Translate

Monday, 25 July 2016

Aku Yang Bermaksiat

Di pejabat sebelum memulakan kerja, kakitangan jabatan kami akan berkumpul berdiri membentuk bulatan...mengemaskini tugasan masing-masing agar segala kerja yang dilaksanakan menepati piawaian jabatan. Ia didahului oleh tazkirah dari seorang Ustaz yang sama bekerja di jabatan kami.

Ya..hari itu. Tazkirah yang disampaikan menyentak minda, menerobos ke hati yang agak terleka rupanya. Konon diri kita umpama Malaikat di langit ke 7. Bisa beribadat menambah pahala bersama amalan-amalan sunat. Tidak melibatkan diri dari permainan judi, tidak meminum minuman beralkohol, tidak suka berpeleseran bersama perempuan, tidak menyakiti sesama insan.

"Aahhhh...hebat peribadi sipolan itu..umpama anugerah Allah kepada mereka yang mengenalinya", kata mereka mengagumi peribadi beliau. Ya, di mata kasar begitulah ceritanya.

Apa isi tazkirah? Berkenaan sebuah Hadis menyatakan betapa manusia terlupa bahawa mereka bermaksiat dalam diam. Berbangga-bangga dengan ilmu agama yang dimiliki, merasa diri hebat dan merendah-rendahkan yang lain, berasa ujub dangan kelebihan diri...itulah maksiat yang tersembunyi!!!

Lihat...syaitan tidak pernah berputus-asa dengan misi bagi menyesatkan manusia. Jika faktor luar gagal dimanipulasi (arak, judi, wanita), dimainkan pula kelemahan dalam diri manusia...iaitu suka kepada puji-pujian (membuat manusia rasa hebat). Dialunkan irama pangkat dan kedudukan yang tinggi (rasa bangga apabila dimuliakan masyarakat), ditujahi dengan ikhlas berderma disulam hati berbunga dilihat manusia.

Kepalaku lama tertunduk sedang tazkirah masih dibacakan. Aku tidak mahu muhasabah diri dianjak ke waktu yang lain. Terus mahuku membuat refleksi diri. Kedapatankah sifat-sifat tersebut dalam diri ini?

Aaaahhh...dadaku berdegup luar biasa bila mengenang sifat-sifat munafik yang tersembunyi di dalam diri. Jika tidak kerana ehsan Allah menyembunyikan segala perilaku maksiat yang setiap hari kulakukan, pastinya sarat maluku dengan kutukan manusia.

Berpagian mengenang sarat dosa lebih kurela dari berasa megah dengan tahajjud di dua pertiga malam. Berasa tidak berdosa jua merupakan satu dosa!

Aahhhhh...


                                                  

Sunday, 17 July 2016

Rumah Itu...


Rumah itu tempatnya untuk berehat..untuk melepas lelah seharian..untuk bertukar ganti pakaian..untuk persediaan makan minum..untuk berlindung dari panas hujan..untuk tidur yang selesa.

Itu sahajakah peranan rumah? Jika segalanya berpaksi kepada senarai di atas, sewa sahaja hotel, motel, homestay, rumah tumpangan atau apa sahaja yang bisa menjadi tempat transit bagi melestarikan senarai di perenggan pertama di atas.

Jika begitulah persepsi rumah di mata manusia, tiada bezalah kita dengan haiwan-haiwan ternakan. Sekawanan lembu mahupun kerbau berpagi-pagian meragut rumput, petangnya diarah oleh pengembala untuk masuk ke kandang demi menjaga kerehatan dan keselamatan haiwan-haiwan tersebut.

Justeru, rumah harus dilihat sebagai tempat untuk melahirkan jiwa yang subur, akal yang tajam, tenaga yang aktif dan dinamik dan generasi pelapis yang boleh menyambung perjuangan dalam menegakkan syari'atullah.

Di sinilah letak peri pentingnya sebuah institusi kekeluargaan yang harmoni.. bermula dari rumah. Imej dan karekter anak-anak banyak dipengaruhi oleh persekitaran di rumah. Tidak sukar untuk menelah bagaimana latar belakang dan didikan keluarga seseorang itu. Adakah dia bersifat pembersih, pengemas, berdisiplin atau apa sahaja profil...lihat sahaja kehidupannya di asrama, kolej mahupun di pejabat. Di situlah letaknya imej diri yang dibentuk oleh keluarganya semenjak kecil lagi.

Bagi mewujudkan jiwa yang subur agar anak-anak boleh menyumbang kepada kemaslahatan ummah di masa hadapan, ibu bapa seharusnya menyediakan persekitaran rumah yang bersih dan teratur. Tidak salah memanjakan anak-anak dengan segala fasiliti terkini menurut perkembangan dunia semasa (mengikut kemampuan masing-masing), hanya ia harus diseimbangkan bersama disiplin waktu dan syari'at asas sebagai seorang Muslim.

Di rumah harus ada peraturan dan disiplin. Baik dari segi kekemasan bilik, rumah mahupun diri sendiri. Mini peraturan ini bila sudah sebati, akan dengan sendirinya diterjemah oleh anak-anak walau di mana atau ke mana mereka bermastautin.

Di rumah harus ada sifat kekeluargaan dan toleransi. Baik bersama isteri, anak-anak mahupun adik-beradik. Sifat bertolak ansur ini akan dengan sendirinya diamal bersama masyarakat taman atau di persekitaran kerja apabila anak-anak sudah berdikari dan hidup sendiri.

Di rumah harus ada sikap saling mempercayai sesama ahli keluarga dan rasa hormat...menolak segala prejudis yang boleh menidakkan rasa harmoni kekeluargaan. 

Insyaallah, berbekal segala jati diri yang dimulai dari rumah hasil dari didikan ibu bapa...akan terserlah segala nilai-nilai teras yang bisa melonjakkan sinergi dan kapasiti diri untuk sebuah imej Muslim Professional. 

Kita sebagai ibu bapa harus bersedia dalam mewujudkan 'action plan' dan 'timeline' agar segala aktiviti di rumah menepati perancangan yang telah diatur kerana imej anak-anak bergantung kepada didikan yang diterima di rumah. Jadikanlah SYURGA DUNIA SEBAGAI RUMAH KITA!!!

Tuesday, 5 July 2016

Pahala di Penghujung Ramadhan

30 Ramadhan...Alhamdulillah di atas keizinan dan limpah kurniaNYA dalam kita sempat memenuhi genap 30 hari berpuasa. Aku sendiri berasa banyak kekurangan dalam menempuh tribulasi Ramadhan pada tahun ini. Entahlah...kekadang dirasa nafsu sendiri lebih kuat pengaruhnya dari bisikan syaitan. Namun itu bukan alasan untuk aku berlengah-lengah dalam bertaubat sebanyak-banyaknya...sementara Ramadhan masih berbaki beberapa jam sahaja lagi.

