Sabar memang mudah diungkap apatah bagi sesiapa yang menasihati yang lain. Cuba perhati tonasi 'cliche' di bawah...
"Sabarlah Man, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku".
"Sabar tu kan sebahagian dari iman, tak payahlah kau nak besar-besarkan perkara tu".
"Harap kau sabar ye, dia tu memang macam tu...mulut cakap lepas je".
Senang bicara tetapi tidak mudah untuk dipraktik. Dikategorikan sebagai sabar bila kita tidak bertindak seawal dugaan mendatang.
Contoh diberi...
1. Apabila diri diserang oleh seseorang dengan kata-kata yang menyakitkan hati dan berdesing telinga mendengarnya...lantas dia membalas kata-kata tersebut dengan beremosi sebelum beredar. Hari-hari seterusnya dia mendiamkan diri dan bersabar.
2. Apabila diri diserang oleh seseorang dengan kata-kata yang menyakitkan hati dan berdesing telinga mendengarnya...diri tetap tenang menjawab dan banyak berdiam menyerap segalanya.
Contoh 2 adalah sabar yang dimaksudkan manakala contoh 1 tidak lagi layak digelar sabar.
Bukanlah sabar namanya jika diletak batas dan kekangan untuk melaksanakannya. Sabar tiada had, tanpa limit, melangkaui sempadan!
Terlalu banyak hikmah yang mahu diungkap bagi seseorang yang penyabar...
1. Diri terpelihara dari dibenci manusia
2. Mengelak dari sebarang sengketa
3. Dicintai penduduk langit
4. Diri lebih dihormati
5. Ukhuwah sesama manusia lebih terpelihara
6. Menjernih jiwa dan akal untuk bertindak matang
7. Tidak pernah menyesal kerana segala tindakannya berada dalam kawalan minda yang sihat
8. Jiwanya tenang walau sering diuji
9. Dibuka jalan-jalan kebaikan yang lain
10. Diredhai Allah dan disenangi manusia
Bersabarlah dengan kerenah manusia kerana mereka tetap berada di persekitaran kita di setiap waktu, saat dan ketika. Banyak karat dan keladak yang bersarang dalam diri mereka yang 'vokal' tonasinya.
Contohilah sifat Rasulullah SAW, Baginda lebih banyak bersabar dan beralah apabila sesuatu perkara itu membabitkan kepentingan dirinya tetapi amat tegas jika kepentingan syariat dilanggar.
Bagaimana dengan kita?
Di dalam siri latihan yang disampaikan, sering aku memulai kata-kata dengan menyaran peserta untuk meninggalkan segala ilmu yang dimiliki di luar bilik latihan. Jangan dibawa masuk lantaran ia bakal membantut ilmu-ilmu lain untuk diserap masuk.
Ya...tidak dinafi ramai peserta berniat untuk menambah ilmu di dada. Tetapi keegoan ilmu-ilmu yang dimiliki seolah menghalang ilmu lain untuk mengiringinya.
Tanpa sedar, dia asyik bertanya soalan-soalan yang mencabar kredibiliti tenaga pengajar...seperti mempertikaikannya.
Dia mula bermain-main dengan gajet di tangan. Dibalas entri 'whatsapp' tanpa menghirau apa yang diajar.
Dia pula yang sibuk menambah penerangan yang kononnya tidak dijelaskan dengan berkesan oleh tenaga pengajar.
Itulah di antara 'simptom-simptom' yang wujud bagi sesesorang yang bangga dengan ilmu yang dimiliki.
Sebuah cerita mengisahkan seorang pemuda yang ingin menuntut ilmu dari seorang Mahaguru yang bertapa di atas gunung. Dengan segala susah payah yang ditempuh untuk sampai ke puncak gunung, akhirnya pemuda tersebut selamat tiba lantas mengadap Mahaguru tersebut.
Mahaguru bertanya "apa tujuan kamu berjumpa denganku".
"Aku banyak mendengar cerita tentang Mahaguru yang memiliki ilmu hebat lantas aku ingin menuntut dan menjadi anak muridmu", jawab pemuda dengan penuh yakin.
"Ilmu apa yang kau miliki di waktu ini wahai anak muda", balas Mahaguru untuk menduga.
