Translate

Saturday, 1 March 2014

Epilog Cinta Dari Stockholm

Kembara...puas sudah kumengembara. 
Ke mana perginya oh cahaya. 
Mencari hati emas bukannya mudah. 
Mungkin selamanya takkan aku temui...

Aku mengembara lagi diiringi alunan lagu Hati Emas dendangan kumpulan KEMBARA. Hati Emas yang disimbolikkan oleh M. Nasir merupakan bayangan pencarian menuju kepadaNYA. Tujuan kita dicipta dan ke mana destinasi seterusnya...itu semua adalah pilihan kita.


Stockholm merupakan langkahku yang seterusnya dalam melengkapkan misi. Yang mencabar bukan hanya suasana di negara Eropah yang bersuhu di bawah 5'c (siang) dan 0'c (malam) tetapi perjalanan jauh yang ber'transit' di Bangkok dan Frankfurt agak mencederakan ketahanan mental dan fizikalku. Tetapi tidak mengapa...hijrah Rasulullah sejauh kebih kurang 400km dari Mekah ke Madinah dengan menempuh terik bahang matahari amat-amat memotivasikan mindaku. Aku sudah bersedia


Sweden mempunyai keluasan wilayah 450km persegi hanya berpopulasi 9.6 juta penduduk berbanding Malaysia yang berkeluasan 330km persegi dengan kepadatan penduduk 28 juta. Jadi tidak hairanlah 65% negaranya masih diliputi kehijauan hutan.


Sebagai negara yang mengamalkan institusi beraja, kotanya dipenuhi bangunan-bangunan sejarah yang sangat terpelihara. Bandarayanya bersih tetapi mereka yang merokok tidak kekok untung membuang puntung merata-rata.

Kehidupan mereka penuh disiplin. Aku memerhati sejak dari dalam penerbangan dari Frankfurt ke Stockholm. Kebiasaannya di negara Asia, selepas sahaja selamat mendarat dan pesawat perlahan menuju ke pengkalan, semua yang ada bergegas melepaskan tali pinggang keledar dan mula memunggah barangan di atas kabin. Sebenarnya prosedur tidak membenarkan ini berlaku atas faktor keselamatan (kerana pesawat masih bergerak). Sehingga pramugara terpaksa bangun untuk mengarahkan penumpang untuk duduk semula.



Tetapi ini tidak berlaku di negara Eropah. Mereka tetap duduk sehingga pesawat benar-benar lengkap berhenti.

Berlaku di mana aku menaiki bas untuk menikmati pemandangan kota Stockholm. Aku terlepas untuk turun di satu tempat lantas meminta kebenaran pemandunya untuk turun di mana-mana kawasan bas itu berhenti seperti di lampu isyarat atau bas berhenti  bila berlaku kesesakan. Pemandu bas tetap berkeras untuk tidak membenarkan aku turun kerana menyalahi peraturan. Aku diturunkan di stesyen yang seterusnya dan terpaksa berjalan kaki berpatah balik sejauh 2 kilometer. Tetapi aku belajar sesuatu, bahawa kehidupan berdisiplin itu yang membuatkan sesuatu bangsa itu berjaya dan dihormati.


Cintaku berputik di kota Stockholm...

Catatan pengembara - Stockholm, 28 Feb 2014

No comments:

Post a Comment