Translate

Sunday, 25 September 2016

Aku dan Ulama'

16 September 2016, 14 Zulhijjah 1437...berakhir perjalanan hidup seorang Ulama' yang disegani kawan dan lawan. Datuk Dr Haron Din, pemergian beliau meninggalkan selautan ilmu untuk diterokai generasi mendatang.

Allahyarham merupakan seorang yang tenang dan terautur di dalam menyampaikan ilmu. Bilamana bermula sahaja majlis penyampaian ilmu, semua hadirin duduk diam memberi sepenuh perhatian...tidak seorangpun berani berdehem apalagi menegur teman di sebelah.

Aku di kalangan mereka yang bertuah...ya, kesempatan berguru dengan Allahyarham telah menukar corak dan karekter aku dalam bersosial. Sifat beliau yang tenang, berhemah, melontar perkataan satu persatu, tidak meninggi diri, mendengar dengan teliti akan persoalan-persoalan yang diaju...kuserap masuk ke dalam diri semampu mungkin.

Kucuba sedaya boleh mendekati beliau untuk sebuah keberkatan. Rutinnya sehabis majlis ilmu, semua pelajar-pelajar akan berduyun-duyun mendapatkan beliau untuk bersalam sambil mencium tangan...Alhamdulillah, setiap minggu aku akan melakukan rutin tersebut.

Amalan dahulukala di kalangan pelajar dalam menuntut ilmu bersama Ulama' yang mereka sayangi juga untuk mendapat keberkatan, kami akan berkongsi meminum lebihan air yang diminum oleh Allahyarham. Lebihan air tersebut akan ditambah sebelum habis untuk kami semua mendapat bahagiannya. Alhamdulillah...rutin itu juga tidak pernah kulepaskan. Serasa lebihan air tersebut meresap masuk menjadi sebati dalam diri ini untuk kusambung perjuangan Allahyarham dalam memartabatkan Islam.

'Melepasi Ujian Dunia' bertarikh 21 April 2013 merupakan catatanku tentang ujian Allah terhadap Allahyarham yang beliau kongsikan kepada kami. Aku sangat terkesan dengan kisah tersebut dan kujadikan ia sebagai landasan untuk aku berpada-pada dengan dunia yang sementara ini.

Semoga roh Allahyarham tenang dan abadi bersama para solehin dalam menuju kepadaNYA. Insyaallah kami anak-anak muridmu akan meneruskan perjuangan Allahyarham. Pengajian di Darussyifa' akan selamanya menjadi pendorong untuk kami memanjangkan ilmu Allahyarham.

Al Fatihah...


Saturday, 17 September 2016

Impak Berjimat

Islam amat menitik-beratkan langkah berjimat cermat dan bersederhana sehingga perbuatan membazir dikategorikan sebagai bersahabat dengan syaitan.

Berjimat tidak hanya menjurus kepada wang ringgit dan harta-benda malah ia merangkumi keseluruhan kehidupan manusia.

Diberi contoh...tidak mengambil makanan yang banyak di dalam pinggan agar makanan yang tidak habis tidak dibuang begitu sahaja. Malah sehingga ke tahap Islam menggalakkan kita menjilat jari demi memastikan tiada bersisa makanan yang tertinggal.

Berjimat menggunakan air dalam mengambil wuduk juga mandi hadas apatah lagi mandi seharian.

Berjimat menggunakan letrik di rumah mahupun di mana jua seperti di surau dan pejabat.

Tahukah kita apa hikmah di sebalik amalan berjimat? Selain dari menghindar dari menjadi kawan rapat syaitan, berjimat bakal memberi impak yang besar di dalam kehidupan kita.

Tanpa sedar, mengambil wuduk dengan penggunaan air yang sangat minimum...Allah akan gantikan berliter-liter air yang telah dijimatkan itu dengan mengalir pelbagai idea dan pendapat dalam penyelesaian masalah di rumah mahupun di tempat kerja.

Di luar jangkaan, dengan mengambil nasi dan lauk secukupnya sahaja tanpa tertinggal walau sebutir nasipun...Allah akan gantikan makanan yang telah dijimatkan tersebut dengan limpahan rezeki yang tak putus-putus.

Tidak terfikir dengan penjimatan elektrik yang diamalkan setiap hari, Allah akan terangkan hati kita untuk menyerap ilmu sebanyak mungkin.

Itulah rahsianya!!!



Monday, 5 September 2016

Prinsip, Hukum dan Simpati

Isu tudung bukan baru. Ingat tak diawal tahun 80an dahulu, sewaktu wanita muslimah mula berjinak-jinak dengan tudung...mereka dimomokkan dengan 'hantu kumkum'. Tudung dikaitkan dengan sesuatu yang menakutkan. Masyarakat tidak menggalak malah menakut-nakutkan bahawa wanita yang memakai tudung adalah jelmaan hantu.

Era 90an timbul sinar baharu dalam pemakaian tudung. Fenomena pemakaian tudung merebak luas ke jabatan kerajaan, sekolah, sektor swasta juga di sektor perindustrian.

Alaf siber merancak gemilangkan lagi keterujaan wanita Muslim untuk memakai tudung. Pelbagai fesyen wujud sehingga merebak kepada nama-nama artis yang dijenamakan kepada nama tudung. Penglibatan artis dalam pemakaian tudung sudah lumrah dan menjadi 'trend'. Tudung dilabuhkan ke paras dada menambah standard syariat..Alhamdulillah.

Terkini timbul pula isu baru...meninggalkan pemakaian tudung demi prinsip dan mengelak hipokrit (rujuk Uqasha Senrose).

Oohhh...aku mahu terus menjurus kepada permasalahan sebenar iaitu ketidakfahaman kita tentang hukum. Syari'atullah tidak boleh dipertembungkan dengan prinsip hidup walau apapun alasannya. Hukum bukan barang mainan yang boleh diamal dan ditinggal sesuka hati. Meninggalkannya berdosa dan mengamalkannya dianugerah pahala. 

Begitu berkuasa 'prinsip hidup' seseorang sehingga bisa mengkesampingkan hukum begitu sahaja. Betul..ini masalah individu yang ditanggung oleh yang empunya diri. Tetapi aku lebih melihat kepada perilaku artis yang begitu berpengaruh dalam mencorak kehidupan remaja dan idola mereka. Jika tidak dibendung, tidak mustahil timbul fenomena baru meninggalkan pemakaian tudung begitu sahaja atau 'kejap pakai, kejap buka'.

