Translate

Monday, 22 July 2013

Syirik Yang Tersembunyi

Disebut suatu hari aku menghadiri sebuah majlis kenduri pernikahan. Sementara mempelai dalam proses diijabkabul oleh Tuan Imam di dalam rumah, kami saudara mara berkumpul di luar rumah berbual-bual kosong. Ye lah, jika tidak kerana kenduri-kendara ni, susah untuk kami bersua muka.

Lepas satu topik ke satu topik perbincangan kami mengembara. Sehinggalah aku agak terkesima dibuatnya dengan penjelasan seseorang yang agak pertengahan umurnya.

Pekerjaannya biasa-biasa sahaja. Bagi menampung perbelanjaan, dia galak menjual produk untuk sedikit komisyen. Penapis air, alat sekuriti kereta dan rumah, barangan harian rumah, minyak urut dan urat (nasib baik tiada minyak untuk mengurat) dan macam-macam produk lagi yang diterokainya.

Aku memilih untuk mendengar dari membeli atas alasan kurang minat dengan produk-produk tersebut. Tiada masalah untukku mendengar asal jangan mendesak aku untuk membeli.

Produk kali ini berupa sebuah besi magnet yang mempunyai daya kuasa untuk menyembuhkan berjenis-jenis penyakit (katanya). Caranya hanya lekapkan besi magnet tersebut ke tempat yang sakit untuk beberapa minit dan Insyaallah sakit akan hilang.

"Aaiikk...mudahnya nak sembuhkan penyakit, hanya lekap dah sembuh",  hatiku mula mencebik.

"This magnet is very powerful I tell you. Kau cakap je sakit apa..sakit lutut, sakit perut, luka berdarah, pening kepala..semua dia boleh sembuhkan".

"Eerrmm...tak lakulah panadol, minyak angin, minyak gamat..aduusss, bila la dia ni nak berhenti membebel", aku mencari-cari helah untuk melarikan diri.

"Bang, saya jarang guna alat ni lagipun saya selalu out station, so takde keperluan sangat".

"Haa zi..selalu out station tu yang awak kena beli produk ni. Taklah risau nanti, benda ni boleh jaga keluarga awak".

AAAAHHHHHH...AKU DAH SAMPAI ANTI KLIMAKS!!!
Kata-kata yang mirip menyengutukanNYA!!! Akidah boleh tersasar dengan tiga perkara iaitu niat, perkataan dan perbuatan.

Berkuasa sangatlah benda Allah tu sampai boleh jaga keluarga kita. Jangan hairan jika seseorang itu mula yakin dengan magnet itu, dia akan bawa ke mana sahaja. Sekiranya terlupa membawanya maka hatinya mula risau kerana tiada yang boleh menjaganya.

Ini bahaya...tanpa sedar minda kita telah dikuasai oleh benda lain. Kita mula bergantung penuh terhadap produk yang telah terbukti boleh menyembuhkan kesakitan (tanpa peduli bahawa sebenarnya Allah yang telah mengizinkan dia sembuh).

Aku faham yang dia tidak bermaksud menduakan Tuhan. Dia juga mungkin secara tidak sedar telah mengucapkan kata-kata yang bertentangan dengan akidah. Mungkin dia jahil dalam mendalami bab-bab agama. Tetapi kata-kata itu tetap tidak boleh lari dari unsur-unsur syirik...syirik yang tersembunyi tetapi tetap boleh menggugat iman!

Nak ditegur, umur dah masuk retro. Nanti timbul pula isu sensitif kena tegur. Aku pula dah makin tak keruan menahan amarah atas kejahilan yang berpangkat retro itu.

Eerrmm...biarlah, aku cuma mampu berdiam kerana arif dengan sifatnya yang sensitif. Doa kupanjat agar dia diberi hidayah.

Aku berlalu dari kumpulan kecil itu untuk berpura-pura menjawab panggilan telefon...juga untukku redakan amarah yang sedang menggila ini.

Aku hanya bergantung hidup kepadaNYA!



No comments:

Post a Comment