PERFECTIONIST - KESEMPURNAAN.
Mengharap kepada kesempurnaan ibarat menempah petaka yang mendatang. Mana ada makhluk yang sempurna, semuanya dicipta dengan beberapa kelebihan dan diimbangi kekurangan. Jika Allah cipta sesuatu yang bersifat sempurna maka sudah tentu ia akan menyaingi sifat Allah sendiri iaitu Yang Maha Sempurna!
Banyak hikmah mengapa manusia tidak dicipta dalam kesempurnaan. Cuba fikir-fikirkan senarai di bawah:-
Jika segalanya sempurna maka manusia sudah tentu bersikap individualistik. mereka tidak memerlukan yang lain atas kapasiti mereka yang tahu serba serbi. Tiada lagi perundingan, mesyuarat, pendapat dan pandangan yang lain. Segalanya boleh diselesaikan sendirian. Berpecah belah manusia tanpa jemaah.
Jika manusia sempurna, tiada lagi ketua jabatan, pegawai kanan, orang bawahan dan penghantar surat dalam sebuah organisasi. Semuanya bersaing untuk memohon jawatan ketua. Jika manusia sempurna, tiada lagi pemotong rumput, penyapu dan pengangkut sampah..semua ingin menjadi Ketua Majlis Perbandaran.
Tiada pelayan restoran dan tukang masak..semua ingin menjadi taukeh restoran. Tiada buruh kasar dan pelukis pelan..semua ingin menjadi kontraktor dan jurutera. Tiada lagi pencuci tandas..semua ingin mendapat kontrak menyediakan kemudahan awam. Tiada lagi peniaga pasar pagi dan malam, semua ingin menjadi pembeli...alahaaaaiiiii, usah dibayangkan kehidupan kita di waktu itu...banyak kerja-kerja yang dipandang remeh tertangguh dan seisi dunia bakal lumpuh!
Di situlah terletak hikmah mengapa Allah cipta kelebihan dan kekurangan iaitu untuk kita saling melengkapi antara satu sama lain. Ungkapan bijak pandai..."Kita tidak dilahirkan bodoh tetapi dengan kebijaksanaan yang berbeza". Jangan anggap mereka yang tidak melanjutkan pelajaran di Universiti itu bodoh dan dungu...bijaknya mungkin dari segi lain.
Jangan rasa kita sebagai ketua jabatan lebih bijak dari orang bawahan...banyak perkara yang boleh dikongsi berdasar pengalaman mereka yang lama bekerja. Jangan pandang remeh dengan tugasan 'cleaner' di pejabat, mereka mungkin bijak tetapi tidak dapat meneruskan pembelajaran atas desakan hidup. Aku sendiri pernah beramah mesra dengan bangla sipencuci tandas di syarikat. Dia lulusan IT bertaraf 'programmer' tetapi tidak banyak peluang pekerjaan yang boleh ditawarkan di negaranya.
Berbalik kepada elemen 'perfectionist' tadi, di alam persekolahan mungkin kita pernah berpengalaman melihat cara seseorang yang inginkan segala yang sempurna dalam hidupnya. Dia cuba sedaya upaya untuk mendapat markah terbaik dan akan pastikan tiada sesiapa yang melangkaui pencapaiannya. Markahnya 90% ke atas sudah melayakkan dia dikalungkan dengan anugerah "Pelajar Cemerlang". Apa berlaku jika kecemerlangannya dipintas dan dia berada di tempat kedua atau ketiga? Bakal berlaku 'down syndrome' ke atas dirinya. Susah untuk diterima hakikat bahawa tempat pertama bukan miliknya lagi. Kecewa, marah, irihati dan menyalahkan takdir di atas apa yang berlaku.
Ini yang perlu dibendung...kesempurnaan bukan milik manusia, kapasiti manusia ada naik dan turunnya. Juara tidak selamanya berada di atas kerana ramai lagi yang kepingin gelaran itu. Oleh itu bersedialah untuk berada di tempat kedua mahupun ketiga. Ibubapa berperanan besar untuk misi penerangan ini dan jangan sesekali mengasak anak-anak dengan segala yang sempurna. Apabila 'kesempurnaan' itu telah sebati dalam jiwa, ditakuti anak-anak kita sukar untuk menerima hakikat dirinya ditewaskan oleh yang lain dan 'down syndrome' bakal mengambil tempat...impaknya besar! Keyakinan diri mula menurun, rasa bersalah yang amat sangat kerana tidak dapat memenuhi kemahuan ibubapa, menjadi murung, tewas menyerap tekanan dan sindiran kawan-kawan, bersifat tidak redha dengan ketentuanNYA.
Rasulullah maksum tetapi tidak sempurna. Pernah berlaku Allah menegur Baginda kerana tidak menghiraukan seorang buta yang bertanya tentang Islam. Keadaan itu berlaku kerana Baginda juga sedang berhadapan dengan golongan elit Quraisy yang kuat pengaruhnya. Jika mereka dapat diIslamkan memang banyak boleh membantu perkembangan Islam. Di situ teguran Allah pada yang tidak sempurna...RasulNYA.
Jadi siapa kita untuk membentuk kesempurnaan. Rezeki Allah melimpah ruah kepada yang berusaha. Jika kita gagal sekarang bukan bererti kita gagal dalam hidup. Kegagalan itu merupakan petanda kepada kecemerlangan yang tertangguh.
Teruskan berusaha dan jangan gerun jika gagal. Terima hakikat bahawa kita bisa gagal, tewas dan tersungkur. Letak matlamat untuk menghasilkan yang terbaik...yang lain biar Allah uruskan.
Definisi gagal sebenarnya terpakai kepada mereka yang tersungkur tetapi tidak bingkas bangun, hanya menyalahkan keadaan jalan yang berliku dan berduri.
Kesimpulannya...imbangi 'ketidaksempurnaan' dengan 'usaha'. Dalam keadaan 'sempurna' bukan milik kita, kita teruskan berusaha untuk menuju cemerlang.
Oohh..satu lagi, jangan hanya berusaha untuk berjaya di dunia sahaja. Bagaimana dengan alam yang kekal itu? Itu adalah misi 'wajib'. Mahu atau tidak, suka atau tidak...kita tetap akan tempuh alam itu.
Cemerlang di dunia cemerlang di akhirat!
No comments:
Post a Comment