah mereka ini menjadi pembuli apabila berjauhan dengan keluarga? Tentu tidak...malahan mereka bakal menjadi ikon rakan sebaya.

Mereka yang terlibat dengan kes-kes buli inilah yang sebenarnya terperangkap di dalam kemelut keluarga yang bermasalah. Ilmu psikologi menyatakan bahawa orang-orang seperti ini selalunya akan meledakkan rasa amarah dengan sesiapa sahaja. Jiwa mereka memberontak, jiwa mereka kosong kasih sayang, jiwa mereka dahaga pengisian rohani! 

Institusi keluarga tidak menyediakan suasana yang kondusif untuk melengkapkan diri mereka agar bersedia dengan kehidupan dunia luar dengan karektor yang disegani.

Aku hanya melahirkan rasa prihatin dan kasihan di atas kemelut jiwa mereka...keluarga mereka harus menyediakan jawapannya.

Bagaimana dengan keluarga kita?


Thursday, 6 November 2014

Jenayah Atas Jenayah

Kesalahan jenayah sudah menjadi hukum alam yang tetap akan berlanjutan sehingga ke hari kiamat. Turunnya hukum Hudud membuktikan bahawa Allah Maha Mengetahui tentang perjalanan khalifah di muka bumi. Lantaran itu Hudud mengambil tempat bagi mengimbangi kejahatan bersama pencegahan. Peraturannya tidak boleh diubah-ubah walau dalam apa jua kondisi. 

Telah berlaku satu kejadian curi motor di sebuah masjid di Pauh 5, Kelantan sewaktu solat maghrib. Salah seorang pesalah telah dapat ditangkap dan seorang lagi dapat meloloskan diri. Kejadian mencuri adalah merupakan satu jenayah dan jika sabit kesalahan di bawah hukum Hudud, pesalah boleh dipotong tangan mahupun dirotan.

Tetapi bukan itu yang mahu aku rungkaikan. Kisahnya pesalah telah dibogel, diletak di atas motor untuk dimalukan di khalayak ramai. Gambar pesalah diambil untuk di'viral'kan di laman sosial (aku sendiri menerima kiriman 'whatsapp' memaparkan keadaan pemuda tersebut yang berbogel penuh tanpa disunting).

Pesalah memang sudah melakukan jenayah tetapi berlaku satu lagi jenayah oleh mereka yang baru lepas solat berjemaah di negeri yang didakwa sebagai Serambi Mekah...jenayah atas jenayah. Jika merujuk al Quran dan Hadis, tidak satupun peraturannya mengharuskan hukuman bogel lalu dimalukan di khalayak umum. Malah jika mahu disebat sekalipun, pesalah haruslah dipastikan auratnya tertutup penuh dan hukuman tersebut harus disaksikan oleh umum sebagai iktibar.

Islam amat menekankan peribadi dan akhlak dalam semua keadaan. Agak kesal di kejadian itu kerana tidak seorangpun cuba menghalang orang ramai untuk membogelkan pesalah...di mana AJK masjid, di mana Imam? Agaknya peranan dan suara mereka turut tenggelam bersama emosi kariah yang mendominasi keadaan (jika mahuku untuk berbaik sangka).

Pernah aku terima sebuah video yang menayangkan rakaman cctv di masjid tentang seorang pemuda yang hanya berpura-pura menunaikan solat di sebelah peti besi derma. Di antara pergerakan solat, pemuda tersebut menjolok peti besi dengan dawai untuk mengeluarkan seberapa banyak wang yang boleh. Video disebar tanpa 'sensor', wajah pencuri tersebar buat tatapan dunia!

Jika hebat sangat peribadi kita dalam beramal, mengapa mesti dimalukan mereka yang jahil. Jika mereka telah bertaubat, siapa yang boleh menebus aib mereka yang telah ditelanjang luas ke mata dunia? Inikah peranan kita sebagai Khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir dunia?

Jika boleh aku bertanya...apa perasaan mereka sekira yang dibogelkan itu adalah anak-anak mahupun kaum keluarga mereka? Apakah hanya di waktu tersebut baru kita mahu merujuk al Quran dan Hadis?

Aku teruja untuk pembaca menerobos masuk artikel EVOLUSI JIWA yang bertajuk 'Gapailah Cahaya Itu' bertarikh 29 April 2013...kisah Allah sendiri berperanan menutupi aib hambaNYA.

Moga kesedaran menjadi milik kita...