Para asatizah, ilmuan, 'academician' perlu memain peranan di dalam memperjelaskan lagi hukum- hakam menurut syari'at Islam. Wujudkan forum-forum, banyakkan lagi siaran-siaran keagamaan di media massa, ramaikan lagi jemputan-jemputan Ustaz dan Ustazah di radio popular Malaysia.

Netizen dan para peminat pula tidak boleh sewenangnya menghukum, meletak salah, menghina dan mencerca...ini bukan ajaran Islam. Serlahkan rasa kasih sayang, kasihan dan simpati kepada mereka yang alpa. Doakan mereka yang jahil untuk kembali ke jalan yang diredhai.

Bagi mereka yang terlajak mencerca, rujuklah Hadis sahih yang berbunyi 'tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri'. Selagi mereka mengakui Allah itu Satu dan Nabi Muhammad itu pesuruhNYA, menjadi kewajipan dan tanggungjawab kita untuk menyelamatkan iman dan pemahaman mereka terhadap agama syumul ini.

Wallahua'lam.



Friday, 19 August 2016

Kuku Mak Dah Panjang

Hari itu aku bercuti semata-mata untuk kuluangkan waktu bersama mak. Suasananya berlainan bila balik sekeluarga berbanding berseorangan. Mak selesa bercerita bila tiada orang lain di sekitar.

Sebelum balik mak minta tolong bersihkan kawasan sampah di belakang rumah. Mak suruh aku ambil rambutan dan langsat di pokok...dah banyak yang masak ranum.

Bajet waktu yang kuletakkan hanya di sekitar jam 3 petang untuk urusan ke bank dan takut jalan sesak. Tetapi tak mampu kutolak permintaan mak. Selagi mak masih hidup dan perlukan sesuatu, selagi itulah aku akan turuti segala permintaan mak.

Urusan bank? Biarlah...ada hari lain. Jalan sesak? Tak apa...aku akan banyak bersabar.

Jam sudah menganjak ke pukul 6.30 petang. Sebelum balik, aku periksa kuku mak...dah agak panjang.

"Macamana mak potong kuku?" Soalku.

"Main rasa-rasa je la", jawab mak.

Mata mak memang dah agak kabur. Dah buat pembedahan kecil membuang selaput mata tapi keadaan tak banyak berubah...sebab mak ada diabetis.

"Meh gg potongkan kuku mak ye".

"Boleh jugak", spontan mak bangun nak ambil pengetip kuku.

"Takpe mak...ni ada ni gg bawak".

Memang niatku untuk potong kuku mak hari ini. Sejak mak mengadu mata dah kabur. Kesian aku bayangkan mak teraba-raba kuku...salah ketip takut berdarah terketip kulit.

Puas...hatiku puas dapat berbakti pada mak. Tak seberapa bantuan itu tetapi cukup menghiburkan hati mak yang kesunyian sejak arwah tiada.

Aura mak kubawa bersama...



Saturday, 13 August 2016

Cantik, Harta dan Akhlak

Ermmm..siapa tak nak jadi cantik. Orang cantik ramai peminat, selalu dapat pujian, wajah mereka terpampang di majalah, billboard dan media massa.

Ermmm..siapa tak nak jadi kaya. Orang kaya akan dihormati, boleh dapat apa sahaja, boleh pergi ke mana sahaja, boleh bantu siapa sahaja.

Ermmm..siapa tak nak akhlak yang baik. Orang berakhlak ramai kawan, tiada musuh, rasa mesra dan disukai ramai, tak menyusahkan orang, selalu tersenyum, tak lokek nak belanja kawan-kawan, suka membantu, banyak beralah, tak hipokrit.

Wajah cantik...kulit akan mula kendur dimamah usia, hilang seri hilang kecantikan. Matinya bersama kain kapan, isi badan dimakan ulat tinggal tengkorak dan tulang belulang.

Harta banyak...tidak bermanfaat bila kesihatan ditarik. Duit mula susut untuk kos rawatan diri. Anak-anak mula berebut harta sedang diri semakin tenat. Harta banyak tak boleh bawa mati...hanya untuk waris-waris yang ditinggal.

Akhlak...walau diri semakin lanjut usia namun tetap disayangi dan dihormati lantaran banyak budi dan jasanya. Walau tidak berharta, tetapi kata-katanya banyak mengubah hidup seseorang. Namanya harum dan kekal dalam ingatan masyarakat walau telah bersemadi di pusara.

Diri tak cantik tetapi diserikan dengan akhlak yang baik.

Harta tiada tetapi kaya dengan budi, jasa bersama keikhlasan yang tinggi.

Mana satu yang kau pilih...


Sunday, 7 August 2016

Kaki Siapa Tu?

Peribadi anak-anak adalah terjemahan dari didikan ibu bapa di rumah. Jika ibu bapa merupakan seorang yang prihatin dan amat menitik-beratkan disiplin dan tingkah laku, sedari kecil lagi anak-anak akan dilatih dan diberi tunjuk ajar juga ditegur bilamana sesuatu yang tidak menyenangkan berlaku di hadapan mata.

Begitu juga di sebaliknya, jika ibu bapa dari kalangan yang tidak kisah dan tidak memberati sikap dan kelakuan anak-anak, bebas sebebas-bebasnya lah anak-anak bersama perilaku yang tidak keruan.

Berlaku di sebuah pusat servis kereta, seorang bapa bersama dua orang anak berumur di sekitar 1 dan 3 tahun. Bising dengan suara anak-anak bukan menjadi masalah, dah namanya kanak-kanak..pasti ada sahaja yang dimain dan digaduhkan sesama mereka. Aku terus leka membaca.

Kelekaanku terganggu dengan sepasang kaki tiba-tiba dihalakan ke belakang..menghadap mukaku. Owwhhh..orang tua dulu-dulu amat menjadi kepantangan mereka apabila kaki dihalakan ke muka, kaki memijak bantal, kaki diletak atas meja...tak manis atau kurang ajar, kata mereka.

Ayahnya tidak perasan barangkali tetapi bagiku sekiranya anak-anak telah dididik seawal dari rumah, pasti kelakuan tersebut tidak diterjemah walau di mana anak-anak berada. 

Entahlah...


Friday, 5 August 2016

Kisah Lima Beranak

Di sebuah restoran, aku bersama isteri menikmati makan malam. Hendak memasak, tak berbaloi kata isteriku..hanya berdua. Sudahnya banyak lauk yang terbuang begitu sahaja.