"Aku mempunyai ilmu pertahanan diri yang baik, ilmu membaca gerak-geri musuh, ilmu mantik, ilmu magis, ilmu menunduk musuh dan ilmu membaca minda manusia. Cuma ilmu tasawuf sahaja yang belum aku miliki. Lantas itu tujuan aku bersusah-payah mendaki gunung untuk menjadi anak murid Mahaguru".
"Jika itu keadaannya, elok kau balik sahaja!", Mahaguru tegas menjawab.
"Mahaguru...mengapa? Aku hanya ingin menjadi anak muridmu", pemuda tersebut berasa hairan dengan penolakan Mahaguru terhadap dirinya.
"Wahai anak muda, aku tidak menghalang niatmu untuk menuntut ilmu dariku tetapi kehebatan ilmu yang kau bawa bersama itu yang sebenarnya menghalang dirimu untuk menyerap ilmu tasawuf ini. Jika benar niatmu untuk berguru denganku, kau tinggalkan sahaja ilmu-ilmu hebat tersebut di kaki gunung. Datanglah kepadaku dengan dada yang kosong agar terbit rasa rendah diri dan hilang rasa sombong di hatimu".
Ermmmm...cerita tersebut sering ku analogikan sebelum aku meneruskan latihan...itulah tertib dan adab dalam menuntut ilmu. Ya..biar kita yang berada di bawah kaki air terjun menadah air yang datangnya dari puncak gunung. Meletak martabat tinggi kepada guru lebih menjernihkan ilmu untuk diserap masuk dengan lancar.
"Okey boleh kita mulakan modul sekarang?", tinggi nada suaraku dalam mengejutkan minda mereka yang dibuai cerita analogi.
Viral!!! Siapa yang tidak kenal dengan patah dua suku kata perkataan tersebut. Diambil dari kata terbit 'virus', jangkitan virus boleh merebak berkali ganda mahunya jika tidak diambil langkah pencegahan awal. Virus datangnya dari bakteria yang wujud di persekitaran. Terdapat bakteria yang boleh memudaratkan juga bakteria baik yang bisa melawan bakteria pembawa penyakit.
Dewasa ini, perkataan 'viral' diadaptasi ke alam siber bagi menunjukkan entri-entri yang mendapat sambutan hangat dari pelayar-pelayar siber. Ribuan 'like' dan komen mencerminkan betapa sesuatu isu itu telah menjadi viral. Seperti bakteria, apa yang diviralkan boleh jadi perkara yang baik mahupun di sebaliknya.
Di mana-mana sahaja, manusia menjadi lebih berhati-hati lantaran takut gerak-geri mereka dirakam dan dihantar kepada 'viral troop' untuk dimangsai.
Diberi contoh viral seperti berlaku pertengkaran akibat kemalangan kecil, pembuli di jalanraya, seorang ayah tunggal menaiki motor kapcai bersama tiga orang anak dari Sepang ke Pulau Pinang untuk berhari raya di kampung dan pelbagai isu-isu lain.
Tetapi sedarkah bahawa kita sebenarnya sedang menjadi mangsa syarikat telekomunikasi yang bertunjangkan keuntungan duniawi.
'Viral Troop' merupakan askar upahan mereka untuk mensensasikan sesuatu isu. Isu-isu yang menarik perhatian masyarakat akan mengundang mereka untuk meletak komen berkenaan pandangan, pendapat dan kupasan. Kekadang komen seseorang itu pula dikomen oleh pelayar siber yang lain dan berlaku perdebatan hangat...disambut pula ribuan pelayar lain untuk mengambil bahagian...komen atas komen!
Haaaa...nampak tak? Pelayar siber akan kehabisan data 3G di atas berkobar-kobarnya semangat mereka mengeluarkan pandangan atas sesuatu isu. Akan lakulah kad 'top up' RM5, RM10, RM20...nampak tak?
Apa berlaku jika tiada isu hangat? Lembab dan merudumlah pembelian kad 'top up' syarikat telekomuikasi. Provokasi askar upahan 'Viral Trooper' menatijahkan keuntungan berganda syarikat-syarikat tersebut.
Ermmmm kita pula? Kita semakin miskin dan jauh dari perkara-perkara yang patut diberi perhatian. Di mana bacaan al Quran? Di mana solat-solat sunat penambah pahala? Di mana solat berjemaah bersama keluarga? Di mana komunikasi sesama keluarga? Entah ke mana semuanya kerana kita semakin disibukkan oleh pandangan dan komen-komen di alam siber!
