Translate

Wednesday, 4 July 2018

NUR di Bumi Asing

Aku bermusafir lagi, bukan untuk tugasan tetapi bercuti...dengan lebih tepat lagi untuk melawat anak dan menantu yang bermukim di benua terkecil di dunia. Mereka belajar di negara orang, merantau dan menempuh payah. Dalam kepayahan itu, mereka beriya-iya menguruskan perjalanan kami dan mengimarah kami sebaik mungkin untuk melawat mereka di perantauan.

Ooh..bukan mahu bercerita misi kami di bumi asing. Aku hanya mahu berkongsi tentang sesuatu yang tidak sudi kulakukan bila berada di negara sendiri.

Tiga hari dibawa berjalan menjarah timur benua...hari ke empat, kami mengambil keputusan untuk berehat dan melepas lelah di rumah. Anak perempuanku menyuruh-nyuruh aku menonton drama bersiri NUR yang berlarutan hingga 19 episod yang telah dimuat turun dari laman sesawang oleh menantu lelakiku.

Mulanya aku acuh tak acuh. Hanya anak, menantu dan ibunya sahaja yang menjadi penonton setia. Dalam pada itu, aku terdengar skrip-skrip lakonan yang diucap...menarik dan ia mula memerangkap perhatianku.

Kisah Ustaz selebriti yang terperangkap bersama cinta di lorong maksiat. Ya betul, aku tak fikir ada Ustaz ternama dan ayahnya yang sering menjadi tetamu undangan media, sanggup merisikokan diri mereka dan keluarga dalam menyelamatkan seorang wanita yang menjaja diri di lorong-lorong maksiat. Jika dilihat realiti kehidupan, takkan jumpa ayah dan anak bertaraf selebriti berwatak sedemikian. Aku faham, jalan cerita digarap sedemikian rupa bagi menyemarakkan lagi emosi audien agar mendapat 'rating' yang baik.

Kesampingkan itu semua. Aku lebih menjurus kepada skrip yang menelanjangi pandangan masyarakat dalam memandang hina mereka yang terperangkap di lembah maksiat tersebut.

Ini di antara mesej-mesej yang sarat dengan pengajaran yang sempat aku rakam:-

1. Mereka yang mengaku beriman dan bertaraf orang kuat masjid, memandang hina dan jijik golongan tersebut sehingga menghalau mereka dari mendekati masjid.

2. Ada ustaz-ustaz yang menganggap agama Islam bertaraf eksklusif dan hanya berdakwah di pentas-pentas selesa tanpa mempedulikan nasib mereka yang jahil dan terpinggir apatah lagi yang bergelumang dengan dosa.

3. Ada juga karekter Ustaz yang menjadi penunggang agama. Mengambil kesempatan atas nama agama dalam memanipulasi amanah dan tanggungjawab.

4. Golongan berada yang merancang pernikahan anak-anak atas dasar perniagaan dan kepentingan - kepentingan tertentu.

5. Isteri tidak melayan suami sehingga menyebabkan si suami berlaku curang dalam melepaskan nafsu bersama wanita-wanita lain.

6. Isteri sanggup bersekongkol dan bersubahat demi menutup aib suami tanpa mempeduli tindakan haram yang diambil.

7. Golongan yang terpinggir bersangka buruk terhadap Allah bahawa kesengsaraan yang mereka tanggung adalah tidak adil buat mereka.

8. Cemuhan masyarakat sekeliling yang memandang jijik dan tidak memberi peluang untuk mereka memulai hidup baru.

9. Kemudahan pinjaman 'along' yang tidak serik-serik dilanggani masyarakat Malaysia walau tahu dikenakan 'bunga' yang tinggi juga sedar akan kesan dan akibat yang membahayakan nyawa diri dan keluarga.

Begitu di antara mesej berguna yang dimuatkan dalam drama NUR.

Bagaimana dengan watak?

Watak Ustaz Adam..ekstrem. Penceramah selebriti yang merela dan mempertahankan tindakannya mengahwini bekas pelacur hingga sanggup mengenepikan keluarga terutama ibunya.

Watak Ustaz Mukhsin..ekstrem. Seorang ayah yang sanggup mempertahankan tindakan anaknya walau terpaksa menanggung cemuhan masyarakat.

Watak Ustaz Madi..ekstrem. Seorang fasik yang berpura-pura menjadi ustaz dalam survival kehidupannya.

Watak Aishah..ekstrem. Bertindak membabi buta dalam menyelamatkan suaminya yang fasik dan cubaan memisahkan hubungan suami isteri Ustaz Adam dan Nur.

Watak Nur? Watak normal bagi seseorang yang mencari kebenaran dan mendapat hidayah Allah.

Watak Mona? Watak normal bagi seorang ibu yang stigma sebagai perempuan lorong. Wanita yang hilang kepercayaan terhadap lelaki lantas berpandangan skeptikal untuk mereka yang ingin menyelamatkan perempuan-perempuan lorong.

Watak Datin Musalmah? Watak normal yang susah untuk menerima hakikat anak bergelar Ustaz mengahwini bekas pelacur.

Dalam semua watak-watak utama di atas, hanya watak Ustaz Adam dan Datuk Mukhsin yang agak diragui kewujudannya. Karekter yang melangkaui sifat normal manusia.

Walaubagaimanapun, sekalung tahniah buat Penerbit, Pengarah dan Penulis skrip Sharulezad dalam menelanjangi dunia kotor demi sebuah mesej bersih untuk renungan mereka yang meletak diri ke tahap maksum.

Tahniah juga kepada para barisan pelakon yang cemerlang dalam menghayati watak-watak dunia nyata, lantas memberi kesan mendalam di jiwa audien.

"Biar terlajak bangun malam lalu menginsafi diri sebagai pendosa, dari bertahajud berbekas di dahi tetapi menepis-nepis keinsafan ahli maksiat!"

Hari kelima, kami meneruskan misi kembara dalam mengimarah bumi Tuhan. Semoga kehidupan dan perjalanan kami dilimpahi Nur...agar yang terang tidak dibayangi sisi bayang gelap.

Ampunkan kami ya Allah jika watak-watak antagonis NUR pernah hinggap di hati kami..ampunkan kami ya Allah!!!

3 Julai 2018 St Lucia, Brisbane




No comments:

Post a Comment