Translate

Thursday, 6 March 2014

Raikanlah Tetamu

Seperti biasa setelah melepasi slot 'Motivasi Pagi' radio IKIM, aku berubah ke saluran lain yang banyak menghidang lagu-lagu retro segar.

Tetapi, kesegaran pagi telah direnggut oleh sikap seseorang yang boleh dipepatahkan sebagai 'lebih sudu dari kuah'. Bukan sekali malah acapkali perkara itu berlaku.

Dia merupakan seorang penyampai radio...bertiga mengendalikan siaran pagi. Usik-mengusik mereka kekadang mencuit hati, kekadang rasa ter 'over' lah pula dek sikap salah seorang 'deejay' ini.

Dalam banyak-banyak celoteh, nampak jelas dia mendominasi suasana. Suara dia sahaja yang kedengaran, usikan dia sahaja yang terkehadapan jua emosi dia sahaja yang dilemparkan.

Hari itu merupakan Hari Wanita Sedunia. Jadi, pasti topiknya berkisar kepada wanita. Ada tetamu jemputan yang merupakan pakar motivasi. Aku sudah semakin hilang fokus apabila 'deejay wanita' itu telah meng 'over shadow' tetamu jemputan. Selagak dia yang pakar dalam menangani masalah wanita. Suara dia sahaja yang lantang berbicara dan menjadikan tetamu sudah tidak banyak bicaranya. Aku apatah lagi...semakin menjauh menerawang melayan bosan!

Dia terperasan bagus untuk mengulas tetapi sebaliknya mereka yang di luar semakin malas untuk mendengar. Dia sepatutnya mengimarahkan tetamu dalam memberi laluan kepadanya untuk memberi pandangan dan pendapat. Letak ke sisi segala ulasan peribadi kerana melayan tetamu itu wajib agar mereka tidak rasa tersisih.

Aku bermuhasabah diri dalam berbicara sesama manusia. Bukan semua orang ingin mendengar apa yang ingin kita sampaikan. Pastikan kita pakar dalam sesuatu topik jika ingin mengulas sesuatu isu atau kita bakal mengundang cemuhan manusia di balik tabir.

Tetapi yang lebih penting...raikanlah tetamu itu.


No comments:

Post a Comment