Errmmm ingin aku berkongsi tips untuk kita mendapat keuntungan lebih sebelum berkumandang takbir raya. Bersama jumlah yang sama tetapi keuntungan yang berbeza sehingga berlipat kali ganda banyaknya.

Selain dari menggandakan bacaan al Quran, aku pasti...tidak banyak, sikit...duit raya telah kita peruntukkan untuk keluarga terdekat seperti ibu, ayah, adik-adik yang masih bersekolah mahupun anak-anak jiran tetangga.

Hulurkan terus duit raya tersebut sebelum berbuka di hari terakhir Ramadhan agar pahala yang berlipat kali ganda masih dapat dikecapi. Ganjaran pahala sudah berbeza di pagi 1 Syawal yang  adat kebiasaannya kita memberi angpau raya selepas bersalam-salaman.

Ye lah...di kala tidak banyak amalan yang dapat kita lakukan dek tenaga yang terbatas...kita ambil peluang bersedekah duit raya di akhir Ramadhan untuk ahli keluarga yang rapat. Mudah-mudahan Allah membalas pahala sedekah tersebut dengan ratusan mahupun ribuan ganda banyaknya sepertimana yang dinukilkan di dalam Hadis-hadis sahih.

Insyaallah...



Sunday, 3 July 2016

Tanda Taubat Diterima

Di bulan Ramadhan yang mulia ini kita digalakkan bertaubat sebanyak mungkin di atas segala salah laku dan pelanggaran syariat. Fasa 'Rahmat', 'Pengampunan' dan 'Pelepasan dari api neraka' menjadi bukti betapa Allah membuka seluas-luas peluang untuk hambaNYA memohon dan nescaya akan dikabulkannya.

Amat malang sekiranya Ramadhan pergi tetapi kita tidak termasuk di dalam golongan yang mendapat pengampunan dari Allah SWT.

Bolehkah kita mengetahui apakah taubat kita diterima atau tidak? Ulama menggariskan bahawa tiada perkiraan tepat bagi menggambarkan bahawa taubat seseorang itu total diterima. Tetapi tanda-tanda taubat itu diterima boleh dijadikan sandaran.

Di antaranya:-

1. Kaya bersama amalan-amalan sunat.

Seseorang itu secara konsisten beramal dengan amalan-amalan sunat dan ditambahi amalan yang mampu dilakukannya pada setiap tahun. Hutang amalan wajib diqadakannya sehingga dia yakin bahawa telah lunas segala apa yang telah ditinggalkannya dahulu.

2. Dunia yang sedikit dirasakan banyak, akhirat yang banyak dirasakan sedikit.

Habuan dunia yang ala kadarpun telah dirasakannya banyak dan dia tidak meminta-minta untuk ditambahi. Tetapi amal-amal yang banyak dilakukannya dirasakan amat kurang dan mahu dirambahi bagi menebus dosa-dosa silam.

3. Baik lisannya.

Dia akan banyak beralah demi mengelak perselisihan faham yang boleh menjurus kepada pertelingkahan. Amat peka dengan perasaan seseorang lantaran itu baik petah bicaranya agar tidak mengguris hati yang mendengar.

4. Merasa sakinah

Jiwanya tenang walau dihujani pelbagai masalah. Kebergantungannya yang total kepada Allah menjadikannya seorang yang penyabar dan tenang di dalam apa jua keadaan.

5. Merasa jijik dengan maksiat yang pernah dilakukannya dahulu.

Seorang sahabat pernah mengadu kepada Rasulullah bahawa di zaman jahiliahnya beliau pernah menanam anak perempuannya yang berusia dua tahun hidup-hidup. Beliau menangis dan merasa jijik dengan perlakuannya dahulu.

6. Tidak mendekati pelaku-pelaku maksiat yang boleh menyebabkan dirinya boleh terjerumus kembali ke lembah hina.

Itulah di antara tanda-tanda taubat diterima. Ulama hanya menggariskannya...hanya Allah yang Maha Mengetahui. 

Wallahua'lam



Friday, 1 July 2016

Kopiah dan Integriti

Suatu yang lumrah apabila kita melabel seseorang yang tidak dikenali melalui penampilannya. Ye lah...itu sahaja yang boleh ditelah. Bersebab itulah amat penting untuk kita selaraskan diri bersama penampilan yang original ...kita menjadi diri kita sendiri tanpa sebarang promosi.

Senario memotong barisan kereta adalah perkara biasa yang sering berlaku di hadapan mata. Tidak kira di mana, boleh jadi di highway di lorong kecemasan mahupun di jalan biasa di bahu jalan. Ya...itu biasa.

Tetapi yang luar biasanya bila mana sikap pentingkan diri sendiri diterjemah oleh pemandu yang memakai kopiah putih di lingkungan umur 60 tahun bersama sejemput janggut putih (imej Ustaz terserlah di situ). Mahu aku berbaik sangka bersebab hal kecemasan untuk 'atuk' itu mahu mengejar masa. Tetapi 'husnuzon' aku ditempelak dengan si atuk menyelit di hadapan keretaku...tidak diteruskan episod memotong seterusnya walau peluang terbuka. Bermakna tiada apa yang mahu dicemaskan.

Eerrrrrr...atuk sayanggggg...sikap atuk tu menempah prejudis manusia sekitar...Islam juga yang menjadi mangsa.

Berkali-kali kupesan kepada anak-anak...jangan berasa hebat bersama penampilan berkopiah dan berjubah jika kita masih belum bersedia menampilkan sikap positif dan integriti diri. Tanpa sedar kita pula yang menjadi asbab fitnah berleluasa.

Betullah kata Dr Zakir Naik, jika mahu melihat Islam jangan dilihat kepada penganutnya, sebaliknya lihatlah kepada ajaran yang terkandung di dalam Nas al Quran dan Hadis.

Benar juga terjemahan Hadis...di akhir zaman, umat Islam ramai tetapi bak buih-buih di lautan. Dihayak ke sana ke sini oleh arus ombak tanpa ada pendirian dan prinsip hidup.

Faham ye atuk!



Wednesday, 29 June 2016

Ramadhan vs Badar

Ramadhan adalah bulan berkat yang dianugerahkan Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Umat Islam mula-mula diwajibkan berpuasa pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah. Pada tahun tersebut juga berlaku peristiwa besar yang dinamai sebagai Perang Badar. Peperangan pertama dalam pengembangan Islam berlaku di kala umat Islam diwajibkan berpuasa buat pertama kali!

