Translate

Tuesday, 21 February 2017

Memimpin Dari Hati

Bagaimana mahu menjadi pemimpin yang berwibawa, yang mengerti dan memahami keadaan kakitangan dan keperluan-keperluan mereka? Yang bersabar dalam menerima kritikan dan tekanan persekitaran. Yang boleh menggerak dan memotivasi orang bawahannya juga yang boleh melahirkan barisan kepimpinan pelapis.

Pemimpin...ramai yang teruja dilantik sebagai pemimpin kerana pemimpin sinonim dengan lambang kuasa dan wilayah pemerintahan. Pemimpin mempunyai anak buah dan pengikut yang akan mengikut segala arahan yang diberi..seronokkan! Tetapi itukah tujuan dan peranan kita apabila dilantik sebagai pemimpin? Ooohhh...tersasar amat jika skop pemimpin itu dijerut sekecil-kecilnya.

Tanggungjawab! Pemimpin harus 'tanggung' dan 'jawab' ke atas segala apa yang dipimpinnya. Keadilan, ambil berat dan peduli, menjadi 'role model'...ahhhh ratusan ribuan kriteria harus ada pada pemimpin. Sanggupkah kita menggalas segala beban tersebut?

Pagi itu aku menerima kiriman dari aplikasi 'WhatsApp' dari seseorang. Beliau mengirim keratan akhbar yang bertajuk 'Dare To Lead From The Heart'. Pengarang menggariskan beberapa ciri pemimpin di alaf baru yang boleh mempengaruhi landskap kepimpinannya.

1. Prepared to self reflect - belajar untuk mengawal emosi dan cara berfikir serta bereaksi terhadap persekitaran.

2. Welcome all types of news - bersedia menerima apa sahaja berita yang disampaikan. Jika pemimpin tersebut menunjuk reaksi kurang senang atau meledakkan amarahnya kepada penyampai berita, beliau tidak mungkin lagi akan mendapat berita sahih dari persekitaran...mengimplikasikan masalah sebenar akan berlarutan tanpa penyelesaian.

3. Talk to people at all level of the organisation - ketepikan prinsip hirarki agar lebih ramai kakitangan boleh menghampiri pemimpin untuk berkongsi berita. Kemesraan yang dipamer lebih mendekatkan lagi jurang kakitangan dan pemimpin.

4. Beware of gatekeepers - jangan biar orang kanan anda menghalang kakitangan lain untuk mendekati kerana penilaian yang anda lakukan akan menjadi lebih berwibawa bersama input-input dari pekerja bawahan.

5. Take the time to walk the floor - kakitangan akan lebih berasa dihargai dan akan menyokong pemimpin yang sering bersama mereka.

6. Don't silence the dissenters - mereka yang banyak membantah itu sebenarnya memberi banyak input berguna untuk sebuah penambahbaikan. Pemimpin harus melihat kakitangan tersebut di dalam perspektif positif tetapi harus lebih terkawal keadaannya.

Begitulah apa yang digariskan oleh pengarang. Kriteria tersebut semuanya melengkapi sifat Baginda Rasulullah SAW malah lebih dari itu!

Aku? Aku teruja membaca artikel tersebut dan cuba mengaplikasikannya ke dalam kehidupan. Tetapi yang lebih tular ke jiwaku apabila keratan akhbar tersebut datangnya dari BELIAU!!!

Syukran Jazilan.


Tuesday, 31 January 2017

Luahan Syukur Yang Tidak Bertempat

Syukur...ya, itulah ucapan yang seharusnya keluar dari mulut manusia di kala mereka dilimpahi nikmat. Apakah hanya bila mendapat kesenangan baru terluah rasa syukur? Ermmm..bersyukurlah di dalam setiap kondisi...susah dan senang, kerana setiap yang berlaku adalah di atas ketentuanNYA dan kedapatan rahsia di sebaliknya.

Waktu mana yang harus diterjemah rasa syukur? Semestinya di dalam doa selepas solat fardhu mahupun sunat. Boleh juga diluah kepada seseorang yang membantu kita di hadapannya..rasa terimakasih dan syukur. Harus diingat...sentiasa semat di dalam hati rasa syukur di atas kurniaanNYA yang tak terkira banyaknya.

Tetapi dalam kita teruja mengucap syukur...entah sedar entahkan tidak, kita sebenarnya terlebih mempromosi diri, keluarga juga material yang menjadi milik empunya diri.

Apa ceritanya ucapan syukur diwar-warkan di pentas FB, IG, Twitter. Di mana letak jujurnya ucapan syukur dengan tempelan gambar kereta baharu, pindah rumah baharu, penayangan tiket penerbangan ke luar negara, 'wefie' menjamu selera di restoran mewah, menginap di hotel berjenama..lalu digarap ayat-ayat syukur yang bertaraf hipokrasi.

Tidak mahu aku berdebat tentang isu ini kerana pastinya mereka sudah bersedia dengan segala macam alasan yang akan menjustifikasikan ucapan syukur itu. 

Ye lah...jika benarpun tempelan gambar-gambar promosi itu merupakan luahan syukur...ia pasti akan mengundang fitnah manusia. Rasa prejudis akan bertebaran di hati manusia yang melihat 'wall' FB dipenuhi publisiti diri. Tanpa sedar, sebenarnya diri kita sendiri menjadi penyebab fitnah itu wujud.

Bagi aku, jikapun tak betah berdiam...letaklah segala macam promosi di dunia maya tetapi elakkan perkataan 'syukur' ditempel kerana...syukur itu bukan sebuah promosi. Mereka yang bersyukur tidak terlintas untuk mewar-warkan 'rasa' itu malah akan menjaga segala perilaku diri. Rasa itu bukan untuk tontonan manusia...rasa itu hanya disimpan di dalam hati dan diterjemah dengan sujud kepadaNYA.

Maaf...hanya pandangan naif yang mungkin silap.



Sunday, 22 January 2017

Broga Kasi Gegar

Misi bermula...

Seawal jam 5.30 pagi kami telah mula berkumpul di kaki bukit Broga untuk melestarikan misi menawan puncak Broga! Kami memulakan solat Subuh berjemaah di kawasan parkir kenderaan dengan hanya membentang alas plastik. Mesejnya jelas...solatlah dalam apa jua bentuk keadaan!



