Translate

Sunday, 10 June 2018

Mak Berbohong

Sedang ralit aku membaca, kedengaran bunyi mesej aplikasi 'whasapp' masuk menuntut perhatianku. Aaahh..berita dari kampung, mak tak dapat tidur sepanjang malam..sakit dada dan semput, adik menulis. Keadaan mak agak stabil selepas badan mak ditegakkan bersandar di atas katil.

Adik perempuan bercadang membawa mak ke IJN. Mak pernah bermastautin di sana selama lebih sebulan. Kami beradik membuat giliran shif menjaga mak. Cadangan anak perempuan mak ditolak. Mak nak beraya di rumah. Mak takut lama kena tahan di hospital.

Aku yang berada di lapangan terbang KLIA untuk ke Pulau Pinang, meminta adik-beradik yang lain untuk kemaskini status mak lantaran tidak sempat untukku menalipon mak. Aku sedang bergegas untuk memasuki pesawat.

Petang seusai habis mesyuarat sambil menunggu untuk menaiki pesawat pulang ke KLIA, aku telefon mak bertanya khabar. Alhamdulillah mak pulih dari sesak nafas tapi mak tak boleh banyak berjalan...cepat letih, ujar mak.

Di kepala katil mak ada loceng untuk mak tekan jika berlaku kecemasan. Sambungan loceng berada di bilik adik lelaki. Aku tanya kenapa mak tak tekan loceng? Mak lambat menjawab...takpe la..mak boleh tahan lagi. MAK BERBOHONG!!!

Aku kenal mak. Aku tahu isi hati mak. Mak memang tak suka susahkan anak-anak. Kalau dah tak tahan sangat, barulah mak minta bantuan anak-anak. Aku mengomel dengan mak. Takkan sampai mak dah tak larat nak tekan loceng baru mak nak minta tolong anak-anak! Mak tergelak kecil dengan ngomelan aku.

Sebelum perbualan kami tamat, mak beritahu aku tak usah bimbang. Mak kata susah-susah je semua anak-anak telefon mak bertanya keadaan.

MAK TAK MAHU ANAK-ANAK TELEFON BERTANYA KEADAAN MAK? SEKALI LAGI MAK BERBOHONG! Sebenarnya itulah rawatan paling mujarab untuk mak..mendengar suara anak-anak di hujung talian. Aku biasa berborak dengan mak...mak pernah beritahu kadang-kadang teringat pada anak-anak. Kalau ada yang menalipon tu, lega rasa..bangga adanya.

Itulah mak...pendekatan mak yang penuh berhemah, merapatkan lagi cinta kami pada mak. Anak, menantu, cucu...semua sayang mak. Mak tak penting diri. Kehidupan mak dikelilingi kasih sayang kerana mak kaya dengan kasih sayang kepada dunia luar.

Selamat berehat MAK.



No comments:

Post a Comment