Sedang kami leka berbual, masuklah satu keluarga bersama tiga orang anak kecil. Dua darinya berumur sekitar 3 dan 4 tahun, seorang lagi mungkin 10 bulan yang diletakkan di kerusi khas untuk bayi.

Seusai memesan makanan, si ayah dan ibu leka menunduk kepala menghadap telefon bimbit sedang anak-anak mereka bermain sesama sendiri. Situasi tersebut kekal berlaku sehingga makanan dihidangkan.

Owhh...nilai hidup manusia sudah banyak berubah dan banyak pula kemelutnya. Suami tidak lagi berbual bersama isteri..ayah terlupa mengawal perilaku anak-anak..isteri lebih mendahulukan rakan taulan di alam maya dari bercerita dengan suami di hadapan mata..ibu pula tidak lagi betah berkomunikasi dengan anak-anak.

Ya...kelekaan mereka dalam mewarnai kehidupan serba canggih bakal terjawab apabila anak-anak semakin membesar. Mereka terlupa bahawa mereka sedang mendidik anak-anak dengan situasi serba bisu. Mereka mengajar anak-anak untuk sentiasa 'update' status di sepanjang waktu tanpa mempeduli keluarga di sisi. Mereka menanam rasa 'keakuan dan privasi' diri walau dalam kelompok kekeluargaan!

Dan...tidak perlulah melatah dan memarahi anak-anak apabila situasi sama berlaku 10 tahun akan datang kerana...didikan 10 tahun yang lalu telah diserap masuk sepenuhnya oleh anak-anak dan diguna pakai oleh mereka di sepanjang kehidupan berkeluarga.

Lakonan manusia menatijahkan muhasabah diri...


Monday, 25 July 2016

Aku Yang Bermaksiat

Di pejabat sebelum memulakan kerja, kakitangan jabatan kami akan berkumpul berdiri membentuk bulatan...mengemaskini tugasan masing-masing agar segala kerja yang dilaksanakan menepati piawaian jabatan. Ia didahului oleh tazkirah dari seorang Ustaz yang sama bekerja di jabatan kami.

Ya..hari itu. Tazkirah yang disampaikan menyentak minda, menerobos ke hati yang agak terleka rupanya. Konon diri kita umpama Malaikat di langit ke 7. Bisa beribadat menambah pahala bersama amalan-amalan sunat. Tidak melibatkan diri dari permainan judi, tidak meminum minuman beralkohol, tidak suka berpeleseran bersama perempuan, tidak menyakiti sesama insan.

"Aahhhh...hebat peribadi sipolan itu..umpama anugerah Allah kepada mereka yang mengenalinya", kata mereka mengagumi peribadi beliau. Ya, di mata kasar begitulah ceritanya.

Apa isi tazkirah? Berkenaan sebuah Hadis menyatakan betapa manusia terlupa bahawa mereka bermaksiat dalam diam. Berbangga-bangga dengan ilmu agama yang dimiliki, merasa diri hebat dan merendah-rendahkan yang lain, berasa ujub dangan kelebihan diri...itulah maksiat yang tersembunyi!!!

Lihat...syaitan tidak pernah berputus-asa dengan misi bagi menyesatkan manusia. Jika faktor luar gagal dimanipulasi (arak, judi, wanita), dimainkan pula kelemahan dalam diri manusia...iaitu suka kepada puji-pujian (membuat manusia rasa hebat). Dialunkan irama pangkat dan kedudukan yang tinggi (rasa bangga apabila dimuliakan masyarakat), ditujahi dengan ikhlas berderma disulam hati berbunga dilihat manusia.

Kepalaku lama tertunduk sedang tazkirah masih dibacakan. Aku tidak mahu muhasabah diri dianjak ke waktu yang lain. Terus mahuku membuat refleksi diri. Kedapatankah sifat-sifat tersebut dalam diri ini?

Aaaahhh...dadaku berdegup luar biasa bila mengenang sifat-sifat munafik yang tersembunyi di dalam diri. Jika tidak kerana ehsan Allah menyembunyikan segala perilaku maksiat yang setiap hari kulakukan, pastinya sarat maluku dengan kutukan manusia.

Berpagian mengenang sarat dosa lebih kurela dari berasa megah dengan tahajjud di dua pertiga malam. Berasa tidak berdosa jua merupakan satu dosa!

Aahhhhh...


                                                  

Sunday, 17 July 2016

Rumah Itu...


Rumah itu tempatnya untuk berehat..untuk melepas lelah seharian..untuk bertukar ganti pakaian..untuk persediaan makan minum..untuk berlindung dari panas hujan..untuk tidur yang selesa.

Itu sahajakah peranan rumah? Jika segalanya berpaksi kepada senarai di atas, sewa sahaja hotel, motel, homestay, rumah tumpangan atau apa sahaja yang bisa menjadi tempat transit bagi melestarikan senarai di perenggan pertama di atas.

Jika begitulah persepsi rumah di mata manusia, tiada bezalah kita dengan haiwan-haiwan ternakan. Sekawanan lembu mahupun kerbau berpagi-pagian meragut rumput, petangnya diarah oleh pengembala untuk masuk ke kandang demi menjaga kerehatan dan keselamatan haiwan-haiwan tersebut.

Justeru, rumah harus dilihat sebagai tempat untuk melahirkan jiwa yang subur, akal yang tajam, tenaga yang aktif dan dinamik dan generasi pelapis yang boleh menyambung perjuangan dalam menegakkan syari'atullah.

Di sinilah letak peri pentingnya sebuah institusi kekeluargaan yang harmoni.. bermula dari rumah. Imej dan karekter anak-anak banyak dipengaruhi oleh persekitaran di rumah. Tidak sukar untuk menelah bagaimana latar belakang dan didikan keluarga seseorang itu. Adakah dia bersifat pembersih, pengemas, berdisiplin atau apa sahaja profil...lihat sahaja kehidupannya di asrama, kolej mahupun di pejabat. Di situlah letaknya imej diri yang dibentuk oleh keluarganya semenjak kecil lagi.

Bagi mewujudkan jiwa yang subur agar anak-anak boleh menyumbang kepada kemaslahatan ummah di masa hadapan, ibu bapa seharusnya menyediakan persekitaran rumah yang bersih dan teratur. Tidak salah memanjakan anak-anak dengan segala fasiliti terkini menurut perkembangan dunia semasa (mengikut kemampuan masing-masing), hanya ia harus diseimbangkan bersama disiplin waktu dan syari'at asas sebagai seorang Muslim.

