Translate

Saturday, 28 March 2015

Kembara Di Bumi Ningxia

Langkahku harus diperkemaskan untuk misi ini. Misi kali ini amat berbeza dari sebelumnya kerana tanggungjawab yang dipikul bukan sembarangan. Aku harus 'menanggung' dan 'menjawab' sekiranya gagal...itulah maksud 'tanggungjawab' kali ini. Kembaraku dibezakan dengan kehadiran tiga orang rakan sekerja menjadikan kami satu kumpulan yang mantap bagi mewakili misi negara.

Berlepas dengan pesawat MH 386 menuju Shanghai dengan waktu asal jam 0140 adalah biasa bagiku. Walau apapun waktunya, tetap aku memaksa minda untuk bersedia sedetik lebih. Tetapi hari itu agak luarbiasa...sesampai aku di KLIA jam 2200 terus aku menuju papan digital bagi menyemak waktu daftar masuk. Astaghfirullah...pesawat ditunda ke jam 0500!!!

Hahahaa...kami berempat hanya tersenyum-senyum mengenang nasib diri. Nak balik rumah, tak berbaloi. Melepaklah kami di restoran terminal berborak menghilang rasa bosan. Sedang kami berbual, tiba-tiba menderu satu kumpulan berjumlah tidak kurang dari 100 orang berlari-lari ke satu arah. "Terlewat untuk 'boarding' la tu", kataku pada rakan. 

Haaahh...telahanku salah. Mereka sedang menyerbu artis K Pop yang baru sahaja tiba di balai ketibaan! Adduuuhh...taksubnya remaja Malaysia dengan jembalang K Pop tu ye.

Sempat kami tidur sebentar di kerusi terminal dan berlepas tepat jam 0500. Kami tiba di Shanghai jam 1100 tetapi sudah terlepas 'connecting flight' ke Ningxia kerana masalah kelewatan pesawat dari Kuala Lumpur. Kami diberi kemudahan bermalam di hotel untuk menaiki pesawat pada keesokan hari. Semuanya ditanggung oleh syarikat MAS. Suhu siang di Shanghai 15'c dan malam 8'c.

Esoknya kami berlepas dengan pesawat domestik Air China ke Ningxia mengambil masa 3 jam. Kami disambut mesra oleh wakil Kerajaan Ningxia. Bermulalah misi kami.

Populasi kerajaan autonomi Ningxia berjumlah 6 juta dan penduduk Islam seramai 2 juta. Masjid kelihatan di mana-mana tetapi hanya yang berusia lanjut sahaja yang memenuhi ruang masjid. Terkejut aku bila diberitahu bahawa mereka yang Muslim ada juga yang menganut agama lain secara serentak!



Hotel yang kami diami berciri Islamik. Rekaan corak dan perlambangan menunjukkan Islam amat mendomimasi kehidupan penduduk Ningxia. Di permaidani, siling dan cermin terdapat corak-corak Islamik.





Bandar mereka juga dihiasi dengan tulisan-tulisan Arab seperti di restoran, hotel dan juga di papan-papan tanda jalan. Begitu kuat pengaruh Islam ke atas kerajaan mereka.



Kedai makanan halal merata-rata dan banyak jumlahnya tetapi agak malang kerana di restoran halal itu terdapat 'bar counter'. Muslim minum arak bukan menjadi satu kesalahan di Ningxia...ermmm..



Bandar mereka bersih, susah untuk berjumpa sampah di atas jalan. Tetapi tandas di negara China amnya tidak bersih. Tiada air juga kertas tisu...aaahhhhh...bercinta rasanya untuk aku ke tandas-tandas awam.



Penduduk Ningxia peramah dan mengalu-alukan kehadiran pelancong. Di suatu malam kami bersiar-siar dan melalui kawasan gerai-gerai makan di tepi jalan. Peniaga-peniaga tersebut memanggil-manggil kami untuk bergambar...hahaaaaa 'glamour' kami di sana.



Berada di bumi Ningxia selama seminggu merapatkan lagi hubungan kami sesama Muslim. Misi kami selesai dan mereka yang mewakili kerajaan autonomi Ningxia berharap agar jalinan kerjasama dapat diteruskan lagi bagi membangunkan industri halal di sana.



Tiba hari untuk meninggalkan bumi Ningxia. Sedang kami beratur panjang di kaunter imigresen, kami ditegur oleh dua orang berbangsa Cina Malaysia berusia separuh abad, rancak kami berbual. Datang ke Shanghai mengikut ejen pelancongan secara berkumpulan tetapi mereka berdua ingin memendekkan percutian. Tanyaku kenapa? Mereka sudah merindui makanan Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik! Haaaahhh...jatidiri negara China sudah semakin pupus ditelan generasi demi generasi.












Kami berlepas dari Ningxia ke Shanghai dan menaiki pesawat MH 389 untuk meneruskan akhiran kembara di bumi Malaysia bersama sejuta rasa Orient. Xiexie!



Travelog: Shanghai/Ningxia/Yinchuan 26 Mac 2015

No comments:

Post a Comment