Translate

Saturday, 30 August 2014

Merdeka Yang Terbelenggu

Detik 12 malam 31 Ogos ditunggu setiap tahun untuk laungan merdeka. Sebelumnya akan terpamerlah konsert-konsert hiburan di Dataran Merdeka bagi menarik masyarakat untuk melaungkan semangat MERDEKA. 

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!!! Habis laungan itu, bersurailah mereka untuk kembali ke rumah masing-masing. Esoknya timbul lagi kemeriahan perarakan dan lintasan jet-jet tentera di ruang udara Malaysia tercinta.

Sejauh mana mereka menghayati erti kemerdekaan terutamanya bagi belia remaja? Apa yang mereka perolehi dengan adanya konsert dan laungan merdeka? 

Kenalkah mereka dengan pejuang-pejuang kemerdekaan yang menempuh getir mempertahankan Tanah Melayu dari penjajahan berterusan seperti Pak Sako, Burhanudin Helmi dan Rahim Kajai? Mereka ini menggunakan mata pena untuk menaikkan semangat juang menentang penjajah. Di mana letak kecintaan kita kepada negara keramat ini?

Sebenarnya yang merdeka hanyalah tanah air yang bernama Malaysia. Yang merdeka adalah rakyatnya yang bebas berdikari tanpa campurtangan asing. Yang merdeka tentulah kerajaan kita berhak menentukan apa yang terbaik buat rakyatnya.

Rupanya apa yang kita dakwa 'merdeka' itu dibelenggu oleh anasir-anasir halus yang melenakan rakyatnya. Jiwa kita masih bersimpul mati mengharap makanan-makanan luar mendominasi usus dan perut. Mc Donald, KFC, Starbucks, Pizza Hut (sekadar menamakan sebahagian). Sehingga jika mahu diboikot atas alasan produk Israel, ia menjadi satu perdebatan tentang keharusannya.

Rupanya apa yang kita namakan 'merdeka' itu hanyalah retorik. Kecintaan kepada negara tidak total. Masih lagi rakyat kita mempersoalkan perkara yang telah termaktub di dalam kontrak sosial. Masih lagi mencemuh hal-hal keagamaan yang sensitif. Masih lagi ingin mengekalkan sekolah-sekolah yang berasaskan 'bangsa'.

Jiwa kita belum merdeka. Cara kita berpolitik meletakkan taraf kita tidak lebih dari orang gila yang tamak kuasa. Bangsa yang mempunyai Tuhan yang Satu dan beriman kepada agama yang syumul, masih tidak dapat menyatukan hati-hati mereka untuk bersatu. Bertelagah demi 'survival' politik sehingga sanggup bertemankan bangsa luar yang terkenal dengan sikap 'oppurtunist' nya.

Rupanya penjajah yang menghadiahkan kemerdekaan berjaya menjajah minda Melayu Islam dengan tinggalan undang-undang ketamadunan manusia yang dinamai sebagai 'Lord Reid'. Kita yang kononnya merdeka telah dibelenggu dengan jajahan undang-undang ini hingga ke tahap sanggup mempertikaikan syariat Allah.

Laungan merdeka semakin sayup-sayup kedengaran ditelan arus belenggu. Inikah yang dinamakan Merdeka? 

Friday, 29 August 2014

Oh...Itu Aku Rupanya

Aku selalu berbicara dengan diri sendiri...untukku benar-benar mengenali siapa aku. Percaya atau tidak, dalam usia 40an ini aku masih tercari-cari rentak bahawa 'siapa aku sebenarnya'. Jadi, aku menukar strategi. Aku perlu maklum balas dunia luar untuk mereka sendiri memberitahu siapa aku.

Untuk merealisasikan misi ini, aku memulakan dengan 'dasar buka pintu'. Aku perlu meluaskan lagi pergaulan atau bersosial dengan rakan dan taulan. Bukanlah bermakna aku ni kurang bergaul tetapi aku perlu berani bergaul dengan mereka yang tidak sependapat mahupun karektornya bertentangan dengan jiwa aku. 