Jarum berdetik ke jam 6.30 pagi, kami seramai kurang lebih 25 kakitangan memulakan langkah berteman lampu suluh. Hayunan langkah begitu yakin pada 200 meter perjalanan. Cabaran kecil bermula dengan pendakian yang agak curam dengan berpaut pada tali yang disediakan.

Keadaan yang seawalnya ceria dan riuh rendah mula menjadi sunyi dengan gantian helaan nafas mengah. Transit demi transit kami lakukan untuk memastikan kesemua kakitangan berada di posisi dan tidak tertinggal ke belakang.



Jam 7 pagi..Haaahhh...kami tiba di kawasan rata pertama dengan melihat keindahan sinar matahari yang mula terbit di arah timur.



Selepas bergambar, kembara pendakian diteruskan dengan berbekal semangat sahabat-sahabat yang cergas dan telah beberapa kali berpengalaman mendaki. Fasa kedua secara automatik memecahkan kami kepada beberapa kumpulan di atas faktor ketidakcergasan. Pendakian harus diteruskan agar kami tidak lewat tiba di puncak.

Jam 7.20 pagi...Alhamdulillah kami tiba di kawasan rata yang lebih tinggi kedudukannya tetapi hanya separuh perjalanan ke puncak. Kami melepas lelah sambil menikmati pemandangan yang mempesona, menghirup udara segar dan nyaman. Dari sini nampak sayup puncak Broga yang seakan menanti kehadiran kami. Letih, mencungap tetapi kami penuh bersemangat untuk melihat pemandangan dari puncak bukit.



Yessss...7.45 pagi kami tiba ke destinasi...bergambar sakanlah kami merai kejayaan. Oohhh tidak...rupanya masih ada lagi puncak terakhir yang agak lebih mencabar laluannya. Kami membuat keputusan untuk mencabar kemampuan kami...alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.



Dua buah batu besar merupakan halangan utama untuk sampai ke puncak. Tiada peralatan memanjat..hanya berbekal semangat juang yang tinggi, kami bergilir berpaut tangan dan tali yang disediakan.



Alhamdulillah...sampai jua kami ke puncak! 400 meter ketinggian dari aras laut bukanlah tinggi sangat..hanya kami tidak mahu hujung minggu berhabisan bergolek di atas katil melepak hingga matahari naik...hihiiiiii.





Friday, 20 January 2017

Aku Nak Jadi...

Hhmmm..dalam aku mengelamun bersendirian, aku mula menelusuri kronologi kehidupan yang sudah kutempuh berpuluh-puluh tahun lamanya. Aku sekarang berada di kedudukan yang tidak pernah kujangka destinasinya. Ya...destinasi yang mirip kepada apa yang menjadi angananku sejak kecil.

Aku suka mendidik diri sendiri dalam bersosial. Kukutip pengalaman hitam mereka agar dapat kuelak dari menjadi mangsa kehidupan. Aku pernah mendidik adik-adik di awal pra sekolah..mengenal huruf, membaca, mengira juga melukis. Di asrama, aku dijadikan 'abang' yang digemari oleh 'freshie' di atas sikapku yang suka menegur kesalahan mereka di balik tabir. Apabila sudah berkeluarga, aku sendiri yang mendidik anak-anak mengenal Iqra' hinggalah mereka khatam al Quran.

Pendidikan...ya, itulah bidang yang menjadi kegemaranku seawal usia remaja sehingga meningkat dewasa. Melepasi tingkatan 6, aku begitu teruja memohon memasuki maktab perguruan untuk kuteruskan cita-citaku. Berlaku kesilapan teknikal, permohonanku ditolak. "Tidak mengapa...bukan rezekiku", bisik hati kecilku yang agak kecewa. Aku membawa haluan hidup di luar bidang pendidikan...hidup mesti diteruskan.

Siapa sangka dalam bertugas, laluan hidupku dilorong-lorongkan ke bidang pendidikan yang tidak pernah mati jiwa itu mencintainya. Menjadi tenaga pengajar di bidang Halal seolah-olah doa bisuku diperkenankan olehNYA. Aku bercakap, memberi penerangan dan mengharap-harap soalan dari peserta. Aku puas bila mereka yang mendengar dapat mempelajari ilmu yang datangnya dari lidahku sendiri.

Bakatku dilebarkan lagi sayapnya apabila terpilih untuk membangun dan membentuk nilai-nilai murni kakitangan agar selari dengan aspirasi, misi dan visi syarikat. Sebagai 'trainer', aku begitu teruja dengan topik tersebut yang tampak lebih ke arah ilmu tasawuf iaitu ilmu jiwa yang apabila diamal bakal memberi impak yang besar kepada kakitangan.

Laluanku bertambah cerah apabila diberi mandat bagi mengetuai Jabatan Latihan dan Pembangunan...semakin dekat jadinya aku bersama dunia pendidikan. Dalam membangunkan jiwa dan bakat pekerja...aku juga mula belajar betapa pembentukan sahsiah diri pekerja memerlukan kesabaran yang tiada had...hanya minat yang mendalam membolehkan kita bertahan.




Menjarah pusat-pusat pengajian untuk menjalin kerjasama dalam penempatan pelajar-pelajar, menaikkan lagi 'rating' minatku di bidang ini.







Subhanallah...cita-citaku tertunai di dalam situasi di luar kotak fikirku...dilewatkan agar aku penuh bersedia menikmatinya!

Tuesday, 17 January 2017

Dalilah dan Zikri

KISAH 1
Setiap manusia memerlukan pedoman mahupun petunjuk dalam menjalani kehidupan. Keperluan itu amat mendesak bersebab manusia akan tersasar jauh dari landasan sebenar sekiranya mereka gagal dalam misi kehidupan.

Apa misinya? Tentulah menjadikan dunia ini hanya sebagai tempat persinggahan dengan tidak berlama-lamaan mendudukinya. Kitab al Quran dan sirah Nabi merupakan DALIL kukuh menuju jalan yang lurus lagi diredhai.

Maka bersebab itu...aku menamakannya NUR DALILAH terbit dari perkataan DALIL yang diertikan sebagai CAHAYA PETUNJUK.

KISAH 2
Setiap dari kita mempunyai kenangan yang disimpan kejap dalam kotak ingatan. Kenangan indah amat mengujakan dan menjadi penawar kepada keresahan hati. Kenangan pahit pula tidak mudah dilupa sebagai panduan dan sempadan melestari kehidupan.