Di rumah harus ada peraturan dan disiplin. Baik dari segi kekemasan bilik, rumah mahupun diri sendiri. Mini peraturan ini bila sudah sebati, akan dengan sendirinya diterjemah oleh anak-anak walau di mana atau ke mana mereka bermastautin.

Di rumah harus ada sifat kekeluargaan dan toleransi. Baik bersama isteri, anak-anak mahupun adik-beradik. Sifat bertolak ansur ini akan dengan sendirinya diamal bersama masyarakat taman atau di persekitaran kerja apabila anak-anak sudah berdikari dan hidup sendiri.

Di rumah harus ada sikap saling mempercayai sesama ahli keluarga dan rasa hormat...menolak segala prejudis yang boleh menidakkan rasa harmoni kekeluargaan. 

Insyaallah, berbekal segala jati diri yang dimulai dari rumah hasil dari didikan ibu bapa...akan terserlah segala nilai-nilai teras yang bisa melonjakkan sinergi dan kapasiti diri untuk sebuah imej Muslim Professional. 

Kita sebagai ibu bapa harus bersedia dalam mewujudkan 'action plan' dan 'timeline' agar segala aktiviti di rumah menepati perancangan yang telah diatur kerana imej anak-anak bergantung kepada didikan yang diterima di rumah. Jadikanlah SYURGA DUNIA SEBAGAI RUMAH KITA!!!

Tuesday, 5 July 2016

Pahala di Penghujung Ramadhan

30 Ramadhan...Alhamdulillah di atas keizinan dan limpah kurniaNYA dalam kita sempat memenuhi genap 30 hari berpuasa. Aku sendiri berasa banyak kekurangan dalam menempuh tribulasi Ramadhan pada tahun ini. Entahlah...kekadang dirasa nafsu sendiri lebih kuat pengaruhnya dari bisikan syaitan. Namun itu bukan alasan untuk aku berlengah-lengah dalam bertaubat sebanyak-banyaknya...sementara Ramadhan masih berbaki beberapa jam sahaja lagi.

Errmmm ingin aku berkongsi tips untuk kita mendapat keuntungan lebih sebelum berkumandang takbir raya. Bersama jumlah yang sama tetapi keuntungan yang berbeza sehingga berlipat kali ganda banyaknya.

Selain dari menggandakan bacaan al Quran, aku pasti...tidak banyak, sikit...duit raya telah kita peruntukkan untuk keluarga terdekat seperti ibu, ayah, adik-adik yang masih bersekolah mahupun anak-anak jiran tetangga.

Hulurkan terus duit raya tersebut sebelum berbuka di hari terakhir Ramadhan agar pahala yang berlipat kali ganda masih dapat dikecapi. Ganjaran pahala sudah berbeza di pagi 1 Syawal yang  adat kebiasaannya kita memberi angpau raya selepas bersalam-salaman.

Ye lah...di kala tidak banyak amalan yang dapat kita lakukan dek tenaga yang terbatas...kita ambil peluang bersedekah duit raya di akhir Ramadhan untuk ahli keluarga yang rapat. Mudah-mudahan Allah membalas pahala sedekah tersebut dengan ratusan mahupun ribuan ganda banyaknya sepertimana yang dinukilkan di dalam Hadis-hadis sahih.

Insyaallah...



Sunday, 3 July 2016

Tanda Taubat Diterima

Di bulan Ramadhan yang mulia ini kita digalakkan bertaubat sebanyak mungkin di atas segala salah laku dan pelanggaran syariat. Fasa 'Rahmat', 'Pengampunan' dan 'Pelepasan dari api neraka' menjadi bukti betapa Allah membuka seluas-luas peluang untuk hambaNYA memohon dan nescaya akan dikabulkannya.

Amat malang sekiranya Ramadhan pergi tetapi kita tidak termasuk di dalam golongan yang mendapat pengampunan dari Allah SWT.

Bolehkah kita mengetahui apakah taubat kita diterima atau tidak? Ulama menggariskan bahawa tiada perkiraan tepat bagi menggambarkan bahawa taubat seseorang itu total diterima. Tetapi tanda-tanda taubat itu diterima boleh dijadikan sandaran.

Di antaranya:-

1. Kaya bersama amalan-amalan sunat.

Seseorang itu secara konsisten beramal dengan amalan-amalan sunat dan ditambahi amalan yang mampu dilakukannya pada setiap tahun. Hutang amalan wajib diqadakannya sehingga dia yakin bahawa telah lunas segala apa yang telah ditinggalkannya dahulu.

2. Dunia yang sedikit dirasakan banyak, akhirat yang banyak dirasakan sedikit.

Habuan dunia yang ala kadarpun telah dirasakannya banyak dan dia tidak meminta-minta untuk ditambahi. Tetapi amal-amal yang banyak dilakukannya dirasakan amat kurang dan mahu dirambahi bagi menebus dosa-dosa silam.

3. Baik lisannya.

Dia akan banyak beralah demi mengelak perselisihan faham yang boleh menjurus kepada pertelingkahan. Amat peka dengan perasaan seseorang lantaran itu baik petah bicaranya agar tidak mengguris hati yang mendengar.

4. Merasa sakinah

Jiwanya tenang walau dihujani pelbagai masalah. Kebergantungannya yang total kepada Allah menjadikannya seorang yang penyabar dan tenang di dalam apa jua keadaan.

5. Merasa jijik dengan maksiat yang pernah dilakukannya dahulu.

Seorang sahabat pernah mengadu kepada Rasulullah bahawa di zaman jahiliahnya beliau pernah menanam anak perempuannya yang berusia dua tahun hidup-hidup. Beliau menangis dan merasa jijik dengan perlakuannya dahulu.

6. Tidak mendekati pelaku-pelaku maksiat yang boleh menyebabkan dirinya boleh terjerumus kembali ke lembah hina.

Itulah di antara tanda-tanda taubat diterima. Ulama hanya menggariskannya...hanya Allah yang Maha Mengetahui. 

Wallahua'lam



Friday, 1 July 2016

Kopiah dan Integriti

Suatu yang lumrah apabila kita melabel seseorang yang tidak dikenali melalui penampilannya. Ye lah...itu sahaja yang boleh ditelah. Bersebab itulah amat penting untuk kita selaraskan diri bersama penampilan yang original ...kita menjadi diri kita sendiri tanpa sebarang promosi.

Senario memotong barisan kereta adalah perkara biasa yang sering berlaku di hadapan mata. Tidak kira di mana, boleh jadi di highway di lorong kecemasan mahupun di jalan biasa di bahu jalan. Ya...itu biasa.