Yang jauh dan bersifat maya semakin merapati diri...tetapi ahli keluarga di sisi semakin jauh tersisih...errmmmm.
Kitalah yang sebenarnya dijangkiti virus!
Sudah menjadi suatu yang rasmi di hari ulangtahun kelahiran Yang Dipertuan Agung mahupun Sultan di negeri-negeri, anugerah pangkat akan dikurnia kepada mereka yang berjasa kepada masyarakat. Tidak kiralah apa bidang sekalipun, nama-nama akan disenarai pendek untuk diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan mahupun di jajahan negeri.
Menjadi satu kebanggaan kepada mereka yang dianugerahi pingat dari pihak istana. Majlis berlangsung di dalam istana penuh protokol, diwar-warkan pula ke seluruh negara melalui media elektronik dan akhbar. Bertuah badan...diri pula akan digelar Datuk, Datin, Tan Sri, Puan Sri.
Hebat anugerah dunia ye...
Sedarkah kita bahawa wujudnya anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih? Jika sedar mengapa liat benar bagi kita untuk merebutnya? Errmmm...kerana kita tidak diraikan di dalam majlis penuh protokol agaknya..atau tiada pangkat untuk dianugerah yang boleh menjadi kebanggaan.
Pangkat anugerah Allah tidak memihak kepada mereka yang bergelar Ustaz, Tuan Haji mahupun Ulamak kerana indikatornya adalah takwa. Yang nyata, mereka yang walau tiada 'title' di kalangan makhluk, bisa diangkat darjat di sisiNYA. Hidup tidak 'glamour' tetapi penuh barakah. Kelibatnya tidak diendah manusia tetapi auranya sangat kuat menyebar kebaikan tanpa hipokrasi.
Anugerah pangkat dunia membuat kita tercari-cari penghormatan makhluk, meraba-raba promosi diri, menarik-narik perhatian dunia sehingga tidak satupun perbuatan kita yang boleh dinamai sebagai 'ikhlas'.
Amat berbeza dengan anugerah dari langit...ditutup-tutup segala kebaikan semampu boleh untuk menyapa ikhlas, ditepis-tepis segala pujian makhluk atas sedar bahawa pujian hanya untukNYA, tidak mengemis hormat makhluk lantaran yang tertera di mata hanya redhaNYA di atas segala kebaikan yang dilakukan.
Tidak salah menerima anugerah dan pangkat dunia di atas jasa dan sumbangan yang diberi...hanya yang salah apabila kita lupa bahawa itu jua satu ujian yang bisa merobek ikhlas makhluk kepadaNYA.
Justeru, gapailah apa jua gelaran dunia terjemahan pengiktirafan makhluk kepada kita dengan amat berhati-hati kerana tanpa sedar, syaitan mula mengatur strategi dengan senjata angkuh, sombong dan berbunga hati bersama pujian makhluk.
Ingat...mati kita...mati jualah semua gelaran tersebut. Hanya yang hidup adalah gelaran HAMBA yang harus menghadap TUANNYA untuk sebuah penentuan!
Sedang hangat sekarang ini isu Wahabi yang diutarakan oleh Ustaz Zamihan, pegawai agama KDN. Beliau melabel Ustaz Zahazan sebagai 'Ustaz anjing', beliau menggunapakai perkataan 'bodoh' untuk ustaz-ustaz yang tidak sealiran dengannya. Merendah-rendahkan pendidikan ilmuan yang lain.
Beliau mencabar untuk berdebat dengan Mufti Perlis Dr Asri berkenaan isu Wahabi (tidak meminta pandangan IGP). Mencabar secara terbuka tetapi meminta debat diadakan secara tertutup (atas alasan boleh memecah-belahkan umat Islam..nasihat dari IGP). Tidakkah beliau sedar bahawa kecaman-kecaman yang beliau lakukan di dalam siri-siri ceramah itu sebenarnya boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam.
Sempat aku tonton beberapa siri ceramah beliau di You Tube. Nyata...tahap paling asas untuk beliau bergelar Ustaz sudah dikira gagal!!!
Mempamer kerendahan akhlak dengan perkataan-perkataan yang tidak sewajarnya. Menggelar itu dan ini kepada yang tidak memihak kepadanya. Mendabik dada dengan ilmu-ilmu yang dimiliki.
Riak mukanya sahaja sudah amat menjengkilkan...tiada aura positif. Aaahhhh...bersangatan aku tidak berkenan!!!