Maka bersebab itu...mereka menamakannya AHMAD ZIKRI yang diertikan sebagai INGATAN YANG TERPUJI.

Ikan di laut asam di darat...di dalam periuk bertemu juga.

DALILAH dan ZIKRI telah selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri tanggal 13 Februari 2016. Majlis Walimah juga berjalan lancar seperti yang dirancang pada 31 Disember 2016.

Apa lagi yang mampu aku ungkapkan...hanya rasa syukur yang teramat di atas redha Allah dan izinNYA dalam memudahkan urusan-urusan berkaitan. Aku yakin...jika Syari'atullah didahulukan, urusan-urusan dunia yang lain bakal dipermudahkan.

Doaku agar 'ikan' dan 'asam' tersebut dapat menjalani kehidupan yang harmoni dan bersabar di atas segala ujian yang harus ditempuh di alam berumahtangga.

Anakku Dalilah dan Zikri...ayah dan ibu merestui pilihan kamu dalam menentukan perjalananmu sebagai suami isteri...kerana naluri ini amat kuat mempercayai pilihan itu!



  

Thursday, 8 December 2016

Hubungan Sesama Hati

Para Nabi dianugerahi mukjizat untuk segala kelebihan yang mustahil menjadi milik insan biasa. Nabi Muhammad SAW sebagai contoh, didampingi Malaikat Jibril untuk menyampaikan segala tipu muslihat kaum Quraisy. Sehingga terdapat mereka yang terus beriman kerana mereka berasa mustahil untuk Rasulullah tahu apa yang terdetik di hati mereka jika Baginda bukan dari kalangan Rasul yang diberi mukjizat.

Para wali dan anbiya' pula diberi karamah untuk melihat perkara-perkara sulit dek kerana hampirnya hubungan mereka dengan Allah. Imam Hanafi diberi keistimewaan melihat dosa-dosa kecil mengalir keluar dari celahan jari-jari tangan dikala seseorang mengambil wuduk yang sempurna.

Ahli Sufi, Rabi'atul Adawiyah dihampiri binatang-binatang buas yang menjadi jinak sesama mereka apabila berada bersama beliau.

Itu kisah mereka yang hampir dengan Allah. Banyak keistimewaan yang bakal dianugerah untuk mereka yang istiqamah dalam beramal juga bermujahadah dalam memartabatkan Islam. Di antaranya adalah hubungan hati ke hati.

Percayalah bahawa hati mempunyai naluri hebat untuk meneroka hati insan lain. Dalam keadaan-keadaan tertentu, seseorang itu boleh mengetahui apa yang terdetik di hati suami, isteri, anak mahupun sahabat. 

Hati yang jernih bisa menerobos jauh ke dalam minda manusia untuk membongkar perkara-perkara sulit yang tidak diketahui manusia biasa.

Hati yang jernih bisa menjinakkan hati-hati liar justeru timbul keinsafan untuk menangisi dosa-dosa silam...permulaan hidayah mula mendampingi.

Hati yang jernih bisa menjernihkan suasana sekitar dengan kehadirannya. 

Hati ini dianugerahi rasa kasih dan cinta sesama makhluk yang tinggi darjatnya...hingga ke tahap mendoakan mereka yang menyakiti hatinya untuk diberi hidayah..hingga ke tahap berdiam diri walau di pihak yang benar (untuk mengelak persengketaan)...hingga ke tahap bersyukur jika dihina dan difitnah (kerana hatinya hanya terpaut kepada yang SATU!!!).

Justeru, janganlah disakiti manusia yang memiliki hati-hati ini kerana...walau mereka tidak membalas tetapi tentera-tentera Allah yang akan mempertahankan mereka dengan segala yang wajar.

Sebuah muhasabah diri...


Sunday, 13 November 2016

Mendisiplin Lembu dan Kerbau

Sedarkah bahawa kita sedang dikawal oleh teknologi. Ya...mungkin ramai yang sedar malangnya tiada usaha yang dilakukan untuk mengimbanginya.

Bercerita tentang gajet dan alat- alat hubungan sosial, tidak pernah ada noktah dalam pengkisahannya. Kita mendiami dunia yang dikawal oleh robot yang pintar. Robot yang memudahkan urusan manusia juga menjadikan manusia semakin malas untuk bergerak.

Tak mengapa...biarkan robot bersama urusannya mengawal manusia kerana memang itu tujuan robot dicipta.

Tetapi aku ingin mengingatkan sesuatu...sesuatu yang tidak patut kita biarkan.

Mengapa teknologi 'punch card' dicipta? Mengapa sistem 'thumb print' wujud?

Bermula dengan catatan manual 'time sheet' untuk rekod kehadiran pekerja di sesebuah organisasi. Apabila pekerja (manusia) menjadi semakin hilang integriti kerana banyak berlaku ketidakjujuran mereka dalam merekod kehadiran sendiri..mereka menipu.

Bagi mengawalnya, sistem 'punch card' diperkenalkan. Setiap pekerja akan mengetip kad pekerja masing- masing. Apa hasilnya? Mereka menipu secara berkumpulan pula...bersubahat mengetip kad dalam membantu rakan pekerja yang lewat.

Teknologi tidak pernah ketinggalan dalam arus kehidupan. Terhasillah apa yang dinamakan sebagai sistem 'thumb print'. Kad pekerja akan diimbas bersama pilihan jari pekerja yang direkod untuk memastikan kad dan jari datangnya dari unsur yang sama.

Nampak seperti tiada pilihan...manusia diperangkap oleh ciptaan teknologi untuk mengumpul data mereka yang hadir. Terdesak...manusia mengatakan berlaku kesilapan sistem tersebut. Mereka menipu lagi dengan mengatakan bahawa mereka hadir dan melaksanakan 'thumb print' tetapi tiada rekod. Bermakna sistem yang tidak stabil. Sekali lagi teknologi digunapakai untuk mendisiplinkan manusia...CCTV! Selepas ini...bakal timbul kenyataan yang CCTV dimanipulasi oleh mereka yang berkepentingan...aaahhhhhh.

Lihatlah!!! Betapa kroniknya kehidupan manusia. Mereka perlukan 'seekor' robot untuk menjinakkan diri mereka sendiri!!! Sudahlah tidak berdisiplin dan hilang integriti diri...masih tegar mahu menipu mengatakan sistem tidak stabil.