Tetapi yang luar biasanya bila mana sikap pentingkan diri sendiri diterjemah oleh pemandu yang memakai kopiah putih di lingkungan umur 60 tahun bersama sejemput janggut putih (imej Ustaz terserlah di situ). Mahu aku berbaik sangka bersebab hal kecemasan untuk 'atuk' itu mahu mengejar masa. Tetapi 'husnuzon' aku ditempelak dengan si atuk menyelit di hadapan keretaku...tidak diteruskan episod memotong seterusnya walau peluang terbuka. Bermakna tiada apa yang mahu dicemaskan.

Eerrrrrr...atuk sayanggggg...sikap atuk tu menempah prejudis manusia sekitar...Islam juga yang menjadi mangsa.

Berkali-kali kupesan kepada anak-anak...jangan berasa hebat bersama penampilan berkopiah dan berjubah jika kita masih belum bersedia menampilkan sikap positif dan integriti diri. Tanpa sedar kita pula yang menjadi asbab fitnah berleluasa.

Betullah kata Dr Zakir Naik, jika mahu melihat Islam jangan dilihat kepada penganutnya, sebaliknya lihatlah kepada ajaran yang terkandung di dalam Nas al Quran dan Hadis.

Benar juga terjemahan Hadis...di akhir zaman, umat Islam ramai tetapi bak buih-buih di lautan. Dihayak ke sana ke sini oleh arus ombak tanpa ada pendirian dan prinsip hidup.

Faham ye atuk!



Wednesday, 29 June 2016

Ramadhan vs Badar

Ramadhan adalah bulan berkat yang dianugerahkan Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Umat Islam mula-mula diwajibkan berpuasa pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah. Pada tahun tersebut juga berlaku peristiwa besar yang dinamai sebagai Perang Badar. Peperangan pertama dalam pengembangan Islam berlaku di kala umat Islam diwajibkan berpuasa buat pertama kali!

Oohhh...berkebetulankah itu semua? Tahun pertama berpuasa dibebankan pula bersama perang. Tidak!!! Syiar Islam berkembang tidak didasari dengan terma 'kebetulan'. Ia berlaku di atas kehendak dan perancanganNYA. Mesej Perang Badar amat nyata dan telah dirungkaikan oleh Ulama-ulama.

Secara logik akal, puasa pasti beriringan dengan lapar dan dahaga yang tentu berhadapan dengan lemah anggota badan. Ini menatijahkan pergerakan yang dibataskan dengan sengaja...ditakuti bila bergerak cergas, semakin lemah jadinya untuk menanggung lapar dahaga sehingga ke petang.

Tetapi tidak begitu jadinya bila kita menghayati apa yang dialami oleh ahli-ahli Badar. Mereka berpuasa, berlapar dahaga tetapi rasa lemah itu dimatikan dengan semangat juang yang tinggi bagi menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Allah campakkan di hati mereka untuk syahid di jalanNYA. Tiada rasa gentar walau ketumbukan pihak Muslim hanya 313 orang berbanding 1000 di pihak Quraisy.

Bumi Badar menjadi saksi bahawa hukum mantik bukan menjadi ukuran...yang ramai bisa menewaskan bilangan sedikit. Bantuan Allah bersama para Malaikat menjadikan yang dominan ditewaskan dengan mudah walau yang minoriti dalam keadaan berlapar dahaga.

Apa mesejnya di sini? Puasa sebenarnya lebih menjadikan diri seseorang itu lebih produktif dan bersemangat dalam menjalani kehidupan seharian. Lapar dahaga dan membataskan pergerakan hanyalah alasan mereka yang di tahap puasa ikut-ikutan. Asalkan berpuasa...sudah memadai.

Berpuasa sebenarnya mengecilkan saluran darah dan menjadikan nafsu semakin lemah dan kurang agresif. Inilah kesempatannya...selepas nafsu dapat ditundukkan, pecutan gear dinaikkan dalam menambah amal ibadat. Moga semangat beramal di bulan Ramadhan menjadi 'catalyst' untuk merubah perilaku kita menjadi insan yang bertakwa...Insyaallah.

Ayuh...jadikan ahli-ahli Perang Badar sebagai ikon untuk kita lebih bersemangat dalam perjuangan bersama kerjaya masing-masing. Tingkatkan produktiviti dan kualiti diri...maka akan wujudlah apa yang dinamai sebagai 'Muslim Professional' yang terselit sifat takwa di dalam dirinya...terjemahan dari kualiti puasa yang diamalkan.


Friday, 17 June 2016

Agenda Bersama Manusia

Bersama jabatan Sumber Manusia mengiyakan segala apa sahaja aktiviti yang berkait dengan manusia. Tidak kira apa status manusia tersebut, boleh jadi kakitangan syarikat, keluarga kepada mereka juga mereka yang tiada kena-mengena dengan syarikat.

Perancangan rapi sudah dibuat untuk kami bersahur bersama anak-anak yatim. Acara ini memang menjadi rutin syarikat untuk berkongsi rezeki lantas memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Aku dikejutkan jam loceng seawal 2.15 pagi. Kusempurnakan qiamullail dan bergerak keluar jam 3 pagi. Menjadi orang pertama tiba di perkarangan rumah anak yatim di sekitar jam 4 pagi lantas disambut mesra oleh Pengerusi dan anak-anak kecil yang sedia menunggu.

Penghuninya sederhana jumlahnya...berumur dari 17 tahun sehinggalah sekecil 4 tahun. Mereka rapat sesama mereka. Kawasan itu menempatkan 2 blok rumah dan surau dan sebuah padang kecil bersaiz futsal. Blok rumah merupakan rumah wakaf dari seseorang yang berharta tetapi tiada sumber pendapatan tetap untuk membiayai bil bulanan yang memerlukan sekurang-kurangnya RM30 ribu sebulan.


Terfikir aku birokrasi yang harus ditempuh selayak peminta sedekah yang mengunjungi Pusat-pusat zakat dan Baitul Mal. Ya betul...mesti ada prosedur tetapi segala peraturan adalah bikinan manusia...bisa diubah bila perlu. Entahlahhh...

Upacara pembukaan bermula jam 4.45 pagi disusuli dengan bersahur, solat Subuh, ceramah Subuh dan diakhiri dengan pemberian sumbangan kepada rumah anak yatim dan duit raya kepada penghuni.

