Translate

Wednesday, 11 June 2014

Selesa di 'Zon Selesa'

Siapa tidak mahu menjadi senang, siapa yang tidak suka bersantai, siapa yang mahu menolak keselesaan di depan mata. Naluri manusia inginkan semua itu. Jika diberi pilihan, kita ingin hidup selesa sepanjang masa.

Okay, jika 'selesa' pilihan kita, cuba lihat analogi di bawah.

Bekas setinggi sejengkal yang berisi air dimasak sehingga panas, lalu di letak seekor katak ke dalam bekas itu. Apa berlaku? Katak akan sepantas kilat melompat keluar dari bekas dek kepanasan air yang dirasa.

Situasi seterusnya. Katak seawalnya diletak ke dalam bekas air yang belum dipanaskan lagi. Api dinyalakan dan air secara perlahan-lahan menjadi panas. Apa berlaku kepada katak itu? Nampaknya katak rasa selesa dengan keadaan air yang suam lantas terlelap. Air semakin panas, katak tidak menyedari kerana terlena lantas katak mati secara senyap!

Apa mesejnya?

Rasa selesa sebenarnya membunuh kita secara senyap. Zon selesa melekakan kita. Kita berasa lengkap segalanya sehingga tiada rasa untuk melakukan perubahan. Jikapun datang arus perubahan, kita serasa tidak selesa untuk menyerap malah mempertikaikannya pula. 

Islam mengajar kita agar keluar dari zon selesa. Cuba lihat pedagang-pedagang Arab yang datang ke Tanah Melayu pada abad ke 14. Mereka menyusun strategi dan berusaha keras agar Islam sampai ke Nusantara. Zon mencabar inilah yang ditempuh para Nabi dan Siddikin sehingga nyawa menjadi taruhan demi menegakkan kalimah Allah.

Lihat, Baginda Rasulullah SAW sepanjang masa berada di zon merah ini. Sejak dilantik menjadi Nabi di ketika usia Baginda 40 tahun, sehinggalah Baginda wafat...usaha dakwah tidak berhenti dan semakin berkembang. Baginda dibaling batu, diletak najis di atas kepala sewaktu sujud, dipulau selama 3 tahun, dikenakan sekatan ekonomi, berhijrah beratus batu ke Madinah juga berada di medan pertempuran. Sehinggalah berlaku peristiwa 'Fathul Makkah' iaitu kejayaan baginda menawan kembali kota Mekah dengan tidak menumpahkan darah.

Baginda Nabi juga pernah ditawar perempuan cantik dan kedudukan tertinggi di kalangan kabilah mereka tetapi jawapan Baginda menunjukkan betapa komitednya Rasulullah untuk menegakkan syi'ar Islam..."Demi Allah, jika matahari diletakkan di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan perkara ini (penyampaian risalah), sehingga Allah memenangkannya atau aku binasa, pastilah tidak akan aku tinggalkannya".

Graf kehidupan Nabi Muhammad meningkat dari awal sehingga ke akhir hayat. Kita? Semakin meningkat usia, semakin perlahan momentum kita. Kita semakin selesa dengan persekitaran apatah lagi bila bergelar 'otai' yang kononnya banyak pengalaman...kononnya!

Di mana tahap kita? Hendaknya kita cipta perubahan, cetus idea, berani melawan arus perdana demi sebuah pembaharuan, yakin berhujah berdasar fakta dan justifikasi. Barulah terasa manisnya sebuah perjuangan.

Katak di situasi pertama akan melakukan perubahan kepada hidupnya dengan melompat keluar demi sebuah perjuangan dalam kehidupan. Katak kedua pula habis bersantai sehingga membunuh kehidupan yang sepatutnya boleh diselamatkan.

Eermmm...masih selesa di zon selesa?



No comments:

Post a Comment