Ermmm...nampak agak berhasil misi ini. Ada yang kata aku ni muka ketat. Betul ke? Pastinya mereka tak berbohong sebab mana boleh aku sentiasa nak tengok cermin bagi melihat wajah aku dalam pelbagai kondisi. Mereka memang nampak nyata muka aku. Errrrr...aku kena ubah laaaa. Lebihkan senyuman apalagi bila berhadapan dengan masalah atau dikala aku sedang tekun bekerja. Bekerja sambil tersenyum...boleh ke?

Aku juga cuba berjinak-jinak dengan trend 'reunion'. Bertemu kembali rakan-rakan lama di alam persekolahan. Sekali, dua kali, tiga kali...aahhhhh...nampak susah untuk aku teruskan bersosial cara begini. Nak tahu sebab apa? Aku mula rasa tak selesa sebab ramai rakan wanita berbanding lelaki. Aku pemalu ke? Ermmmm...entahlah. Kekadang aku ni riuh, kekadang aku boleh senyap menyepi..hehee. Yang nyata, aku seakan dipaksa-paksa untuk menyesuaikan diri dalam kelompok yang didominasi wanita.

Aplikasi yang paling terkenal adalah 'facebook' dan 'WhatsApp'. Aku tak mahu ketinggalan...aku buka akaun sendiri juga dijemput masuk ke dalam berbagai-bagai 'group'. Mulanya nampak 'ok' sebab banyak bahan dan pandangan yang boleh melebar luaskan minda aku. Tetapi lama-kelamaan aku mula rasa bosan. Sebab apa? Sebab dah semakin banyak bahan-bahan entri tersasar dari landasan. Banyak berita tak benar yang disebar, banyak gosip dan kata-kata kurang manis yang dihantar, banyak kisah-kisah promosi diri yang dimuat naik. Aduuuhhh...lama-kelamaan aku rasa semakin rimas untuk membaca bahan-bahan yang dihantar. Eerrmmm...perlahan-lahan aku berundur. Nak kata aku menyombong? Terpulanglah kepada interpretasi masing-masing...aku tak suka buat perkara yang aku tak suka.

Ohh...itu aku rupanya. Entah apa lagi yang aku tak tahu tentang diri aku. Perlukah aku mengubahnya? Errmmm untuk apa aku ingin mengubah kerana sememangnya aku tak mampu membohongi diri sendiri.

Ya...inilah aku!
  

Wednesday, 20 August 2014

Innalillah Buat Sahabatku

19 Ogos 2014, pagi itu aku dikejutkan dengan berita kematian seorang kakitangan syarikat. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital Seremban. Bekerja di 'shift' malam, pagi seusai waktu bekerja, beliau berehat sebentar. Dalam kaki melangkah menuju tandas, beliau terjatuh dan terus dibantu oleh kakitangan lain. Beliau masih sedar dan dibawa ke klinik berhampiran. Pihak klinik mengarahkan untuk membawa pesakit ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut. Di situlah takdir Allah terlaksana.

Sebenarnya Allahyarham menghidap sakit sedari muda dahulu. Sakitnya dikategorikan sebagai 'mental illness'. Hidup beliau bergantung kepada ubat penenang yang dibawa ke mana sahaja. Aku sendiri pernah dipanggilnya suatu ketika dahulu untuk meminta ubat 'panadol' (mungkin dia lupa untuk membawa bekalan ubat penenang). Walau demikian menurut cerita rakan-rakan sekerja, beliau merupakan seorang pekerja yang amat dedikasi terhadap tugasan yang diberi. Tidak pernah curi tulang dan sebelum pulang, beliau akan pastikan segala tugasan beres tanpa sebarang tinggalan baki untuk 'shift' seterusnya. Beliau tidak pernah berbual kosong dan melawak tak keruan. Tiada sebarang rekod buruk di sepanjang usia perkhidmatan beliau.

Hanya tinggal baki beberapa bulan sahaja lagi untuk beliau menghabiskan sisa-sisa perkhidmatan sebelum bersara. Dalam aku mengorek-ngorek cerita, beliau mempunyai keluarga dan anak-anak yang berjaya. Ada yang sedang menuntut di Universiti dan ada juga yang sudah bekerja di bidang profesional. 