Selepas bergambar, kami bersalaman dan kami beredar diselangi dengan lagu-lagu selawat nyanyian anak-anak kecil.



Khalas aktiviti pertama di bulan puasa...bakal menyusul yang lain..hablumminannaas...begitulah urusan sesama manusia di Jabatan Sumber Manusia.

Aku? Begitu bersemangat mendekati manusia kerana di situ pahala menanti. 

Agendanya untuk merapatkan lagi tali silaturrahim yang sangat dituntut agama yang impaknya bisa memanjangkan usia makhluk.

Agendanya untuk aku mendidik diri sendiri dan bersabar dalam segala kerenah dan mehnah manusia di hadapan mata.

Agendanya untuk kulunaskan segala keperluan mereka dalam melahirkan kakitangan yang berkelas tinggi yang dinamai sebagai Muslim Professional.


Itulah Agendanya...aku bersedia ke arah itu.



Sunday, 12 June 2016

Syamsul Debat

Dunia dakwah diwarnai lagi...bersama seseorang yang dikenali sebagai Syamsul Debat. Tidak pula mahuku merisik dari mana datangnya gelaran debat tersebut. Tetapi demi melihat latar profil beliau yang menjadi Pengerusi Pertubuhan Alumni Debat Malaysia juga sebagai pengamal undang-undang, maka terjawablah sudah siapa beliau.

Pertama kali aku menonton rancangan beliau berceramah yang disiarkan oleh TV ALHIJRAH. Beliau petah berbicara dan bijak memanipulasi audien dengan lawak jenaka yang menggeletek hati. Aku sendiri tersenyum-senyum dibuatnya dengan lagak lakonan bersahaja oleh insan yang bernama Syamsul Amri Hj Ismail ini. Pendek kata...memang menghiburkan.

Tetapi lama kelamaan aku mula menyedari peratusan isi ceramahnya tidak seberapa. Beliau lebih tegar melakonkan aksi-aksi bahan cerita disertai memek muka yang melucukan. Loghat Negeri Sembilan yang digunapakai menghidupkan lagi bahan jenaka.

Aku tidak bersikap konservatif dalam melayan ceramah-ceramah agama yang diselit unsur-unsur lelucon. Ramai ustaz-ustaz yang memakai pendekatan 'hiburan' dalam menyampaikan ceramah agar tidak mengundang bosan para penonton.

Tetapi bila peratusan komedi mendominasi pengisian agama...jadilah ceramah agama sebagai 'Stand up Comedy' yang penuh aksi-aksi melucukan!

Ya...tidak dinafikan cermah beliau memang hidup tetapi jangan nanti tujuan penonton yang hadir lebih kepada hendak berhibur berbanding menambah ilmu.

Nilailah sendiri ya...



Friday, 10 June 2016

Terimakasih Ramadhan

Alhamdulillah...Ramadhan hadir bersama nyawaku yang masih hidup untuk diberi kesempatan mengecap nikmat puasa dalam menuju takwa. Ya...takwa adalah natijah kepada puasa yang sempurna anugerah Ilahi kepada hamba-hambaNYA yang bersungguh-sungguh dalam beramal.

Mana mungkin kita lepaskan begitu sahaja tawaran hebat di bulan Ramadhan. Amalan sunat diberi pahala amalan wajib...amalan wajib pula digandakan sebanyak 70 kali balasan!!!

Jika tawaran tersebut berbentuk nilaian gandaan harta di hadapan mata...adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk hamba itu menolaknya. Justeru...mengapa masih ada yang berdalih dan memandang sebelah mata sahaja rahmat yang diturunkan di 10 malam pertama, keampunan yang ditawar bagi 10 malam kedua dan pelepasan dari api neraka di 10 malam terakhir? Ya...kerana imej pahala itu terhijab, tidak kedapatan di hadapan mata. Maka, hanya mereka yang beriman dan celik mata hati sahaja yang beriltizam dalam meraih gandaan pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Lantas, marilah sama-sama kita meraih bonus mega yang ditawar hanya sekali dalam setahun. Kemuncaknya malam yang penuh barakah yang dinamai sebagai al Qadar.

Hidup yang sesingkat waktu 'Asar bersama nilaian sebelah sayap nyamuk ini tidak perlu kita pertaruhkan dalam memangsai Ramadhan. Mungkin ini merupakan Ramadhan terakhir yang mampu kita kecapi. Siapa tahu usia kita panjang hingga bisa menangguh-nangguh dalam beramal...tiada siapa yang mampu merungkainya.

Duhai Ramadhan...terimakasih kerana sudi menjengukku dan mengetuk pintu rumahku untuk bertandang.

Jika benarlah ini merupakan Ramadhan terakhir buatku..kupinta kepada Allah agar Lailatul Qadar menjadi penebusnya.

Jika benarlah ini peluang terakhir buatku bersama Ramadhan...kupohon kepadaMu ya Allah agar bacaan ayat-ayatMu bisa memeliharaku di barzakh.

Jika benarlah perpisahan bakal berlaku di tahun ini wahai Ramadhan...kuharap agar sedekahku yang tak seberapa nilainya bisa dipertimbangkan di Mahsyar.

Syukur kepadaMu...terimakasih Ramadhan...monologku terhenti di sini.




Tuesday, 31 May 2016

Haaiissyyy..Keretaku Calar Lagi

Di hujung minggu jika tidak ke mana, aku suka menghabiskan masa dengan mengemas rumah, menyusun atur perabot, mengecat dinding-dinding yang dimakan haba matahari dan hujan. Haaaa...salah satu aktiviti yang menjadi kegemaran ialah mengilat kereta (polish).

Aku jarang membawa kereta ke 'car wash'. Kepuasan itu mencapai tahap 'utility marginal' bila kebersihan kereta datangnya dari keringat sendiri. Aku boleh berleka-leka 2 hingga ke 3 jam dalam memastikan keretaku berada di dalam kelasnya.

Hari itu macam biasa, aku sudah berkira-kira untuk membelai 'kekasih' ku di hujung minggu. Kusediakan apa yang perlu..span, kain bilas dan cecair pengilat. Rancak tanganku menghayun menggilap badan kereta mengikut rentak muzik yang berkumandang bersama siaran radio retro Sinar FM.

Aahhhh...hayunan tangan terhenti, mataku terpaku di satu sudut. Kesan calar dan sedikit kemek seakan mengguris hatiku. Kereta itu untuk kegunaan isteri tetapi penjagaannya adalah di bawah seliaanku. Baharu sahaja rasanya aku berhabis duit untuk menghilangkan kemek dan calar di badan kereta...timbul pula calar yang lain. 