Agak memalukan buat mereka yang bernama manusia yang diberi akal sempurna dan digelar 'khalifah' di atas muka bumi ini...apabila terpaksa dikawal oleh robot ciptaan mereka sendiri kerana masalah disiplin.

Mesej aku...manusia harus ada integriti diri dan hidup perlu berpaksi kepada kewujudan ALLAH di mana-mana. Biarlah teknologi menjalankan urusan mereka...tetapi manusia tetap hidup berlandaskan Islam yang berdisipilin, berintegriti, jujur dalam bekerja, amanah dalam menjalani tugas. 

Tetapi...

Apabila integriti itu hilang...maka disitulah bermulanya kehidupan manusia yang tidak kurang bezanya dengan lembu dan kerbau yang harus dilibas di senja hari untuk menuntun mereka masuk ke kandang. Malah manusia lebih hina dari sekawan lembu dan kerbau kerana LEMBU DAN KERBAU TIDAK PUNYA AKAL!!!



Monday, 31 October 2016

Airmata Itu...

Tidak pernah terfikir di minda mengapa air yang keluar dari kelopak mata jernih tidak berwarna, hangat dirasa, tanpa boleh disekat alirannya. 

Mengapa? Ya...setiap kejadian ciptaanNya mempunyai makna yang harus dirungkai bersama ilmu sains, teknologi mahupun dari perspektif analogi.

Bagi yang mahu berfikir...mereka akan memikir-mikir jawapannya. Bagi yang tidak endah erti ilmu, akan hanya menangis untuk sebuah kelegaan.

Allah banyak beranalogi dalam menyampaikan mesej kepada makhluk...mengapa? Kerana otak yang dianugerahiNya mempunyai nilai yang tinggi untuk dibiar jumud begitu sahaja.

Mengapa kita menangis? Sedih, duka, terluka mahupun gembira.

Airmata itu jernih kelihatannya disimbolikkan kepada asal diri kita yang baik dan tiada dosa. Menangis sedih ertinya kita meminta kepada Allah agar diangkat segala kesedihan dan kedukaan dan kembalikan diri kita kepada keadaan asal sewaktu lahir..suci bersih tanpa dosa.

Ketawa berdekah-dekah juga bisa mengalirkan airmata. Airmata gembira itu mengingatkan kita bahawa jangan terlalu seronok dengan segala yang lucu kerana saat kembali kepadaNya semakin hampir...mungkin kita bakal menangis menagih keampunanNYA.

Gembira kita bersama airmata yang mengalir...mengapa? Betapa diawal kegembiraan itu terpalit sejuta kesusahan dan keperitan yang pernah ditempuh. Airmata menjadi peneman di saat sukar dan airmata juga menjadi peringatan di saat bahagia.

Airmata yang mana mempunyai nilai tinggi di sisiNya? Bila berseorangan...mengalir airmata itu mengadu malu kepadaNya akan palitan dosa-dosa silam. Nilai airmata tersebut bakal menjemput hidayah Allah untuk sebuah migrasi antagonis menuju protagonis.

Tuan Guru Allahyarham Dato Haron Din pernah sekali mengungkap...dengan perlahan dan penuh berhemah beliau mengingatkan bahawa sekiranya kita tidak pernah menangis kesal di atas dosa-dosa yang dilakukan...itu tandanya hati kita 'keras'. Berhati-hatilah kerana takut-takut tak sempat untuk hidayah Allah menyapa hati tersebut!

Mengalirlah wahai si airmata untuk sebuah keinsafan...menangislah...


Sunday, 9 October 2016

Merajuk La Sangatttt...

Menurut Kamus Dewan Bahasa, definisi merajuk merujuk kepada 'menunjukkan rasa tidak suka', 'seseorang yang tidak mahu bercakap', 'merasa tersinggung di atas sesuatu perkara yang tidak disukainya'. Betullah tu.

Jika diamat-amati, kita pamerkan sikap merajuk itu kepada mereka yang rapat seperti ahli keluarga, suami, isteri, sahabat baik juga pasangan yang sedang bercinta. Makin rapat kita dengan seseorang, semakin berisikolah pasangannya untuk melayan kerenah merajuk. Seseorang tidak akan merajuk kepada musuh ataupun mereka yang dibencinya.

Apa sebenarnya yang mahu ditonjolkan oleh orang yang suka merajuk ini? Sudah semestinya mereka mahukan 'perhatian'!!!

Ya...mereka yang suka merajuk adalah mereka yang amat memerlukan perhatian. Mereka mahu kehadirannya disedari oleh orang di sekitar. Mereka mahu pandangannya diterima pakai. Mereka teramat suka jika pasangannya tahu kehendak naluri mereka tanpa diminta. Jika pasangannya terlupa tarikh ulangtahun perkahwinan, tarikh pernikahan, tarikh hari lahir mahupun terlupa membelikan sesuatu sebagai tanda ingatan...ermmm merajuk panjanglah alamatnya sidia.

Tetapi sedarkah kita betapa sikap suka merajuk sebenarnya memakan kebahagiaan diri sendiri sedikit demi sedikit tanpa kita sedari. Merajuk berpunca dari emosi tidak terkawal yang membebankan jiwa pelakunya.

Oohhh...sebagai manusia, merajuk sebenarnya adalah sesuatu yang normal tetapi menjadi 'paranormal' bila jiwa dan perasaan juga sensitiviti diri melebihi dari yang wajar.

Jika boleh aku guna ayat seperti ini...orang yang suka merajuk adalah mereka yang kebergantungan hidupnya hanya kepada makhluk. Mereka tidak meletak Allah sebagai 'mastermind' dalam merancang segalanya.

Mereka yang tinggi tawakalnya kepada Allah amat jarang merajuk. Jika merajukpun mudah untuk dipujuk. 

Pertama...kerana mereka tidak mahu merosakkan jiwa terhadap perkara remeh-temeh bersebab perilaku manusia. Ini akan membantuti fokus mereka untuk beramal.

Kedua...mereka percaya segala sesuatu yang berlaku kedapatan hikmah di sebaliknya walau keadaan tidak memihak kepada mereka.

Ketiga...mereka yakin bahawa meletak sabar yang tinggi dalam melayan kerenah makhluk, bakal menjitukan lagi jiwa mereka untuk berhadapan tribulasi yang lebih besar.

Keempat...mereka lebih memerlukan perhatian Allah dari mencari-cari kelibat makhluk yang hatinya di dalam genggaman Allah jua.