Ini yang aku teruja. Sebagai pekerja operator biasa, gajinya mungkin tidak seberapa. Tetapi bagaimana beliau boleh mendidik anak-anak sehingga berjaya ke menara gading dan menjawat jawatan-jawatan profesional di pasaran kerja.

Jawapannya ada pada cara beliau bekerja...komited, tidak curi tulang dan sentiasa memastikan tugasan yang diberi dilaksanakan sebaik mungkin tanpa sebarang masalah. Bayaran gaji yang tidak seberapa itu diiringi 'berkat' sebenarnya. Gaji beliau jangan dinilai dengan 'angka', tetapi sebenarnya Allah sedang 'merangka' masa depan keluarga beliau!

Aku termenung sebentar untuk kuamati cara aku bekerja pula...errrmmmm.

Al fatihah buat Allahyarham Khairuddin Yahya.

Saturday, 16 August 2014

Berundur Jalan Terbaik

Dalam berhubung dan bersosial, banyak perkara yang terlepas dari kerlingan anak mata kita. Puas dijaga dan dikawal karektor dari segenap segi, masih kedapatan kelemahan-kelemahan yang tidak disengajakan berlaku. Betullah kata bijak pandai, "berkata-kata itu perak, diam itu emas".

Diam itu meletakkan kita di zon selamat walau dicap sebagai sombong.
Diam itu menghindar dari dosa walau diri seakan terasing dari kelompok ramai.
Diam berhujah walau di pihak benar, lebih bersifat takwa walau diri seakan tewas di gelanggang debat.

Lihat sahaja hikmah diam...

ibadah tanpa bersusah payah
kehebatan tanpa kerajaan
benteng tanpa pagar
menutupi segala aib

Itulah kelebihan berdiam diri. Tidak perlu bersusah payah dan tanpa modal, diam akan lebih menenangkan jiwa bagi merapati Pencipta. Diam juga merupakan salah satu cabang ilmu untuk proses 'muhasabah diri'. Bolehkah kita bermuhasabah diri dan merenung kelemahan-kelemahan yang ada jika kita terus-terusan bercakap? Kita hanya akan diam bila kita tidur. Selebihnya, kita bercakap tanpa henti!

Pernah aku menegur mereka yang mengirim isu-isu ke gelanggang 'chatting' tetapi kabur sumbernya. Bila kutanya, mereka mengatakan berita itu diambil dari 'group' lain dan disebar untuk peringatan. Jadi, hanya aku nasihatkan untuk tidak lagi mereka menyebar berita-berita yang entah dari mana datangnya. Ditakuti menempah dosa.

Oh..tindakanku ada impaknya. Aku terperasan yang 'group' tersebut seolah hilang ceria tanpa kiriman-kiriman berita panas dan sensasi. Aku menganalisa sendiri...rupa-rupanya kewujudan laman-laman 'chat' hanyalah untuk mereka yang ceria mengirim berita yang boleh menggemparkan ahli-ahlinya.

Jika akulah puncanya mereka hilang ceria, aku rela berundur. Ya, aku rela berundur untuk memberi laluan letupan bom dan mortar yang 'gempak' mengambil posisi agar keceriaan mereka berterusan. Biarlah aku hanya berkarya bisu menggunakan 'platform' aku sendiri tanpa sebarang komen luar. Aku tak memaksa mereka membaca...kerana...

aku menulis bukan kerna nama
kerna sifat kasih pada sesama insan
dan menyatakan kasih sayangku
kita sama semuanya sama
apa yang ada hanyalah kehidupan.


Friday, 15 August 2014

Dakwah Cara Sendiri

Berdakwah tidak bermakna perlu memakai jubah dan berserban.
Berdakwah bukan letaknya hanya di masjid dan surau.
Berdakwah tidak memerlukan seseorang untuk mencapai tahap agamawan.
Berdakwah bukan semestinya perlu membuka kitab sebagai rujukan.
Berdakwah tidak perlu menunggu mendapat tauliah pihak berkuasa.

