Dalam ujian berat datang menimpa, kita pasti tersedar untuk kembali kepadaNYA. Kita berwuduk dan membentang sejadah lalu menangis selepas solat sunat dua rakaat. Kita panjatkan pengaduan, rintihan dan permohonan untuk meminta ikhsan Allah bagi diringankan ujian.
Liihatlah betapa sayangnya Pencipta kepada hamba yang dibentuk rupanya oleh tanganNYA sendiri. Ujian yang diperuntukkan kepada sihamba sebenarnya lebih mendekatkan lagi hubungan Khalik dan hamba. Itu permulaan hidayah anugerahnya.
Tetapi acapkali kita lihat yang diuji semakin menjauh dari rahmatNYA. Bila diuji sakit, rintihannya kedengaran tanpa henti. Fakir menimpa, dicari jalan untuk menambah pendapatan sampingan sehingga tertinggal segala amalan wajib...yang sunat jauh sekali dikerjakan. Kematian keluarga terdekat tidak diambil iktibar malah seolah menyalahkan takdir Allah.
Ini merupakan rentetan dari tidak sabar dalam menghadapi ujian.
Allah telah menukilkan firmannya yang bermaksud, "Wahai sekalian orang-orang yang beriman. Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat. Kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar". Surah al Baqarah ayat 153.
Lihat di mana posisi 'sabar'. Allah meletakkan sabar di hadapan diikuti dengan solat. Untuk mengadu kepada Allah kita perlu bersolat dan berdoa...itu etikanya. Tetapi mana mungkin kita boleh menunaikan solat jika tidak didahului dengan sabar.
Bila sabar diamalkan, jiwa menuju tenang. Dengan sabar kita boleh brfikir panjang dalam merencanakan sesuatu. Lihat sahaja bagi yang tidak sabar dengan kata nista manusia...terus diserang balas tanpa dapat mengawal emosi. Suami yang kurang sabar terus menjatuhkan talak diakhiri penyesalan bila keadaan reda.
Bila jiwa tidak tenang, mana mungkin kita boleh khusyuk dan bermunajat kepadaNYA di dalam solat. Tentu berbagai-bagai kemelut jiwa menghantui diri lantas mengganggu emosi. Sudahlah solat jauh dari khusyuk, sehabis solat bila berdoapun hati tidak hadir untuk menghayati apa yang dihajatkan.
Maka itu semua tertolak untuk menggapai perhatianNYA.
Bersabarlah dalam apa jua keadaan agar terhasil sebuah ketenangan dalam jiwa. Diikuti dengan solat yang khusyuk dan munajat yang hadir jiwa di dalamnya.
Insyaallah...bantuanNYA amat dekat untukmu. Bersabarlah lantas dirikan solat...kerana di sana menampakkan tahap keimanan seseorang dalam menghadapi kemelut ujian.
Jika kita sabar dan solat maka itu lebih menambah baik situasi. Jika mahu menyumpah seranah maka akan menambah buruk situasi.
Buatlah pilihan kerana ujian itu tetap hadir.
@ catatan dari Pulau Pinang
No comments:
Post a Comment