Cadanganku untuk beliau beruzlah bagi membetulkan akhlak dan sahsiah agar imej Islam tidak tercemar dek kelantangan dan keceluparan lidah yang tidak bertulang.
Kalian tontonlah siri ceramah beliau dan buatlah penilaian sendiri terutama kompilasi video bertajuk 'Adakah akhlak Ustaz Zamihan harus dicontohi'.
Eerrrhhmmmm...
Perjuangan bermula seawal nama tersenarai di dalam kelompok 43 personaliti melalui tapisan kualiti dan sahsiah. Ia menjurus kepada kehadiran awal dan ketepatan masa, disiplin, juga prestasi kerja yang cemerlang.
Tahap kedua menyusul bersama 'ujian minda' yang terbahagi kepada 3 kategori iaitu personaliti, ujian IQ dan pengetahuan tentang syarikat. Bersama tahap ini, kelompok 43 telah terserpih meninggalkan 13 personaliti yang gagal meneruskan perjuangan.
Tekanan terus menghambat 30 personaliti melalui tahap ketiga. Tahap ini memerlukan bakat dalam membuat pembentangan kertas kerja selama 15 minit bersama soal jawab. Bagi mereka yang biasa bergelumang dengan kertas kerja..pasti tiada masalah. Tampak 5 personaliti gagal meyakinkan panel...tersingkir.
25 personaliti sudah ke tahap semi final. Hanya selangkah sahaja untuk bergelar 'Top 20 Talent Management'. Sebelum 'dikampungkan' selama dua hari satu malam, ujian 'profiling' mengambil tempat. Tiada betul tiada salah...hanya untuk mengkategorikan mereka yang hampir kepada IQ pengurusan.
Hari pertama - 'Finale' tiba. Sesampai di lokasi pada jam 9 pagi, pembahagian 5 kumpulan bermula bersama projek untuk diselesaikan. Konsultan bekerja keras membantu para 'finalist' dalam memberi 'tools' dan teknik. Persembahan berkumpulan dalam pelaksanaan projek harus dilakukan keesokan pagi di hadapan panel termasuk CEO.
Tinggalkan sebentar bilik latihan, jam 5 petang personaliti didesak untuk aktiviti 'outdoor' berkonsep realiti tv 'Survival'. Menarik tetapi agak mencabar terutama dalam acara renang ke seberang lagun. Membuat anyaman tikar dari daun kelapa untuk 'clue' seterusnya. Menyumpit belon juga agak memeritkan kerana angin pantai yang melayangkan sumpitan keluar dari sasaran. Berakhir dengan melastik botol mineral dalam jarak 25 meter. Juara berkumpulan dicanang.
Malam seusai BBQ, finalis dikerah untuk membuat pembentangan modul bebas secara solo. Bukan kandungan modul yang dititiberatkan tetapi lebih kepada cara penyampaian dan kualiti persembahan. Soalan dari panel turut diaju bagi melihat kredibiliti peserta dalam menjawab.
Tamat sesi pembentangan dan berlaku pra penyingkiran peringkat kumpulan di sekitar jam 1 pagi. 5 personaliti yang disingkir oleh ahli kumpulan sendiri melalui undi rahsia, harus bekerja keras untuk mendapat lebihan markah agar tidak berada di 'bottom 5'. Tamat sesi pra penyingkiran, berkampung pula di bilik latihan untuk menyiapkan kertas kerja projek yang harus dibentang keesokan pagi di hadapan CEO. Jam menginjak ke 3 pagi.
0900 hari kedua - Hari keramat yang dinanti tiba. Pembentangan kertas kerja secara berkumpulan menjadi penentu. Prestasi diukur melalui pembentangan yang meyakinkan.
Akhirnya...perjuangan 5 personaliti ditamatkan, hanya 20 yang diterima untuk bergelar...
'TOP 20 TALENT MANAGEMENT'
Program dirancang sedemikian rupa...memerah idea, berhadapan panel yang mempersoal idea yang dicurah, dikerah tenaga bersama konsep 'survival', diempang waktu tidur menjadi hanya 3 jam!
Syabas buat warga kerja yang telah berjaya mendepani dan mengatasi pelbagai halangan yang sengaja dicipta...segalanya bertujuan melihat ketahanan rohani, mental dan fizikal...bagi persediaan untuk menghadapi skrip di alam realiti pekerjaan!