Oohhh...berkebetulankah itu semua? Tahun pertama berpuasa dibebankan pula bersama perang. Tidak!!! Syiar Islam berkembang tidak didasari dengan terma 'kebetulan'. Ia berlaku di atas kehendak dan perancanganNYA. Mesej Perang Badar amat nyata dan telah dirungkaikan oleh Ulama-ulama.

Secara logik akal, puasa pasti beriringan dengan lapar dan dahaga yang tentu berhadapan dengan lemah anggota badan. Ini menatijahkan pergerakan yang dibataskan dengan sengaja...ditakuti bila bergerak cergas, semakin lemah jadinya untuk menanggung lapar dahaga sehingga ke petang.

Tetapi tidak begitu jadinya bila kita menghayati apa yang dialami oleh ahli-ahli Badar. Mereka berpuasa, berlapar dahaga tetapi rasa lemah itu dimatikan dengan semangat juang yang tinggi bagi menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Allah campakkan di hati mereka untuk syahid di jalanNYA. Tiada rasa gentar walau ketumbukan pihak Muslim hanya 313 orang berbanding 1000 di pihak Quraisy.

Bumi Badar menjadi saksi bahawa hukum mantik bukan menjadi ukuran...yang ramai bisa menewaskan bilangan sedikit. Bantuan Allah bersama para Malaikat menjadikan yang dominan ditewaskan dengan mudah walau yang minoriti dalam keadaan berlapar dahaga.

Apa mesejnya di sini? Puasa sebenarnya lebih menjadikan diri seseorang itu lebih produktif dan bersemangat dalam menjalani kehidupan seharian. Lapar dahaga dan membataskan pergerakan hanyalah alasan mereka yang di tahap puasa ikut-ikutan. Asalkan berpuasa...sudah memadai.

Berpuasa sebenarnya mengecilkan saluran darah dan menjadikan nafsu semakin lemah dan kurang agresif. Inilah kesempatannya...selepas nafsu dapat ditundukkan, pecutan gear dinaikkan dalam menambah amal ibadat. Moga semangat beramal di bulan Ramadhan menjadi 'catalyst' untuk merubah perilaku kita menjadi insan yang bertakwa...Insyaallah.

Ayuh...jadikan ahli-ahli Perang Badar sebagai ikon untuk kita lebih bersemangat dalam perjuangan bersama kerjaya masing-masing. Tingkatkan produktiviti dan kualiti diri...maka akan wujudlah apa yang dinamai sebagai 'Muslim Professional' yang terselit sifat takwa di dalam dirinya...terjemahan dari kualiti puasa yang diamalkan.


Friday, 17 June 2016

Agenda Bersama Manusia

Bersama jabatan Sumber Manusia mengiyakan segala apa sahaja aktiviti yang berkait dengan manusia. Tidak kira apa status manusia tersebut, boleh jadi kakitangan syarikat, keluarga kepada mereka juga mereka yang tiada kena-mengena dengan syarikat.

Perancangan rapi sudah dibuat untuk kami bersahur bersama anak-anak yatim. Acara ini memang menjadi rutin syarikat untuk berkongsi rezeki lantas memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Aku dikejutkan jam loceng seawal 2.15 pagi. Kusempurnakan qiamullail dan bergerak keluar jam 3 pagi. Menjadi orang pertama tiba di perkarangan rumah anak yatim di sekitar jam 4 pagi lantas disambut mesra oleh Pengerusi dan anak-anak kecil yang sedia menunggu.

Penghuninya sederhana jumlahnya...berumur dari 17 tahun sehinggalah sekecil 4 tahun. Mereka rapat sesama mereka. Kawasan itu menempatkan 2 blok rumah dan surau dan sebuah padang kecil bersaiz futsal. Blok rumah merupakan rumah wakaf dari seseorang yang berharta tetapi tiada sumber pendapatan tetap untuk membiayai bil bulanan yang memerlukan sekurang-kurangnya RM30 ribu sebulan.


Terfikir aku birokrasi yang harus ditempuh selayak peminta sedekah yang mengunjungi Pusat-pusat zakat dan Baitul Mal. Ya betul...mesti ada prosedur tetapi segala peraturan adalah bikinan manusia...bisa diubah bila perlu. Entahlahhh...

Upacara pembukaan bermula jam 4.45 pagi disusuli dengan bersahur, solat Subuh, ceramah Subuh dan diakhiri dengan pemberian sumbangan kepada rumah anak yatim dan duit raya kepada penghuni.

Selepas bergambar, kami bersalaman dan kami beredar diselangi dengan lagu-lagu selawat nyanyian anak-anak kecil.



Khalas aktiviti pertama di bulan puasa...bakal menyusul yang lain..hablumminannaas...begitulah urusan sesama manusia di Jabatan Sumber Manusia.

Aku? Begitu bersemangat mendekati manusia kerana di situ pahala menanti. 

Agendanya untuk merapatkan lagi tali silaturrahim yang sangat dituntut agama yang impaknya bisa memanjangkan usia makhluk.

Agendanya untuk aku mendidik diri sendiri dan bersabar dalam segala kerenah dan mehnah manusia di hadapan mata.

Agendanya untuk kulunaskan segala keperluan mereka dalam melahirkan kakitangan yang berkelas tinggi yang dinamai sebagai Muslim Professional.


Itulah Agendanya...aku bersedia ke arah itu.



Sunday, 12 June 2016

Syamsul Debat

Dunia dakwah diwarnai lagi...bersama seseorang yang dikenali sebagai Syamsul Debat. Tidak pula mahuku merisik dari mana datangnya gelaran debat tersebut. Tetapi demi melihat latar profil beliau yang menjadi Pengerusi Pertubuhan Alumni Debat Malaysia juga sebagai pengamal undang-undang, maka terjawablah sudah siapa beliau.

Pertama kali aku menonton rancangan beliau berceramah yang disiarkan oleh TV ALHIJRAH. Beliau petah berbicara dan bijak memanipulasi audien dengan lawak jenaka yang menggeletek hati. Aku sendiri tersenyum-senyum dibuatnya dengan lagak lakonan bersahaja oleh insan yang bernama Syamsul Amri Hj Ismail ini. Pendek kata...memang menghiburkan.

Tetapi lama kelamaan aku mula menyedari peratusan isi ceramahnya tidak seberapa. Beliau lebih tegar melakonkan aksi-aksi bahan cerita disertai memek muka yang melucukan. Loghat Negeri Sembilan yang digunapakai menghidupkan lagi bahan jenaka.

