Dewasa ini kita dikejutkan dengan isu agama. Isu yang dipolemikkan oleh sesetengah pihak untuk mendapat sedikit 'mileage' dan keuntungan dunia. Provokasi dicucuh sana-sini bagi memanaskan lagi keadaan. Aku selagaknya berada di dalam 'mode memerhati'. Habis segala fakta kukumpul demi sebuah kebenaran.
Isu 'WAHABI' yang dibesar-besarkan bukanlah besar manapun jika mahu dimanipulasi. Pantas jika kita belajar segala laluan dan sejarah juga 'ilmu fiqh' dan 'usul fiqh', kita akan tenang dalam menangani apa yang dipanggil 'WAHABI'.
Menyedari mereka yang melayari 'blog' aku hanyalah bertaraf 'marhaein', maka tidak adil untuk aku melakar kata-kata 'AGAMA' yang tidak difahami mereka. Memadai aku hanya menggunakan cara penyampaian santai dan biasa-biasa sahaja demi menjanjikan kefahaman untuk mereka yang membaca.
Sunnah Nabi memang sudah termaktub di dalam banyak hadis yang perawinya mempunyai kaedah tersendiri dalam mengkategorikan ianya tergolong di dalam hadis sahih, hassan, maudhu (palsu) dan dhaif (lemah). Hadis tidak boleh dipisahkan dari al Quran kerana wujudnya bagi menjelaskan ayat-ayat al Quran itu sendiri.
Perlu diingat bahawa 'WAHABI' bukanlah satu mazhab, ia hanyalah pemikiran agama yang dipraktikkan oleh Ulama-ulama di Mekah dan Madinah yang digerakkan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.
Perlu diingat bahawa 'WAHABI' bukanlah satu mazhab, ia hanyalah pemikiran agama yang dipraktikkan oleh Ulama-ulama di Mekah dan Madinah yang digerakkan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.
Pegangan mereka, apa sahaja yang terkandung di dalam hadis maka itu yang seharusnya dipraktikkan dan apa yang tidak dianjurkan oleh hadis, ia tidak perlu dilaksanakan. Ada kenyataan-kenyataan keras dari pihak ini mengatakan bahawa berlaku bid'ah dalam amalan ibadat seperti membaca doa qunut di dalam solat subuh, berwirid dan berdoa secara berjemaah selepas solat fardhu, berzikir, berzanji, merayakan maulid dan kepelbagaian perkara-perkara 'khilafiah' (berbeza pandangan) dan furu' (cabang) yang dipersoalkan.
Pengalaman aku sendiri menghadiri satu majlis kematian yang selama ini didasari dengan bacaan Yaasin dan tahlil, mendapati tiada ritual sebegitu yang dipraktiskan oleh tuan rumah. Tuan rumah menjemput seorang Ustaz untuk menyampaikan sedikit ilmu sementara menunggu waktu Isya'. Solat Isya' berjemaah, tiada wirid, berdoa ringkas, menjamah sedikit jamuan dan bersurai.
Aku tidak gemar melabel tuan rumah sebagai berfahaman 'WAHABI', tetapi aku lebih ceria mengatakan mereka ingin melaksanakan sunnah yang semakin hilang ditelan zaman. Betullah tu...hati aku lapang mengikuti program yang diatur tuan rumah.
Tetapi tidak dinafikan ada juga mereka yang tidak selesa dengan keadaan itu. Ada orang masjid yang meninggalkan majlis tersebut kerana merasa tidak sealiran dengan cara tersebut.
Macam nilah...aku lebih bersifat terbuka dalam menerima perbezaan pendapat dan pandangan (khilafiah) kerana ini hanya perkara cabang yang tidak menjejaskan iman seseorang. Jika aku dijemput untuk mengepalai majlis Yaasin dan tahlil, Insyaallah dengan sempurna aku akan melaksanakannya. Jikapun aku mendatangi majlis yang tiada ritual tersebut, aku teramat faham yang mereka melakukan apa yang sepatutnya.
Tetapi yang aku risau, takut, gerun...apabila perkara 'khilaf' itu mengakibatkan perpecahan dan perseteruan di antara sesama Islam yang majoritinya tidak faham dan tidak senang untuk berlapang dada menerima perbezaan-perbezaan yang berlaku. Berpuluh-puluh tahun menjalani ritual wirid, zikir, tahlil, talkin, maulud Nabi, tiba-tiba disekat laluannya oleh pihak-pihak tertentu dengan mengatakan itu semua bid'ah. Pasti jiwa mereka memberontak.
Sebetulnya di Mekah dan Madinah, kerajaan Arab Saudi mengawal ketat segala macam ritual tambahan yang dibawa oleh jemaah dari pelbagai negara demi menjaga ketulenan sunnah itu sendiri. Mereka mempraktikkan 100% amalan yang dianjurkan oleh Nabi dan menolak 100% penambahan amalan sunat. Itu betul!!!
Tetapi di dalam perkara furu' (cabang), amalan dan budaya setempat yang tidak melanggar syara' adalah diharuskan. Mereka tidak menambah amalan yang difardhukan seperti solat yang ditetapkan rakaatnya, bacaan rukun yang tiada penambahan, puasa dan bayaran zakat yang jelas peraturannya...itu pasti. Yang menjadi aksesorinya hanyalah amalan-amalan sunat yang walau tidak dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW tetapi mempunyai fadhilat-fadhilatnya yang tersendiri. Masyarakat kita sudah sebati dengan ritual sunat tersebut.
Kita dianjurkan berselawat ke atas Nabi (doa selamat dan selawat beramai-ramai), berzikir (tahlil) ingat-mengingati (talkin), membaca Yaasin (hati al Quran), mengingati Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dan sirahnya (Maulud Nabi), menganjurkan program-program yang boleh mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama jemaah (majlis Yaasin, tahlil dan doa selamat), maka apakah itu semua salah dan berdosa juga sesat? Jika berdosa dan sesat, di mana NAS yang mengatakan amalan itu sesat?
Ditambah lagi dengan kerenah dunia di zaman ini yang penuh 'lagha' dengan segala macam muzik dan hiburan, maka Ulama meng'harus'kan pula perkara-perkara sunat bagi menyeimbangkan kembali segala kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat seperti penganjuran Tilawatul Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, lagu-lagu kumpulan nasyid kontemporari, rancangan-rancangan hiburan keagamaaan seperti Imam Muda dan Pencetus Ummah, perkumpulan selawat beramai-ramai dan lain-lain lagi.
Kesimpulannya di sini, yang sebenarnya menjaga diri kita adalah ilmu yang kita pelajari. Jika kita berilmu, kita jauh dari menyalahkan pihak-pihak lain apatah lagi mengatakan itu dan ini bid'ah. Kita akan berlapang dada menerima segala perbezaan-perbezaan kecil.
Tetapi sekali lagi yang merisaukan aku...risau retak-retak halus semakin membesar menunggu belah di atas ketidaksediaan mereka untuk menerima segala macam bentuk sekatan yang dinamakan bid'ah itu. Inikah yang kita mahu?
Aku hanya menulis di atas landasan HAQ kerana aku ingin beramal dalam AMAN. Jika banyak sangat kerenah cabang yang seolah menjadi suatu musibah dalam beramal, biarlah aku memencil diri beramal sendirian bersama alam. Aku rindu dunia semalam yang penuh warna-warni damai.
Wallahua'lam
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment