Translate

Sunday, 6 September 2015

Dengarlah Wahai Anakku...

Sewaktu mak masih di hospital, sudah berkali-kali aku berulang-alik ke Kuala Lumpur...kadang bersama keluarga, adakala berseorangan. Tetapi peluang anak perempuanku melawat neneknya belum tertunai. Kehidupannya yang jauh dari kami belum menghadirkan kesempatan itu.

Hari itu anakku balik untuk sebuah urusan...tidak dirancang. Dia sambut cadanganku untuk melawat nenek...hanya kami berdua kerana isteriku perlu melunaskan tanggungjawab bersama keluarganya di Kampung Bharu.

Seusai lawatan, kami berbual-bual di dalam perjalanan balik ke rumah.

Risau katanya...risau tentang jodoh yang entah siapa gerangan. Banyak cerita yang didengar, banyak kisah drama yang berlaku tentang kes-kes perceraian...sehingga ke tahap hatinya tawar untuk menempuh semua itu. Dia inginkan sebuah keluarga bahagia seperti yang dikecapinya sekarang.

Uiihhhh..tak sangka itu yang bersarang di hatinya. Aku perlu meletak semula keyakinan diri agar anakku berfikiran positif untuk masa depannya.

Inilah di antara nasihat dan pandangan naif yang kukongsi bersamanya...

Orang baik akan dijodohkan bersama mereka yang baik juga...itu hukum alam yang menjadi sunnatullah. Tidak perlu risau tentang jodoh kerana nama kita sudah dipasang-pasangkan bersama seseorang seawal roh ditiup pada janin di usia 40 hari kandungan.

Benar, qada' dan qadar bisa berubah dengan doa kecuali mati. Jadi, banyakkanlah berdoa agar kita dijodohkan bersama pasangan yang baik-baik.

Yakinlah...bila kita taat perintah Allah dan Rasul, taat kepada kedua ibubapa...Insyaallah, yang baik-baik sahaja akan hadir dalam hidup kita. What you give, you get back.

Anakku tidak sepicingpun berdecit...hanya memandang ke hadapan berbekal harapan. Aku terus memandu...sepertimana kupandu mindanya untuk yakin dengan ketentuanNYA.



No comments:

Post a Comment