Aku tidak bersikap konservatif dalam melayan ceramah-ceramah agama yang diselit unsur-unsur lelucon. Ramai ustaz-ustaz yang memakai pendekatan 'hiburan' dalam menyampaikan ceramah agar tidak mengundang bosan para penonton.

Tetapi bila peratusan komedi mendominasi pengisian agama...jadilah ceramah agama sebagai 'Stand up Comedy' yang penuh aksi-aksi melucukan!

Ya...tidak dinafikan cermah beliau memang hidup tetapi jangan nanti tujuan penonton yang hadir lebih kepada hendak berhibur berbanding menambah ilmu.

Nilailah sendiri ya...



Friday, 10 June 2016

Terimakasih Ramadhan

Alhamdulillah...Ramadhan hadir bersama nyawaku yang masih hidup untuk diberi kesempatan mengecap nikmat puasa dalam menuju takwa. Ya...takwa adalah natijah kepada puasa yang sempurna anugerah Ilahi kepada hamba-hambaNYA yang bersungguh-sungguh dalam beramal.

Mana mungkin kita lepaskan begitu sahaja tawaran hebat di bulan Ramadhan. Amalan sunat diberi pahala amalan wajib...amalan wajib pula digandakan sebanyak 70 kali balasan!!!

Jika tawaran tersebut berbentuk nilaian gandaan harta di hadapan mata...adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk hamba itu menolaknya. Justeru...mengapa masih ada yang berdalih dan memandang sebelah mata sahaja rahmat yang diturunkan di 10 malam pertama, keampunan yang ditawar bagi 10 malam kedua dan pelepasan dari api neraka di 10 malam terakhir? Ya...kerana imej pahala itu terhijab, tidak kedapatan di hadapan mata. Maka, hanya mereka yang beriman dan celik mata hati sahaja yang beriltizam dalam meraih gandaan pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Lantas, marilah sama-sama kita meraih bonus mega yang ditawar hanya sekali dalam setahun. Kemuncaknya malam yang penuh barakah yang dinamai sebagai al Qadar.

Hidup yang sesingkat waktu 'Asar bersama nilaian sebelah sayap nyamuk ini tidak perlu kita pertaruhkan dalam memangsai Ramadhan. Mungkin ini merupakan Ramadhan terakhir yang mampu kita kecapi. Siapa tahu usia kita panjang hingga bisa menangguh-nangguh dalam beramal...tiada siapa yang mampu merungkainya.

Duhai Ramadhan...terimakasih kerana sudi menjengukku dan mengetuk pintu rumahku untuk bertandang.

Jika benarlah ini merupakan Ramadhan terakhir buatku..kupinta kepada Allah agar Lailatul Qadar menjadi penebusnya.

Jika benarlah ini peluang terakhir buatku bersama Ramadhan...kupohon kepadaMu ya Allah agar bacaan ayat-ayatMu bisa memeliharaku di barzakh.

Jika benarlah perpisahan bakal berlaku di tahun ini wahai Ramadhan...kuharap agar sedekahku yang tak seberapa nilainya bisa dipertimbangkan di Mahsyar.

Syukur kepadaMu...terimakasih Ramadhan...monologku terhenti di sini.




Tuesday, 31 May 2016

Haaiissyyy..Keretaku Calar Lagi

Di hujung minggu jika tidak ke mana, aku suka menghabiskan masa dengan mengemas rumah, menyusun atur perabot, mengecat dinding-dinding yang dimakan haba matahari dan hujan. Haaaa...salah satu aktiviti yang menjadi kegemaran ialah mengilat kereta (polish).

Aku jarang membawa kereta ke 'car wash'. Kepuasan itu mencapai tahap 'utility marginal' bila kebersihan kereta datangnya dari keringat sendiri. Aku boleh berleka-leka 2 hingga ke 3 jam dalam memastikan keretaku berada di dalam kelasnya.

Hari itu macam biasa, aku sudah berkira-kira untuk membelai 'kekasih' ku di hujung minggu. Kusediakan apa yang perlu..span, kain bilas dan cecair pengilat. Rancak tanganku menghayun menggilap badan kereta mengikut rentak muzik yang berkumandang bersama siaran radio retro Sinar FM.

Aahhhh...hayunan tangan terhenti, mataku terpaku di satu sudut. Kesan calar dan sedikit kemek seakan mengguris hatiku. Kereta itu untuk kegunaan isteri tetapi penjagaannya adalah di bawah seliaanku. Baharu sahaja rasanya aku berhabis duit untuk menghilangkan kemek dan calar di badan kereta...timbul pula calar yang lain. 

Haaiisssyyyy...serasa aku sudah berdiri dan masuk ke dalam rumah untuk memberi 'show cause letter' buat isteri. Oohhhh...itu hanya apa yang aku fikirkan. Aku belum berdiri lagi, masih menghadap kesan calar.

Sekonyong-konyong tergambar pengorbanan isteri dalam membantuku sepanjang kami hidup bersama. Dia memasak untukku dan anak-anak, membasuh kain baju, menggosok bajuku, mengemas rumah, bersusah-susah bekerja sehingga ada kalanya lewat balik ke rumah di atas lambakan kerja yang perlu diuruskan di pejabat. Yang paling aku hargai...dia setia kepadaku!

Hasrat untuk memberi peringatan kepada isteri ku kuburkan begitu sahaja. Aku hayunkan semula tangan dalam menggilap. Kubiarkan kesan calar dan kemek di kereta...tidak mengapa. Biarlah kesan tersebut berada di tempatnya kerana kenderaan itu tidak bernyawa. Bisa sahaja aku hantar kereta ke bengkel...hilang calar..hilang kemek.

Apa kisahnya jika aku memarahi isteri? Kesan calar di hatinya akibat dimarahi akan dibawa hingga ke mati!!! Tidak mampu untukku lukai hati isteri yang sudah sekian banyak berkorban demi kehidupan kami sekeluarga.

Lagu 'Permata Untuk Isteri' dari corong radio dendangan Kopratasa beralun lembut mengiringi hayunan tanganku. 

Terimakasih isteriku...



Sunday, 15 May 2016

Cerita di McD

Hari itu aku sekeluarga berpetang-petang di restoran Mc Donald. Lama rasanya aku tak merasa burger kegemaran Big Mac. Eermmm...pasti ada yang mencebik bibir bila mengetahui aku masih melanggani hidangan di Mc Donald.