Wednesday, 5 November 2014

Aku Dan Waktu

Jam hampir ke jarum 11 malam. Aku melangkah masuk ke bilik bagi merehatkan minda. Mindaku berehat apabila dapat menatap buku-buku yang kuminati. Ilmuku tak banyak, jadi dengan mambanyakkan bahan-bahan bacaan terpilih dapatlah menampung minatku untuk berkarya. Berkarya mesti berilmu. Ilmu pula harus diguna sebaik mungkin agar ia tidak mati ditelan masa.

Dalam leka membaca, kelopak mataku beransur-ansur berlabuh menutupi seluruh anak mata. Aaahhh...terlena pula aku sebentar. Beginilah keadaannya dalam usia menginjak senja. Kugagahi meneruskan bacaan...berlaku 'perang saudara' di antara lena dan sedar. Lena semakin berjaya menewaskan semangat membaca.

Aku berhenti membaca...kututup buku dan kuletak di meja bersebelahan katil. Aku bangun untuk menekan waktu 'jam penggera'. Esok aku harus bangun pagi bagi meneruskan rutin hidup seperti yang direncanakan. Tiba-tiba mindaku menyapa...

"Yakinkah aku bahawa nyawaku sampai ke esok pagi?"

Tidak terfikirkah olehku bahawa malam ini adalah hari terakhir buatku?

Niat untuk menekan 'jam penggera' tampak seolah aku yakin esok adalah milikku.

Aku tidak bersalam bermaaf-maafan bersama keluarga tampak seolah esok aku masih bernyawa.

Aku menangguh berwasiat terhadap familiku tampak seolah esok masih ada buatku untuk merencanakannya.

Aku tidak cepat menyelesaikan hutang piutang tampak seolah esok masih ada waktu untuk aku membuat perkiraan.

Aahhh...aku duduk meneleku di birai katil termenung sendirian memikir sekiranya esok aku tidak bangun-bangun lagi.

Aku bangun lantas menekan 'jam penggera'...simbolik sebuah pengharapan sambil berdoa sekiranya esok masih ada...aku pasti memulakan dengan bersyukur kepadaNYA kerana memberi peluang untuk aku bertaubat sebanyak mungkin.

Sekiranya malam ini namaku bakal menjadi tinggalan sejarah...semoga 'LAA ILAA HA ILLALLAH' merupakan kalimah terakhir yang dapat kulontarkan tonasinya bagi menghadapi sebuah mahkamah yang paling Agung!


Tuesday, 4 November 2014

Berkat Harus Diundang

Keberkatan hidup bukan milik auto setiap insan. Ia adalah anugerah Pencipta kepada hamba yang tidak putus mencari redha. Mencari redha bukan berpaksi kepada redha manusia, tetapi redha Pencipta. 



Hamba itu sedar jika harapannya bertumpu kepada makhluk dunia maka Si Pencipta bakal melepaskan kekangan tali yang menambat hatinya. Dirinya akan dilepaskan bersama urusan manusia yang tidak punya apa sebenarnya.

Mungkin sihamba punya masalah tetapi penyelesaiannya pantas.

Mungkin sihamba kerap keputusan wang ringgit tetapi kerap pula rezeki lain berkunjung.

Mungkin sihamba pernah terleka dan alpa tetapi sepantas kilat hidayah menusuk mengingatkan.

Mungkin sihamba punya rumah yang hanya ala kadar keadaannya tetapi seluruh keluarga berasa terhibur berkumpul bersama.

Mungkin sihamba tidak mampu menghidang makanan mewah dan enak untuk keluarga tetapi seronoknya rasa makan nasi berlauk ikan masin dan ulam-ulaman bersama.

Mungkin sihamba pernah terlanjur kata dalam bersosial tetapi kemaafan yang dihulur melembutkan hati yang menerima.

Mungkin sihamba tidak berharta tetapi anak-anaknya menjadi pemangkin untuk merubah masa depan keluarga.

Mengikut perkiraan logik, sihamba mana mampu untuk kerap mengunjungi rumahNYA tetapi realitinya berkali-kali pula peluangnya terhidang bagi melepas kerinduan di Baitullah.

Mengapa segalanya nampak mudah? Ya...kerana kita tidak ambil mudah dalam pelaksanaan syari'atullah. Malah kita sedaya mungkin cuba menambah amalan bagi menampung segala yang kurang.

Itulah definisi 'berkat' menurut hukum Pencipta. Tidak mudah untuk menggapainya jika istiqamah dan mujahadah tidak berada di landasan hati.

Carilah...