Translate

Saturday, 15 February 2014

Keputusan Itu Adalah Kita

Bangun pagi kita sudah memilih baju apa untuk dipakai, sarapan apa untuk dimakan dan kerja apa yang harus diberi prioriti.

Bila membeli-belah kita memilih barangan apa yang perlu dibeli. Bila hendak bercuti, sekeluarga berbincang ke mana destinasi yang sesuai. Di bidang kedoktoran, pakar akan memberi nasihat atas keputusan yang terbaik buat pesakit.

Ya...di setiap saat, ketika dan waktu, kita tidak akan terlepas dalam membuat keputusan apatah lagi jika ia membabitkan masa depan. Soal pelajaran, kerjaya, teman hidup, keluarga...serba-serbinya berlandaskan keputusan yang datangnya dari diri sendiri.

Hendak lari dari membuat keputusan? Oohhh...jadi kita merelakan pihak ketiga untuk memutuskan apa yang terbaik buat kita. Bukan begitu caranya...terlalu berhati-hati sehingga tidak mampu membuat keputusan adalah satu kesalahan jenayah terhadap diri sendiri. Kita adalah diri kita yang mana kita harus bertangungjawab penuh dalam menentukan hala tuju sendiri.

Keputusan yang kita lakukan pastinya disertai risiko. Ia boleh jadi keputusan yang baik mahupun di sebaliknya. Tidak mengapa...kerana sebetulnya minda kita telah dilatih untuk bertanggungjawab ke atas diri sendiri. Belajarlah dari keputusan-keputusan yang silap, jadikan ia sebagai panduan untuk kita lebih yakin dalam membuat keputusan-keputusan lain di masa hadapan.

Peranan pihak ketiga boleh diambil kira dalam menasihati dan memberi input tentang sesuatu perkara. Kunyah lumat segala informasi dan telan hadamkan di minda untuk kita keluarkan satu resolusi yang bernama 'keputusan muktamad'.

Tidak yakin dengan keputusan sendiri? Di situlah peranan umtuk kita berhubung dengan Pencipta. Amalan syariat yang wajib dan sunat secara konsisten amat-amat membantu dalam keyakinan kita membuat keputusan. Hampirnya kita dengan DIA bakal dianugerahi ilham-ilham jernih dan seterusnya melorong diri untuk yakin dalam membuat keputusan.

Setelah bulat tekad dalam menentukan sesuatu, serah segalanya secara total kepada Allah..bertawakallah kerana DIA bersama hamba-hambaNYA yang sentiasa berdamping denganNYA di waktu susah dan senang.

Jangan takut membuat keputusan kerana yang lebih ditakuti apabila kita gagal dalam menentukan apa yang terbaik buat diri!

No comments:

Post a Comment