Ramai yang skeptikal bila mendengar nama restoran makanan segera ternama Mc Donald...kannn. Mereka memboikot jenama tersebut atas dakwaan syarikat tersebut menyalurkan dana bantuan kepada negara Israel bagi memerangi pejuang-pejuang Palestin.

Benarkah dakwaan tersebut? Sehingga sekarang masih tiada bukti kukuh mengaitkan 'franchise' Mc Donald bersama Israel. 

Kerajaan Malaysia berpendirian teguh untuk tidak langsung mempunyai hubungan diplomatik dengan negara yang memerangi rakyat Palestin. Pendirian ini dinyatakan dengan jelas di dalam banyak deklarasi juga di PBB. Di dalam pasport juga ada larangan untuk rakyat Malaysia melawat negara Israel.

Kerajaan tidak secara semborono meletak hukum dan kesalahan dalam apa sahaja dakwaan yang dipanaskan oleh Persatuan-persatuan dan NGO. Tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti-mufti di Malaysia khususnya dan Mufti di seluruh dunia amnya.

Aku juga mengambil pendirian yanga sama. Selagi tiada 'blue print' dari pemerintah juga badan-badan Islam yang diiktiraf yang bertanggungjawab di atas pemerintahannya ke atas sesebuah negara, maka aku tidak akan melayan dakwaan-dakwaan atas angin.

Agak-agaknya, jika timbul dakwaan yang menyatakan semua syarikat telefon pintar ada menyalurkan dana kepada Israel..apakah kita akan terus membuta-tuli tidak menggunakan produk telefon pintar tersebut berdasarkan 'dakwaan' tanpa fakta? Sanggup ke kita hidup tanpa gajet di tangan? Hhmmmm.

Hadis Rasulullah juga melarang kita mempercayai sesebuah berita...harus diperiksa kesahihannya terlebih dahulu. Silap-silap tindakan kita memboikot restoran McD yang disahkan halal oleh JAKIM megundang dosa kerana mengurangkan pendapatan negara di atas cukai kerajaan dan menidakkan nasib pekerja-pekerja Muslim untuk mencari nafkah membantu keluarga. Fikir-fikirkanlah ye...

Owwhhh...bukan itu yang mahu ceritakan di sini...ada cerita lain. Cerita berkisar sebuah keluarga yang menikmati hidangan di McD. Apa yang berlaku?

Sebuah keluarga Melayu bersama ibu, ayah dan dua orang anak lelaki bujang memasuki restoran. Terdapat sebuah meja kosong tetapi penuh dengan lebihan makanan yang masih belum dibersihkan. Anak lelaki membersihkan meja tersebut tanpa meminta bantuan kakitangan McD.

Mereka berempat menikmati hidangan. Seusai menjamu selera, aku lihat kesemua mereka mengumpulkan segala lebihan makanan dan disatukan di dalam sebuah dulang. Mereka berempat keluar dan salah seorang anak lelaki bujang membawa dulang lebihan makanan untuk dibuang ke tempat buangan lebihan makanan di sudut restoran. Meja mereka bersih!!!


Meja sebuah keluarga setelah dibersihkan oleh mereka sendiri
Owwhhhhh...aku teramat teruja dengan senario yang berlaku. Restoran McD bukan berkonsep kafetaria yang memerlukan pelanggan membersihkan lebihan makanan sendiri tetapi mereka mengaplikasi konsep tersebut untuk kemudahan pelanggan lain yang tidak perlu menunggu meja untuk dibersihkan oleh operator McD.

Aku arahkan keluarga untuk melihat situasi positif tersebut dan mengambil gambar meja mereka yang telah dibersihkan. Perkara terakhir yang kusarankan kepada keluarga sebelum melangkah keluar...kita bersihkan meja dan buang lebihan makanan agar pelanggan yang masuk boleh terus duduk memesan makanan tanpa perlu menunggu lama untuk meja dibersihkan oleh operator...kami senang melakukannya. Kami keluar dengan hati berbunga positif.

Errmmm....bagi mereka yang menjeling tajam kepadaku kerana melangkah masuk ke McD...tidak mengapa...kerana aku bertindak berdasar fakta sahih bukan emosi. Jelinglah...aku tetap menghormati pendirian kalian.

Restoran Mc Donald menghidangkan makanan halal lagi baik, menjana sumber pendapatan dan ekonomi negara, meyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan menggerakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan (CSR) bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan...ITU FAKTA!!!

Tuesday, 3 May 2016

Mak...Ceritalah Lagi

Hidup mak sudah semakin tenang dan senang...itu perkiraanku, mungkin anak-anak yang lain berpandangan sama. Memang itu yang kami lihat. Pencen arwah semakin berganda, anak-anak pula tetap menghulur untuk mak merasa hasil titik peluh bekerja...berkat doa mak juga.

Mak sudah lama merasai nikmat musim menuai...berbaloi dengan keperitan yang mak tanggung membesarkan kami. Ya...nampak di mata, hidup mak memang tenang dan senang...masih aku berkira-kira demikian.

Hari itu seperti kebiasaannya aku balik berseorangan sehabis bertugas untukku luangkan masa berbicara berdua hanya bersama mak. Mak seronok bercerita...cerita yang diulang-ulanginya tanpa rasa jemu.

Tetapi cerita yang satu itu tidak pernah diluah kepadaku sepanjang perbualan kami...tidak pernah! Cerita itu terpaculpun di atas pertanyaan aku pada mak.

Secara berseloroh aku mengusik mak seperti kebiasaan, "mak, arwah bapak dah lama pergi. Mak masih teringat kat arwah lagi?"

Mak pandang tepat ke wajahku seraya menjawab, "eeyyyy gg, makin lama bapak takde, makin mak teringat tau", suara mak sudah semakin tersekat di kerongkong menahan sebak. Akhirnya mak tewas dengan emosi rindu terhadap arwah...mak menangis di hadapanku.

Secara lahiriah, kami anak-anak tidak pernah melihat romantik perhubungan arwah bapak dan mak...cara orang dulu-dulu..tegas. Kasih sayangnya diterjemah dengan komitmen dan tanggungjawab yang tinggi kepada keluarga.

Luahan mak sebentar tadi aku terjemahkan berbunyi yang mak amat-amat menyayangi arwah. Banyak kenangan manis mak bersama arwah. Makin lama arwah pergi, semakin memori bersama arwah jelas terpampang di hadapan mata.

Hidup mak berseorangan di rumah tapi mak pendam segala sarat emosi agar anak-anak tidak risau dengan kehidupan mak...aku kenal mak. Mak takkan susahkan anak-anak.

