Translate

Sunday, 23 February 2014

Akhlak Iringi Hidayah

Hidayah bukan milik kita...milik kita hanya usaha pencarian untuk diberi hidayah. Hidayah merupakan milik total yang Maha Pencipta. Tidak diberi hidayah kepada mereka yang wewenang menjalani hidup tidak mengikut syariat.

Tetapi jangan dilupa, jika ia milik Allah...maka terpulang kepadaNYA untuk menyapa pintu hati sesiapa sahaja yang bisa menggapai perhatianNYA. 

Mungkin amalan tidak sebanyak mana tetapi dek taat dan menjaga kebajikan kedua ibubapa, hidayah menyusup masuk mendatangi hatinya.

Tarafnya hanya manusia biasa tetapi digenggamnya syariat lima waktu tanpa culas, Allah anugerahinya hidayah yang merubah hidupnya untuk tidak mencintai dunia.

Jika mahu dikata alim, jauh sekali...memandang hidupnya yang berteman noda dan dosa yang terpalit setiap hari. Tetapi siapa tahu di setiap malam dia merenung-renung kehidupan jahiliyah untuk mencari titik perubahan seperti yang dialami oleh seorang artis selebriti di tahun 90an. Renungannya berhasil menggapai hidayah Allah.

Bila diberi hidayah, perlukah kita membelakangkan akhlak? Ya...ini kerap berlaku jua boleh berlaku kepada semua mereka yang diberi hidayah.

Dari mana asalnya kita? Semuanya bermula dengan zaman jahil lagi menjengkelkan. Jadi, mengapa tergamak kita mengutuk-ngutuk sijahil?

Ini berlaku kepada seorang selebriti dunia hiburan yang menukar cara hidup ke arah lebih diredhai. Diapi-apikan rasa dendam kepada dunia yang pernah dulu dia bersekongkol bersama. Implikasinya...rakan-rakan artis yang lain menyindir cara dia berdakwah, 'tidak berhemah' kata mereka.

Situasi itu tidak membantu menarik sijahil mendekati Islam...amat tidak membantu! Tidak terlepas kepada isteri, suami, jua anak-anak yang diberi hidayah.

Berhemahlah dalam berdakwah...letakkan akhlak di hadapan agar diri kita tidak diletak di belakang. Ingat...setiap dari kita ada sejarah kabur dan gelap, DIA tutup rapat sejarah itu tanpa pengetahuan makhluk. Jadi, iringilah rasa malu pada diri sendiri sekira-kira mahu dituding jari mengutuk dunia luar.


No comments:

Post a Comment