Haaiisssyyyy...serasa aku sudah berdiri dan masuk ke dalam rumah untuk memberi 'show cause letter' buat isteri. Oohhhh...itu hanya apa yang aku fikirkan. Aku belum berdiri lagi, masih menghadap kesan calar.

Sekonyong-konyong tergambar pengorbanan isteri dalam membantuku sepanjang kami hidup bersama. Dia memasak untukku dan anak-anak, membasuh kain baju, menggosok bajuku, mengemas rumah, bersusah-susah bekerja sehingga ada kalanya lewat balik ke rumah di atas lambakan kerja yang perlu diuruskan di pejabat. Yang paling aku hargai...dia setia kepadaku!

Hasrat untuk memberi peringatan kepada isteri ku kuburkan begitu sahaja. Aku hayunkan semula tangan dalam menggilap. Kubiarkan kesan calar dan kemek di kereta...tidak mengapa. Biarlah kesan tersebut berada di tempatnya kerana kenderaan itu tidak bernyawa. Bisa sahaja aku hantar kereta ke bengkel...hilang calar..hilang kemek.

Apa kisahnya jika aku memarahi isteri? Kesan calar di hatinya akibat dimarahi akan dibawa hingga ke mati!!! Tidak mampu untukku lukai hati isteri yang sudah sekian banyak berkorban demi kehidupan kami sekeluarga.

Lagu 'Permata Untuk Isteri' dari corong radio dendangan Kopratasa beralun lembut mengiringi hayunan tanganku. 

Terimakasih isteriku...



Sunday, 15 May 2016

Cerita di McD

Hari itu aku sekeluarga berpetang-petang di restoran Mc Donald. Lama rasanya aku tak merasa burger kegemaran Big Mac. Eermmm...pasti ada yang mencebik bibir bila mengetahui aku masih melanggani hidangan di Mc Donald.

Ramai yang skeptikal bila mendengar nama restoran makanan segera ternama Mc Donald...kannn. Mereka memboikot jenama tersebut atas dakwaan syarikat tersebut menyalurkan dana bantuan kepada negara Israel bagi memerangi pejuang-pejuang Palestin.

Benarkah dakwaan tersebut? Sehingga sekarang masih tiada bukti kukuh mengaitkan 'franchise' Mc Donald bersama Israel. 

Kerajaan Malaysia berpendirian teguh untuk tidak langsung mempunyai hubungan diplomatik dengan negara yang memerangi rakyat Palestin. Pendirian ini dinyatakan dengan jelas di dalam banyak deklarasi juga di PBB. Di dalam pasport juga ada larangan untuk rakyat Malaysia melawat negara Israel.

Kerajaan tidak secara semborono meletak hukum dan kesalahan dalam apa sahaja dakwaan yang dipanaskan oleh Persatuan-persatuan dan NGO. Tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti-mufti di Malaysia khususnya dan Mufti di seluruh dunia amnya.

Aku juga mengambil pendirian yanga sama. Selagi tiada 'blue print' dari pemerintah juga badan-badan Islam yang diiktiraf yang bertanggungjawab di atas pemerintahannya ke atas sesebuah negara, maka aku tidak akan melayan dakwaan-dakwaan atas angin.

Agak-agaknya, jika timbul dakwaan yang menyatakan semua syarikat telefon pintar ada menyalurkan dana kepada Israel..apakah kita akan terus membuta-tuli tidak menggunakan produk telefon pintar tersebut berdasarkan 'dakwaan' tanpa fakta? Sanggup ke kita hidup tanpa gajet di tangan? Hhmmmm.

Hadis Rasulullah juga melarang kita mempercayai sesebuah berita...harus diperiksa kesahihannya terlebih dahulu. Silap-silap tindakan kita memboikot restoran McD yang disahkan halal oleh JAKIM megundang dosa kerana mengurangkan pendapatan negara di atas cukai kerajaan dan menidakkan nasib pekerja-pekerja Muslim untuk mencari nafkah membantu keluarga. Fikir-fikirkanlah ye...

Owwhhh...bukan itu yang mahu ceritakan di sini...ada cerita lain. Cerita berkisar sebuah keluarga yang menikmati hidangan di McD. Apa yang berlaku?

Sebuah keluarga Melayu bersama ibu, ayah dan dua orang anak lelaki bujang memasuki restoran. Terdapat sebuah meja kosong tetapi penuh dengan lebihan makanan yang masih belum dibersihkan. Anak lelaki membersihkan meja tersebut tanpa meminta bantuan kakitangan McD.

Mereka berempat menikmati hidangan. Seusai menjamu selera, aku lihat kesemua mereka mengumpulkan segala lebihan makanan dan disatukan di dalam sebuah dulang. Mereka berempat keluar dan salah seorang anak lelaki bujang membawa dulang lebihan makanan untuk dibuang ke tempat buangan lebihan makanan di sudut restoran. Meja mereka bersih!!!


Meja sebuah keluarga setelah dibersihkan oleh mereka sendiri
Owwhhhhh...aku teramat teruja dengan senario yang berlaku. Restoran McD bukan berkonsep kafetaria yang memerlukan pelanggan membersihkan lebihan makanan sendiri tetapi mereka mengaplikasi konsep tersebut untuk kemudahan pelanggan lain yang tidak perlu menunggu meja untuk dibersihkan oleh operator McD.

Aku arahkan keluarga untuk melihat situasi positif tersebut dan mengambil gambar meja mereka yang telah dibersihkan. Perkara terakhir yang kusarankan kepada keluarga sebelum melangkah keluar...kita bersihkan meja dan buang lebihan makanan agar pelanggan yang masuk boleh terus duduk memesan makanan tanpa perlu menunggu lama untuk meja dibersihkan oleh operator...kami senang melakukannya. Kami keluar dengan hati berbunga positif.

Errmmm....bagi mereka yang menjeling tajam kepadaku kerana melangkah masuk ke McD...tidak mengapa...kerana aku bertindak berdasar fakta sahih bukan emosi. Jelinglah...aku tetap menghormati pendirian kalian.

Restoran Mc Donald menghidangkan makanan halal lagi baik, menjana sumber pendapatan dan ekonomi negara, meyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan menggerakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan (CSR) bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan...ITU FAKTA!!!