Aduhhhh..meruntun hatiku dengan luahan mak sebentar tadi. Mak sunyi...ya..mak sunyi sejak arwah pergi. Aku harus kerap bersama mak agar dada mak lapang bercerita apa sahaja yang terlintas di minda. 

Mak...memang mak dah kehilangan sahabat, kawan, teman yang bernama suami tetapi mak masih ada warisan yang suami mak tinggalkan...kamilah anak-anak mak yang akan setia di sisi sehingga Allah menjemput mak bertemu arwah di Jannah...Insyaallah.

Ceritalah lagi ye mak...kupandu kereta pulang sambil menyeka airmata yang kutahan di hadapan mak tadi...aduuhhhhhh.


Monday, 2 May 2016

Kualiti Deejay

Deejay berperanan menyampaikan segala maklumat yang perlu kepada para pendengar yang mengikuti siaran radio. Bukan setakat maklumat, para deejay juga perlu bijak memilih senarai lagu yang akan ke udara. Pilihan lagu pula perlu mengikut konsep dan imej yang mahu ditonjolkan oleh stesen-stesen radio.

Suatu waktu dahulu, jika disebut deejay radio akan tergambarlah suara mereka yang gemersik, lemak merdu, garau dan mengasyikkan. Wajah mereka pula tidak mudah dimanipulasi media massa lantaran kerjaya mereka yang hanya berada di konti stesen radio. Kelibat mereka bersama masyarakat amat jarang berlaku sehingga para pendengar hanya berimaginasi dalam menggambarkan wajah mereka.

Hanya di radio 
Kurasa perhubungan cinta
Beginilah rasa mesranya
Walau tiada paras dan rupa

Hanya di radio
Aku bayangkan dirimu itu
Secantik-cantik manusia
Dan semolek-molek pekerti

Itulah di antara bait lagu dendangan kumpulan Headwind. Itu merupakan gambaran sebenar para pendengar terhadap deejay radio di era 70 hingga 90an.

Era milenium hadir merubah persepsi pendengar jua citra deejay radio. Radio tidak lagi terbatas bersama imaginasi pendengar. Radio sudah melebarkan sayap stesennya bersama promosi di televisyen jua iklan-iklan 'billboard' di sepanjang lebuhraya.

Jika dahulu, radio berbangga dengan carta-carta lagu. Dipanggil artis-artis terkini untuk menyanyikan lagu-lagu mereka secara 'live' untuk halwa telinga pendengar.

Sekarang tidak lagi. Radio sudah menjadi medium untuk sebuah populariti sang deejay juga artis-artis bersama anugerah yang bukan hanya dipancar ke stesen TV malah ke seluruh dunia bersama 'live streaming' internet.

Deejay radio popularnya mengalahkan artis, wajah mereka bukan rahsia lagi. Kelibat mereka ke utara, selatan, timur dan barat...sehingga mengundang jemu mata yang melihat. Suara mereka tidak segemersik dahulu...hilaian tawa tanpa hemah sudah menjadi 'trend'. Artis-artis dan pelawak dipelawa bertugas di konti radio atas kapasiti populariti mereka yang boleh menaikkan 'rating' stesen radio.

Patah bicara pelawak radio (pelawak sebagai deejay) menyimpang-siurkan perbendaharaan kata Bahasa Melayu yang dibanggai selama ini. Cuba perhatikan perkataan-perkataan deejay yang sempat penulis rakam:-

"Sekejap lagi kita akan dengar..."
Pembetulan: Sebentar lagi...

"Cerita pasal artis yang..."
Pembetulan: Cerita tentang artis...

"Kita tak payah lagi mendengar..."
Pembetulan: Kita tidak perlu lagi...

"Macam mana kalau kita dengarkan siaran iklan..."
Pembetulan: Bagaimana sekiranya...

Tegasnya, 'bahasa pasar' di medium berpengaruh tersebut dibiarkan bermaharajalela tanpa dikawal selia oleh pihak berwajib. Maka tidak hairanlah generasi sekarang menjadikan bahasa pasar sebagai 'trending' dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Ermmm...nampaknya dunia deejay sekarang lebih menjurus ke arah populariti berbanding kualiti. Penulis tidaklah jumud dalam melestari kehidupan menurut zaman beredar, cuma penulis tidak rela populariti membenam terus kualiti seorang deejay yang mengendali medium berpengaruh...kerana kesannya akan membentuk pemikiran dan cara hidup generasi akan datang...anak-anak kita!

Fikir...

Saturday, 30 April 2016

Analogi Durian

Durian...siapa tidak kenal kepada raja buah itu. Cuba lihat spesifikasi durian. Kulitnya keras dan mempunyai duri tajam yang boleh melukakan di serata permukaan kulit. Isinya yang lembut serasa lemak, manis, sedikit pahit, bergas juga tegar memberi impak 'panas badan' bagi sesiapa yang memakannya dalam kuantiti yang banyak.

Lupakan tentang kesedapan isinya yang berlemak. Pencipta sebenarnya beranalogi dalam penciptaannya. Yang kita pula asyik dengan kemelut jiwa...tidak mampu mentafsir mesej dariNYA. Apa sebenarnya yang tersirat dari penciptaan buah durian? Mari fokus kepada kulitnya yang keras berduri dan menyakitkan berlawanan dengan isinya yang lembut dan enak.

Sekeras-keras juga sekasar-kasar sikap manusia yang pernah kita berhadapan dengannya, telah Allah ciptakan posisi 'soft spot' yang bisa melenturkan jiwa mereka untuk tunduk berfikir di atas kesilapan dan kealpaan diri. Hanya kita perlu bijak mencari di mana letaknya 'soft spot' tersebut.

Biasanya kelemahan ketara manusia apabila dikaitkan penceritaan bersama orang-orang tersayang. Ibu, bapa, isteri jua anak-anak merupakan elemen yang boleh menundukkan egois seseorang.

Kulit dan duri dianalogikan kepada mereka yang 'brutal' dan agresif. Sementara isi durian yang lembut merupakan sisi 'soft spot' dalam diri.

Tertera di dalam Hadis, menceritakan seorang pemuda mendatangi Nabi SAW seraya berkata, "Wahai Rasulullah, izinkan aku berzina!"

Rasulullah menggunakan pendekatan paling berhemah dengan membalikkan perkara tersebut kepada keluarganya. Adakah beliau rela jika ibu, anak perempuan, adik perempuan berzina dengan lelaki?

