Hidup tanpa masalah...alangkah bahagia dan selesanya jika keadaan ini berlarutan. Aku boleh beristirehat semahunya menikmati apa yang tidak dapat kukecapi sejak aku bergelar suami dan ayah. Aku ingin damai, aku ingin tenang juga aku ingin segala macam ramuan keselesaan hidup.
Sejak menyentuh alam perkahwinan, aku berjuang tanpa henti. Dari memelihara seorang wanita sehinggalah beberapa putra dan putri...tanpa henti. Bernafaspun hanya sekali sekala aku dapat menghelanya dengan puas. Selebihnya tercungap-cungap aku meminta udara. Aku lemas dengan situasi ini...jua aku rimas! Bila agaknya hidup yang penuh dengan permasalahan ini akan berakhir. Tetapi aku sedar permasalahan itu sebenarnya sebuah tanggungjawab yang aku harus 'tanggung' dan 'jawab' kelak.
Memang aku bukan bermain-main dengan permasalahan dan tanggungjawab ini. Aku serius menanganinya sehingga tiada apa yang tinggal buatku. Semuanya untuk sebuah kehidupan...bukan kehidupan aku tetapi lebih kepada kehidupan orang-orang di bawah tanggunganku. Sebab itu aku letih...letih yang memerlu rehat yang panjang. Rehat tanpa gangguan.
Nah...aku dalam situasi rehat sekarang. Benar-benar berehat yang tanpa dicuit masalah. Bahagianya berseorangan sebentar. Biarlah mereka pergi dan tiada di sisiku...buat sementara waktu kerana aku letih melayannya. Aku perlu memikir tentang 'AKU' pula. Mana hak aku selama ini. Segala yang aku lakukan hanya memenuhi hak orang lain, demi kepuasan mereka aku berkorban. Tetapi mana pengorbanan mereka untuk aku?
Aahh...aku harus ketepikan itu semua kerana segala dorongan perlakuan adalah tuntutan agama. Itu memang tanggungjawabku. Jika aku mula meminta-minta 'HAK', maka ikhlas itu bakal sirna dari pandangan. Oleh itu tak mengapalah...aku tak minta balasan atas tenaga dan tulang empat kerat. Biarlah Allah menilainya di neraca timbang yang bakal menentukan di mana kediaman kekalku. Aku terus terlena dibuai mimpi..zzzzz.
Aaahhh...nikmatnya tidur sebentar tadi. Serasa mahu kusambung semula layanan mimpi indah. Hhmmm...rasa sunyi pula jadinya bila lama berseorangan. Mana keluarga aku? Mana isteri dan anak-anak? Dia orang ni tak ingat rumah ke?
"Orang perempuan ni kalau dah diberi lesen keluar, sampai tak ingat nak balik rumah", dengus hatiku.
Perut dah lapar, mana hidangan di atas meja seperti yang selalu disajikan oleh isteriku. Mana anak-anak yang selalu berada di meja makan menunggu suapan ayah terlebih dahulu.
Hati mula gusar, perasaan mula berbaur. Dah nak masuk waktu Maghrib masih tak kelihatan kelibat yang tersayang. Aku mencari-cari suis untuk kubuka lampu bagi menerangi rumah yang semakin gelap. Bunyi cengkerik mula kedengaran.
Tiba-tiba kudengar bunyi telapak kaki di atas bumbung rumah dan bunyi itu semakin menjauh...DUMM DUMM PRANNGGG!!!! Eh...siapa pula yang tiba-tiba muncul di hadapan aku?
"MAA ROBBUKA?"
Ya Allahu Rabbi...aku di mana? Inikah janji Allah yang sering kudengar sewaktu di dunia? Alam Barzakh kah ini?
Patutlah aku berseorangan. Patutlah sekelilingku gelap gelita. Patutlah bunyi cengkerik bersahutan. Patutlah aku mendengar bunyi telapak kaki...rupanya itu merupakan orang terakhir yang menziarahiku dan muncullah Malaikat untuk episod soal jawab.
Badanku mula menggeletar...aku gugup, panik, kaget dan segalanya bercampur baur...kerana ini alam baru. Alam yang sering dimomok-momokkan oleh mereka yang sering mendustakannya.
Aku ingin kembali ke dunia untuk kulunaskan segala yang tertangguh...tanggungkawab, hutang piutang. Aku ingin memelihara silaturrahim, aku mahu berbuat baik kepada semua makhluk Allah. Aku ingin berbuat amalan-amalan sunat disamping istiqamah dengan yang wajib. Aku tidak akan meminta-minta sebaliknya akan banyak memberi untuk kutuai hasilnya di alam yang abadi.
"Tolong ya Allah...BERI AKU PELUANG SEHARI SAHAJA LAGI!!!" Lelehan airmata tak terbendung lagi mengenang nasib aku selepas ini.
"Ayah, ayah bangun dah Maghrib...jom solat sama-sama", suara anakku yang berusia 7 tahun mengejutkanku.
"Aaahh..ya Allah aku masih hidup, aku masih hidup!" hatiku tak tertahan-tahan lantas terus mendakap erat anakku. Tetapi terasa lelehan airmata mimpi itu benar-benar wujud, membasahi pipiku.
Syukur ya Allah di atas kesedaran ini. Aku tidak mampu merungut lagi. Biarlah aku hidup bergelumang dengan masalah jika itu menjadi hasil tuaianku di akhirat. Biarlah aku letih tanpa rehat jika itu dapat membasuh dosa-dosaku. Biarlah surat saman mahupun surat dari mahkamah menjadi mainan hidupku jika itu merupakan ujian dan anugerah Allah untukku.
Biarlah aku pasrahhhh......
Nota: Tangisan di dalam mimpi yang dibawa ke alam nyata merupakan petanda kuat untuk hidayah itu hadir. Jangan bertangguh lagi.
No comments:
Post a Comment