Dia insan biasa, punya hati dan perasaan. Rasa hatinya sering diluahkan kepadaku. Tentang keluarga, kerjaya juga masa depan. Aku tak pernah menjemput mahupun menolak kehadirannya. Aku tiada masalah untuk mendengar malahan kuluangkan masa untuk itu dan aku memberi perhatian serius dengan warna penceritaannya.
Aku tahu jiwanya memberontak, hatinya tidak merelakan dan perasaannya sering terganggu dengan apa yang berlaku iaitu apa yang dinamakan KETIDAKADILAN!!!
Seluruh tenaga sudah diperah, dikerah dan diserah kepada majikan dan syarikat...apalagi yang tak kena? Mana lagi yang tak betul? Tak cukupkah lagi dengan komitmen yang diberi? Kenapa susah sangat majikan hendak mempertimbang apa sahaja insentif demi mengiktiraf sumbangannya?
Sumbangan? Bunyinya sumbang sebenarnya. Sumbang atas kapasiti syariah...kerja sebagi ibadah. Memang betullah setiap dari kudrat yang dikeluarkan haruslah dibayar...itulah gaji bulanan yang kita kecapi. Tetapi apabila kita melakukan lebih dari yang sepatutnya dan mula meninjau-ninjau peluang kenaikan mahupun insentif, nampak tercalar sedikit konsep 'kerja sebagai ibadah' itu.
Aku menyentuh satu perkara untuk dia merenunginya. Waktu keberadaan kita di tempat kerja sebenarnya lebih lama dari waktu kualiti untuk keluarga. Jika dikira waktu pejabat, 8 hingga 12 jam bersama rakan pejabat dibanding dengan hanya 3 hingga 4 jam bersama keluarga adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Dengan fakta tersebut mengapa kita harus perjudikan konsep 'kerja sebagai ibadah' itu? Berapa banyak pahala yang kita boleh kumpulkan sewaktu bekerja...ya, bekerja dengan ikhlas. Biarlah kudrat dan tenaga itu menjadi simpanan kekal di akhirat demi membantu meringankan siksa kita yang kurang amalan. Jika habuan dunia yang kita tagih, dibimbangi Allah kabulkan tetapi tiada lagi yang bakal dibawa ke akhirat.
Lebih sudi rasanya kita timbang keseronokan bekerja yang waktunya lebih lama berbanding di rumah. Mengapa harus disiksa jiwa dengan menagih habuan, membahaskan ketidakadilan dengan pelbagai rempah ratus kebencian terhadap makhluk.
Bukan salah sesiapa tetapi lebih kepada kejahilan kita dalam mengawal emosi. Silap kita yang kabur dengan syari'atullah dan mundur kita dengan sifat tamak terhadap habuan dunia.
Ciptalah keseronokan dalam bekerja, Insyaallah jiwa bakal disapa tenang dan bahagia. Habuan? Siapa yang tak nak! Biarlah yang diidam itu hadir sendiri tanpa desakan hati. Jangan siksa jiwa dengan ancaman ketidakadilan kerana sifat makhluk memang tak adil!!! Sebab itu dicipta akhirat untuk Allah timbang dengan seadil-adilnya segala yang didakwa tak adil di dunia. Jangan hairan dengan tak adilnya manusia tetapi terapkan rasa 'hairan' dengan diri atas pelbagai nikmat yang Allah beri bilamana tak sempat untuk kita mengucap syukur. Adil ke tu?
Yakinlah bahawa sekiranya rezeki itu telah Allah cipta untuk kita, tiada apa yang dapat menghalanginya untuk sampai kepada kita begitu juga sebaliknya. Jadi, mengapa harus gundah dengan ketidakadilan?
Yakinlah bahawa sekiranya rezeki itu telah Allah cipta untuk kita, tiada apa yang dapat menghalanginya untuk sampai kepada kita begitu juga sebaliknya. Jadi, mengapa harus gundah dengan ketidakadilan?
Baru-baru ini aku terima e mel darinya mengenai artikel 'sabar' dengan kerenah manusia. Hatiku berbunga dan harumnya boleh kuhidu atas perubahan dirinya. Kelihatan senyumnya makin melebar dan raut mukanya tampak muda. Agaknya dia mula sudi menyerap segala yang dikatakan tak adil itu.
Terimakasih sahabat.
Terimakasih sahabat.
No comments:
Post a Comment