"Tidak! demi Allah, wahai Rasul"

Setelah kejadian tersebut, pemuda itu bertaubat dan tidak pernah lagi tertarik untuk berbuat zinaLalu Rasulullah mendoakan pemuda tersebut agar Allah mengampuni dosa-dosanya.

Lihat...itulah 'soft spot' manusia yang jika dimanipulasikan ayat-ayat berhemah, akan tunduklah sekeping hati yang keras!

Di sebalik kulit durian yang keras lagi menyakitkan, carilah garis alur untuk membukanya bagi mendapatkan isi yang lembut dan enak...itulah analoginya!


Berdakwahlah Tetapi...

Berpagian diiringi slot Motivasi Pagi memang mengujakan. Tetapi keterujaan itu dicelorengi oleh versi tempang dari seorang ustaz yang tanpa sedar mempromosi empunya diri.

Apa ceritanya?

Beliau menceritakan pengalaman menempuh payah dalam berdakwah. Menerjah kawasan pedalaman ke perkampungan orang asli, menaiki 4W tersangkut di tengah sungai sehingga hampir lemas dek air naik ke paras pinggang sementara mereka terperangkap di dalam kenderaan.

Menjadi perkara biasa untuk seseorang berkongsi pengalaman suka duka di sepanjang perjalanan hidup...aku bisa memberi perhatian. Tetapi yang tidak biasa bilamana cerita tersebut menjadi senjata melepaskan berdas-das peluru kepada yang lain.

Ceritalah lagi...

Ustaz mengatakan bahawa pendakwah-pendakwah sekarang belum sampai ke tahap ujian sebenar dalam dunia dakwah seperti beliau yang tegar menempuh payah di dunia asing lagi kuno.


Beliau menasihatkan pendakwah-pendakwah agar keluar dari kemewahan dakwah yang perkhidmatan mereka dibayar dengan imbuhan lumayan, dijamu dengan hidangan lazat oleh kariah masjid, disediakan lot parking kereta khas dan pelbagai nikmat dunia hadir menerjah.

Ermmm..dengar sedap bunyinya tetapi seakan terselit rasa berbangga dengan kesusahan yang ditempuh.

Aku mula berkomentar...

Dakwah harus disebar ke merata pelusuk dunia..tidak kira di mana dan bagaimana caranya. Jika misi dakwah hanya tertumpu di bahagian pedalaman dan kampung-kampung semata-mata untuk merasa derita dan kepayahannya, bagaimana pula dengan mereka yang bermastautin di bandar. Mereka juga kehausan ilmu, mereka jua harus dibentuk pemikirannya, mereka jua tidak mahu tertinggal meraih pahala menuju Jannah.

Bagi aku...kondisi dakwah adalah pelbagai sifatnya. Di bandar, pejabat, hotel, kampung, estet, balairaya...namakan sahaja di mana...ia tetap mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah.

Janganlah bila pendakwah versi pedalaman memulai dakwah mereka, disindir-sindir pendakwah versi bandar...'dakwah komersil' kata mereka. Ditakuti terhapus segala pahala dakwah mereka disebabkan ketidakpuasan hati terhadap pendakwah profesional tersebut. Tak berbaloi...sudahlah menempuh payah, kosong pula pahala yang tinggal.

Posisikanlah rasa ikhlas dalam berdakwah walau di mana dan apa cara sekalipun. Tidak perlu membanding-banding cara dakwah...susah dan senang, miskin dan mewah, 'low profile' mahupun popular, ganjarannya tetap menanti sekiranya ikhlas merajai hati.

Ermmm hanya pandangan peribadi aku...


Friday, 22 April 2016

Monolog Mimpi

"Aku nikahkan kamu dengan anakku..."

Owwhhh!!! Benarkah perkataan itu yang kulafaz untukku galaskan segala pertanggungjawaban kepada yang dipertanggungjawabkan. 


Aahhh...tak mungkin. Rasa masih terlalu awal untuk semua itu berlaku.


Apa pula yang tak mungkin? Anak-anak sudah melepasi zaman kanak-kanak dan remaja...perempuan pula tu. Memang wajiblah jika masanya sampai untuk disunting.

Tidaaak...anak-anak aku masih perlu pengawasan dan perlindungan dari ibu bapanya sendiri. Lagi pula dia masih belajar...belumpun habis semua itu. Aku tak akan benarkan semua itu berlaku.

Errmmm...kau tak percaya takdir jua qada dan qadar Allah? Perkara baik dan mengikut syariat mengapa perlu ditangguh? Kau lebih memilih anakmu bertunang lama-lama juga lebih rela anak perempuanmu bergaul bebas dari melihat halalnya hubungan suami dan isteri?

Tidak, bukan itu maksudku. Mereka masih belajar. Mereka ada tanggungjawab besar untuk diselesaikan. Bila berkahwin, akan bertambah beban mereka untuk melayari alam rumahtangga.

Kau bercakap tentang rezeki dan tanggungjawab. Siapa yang memberi rezeki? Ya...Allah pasti akan melimpahi rezekiNYA dan memudahkan urusan mereka yang mengikut syariatNYA. Tak perlulah risau tentang rezeki. Anak-anak itu sudah ada perancangan mereka dalam menjalani hidup berumahtangga. Tanggungjawab? Kau lihatlah sendiri latar belakang bakal menantumu. Buatlah sedikit 'groundwork' untuk sebuah kepastian. Hatimu jernih...Insyaallah akan hadir ilham yang boleh memandu keputusanmu.

Bagaimana dengan masyarakat sekeliling? Pasti aku akan dihurungi persoalan-persoalan dari mereka yang skeptikal dengan sesuatu yang melawan arus.

Ermmm...siapa yang lebih kau utamakan? Allah atau makhluk Allah? Biarlah mereka mencemuh keputusanmu asalkan penduduk langit meraikanmu. Kau tak terbaca Hadis ini agaknya yang bermaksud, 'Sekiranya kau mencari redha manusia dengan marahnya Allah, maka Allah akan serahkan urusan mereka kepada manusia. Tetapi jika mereka mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka pasti Allah akan merahmati dan memudahkan urusan mereka.

Sah? Tanya Tuan Qadi kepada kedua saksi sejurus pengantin lelaki mengakhiri lafaznya.

Sah!!! Saksi yakin dengan jawapan itu.

Hah!!! Aku sudah bermenantu? Errkkk...kutepuk-tepuk kedua pipi kiri dan kanan untuk sebuah pengesahan.

Malu-malu pula nampak pengantin tuuuuu...

Allahu Akbar Allahu Akbar...azan subuh berkumandang mengejutkan aku dari lena mimpi...