Kelima...mereka berasa hidup selepas mati itu lebih perlu diberi perhatian dengan menambah amalan-amalan yang kurang.

Ermmm boleh merajuk...tetapi pastikan kita mudah dipujuk ye. Jika kawan pejabat terlupa nak ajak makan sekali...itu bukan rezeki kita. Jika suami terlupa tarikh aniversari perkahwinan...ambilkira tanggungjawab suami yang besar di pejabat untuk membela nasib keluarga. Jika isteri terlupa yang kita berpuasa sunat dan tidak menghidangkan lauk-lauk yang enak untuk berbuka...kenangkan jasa isteri yang tidak ternilai sepanjang hidup bersama. Jika anak-anak terlupa memberi ucapan hari lahir...mungkin itu balasan kepada kita yang tidak pernah meraikan hari lahir ibu sewaktu hayatnya.



Lagi satu, jangan hanya kira merajuk kita sahaja... cuba bayangkan jika Allah merajuk, ditangguh segala rezeki kerana kita lalai dalam solat, tidak membaca al Quran, tidak solat berjemaah di surau. Ermmm malu rasanya nak buat perangai merajuk kan, kan, kan.

Ingatan untuk diri sendiri.

Friday, 7 October 2016

Betulkan Persepsi Babi

BABI...sengaja aku meletak huruf-huruf besar bagi melengkapkan satu perkataan yang dirasa amat jelek dan hina oleh mereka yang menganut agama langit. Ya...agama langit yang melarang penganut Muslim untuk merasai keenakan babi (kata mereka yang pernah merasa).

Peristiwa 1

"Why Muslim people are not allowed to eat pork?" Soalku sebagai auditor bagi menguji sejauh mana mereka faham tentang makanan halal.

"Because according to Muslim people, pork is dirty", spontan beliau menjawab.

Ohhh...Muslim mana yang menghina mengatakan kepada mereka bahawa daging babi adalah kotor? Jikapun kita merasa jijik, lebih berhemah mengatakan bahawa Allah yang melarang orang Islam memakan babi. Tidak perlu menghina makanan mereka.

Peristiwa 2

"Mr Azizi, how do you feel of that signage?", sambil beliau menunjuk kepada sebuah restoran yang mempromosi makanan babi beserta objek babi yang besar tertera di hadapan kedai yang kami lintas.

"What is actually the problem? I'm ok as long as I don't eat that food", jawabku terkedu dengan lontaran soalan yang tidak kujangka.

Peristiwa 3

"Errkkk...kembang tekak saya nak makan babi walau darurat. Biarlah saya berlapar En Azizi dari makan benda najis tu!", respon dari salah seorang peserta latihan.

Aduhaaaiiii...agama langit hanya melarang kita memakan babi yang mana ia tertulis di dalam Nas yang pertama iaitu al Quran.

Tetapi TIADA SATU AYATPUN DI DALAM AL QURAN MENYURUH KITA MENGHINA BABI!!!

Allah cipta babi bukan untuk dihina...tetapi sebagai ujian kepada umat Islam. Apa sahaja yang datang dari babi tidak boleh dimakan mahupun dipakai melainkan di dalam keadaan darurat.

Babi tidak beracun dan memakannya tidak akan membunuh sipemakan. Hanya sifatnya yang pengotor dan sikapnya yang rakus juga gelojoh menjadikan babi sebagai haram dimakan.

Rujuk kepada 'Peristiwa 1', mengapa begitu tidak beradab si Muslim mengatakan bahawa makanan babi adalah kotor. Tidak terlintaskah di hati untuk kita meletak rasa hormat kepada makanan tersebut kerana ia dimakan oleh mereka yang bukan Islam.

Jika boleh aku kiaskan kepada ayat di dalam al Quran yang melarang orang Islam menghina Tuhan bukan Islam kerana ditakuti mereka akan membalas dengan menghina Allah pula. Pasti akan berlaku suasana yang tidak harmoni dan peranan dakwah akan terbantut...implikasinya mereka akan terus menolak Islam.

Di dalam soal Tauhidpun Allah melarang kita menghina Tuhan mereka, apatah lagi soal makanan!

Rujuk 'Peristiwa 2', mengapa sampai begitu sekali persepsi mereka kepada orang Muslim? Pasti ini datangnya dari penganut Islam yang terlalu jumud dan gopoh mempromosi diri kononnya 'warak'. Jika gambar babi yang tertera di restoranpun boleh mencuit emosi, mana mungkin mereka akan menyelamatkan babi sekiranya keadaan memerlukan.

Aku analogikan sekiranya berlaku banjir besar, kita berada di dalam bot untuk menyelamatkan diri dan keluarga. Tiba-tiba kita ternampak seekor babi yang terperangkap di atas bumbung rumah. Air semakin naik, jika tidak diselamatkan...harus haiwan tersebut akan mati lemas. Maka selamatkanlah babi itu dengan meletaknya bersama di dalam bot dan lepaskan ke kawasan yang selamat. Mengapa tidak? Babi juga makhluk Allah yang berhak hidup!

Rujuk 'Peristiwa 3', meletak warak tidak bertempat. Meletak hina kepada babi sehingga sanggup berlapar dari memakannya walau darurat.

Dengar sini...nyawa bukan milik manusia. Nyawa hanya dipinjamkan kepada manusia sebagai khalifah demi untuk kita imarahkan dunia dan berdakwah. Jadi, menjadi wajib untuk kita selamatkan nyawa sendiri dan yang lain. Makanlah babi di dalam keadaan yang amat memerlukan untuk kita hidup dalam kadar yang sepatutnya...tidak berlebihan. Ini merupakan suruhan Allah kepada manusia.

Jika ada yang mogok lapar sehingga mengakibatkan kematian, maka berdosa hukumnya! Jika berpuasapun Allah suruh kita segera berbuka apabila masuknya waktu Maghrib atau terus berbuka di siang hari sekiranya boleh memudaratkan diri..apakah relevan untuk seseorang bermogok lapar tak makan berhari-hari?

Babi tidak bersalah...umat Islam yang sebenarnya menanggung dosa meletak persepsi salah kepada haiwan ciptaan Allah tersebut.

Sehinggakan kalau hendak marah atau mencarut...disebut BABI!!!

Ermmmm...entahlah...