Kekadang tanpa banyak bercakap, kita sudah menjalani proses menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Perbuatan, tingkah laku, sikap, perangai, pertuturan, memek muka, cara berpakaian, pendekatan berbual, topik perbualan...itu semua adalah 'bahasa badan' yang bisa menjadikan seseorang itu sebagai idola dan 'role model' mahupun di sebaliknya. Inilah 'method' dakwah yang amat berkesan dan mempunyai pengaruh yang besar untuk dijadikan panduan.

Cuba kita amat-amati diri...cerita apa yang kita sebarkan di laman-laman sosial. Adakah gosip? Bualan kosong? Lawak jenaka? Analisis peristiwa? Kupasan isu? Foto-foto terkini yang ketat dan sendat? Berapa peratus pula kiriman maya itu menjurus kepada kebaikan dan manfaat bersama? Apa sahaja saranan kepada kebaikan adalah satu usaha dakwah. Jadi gunalah peluang dunia yang bersifat 'borderless' ini untuk menyampaikan segala kebaikan.

Berdakwah tidak semesti kisahnya berkisar kepada cerita agama. Ia boleh berupa kupasan isu, perdebatan beserta hujah-hujah yang konstruktif dan sumbernya tepat, pandangan peribadi tentang isu-isu terkini, kisah-kisah sejarah dunia dan peradaban manusia, politik dan sahsiah, fesyen Islam kontemporari dan pelbagai lagi...asalkan ia dapat memberi faedah dan tidak menjatuh maruah juga peribadi yang lain.


Seseorang itu boleh dikenali peribadi melalui penulisannya kerana mustahil dia menulis sesuatu yang bukannya lahir dari hati sendiri. Jika bersih hatinya, ia dapat dibaca dari susun atur ayat yang dikarang. Dikarang kisah-kisah motivasi yang boleh dijadikan teladan, kupasan isu beserta rujukan-rujukan muktabar, tidak menjurus kepada gosip apalagi fitnah.

Begitu juga sebaliknya, kita boleh menelah jiwanya yang kacau dari apa yang terluah dari hasil penulisannya. Penuh dengan sangka-sangkaan, fitnah, gosip, tuduhan melulu, cerita tanpa fakta dan sesuka hati menyebar perkara yang belum diselidiki kebenarannya. Berhujah semborono tanpa ilmu.

Berdakwahlah menurut kapasiti masing-masing agar hasilnya dapat dituai di akhirat. Ingat...kita sahaja yang boleh mengakses akaun laman sosial peribadi. Apa sahaja yang kita coret akan kekal selamanya di situ jika akaun tersebut masih aktif. Habis hayat, hasil tangan kita masih di situ. Jika baik penulisannya...Alhamdulillah, pahala akan mengalir ke akaun kubur kita atas amalan mereka yang terkesan dengan apa yang kita sampaikan.

Tetapi apa kisahnya jika hanya kutukan dan gosip yang tersimpan selamanya di situ?

Wednesday, 13 August 2014

Che Det Tetap Bersuara

MAS sudah semakin berdarah. Melihat 10 tahun ke belakang menggambarkan betapa MAS bernyawa atas ikhsan kerajaan. Pengurusan yang silih berganti belum mampu meletak MAS kembali ke persada gemilang. Entah apa lagi yang perlu dibuat untuk mengekang malu MAS terhadap kemajuan Air Asia.

Situasi terkini, MAS sudah diambil alih sepenuhnya oleh Khazanah Nasional dan tidak lagi disenaraikan di Bursa Saham. MAS sudah diswastakan dan akan melalui penstrukturan semula secara besar-besaran.

Aku suka berkongsi pandangan Tun Dr Mahathir terhadap kemelut yang melanda pengangkutan penerbangan negara sekarang. Di dalam blog Tun Mahathir yang mempunyai 'tagline' BLOGGING TO UNBLOCK, beliau melontar pandangan dan kritikan yang agak pedas.

Menurut beliau, maksud penswastaan adalah kebebasan sesuatu entiti untuk menjalan dan menyusun atur perjalanan syarikat tanpa ada campurtangan kerajaan. Khazanah Nasional adalah syarikat berstatus GLC dan CEOnya melapor terus kepada Perdana Menteri. Ini bermakna arah tuju syarikat masih tertakluk sepenuhnya di bawah telunjuk kerajaan. Inikah yang dinamakan 'penswastaan' atau sebuah 'nasionalisasi'? Jadi apa bezanya dulu Khazanah Nasional memegang saham sebanyak 70% dan 100% sekarang? Tun Mahathir membayangkan dengan pegangan saham 100% pengaruh kerajaan akan menjadi semakin kukuh dan menyimpang dari objektif penswastaan.