Monday, 18 April 2016

Anak-anak Itu

Anak-anak itu sudah semakin diulit waktu. Mereka membesar bersama persekitaran bumi yang sudah nyanyuk dan pelupa. Entah ke mana hilang jatidiri sehingga norma-norma kehidupan terus dikesamping. 

Ayat-ayat langit hanya sebagai penyeri zaman kanak-kanak. Bila usia remaja menyapa, akal semakin bijak dan minda bisa berdiri sendirian...anak-anak itu menjadi semakin jauh untuk sebuah kebergantungan kepada Pencipta.

Anak-anak itu diajar berjuang menggapai segala yang perlu demi kelangsungan hidup. Ilmu digali wajib dianugerahi kebendaan...maka jadilah ilmu itu kaku bisu tanpa keberkatan. Jadilah ilmu itu produk yang dijaja ke sana ke mari menagih dunia.

Anak-anak sebagai amanah hanya berbekas tinggalnya. Anak itu dibangga-bangga dengan kesempurnaan dan kemolekannya. Disebut-sebut gelaran Pelajar Cemerlang, Pelajar Terbaik, Hafiz, Imam Muda, Anugerah Dekan...aaahhhh ibubapa jenis apa yang memangsakan anak-anak mereka untuk kepuasan dunia?!

Di mana posisi ikhlas berhabis wang ringgit dalam melestari fardhu ain untuk anak-anak? Ikhlas tidak dinilai dengan promosi gila untuk habuan dunia. Ikhlas tidak berdiri bersama sebuah kejayaan yang disebut-sebut!

Ikhlas itu bisu di mulut, buta di mata, tuli di pendengaran tetapi jernih di hati. Ikhlas itu tepat menuju kepadaNYA tanpa ada sepicingpun kelibat makhluk!!!

Anak-anak itu...mangsa rakus keluarganya sendiri, melakar dan mencorak amanah Allah semborono. Maka tunggulah harinya...yang semborono itu bakal meresahkan jiwa kerana apa yang diberi..itulah yang bakal diterima sebagai pertukarannya.

Yang tersirat sudah tersurat...luahanku.


Thursday, 14 April 2016

HAHAHAHAHA..

Hahahaaaa...memang 'happening' kursus hari ini. Sakit-sakit perut kami ketawa melihat sketsa perkahwinan olok-olok yang kami uruskan.

Kursus selama tiga hari bermula 13hb April 2016 membawa kepada hari ke 2 hari ini. Hari sebelumnya peserta wanita diminta berbaju kurung. Tertanya-tanya mereka di dalam hati untuk apa saranan tersebut diutarakan...tiada jawapan.

Kami dibawa ke tajuk 'Pengurusan' tentang bagaimana mahu mengurus dan menyelanggara projek-projek organisasi. Melepasi teori seawal pagi hingga ke tengahari, petangnya kami diberi tugasan untuk menguruskan majlis perkahwinan. Peserta seramai 20 orang dibahagi kepada dua kumpulan pengantin lelaki dan perempuan.

Aku mengetuai pihak pengantin perempuan yang bakal menerima kunjungan pihak sebelah. Berkumpullah kami membuat perancangan dan pembahagian tugas seperti mak andam bersama andaman pengantin, pelamin, persiapan hantaran balas, katering dan susunan meja, kumpulan kompang, pembaca pantun dan penyambut tetamu.

Kami sebulat suara memilih peserta bujang sebagai pengantin. Aku pula berlagak sebagai bapa pengantin perempuan.

Setiba pengantin lelaki di perkarangan rumah, berbalas pantunlah kedua belah pihak berserta bayaran tol dari pihak mendatang. Diikuti dengan persembahan silat pulut dan bersanding...siap dengan upacara sarung cincin dan tepung tawar.

Hahahahaha...memang gamat bilik latihan sehingga menggamit perhatian tetamu luar. Aku bagi 5 HA...sebab apa? Sebab pihak Konsultan telah menyediakan 'prop' persalinan baju pengantin, kompang, bunga manggar serta bekas hantaran!!! Memang real!!!

HAHAHAHAHA!!!




 



Wednesday, 30 March 2016

Terungkai Jua Sudahnya

Subhanallah...apa yang kurasa pada hari itu, rasa kekuatan aura yang mengundang harmoni, rasa ukhuwah jua tenang di sepanjang perjalanan kursus...terjawab pada hari dan ketika yang membenarkan janji-janji Allah bagi mereka yang ikhlas.

Merujuk kepada entri bertarikh 24 Mac 2016 'Aahh..Lain Benar Rasanya', aku tercari-cari gerangan mereka yang membawa aura positif sehingga benar-benar kurasa kehebatan kuasa itu.

Lantas hari ini takdir merungkai segala misteri aura hebat tersebut.

Program 'Anugerah Kakitangan Cemerlang' berlangsung hari ini bagi meraikan kakitangan yang memperolehi rating tertinggi berbanding yang lain. Finalis-finalis yang diundang berdebar menunggu keputusan akhir untuk dinobatkan sebagai juara bagi setiap jabatan.

Aku hadir bagi meraikan sijuara juga untuk aku ucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya melangkah ke peringkat akhir pemilihan juara.

Aku kaget!!! Sebentar terdiam dalam keharuan...Allah memberi jawapanNya. Tiga orang kakitangan yang dianugerahi gelaran cemerlang dan beberapa kakitangan yang berjaya ke peringkat akhir merupakan mereka yang hadir di dalam kursus latihan yang kukendalikan baru-baru ini!!!

Merekalah yang membawa aura hebat di dalam kursus sehingga jika boleh ku analogikan keadaannya seperti Rabiatul Adawiyah (seorang ahli sufi) yang dikelilingi haiwan-haiwan liar pemangsa dan mangsa tetapi boleh duduk bersebelahan tanpa sebarang gangguan. Aura Rabiatul Adawiyah menyatukan mereka yang bersengketa atas hampirnya beliau dengan Allah bersebab amalannya yang ikhlas.

Aku mendapatkan kesemua mereka demi sebuah penghormatan tertinggi yang layak mereka terima. Mereka tidak mempromosi diri di dalam kursus malah tekun mendengar. Itulah ciri-ciri bagi mereka yang ikhlas beramal.

Mereka diam bekerja di sebalik tabir, tetapi ketentuan Allah mempamer segala yang mahu diselindung. Ikhlas mereka dibayar melalui promosi Allah!

Subhanallah!!! Rindu untuk aku bersama mereka di dalam satu halaqah...sungguh!!!

Terimakasih sahabat kerana mengajarku erti sebuah keikhlasan yang hakiki! Syukran.