Catatan dari Itaewon, Korea Selatan

Sunday, 2 October 2016

Aku Tak Suka Berpolitik

Hhmmm...aku sentiasa mengikuti perkembangan iklim politik tanahair. Yang terhangat, 1MDB yang cuba diredakan oleh parti dominan dengan pelbagai gaya persembahan yang tidak konsisten. Serangan lagenda pemimpin Tun M banyak yang tidak dapat dijernihkan oleh Mr Jib.

Tidak mengapa...biarlah para politikus bersama survival mereka asalkan bangsa Melayu masih menjadi Tuan di Tanah Melayu (walau banyak perkataan Melayu telah sirna ditelan zaman).

Itu politik negara...bagaimana dengan politik di organisasi? Ohhhh...jangan tak tahu ye, politik jenis ini tidak kurang hebatnya. Tiada pemilihan, tiada kempen, tiada undi...tetapi ada kem-kem dan puak-puak yang cuba mendominasi persekitaran.

Ini survival mereka...percaturan hidup dan mati. Pengaruh, kuasa, 'know who' (sepatutnya 'know how'). Watak 'talam dua muka' ada di mana-mana dan telah dilakonkan dengan begitu cemerlang. Masing-masing sedar akan kewujudan watak ini dan masing-masing tidak kisah kerana...masing-masing melakonkannya! 

Tersenyum dan bertepuk tampar di depan khalayak tetapi bagai singa lapar menanti masa untuk menerkam. Masing-masing sedar dan masing-masing tidak kisah kerana...masing-masing menanti tibanya masa itu!

Aku tak minat politik jenis ini...sungguh!!! Kerana ia bakal menenggelam dan membunuh karekter jujur dan bakat kerjaya untuk memajukan diri dan syarikat. Jika tidak dibendung, ia bisa melumpuhkan operasi syarikat. Syarikat bakal dipenuhi oleh mereka yang hanya berkepentingan dan bersifat keakuan.

Istilah 'payung' sudah menjadi sinonim. Siapa yang tidak berpayung atau berteduh di payung yang koyak, bakal menjadi bahan sepak terajang. Sudahnya, dalam tak sedar mereka mula bertuhankan makhluk, segala-galanya berpaksikan makhluk!

Jika boleh aku menyedarkan...di mana letak kebergantungan kita kepada Allah?

Ermmmm...


Saturday, 1 October 2016

Hijrah Malam dan Siang

Malam dan siang silih berganti...tidak henti-henti mengejar antara satu sama lain. Di hari pertama alam tercipta sehinggalah sekarang, segala yang berada di perut kosmos tidak pernah engkar menjalani rutin. Planet berputar di paksi sendiri tanpa menukar haluan, bulan dan bintang menjadi peneman bersama tenggelamnya matahari menerangi sfera yang menanti giliran.

"Apakah yang paling jauh dari kita di dunia ini?" Soal Imam al Ghazali kepada anak-anak muridnya. Ya...'masa lalu' itu merupakan sesuatu yang mustahil untuk kita tempuh sekali lagi.

Dunia dan kosmos semakin lanjut usia..menanti arahan untuk keluar dari paksi dan berlanggar sesama sendiri...tanda berakhir sudah sketsa lakonan manusia dan segala makhluk yang mendiaminya.

Masa itu bakal tiba dan kita pula masih bermain-main dengan masa. Kita tidak peduli dengan masa yang berlalu tanpa sesuatu yang berfaedah. Kita terlalu peka dan prihatin dengan kerenah manusia yang mencuit emosi...tidak mampu menyerap segala yang tidak menyenangkan. Kita menjadi rakus dengan segala yang mengasyikkan.

Malam terus mengejar siang tanpa mahu menoleh. Beruntunglah bagi mereka yang bekerja bersungguh-sungguh di siang harinya dan beramal semampu mungkin di sebahagian malam. Apakah mampu kita menjadi seperti Sàidina Umar, siangnya kurang berehat untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat...malamnya pula kurang tidur untuk melunaskan kewajipannya kepada Allah.

Sudah 1437 tahun selepas hijrah Rasulullah SAW. Berhijrah untuk sebuah kejayaan gemilang yang tertangguh. Bersama perancangan rapi dengan tertubuhnya sebuah kerajaan Islam sehingga kemuncaknya berlaku pembukaan kota Mekah tanpa pertumpahan darah.

Malam tetap setia menanti, siang pula akan sentiasa meniti. Jika banyak dosa maka berhijrahlah ke arah jalan yang diredhai. Bertaubat kepadaNYA berkali-kali..berkali-kali..berkali-kali...tetap Allah akan mengampunkanmu sehingga kamu yang jemu untuk bertaubat!

Salam Ma'al Hijrah 1438...semoga malam kita damai..siang kita ceria..Insyaallah.



Sunday, 25 September 2016

Aku dan Ulama'

16 September 2016, 14 Zulhijjah 1437...berakhir perjalanan hidup seorang Ulama' yang disegani kawan dan lawan. Datuk Dr Haron Din, pemergian beliau meninggalkan selautan ilmu untuk diterokai generasi mendatang.

Allahyarham merupakan seorang yang tenang dan terautur di dalam menyampaikan ilmu. Bilamana bermula sahaja majlis penyampaian ilmu, semua hadirin duduk diam memberi sepenuh perhatian...tidak seorangpun berani berdehem apalagi menegur teman di sebelah.

Aku di kalangan mereka yang bertuah...ya, kesempatan berguru dengan Allahyarham telah menukar corak dan karekter aku dalam bersosial. Sifat beliau yang tenang, berhemah, melontar perkataan satu persatu, tidak meninggi diri, mendengar dengan teliti akan persoalan-persoalan yang diaju...kuserap masuk ke dalam diri semampu mungkin.

Kucuba sedaya boleh mendekati beliau untuk sebuah keberkatan. Rutinnya sehabis majlis ilmu, semua pelajar-pelajar akan berduyun-duyun mendapatkan beliau untuk bersalam sambil mencium tangan...Alhamdulillah, setiap minggu aku akan melakukan rutin tersebut.

Amalan dahulukala di kalangan pelajar dalam menuntut ilmu bersama Ulama' yang mereka sayangi juga untuk mendapat keberkatan, kami akan berkongsi meminum lebihan air yang diminum oleh Allahyarham. Lebihan air tersebut akan ditambah sebelum habis untuk kami semua mendapat bahagiannya. Alhamdulillah...rutin itu juga tidak pernah kulepaskan. Serasa lebihan air tersebut meresap masuk menjadi sebati dalam diri ini untuk kusambung perjuangan Allahyarham dalam memartabatkan Islam.