Tuesday, 3 May 2016

Mak...Ceritalah Lagi

Hidup mak sudah semakin tenang dan senang...itu perkiraanku, mungkin anak-anak yang lain berpandangan sama. Memang itu yang kami lihat. Pencen arwah semakin berganda, anak-anak pula tetap menghulur untuk mak merasa hasil titik peluh bekerja...berkat doa mak juga.

Mak sudah lama merasai nikmat musim menuai...berbaloi dengan keperitan yang mak tanggung membesarkan kami. Ya...nampak di mata, hidup mak memang tenang dan senang...masih aku berkira-kira demikian.

Hari itu seperti kebiasaannya aku balik berseorangan sehabis bertugas untukku luangkan masa berbicara berdua hanya bersama mak. Mak seronok bercerita...cerita yang diulang-ulanginya tanpa rasa jemu.

Tetapi cerita yang satu itu tidak pernah diluah kepadaku sepanjang perbualan kami...tidak pernah! Cerita itu terpaculpun di atas pertanyaan aku pada mak.

Secara berseloroh aku mengusik mak seperti kebiasaan, "mak, arwah bapak dah lama pergi. Mak masih teringat kat arwah lagi?"

Mak pandang tepat ke wajahku seraya menjawab, "eeyyyy gg, makin lama bapak takde, makin mak teringat tau", suara mak sudah semakin tersekat di kerongkong menahan sebak. Akhirnya mak tewas dengan emosi rindu terhadap arwah...mak menangis di hadapanku.

Secara lahiriah, kami anak-anak tidak pernah melihat romantik perhubungan arwah bapak dan mak...cara orang dulu-dulu..tegas. Kasih sayangnya diterjemah dengan komitmen dan tanggungjawab yang tinggi kepada keluarga.

Luahan mak sebentar tadi aku terjemahkan berbunyi yang mak amat-amat menyayangi arwah. Banyak kenangan manis mak bersama arwah. Makin lama arwah pergi, semakin memori bersama arwah jelas terpampang di hadapan mata.

Hidup mak berseorangan di rumah tapi mak pendam segala sarat emosi agar anak-anak tidak risau dengan kehidupan mak...aku kenal mak. Mak takkan susahkan anak-anak.

Aduhhhh..meruntun hatiku dengan luahan mak sebentar tadi. Mak sunyi...ya..mak sunyi sejak arwah pergi. Aku harus kerap bersama mak agar dada mak lapang bercerita apa sahaja yang terlintas di minda. 

Mak...memang mak dah kehilangan sahabat, kawan, teman yang bernama suami tetapi mak masih ada warisan yang suami mak tinggalkan...kamilah anak-anak mak yang akan setia di sisi sehingga Allah menjemput mak bertemu arwah di Jannah...Insyaallah.

Ceritalah lagi ye mak...kupandu kereta pulang sambil menyeka airmata yang kutahan di hadapan mak tadi...aduuhhhhhh.


Monday, 2 May 2016

Kualiti Deejay

Deejay berperanan menyampaikan segala maklumat yang perlu kepada para pendengar yang mengikuti siaran radio. Bukan setakat maklumat, para deejay juga perlu bijak memilih senarai lagu yang akan ke udara. Pilihan lagu pula perlu mengikut konsep dan imej yang mahu ditonjolkan oleh stesen-stesen radio.

Suatu waktu dahulu, jika disebut deejay radio akan tergambarlah suara mereka yang gemersik, lemak merdu, garau dan mengasyikkan. Wajah mereka pula tidak mudah dimanipulasi media massa lantaran kerjaya mereka yang hanya berada di konti stesen radio. Kelibat mereka bersama masyarakat amat jarang berlaku sehingga para pendengar hanya berimaginasi dalam menggambarkan wajah mereka.

Hanya di radio 
Kurasa perhubungan cinta
Beginilah rasa mesranya
Walau tiada paras dan rupa

Hanya di radio
Aku bayangkan dirimu itu
Secantik-cantik manusia
Dan semolek-molek pekerti

Itulah di antara bait lagu dendangan kumpulan Headwind. Itu merupakan gambaran sebenar para pendengar terhadap deejay radio di era 70 hingga 90an.

Era milenium hadir merubah persepsi pendengar jua citra deejay radio. Radio tidak lagi terbatas bersama imaginasi pendengar. Radio sudah melebarkan sayap stesennya bersama promosi di televisyen jua iklan-iklan 'billboard' di sepanjang lebuhraya.

Jika dahulu, radio berbangga dengan carta-carta lagu. Dipanggil artis-artis terkini untuk menyanyikan lagu-lagu mereka secara 'live' untuk halwa telinga pendengar.

Sekarang tidak lagi. Radio sudah menjadi medium untuk sebuah populariti sang deejay juga artis-artis bersama anugerah yang bukan hanya dipancar ke stesen TV malah ke seluruh dunia bersama 'live streaming' internet.

Deejay radio popularnya mengalahkan artis, wajah mereka bukan rahsia lagi. Kelibat mereka ke utara, selatan, timur dan barat...sehingga mengundang jemu mata yang melihat. Suara mereka tidak segemersik dahulu...hilaian tawa tanpa hemah sudah menjadi 'trend'. Artis-artis dan pelawak dipelawa bertugas di konti radio atas kapasiti populariti mereka yang boleh menaikkan 'rating' stesen radio.

Patah bicara pelawak radio (pelawak sebagai deejay) menyimpang-siurkan perbendaharaan kata Bahasa Melayu yang dibanggai selama ini. Cuba perhatikan perkataan-perkataan deejay yang sempat penulis rakam:-

"Sekejap lagi kita akan dengar..."
Pembetulan: Sebentar lagi...

"Cerita pasal artis yang..."
Pembetulan: Cerita tentang artis...

"Kita tak payah lagi mendengar..."
Pembetulan: Kita tidak perlu lagi...

"Macam mana kalau kita dengarkan siaran iklan..."
Pembetulan: Bagaimana sekiranya...

Tegasnya, 'bahasa pasar' di medium berpengaruh tersebut dibiarkan bermaharajalela tanpa dikawal selia oleh pihak berwajib. Maka tidak hairanlah generasi sekarang menjadikan bahasa pasar sebagai 'trending' dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Ermmm...nampaknya dunia deejay sekarang lebih menjurus ke arah populariti berbanding kualiti. Penulis tidaklah jumud dalam melestari kehidupan menurut zaman beredar, cuma penulis tidak rela populariti membenam terus kualiti seorang deejay yang mengendali medium berpengaruh...kerana kesannya akan membentuk pemikiran dan cara hidup generasi akan datang...anak-anak kita!

Fikir...