'Melepasi Ujian Dunia' bertarikh 21 April 2013 merupakan catatanku tentang ujian Allah terhadap Allahyarham yang beliau kongsikan kepada kami. Aku sangat terkesan dengan kisah tersebut dan kujadikan ia sebagai landasan untuk aku berpada-pada dengan dunia yang sementara ini.

Semoga roh Allahyarham tenang dan abadi bersama para solehin dalam menuju kepadaNYA. Insyaallah kami anak-anak muridmu akan meneruskan perjuangan Allahyarham. Pengajian di Darussyifa' akan selamanya menjadi pendorong untuk kami memanjangkan ilmu Allahyarham.

Al Fatihah...


Saturday, 17 September 2016

Impak Berjimat

Islam amat menitik-beratkan langkah berjimat cermat dan bersederhana sehingga perbuatan membazir dikategorikan sebagai bersahabat dengan syaitan.

Berjimat tidak hanya menjurus kepada wang ringgit dan harta-benda malah ia merangkumi keseluruhan kehidupan manusia.

Diberi contoh...tidak mengambil makanan yang banyak di dalam pinggan agar makanan yang tidak habis tidak dibuang begitu sahaja. Malah sehingga ke tahap Islam menggalakkan kita menjilat jari demi memastikan tiada bersisa makanan yang tertinggal.

Berjimat menggunakan air dalam mengambil wuduk juga mandi hadas apatah lagi mandi seharian.

Berjimat menggunakan letrik di rumah mahupun di mana jua seperti di surau dan pejabat.

Tahukah kita apa hikmah di sebalik amalan berjimat? Selain dari menghindar dari menjadi kawan rapat syaitan, berjimat bakal memberi impak yang besar di dalam kehidupan kita.

Tanpa sedar, mengambil wuduk dengan penggunaan air yang sangat minimum...Allah akan gantikan berliter-liter air yang telah dijimatkan itu dengan mengalir pelbagai idea dan pendapat dalam penyelesaian masalah di rumah mahupun di tempat kerja.

Di luar jangkaan, dengan mengambil nasi dan lauk secukupnya sahaja tanpa tertinggal walau sebutir nasipun...Allah akan gantikan makanan yang telah dijimatkan tersebut dengan limpahan rezeki yang tak putus-putus.

Tidak terfikir dengan penjimatan elektrik yang diamalkan setiap hari, Allah akan terangkan hati kita untuk menyerap ilmu sebanyak mungkin.

Itulah rahsianya!!!



Monday, 5 September 2016

Prinsip, Hukum dan Simpati

Isu tudung bukan baru. Ingat tak diawal tahun 80an dahulu, sewaktu wanita muslimah mula berjinak-jinak dengan tudung...mereka dimomokkan dengan 'hantu kumkum'. Tudung dikaitkan dengan sesuatu yang menakutkan. Masyarakat tidak menggalak malah menakut-nakutkan bahawa wanita yang memakai tudung adalah jelmaan hantu.

Era 90an timbul sinar baharu dalam pemakaian tudung. Fenomena pemakaian tudung merebak luas ke jabatan kerajaan, sekolah, sektor swasta juga di sektor perindustrian.

Alaf siber merancak gemilangkan lagi keterujaan wanita Muslim untuk memakai tudung. Pelbagai fesyen wujud sehingga merebak kepada nama-nama artis yang dijenamakan kepada nama tudung. Penglibatan artis dalam pemakaian tudung sudah lumrah dan menjadi 'trend'. Tudung dilabuhkan ke paras dada menambah standard syariat..Alhamdulillah.

Terkini timbul pula isu baru...meninggalkan pemakaian tudung demi prinsip dan mengelak hipokrit (rujuk Uqasha Senrose).

Oohhh...aku mahu terus menjurus kepada permasalahan sebenar iaitu ketidakfahaman kita tentang hukum. Syari'atullah tidak boleh dipertembungkan dengan prinsip hidup walau apapun alasannya. Hukum bukan barang mainan yang boleh diamal dan ditinggal sesuka hati. Meninggalkannya berdosa dan mengamalkannya dianugerah pahala. 

Begitu berkuasa 'prinsip hidup' seseorang sehingga bisa mengkesampingkan hukum begitu sahaja. Betul..ini masalah individu yang ditanggung oleh yang empunya diri. Tetapi aku lebih melihat kepada perilaku artis yang begitu berpengaruh dalam mencorak kehidupan remaja dan idola mereka. Jika tidak dibendung, tidak mustahil timbul fenomena baru meninggalkan pemakaian tudung begitu sahaja atau 'kejap pakai, kejap buka'.

Para asatizah, ilmuan, 'academician' perlu memain peranan di dalam memperjelaskan lagi hukum- hakam menurut syari'at Islam. Wujudkan forum-forum, banyakkan lagi siaran-siaran keagamaan di media massa, ramaikan lagi jemputan-jemputan Ustaz dan Ustazah di radio popular Malaysia.

Netizen dan para peminat pula tidak boleh sewenangnya menghukum, meletak salah, menghina dan mencerca...ini bukan ajaran Islam. Serlahkan rasa kasih sayang, kasihan dan simpati kepada mereka yang alpa. Doakan mereka yang jahil untuk kembali ke jalan yang diredhai.

Bagi mereka yang terlajak mencerca, rujuklah Hadis sahih yang berbunyi 'tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri'. Selagi mereka mengakui Allah itu Satu dan Nabi Muhammad itu pesuruhNYA, menjadi kewajipan dan tanggungjawab kita untuk menyelamatkan iman dan pemahaman mereka terhadap agama syumul ini.

Wallahua'lam.



Friday, 19 August 2016

Kuku Mak Dah Panjang

Hari itu aku bercuti semata-mata untuk kuluangkan waktu bersama mak. Suasananya berlainan bila balik sekeluarga berbanding berseorangan. Mak selesa bercerita bila tiada orang lain di sekitar.

Sebelum balik mak minta tolong bersihkan kawasan sampah di belakang rumah. Mak suruh aku ambil rambutan dan langsat di pokok...dah banyak yang masak ranum.

Bajet waktu yang kuletakkan hanya di sekitar jam 3 petang untuk urusan ke bank dan takut jalan sesak. Tetapi tak mampu kutolak permintaan mak. Selagi mak masih hidup dan perlukan sesuatu, selagi itulah aku akan turuti segala permintaan mak.

Urusan bank? Biarlah...ada hari lain. Jalan sesak? Tak apa...aku akan banyak bersabar.

Jam sudah menganjak ke pukul 6.30 petang. Sebelum balik, aku periksa kuku mak...dah agak panjang.

"Macamana mak potong kuku?" Soalku.

"Main rasa-rasa je la", jawab mak.

Mata mak memang dah agak kabur. Dah buat pembedahan kecil membuang selaput mata tapi keadaan tak banyak berubah...sebab mak ada diabetis.

"Meh gg potongkan kuku mak ye".

"Boleh jugak", spontan mak bangun nak ambil pengetip kuku.

"Takpe mak...ni ada ni gg bawak".

Memang niatku untuk potong kuku mak hari ini. Sejak mak mengadu mata dah kabur. Kesian aku bayangkan mak teraba-raba kuku...salah ketip takut berdarah terketip kulit.

Puas...hatiku puas dapat berbakti pada mak. Tak seberapa bantuan itu tetapi cukup menghiburkan hati mak yang kesunyian sejak arwah tiada.

Aura mak kubawa bersama...



Saturday, 13 August 2016

Cantik, Harta dan Akhlak

Ermmm..siapa tak nak jadi cantik. Orang cantik ramai peminat, selalu dapat pujian, wajah mereka terpampang di majalah, billboard dan media massa.

Ermmm..siapa tak nak jadi kaya. Orang kaya akan dihormati, boleh dapat apa sahaja, boleh pergi ke mana sahaja, boleh bantu siapa sahaja.

Ermmm..siapa tak nak akhlak yang baik. Orang berakhlak ramai kawan, tiada musuh, rasa mesra dan disukai ramai, tak menyusahkan orang, selalu tersenyum, tak lokek nak belanja kawan-kawan, suka membantu, banyak beralah, tak hipokrit.

Wajah cantik...kulit akan mula kendur dimamah usia, hilang seri hilang kecantikan. Matinya bersama kain kapan, isi badan dimakan ulat tinggal tengkorak dan tulang belulang.

Harta banyak...tidak bermanfaat bila kesihatan ditarik. Duit mula susut untuk kos rawatan diri. Anak-anak mula berebut harta sedang diri semakin tenat. Harta banyak tak boleh bawa mati...hanya untuk waris-waris yang ditinggal.

Akhlak...walau diri semakin lanjut usia namun tetap disayangi dan dihormati lantaran banyak budi dan jasanya. Walau tidak berharta, tetapi kata-katanya banyak mengubah hidup seseorang. Namanya harum dan kekal dalam ingatan masyarakat walau telah bersemadi di pusara.

Diri tak cantik tetapi diserikan dengan akhlak yang baik.

Harta tiada tetapi kaya dengan budi, jasa bersama keikhlasan yang tinggi.

Mana satu yang kau pilih...


Sunday, 7 August 2016

Kaki Siapa Tu?

Peribadi anak-anak adalah terjemahan dari didikan ibu bapa di rumah. Jika ibu bapa merupakan seorang yang prihatin dan amat menitik-beratkan disiplin dan tingkah laku, sedari kecil lagi anak-anak akan dilatih dan diberi tunjuk ajar juga ditegur bilamana sesuatu yang tidak menyenangkan berlaku di hadapan mata.

Begitu juga di sebaliknya, jika ibu bapa dari kalangan yang tidak kisah dan tidak memberati sikap dan kelakuan anak-anak, bebas sebebas-bebasnya lah anak-anak bersama perilaku yang tidak keruan.

Berlaku di sebuah pusat servis kereta, seorang bapa bersama dua orang anak berumur di sekitar 1 dan 3 tahun. Bising dengan suara anak-anak bukan menjadi masalah, dah namanya kanak-kanak..pasti ada sahaja yang dimain dan digaduhkan sesama mereka. Aku terus leka membaca.

Kelekaanku terganggu dengan sepasang kaki tiba-tiba dihalakan ke belakang..menghadap mukaku. Owwhhh..orang tua dulu-dulu amat menjadi kepantangan mereka apabila kaki dihalakan ke muka, kaki memijak bantal, kaki diletak atas meja...tak manis atau kurang ajar, kata mereka.

Ayahnya tidak perasan barangkali tetapi bagiku sekiranya anak-anak telah dididik seawal dari rumah, pasti kelakuan tersebut tidak diterjemah walau di mana anak-anak berada. 

Entahlah...


Friday, 5 August 2016

Kisah Lima Beranak

Di sebuah restoran, aku bersama isteri menikmati makan malam. Hendak memasak, tak berbaloi kata isteriku..hanya berdua. Sudahnya banyak lauk yang terbuang begitu sahaja.

Sedang kami leka berbual, masuklah satu keluarga bersama tiga orang anak kecil. Dua darinya berumur sekitar 3 dan 4 tahun, seorang lagi mungkin 10 bulan yang diletakkan di kerusi khas untuk bayi.

Seusai memesan makanan, si ayah dan ibu leka menunduk kepala menghadap telefon bimbit sedang anak-anak mereka bermain sesama sendiri. Situasi tersebut kekal berlaku sehingga makanan dihidangkan.

Owhh...nilai hidup manusia sudah banyak berubah dan banyak pula kemelutnya. Suami tidak lagi berbual bersama isteri..ayah terlupa mengawal perilaku anak-anak..isteri lebih mendahulukan rakan taulan di alam maya dari bercerita dengan suami di hadapan mata..ibu pula tidak lagi betah berkomunikasi dengan anak-anak.

Ya...kelekaan mereka dalam mewarnai kehidupan serba canggih bakal terjawab apabila anak-anak semakin membesar. Mereka terlupa bahawa mereka sedang mendidik anak-anak dengan situasi serba bisu. Mereka mengajar anak-anak untuk sentiasa 'update' status di sepanjang waktu tanpa mempeduli keluarga di sisi. Mereka menanam rasa 'keakuan dan privasi' diri walau dalam kelompok kekeluargaan!

Dan...tidak perlulah melatah dan memarahi anak-anak apabila situasi sama berlaku 10 tahun akan datang kerana...didikan 10 tahun yang lalu telah diserap masuk sepenuhnya oleh anak-anak dan diguna pakai oleh mereka di sepanjang kehidupan berkeluarga.

Lakonan manusia menatijahkan muhasabah diri...