Beliau juga menambah, selama ini kehilangan keuntungan MAS tidak dipantau secara serius oleh kerajaan. Tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan ke atas kelemahan-kelemahan yang berlaku di dalam pengurusan MAS. Mereka yang berpengaruh di dalam Khazanah Nasional pula didakwa mempunyai pendapatan yang lumayan, mendapat bonus dan elaun yang tinggi. Mereka kurang serius memikirkan kerugian yang ditanggung MAS.

Kesilapan pengurusan MAS yang melepaskan 70% saham kepada syarikat katering menambah parah situasi. Syarikat tersebut didakwa membuat keuntungan di atas kerugian MAS. Beliau menyarankan agar perjanjian kontrak yang panjang dikaji semula untuk membantu pelan pemulihan MAS.

Tun juga tidak menafikan beliau ada membuat kesilapan diwaktu era pemerintahannya. Disebabkan kesilapan-kesilapan tersebut beliau akur untuk berundur. Tetapi pemimpin yang ada sekarang amat liat untuk berbuat demikian walau sekian banyak kesilapan yang mereka lakukan.

Itu komen mereka yang berpengaruh yang natijahnya akan dapat dirasa dan dapat mempengaruhi landskap kepentingan negara.

Anda juga ingin menyuarakan pandangan? Silakan tetapi pastikan faktanya wujud bagi menyokong hujah yang diutarakan.

Selamat beranalisa...


Tuesday, 12 August 2014

Saya Tak Tahu!!!

Berapa ramai dari kita yang mampu mengatakan 'saya tak tahu' apabila mengupas satu-satu isu ataupun bila diaju persoalan. Bagi kita, perkataan tersebut lebih menjurus ke arah satu 'kebodohan' dan mencalar imej diri.

Jika itu yang kita rasa...nyata, kita hanya memperbodohkan diri sendiri dalam ego yang tersembunyi. 

Masih menyimpan rasa ego diri? Mari kita berfikir sejenak dengan melihat contoh di bawah...

Sewaktu Muhammad beruzlah di gua Hira', datang Malaikat Jibril memeluk erat Muhammad seraya menyeru...BACALAH sebanyak tiga kali. Muhammad menjawab "saya tak tahu". 

Memang itulah jawapan yang paling tepat dan jujur dari seorang al Amin kerana sememangnya dia buta huruf. Ulama' mentafsirkan peristiwa tersebut sebagai adab menuntut ilmu. Biasakan diri untuk mengatakan 'saya tak tahu' jika kita bukan pakar dalam sesuatu perkara. Biar mereka yang mahir mengupas isu-isu tersebut.

Contoh lain...

Seseorang yang merantau jauh membawa amanah penduduk kampungnya dengan persoalan-persoalan untuk diajukan kepada Ulama' terkemuka di waktu itu...Imam Hanafi. Pemuda tersebut dapat bertemu dengan Imam Hanafi setelah merantau berbulan-bulan umtuk sampai ke kota Kufah.

40 soalan diajukan kepada Imam Hanafi. Ulama' tersebut hanya menjawab tidak lebih dari 10 soalan. Yang lain beliau mengatakan 'saya tak tahu'!!! 

Beliau sedar bahawa jika beliau menjawab kesemua soalan untuk menjaga imej beliau sebagai seorang Ulama' terkemuka dan ternyata jawapan itu meragukan....penduduk kampung yang menerima jawapan itu lalu mengamalkan apa yang disaran, ditakuti membawa dosa kepada beliau kerana menyebabkan ramai orang mengikuti fatwa beliau yang salah.

Begitu teliti dan berhemah mereka yang tinggi ilmu. Ego dan imej dilontar jauh...hanya yang mereka harap redha Allah.

Bagaimana dengan kita? Masih malu untuk berkata 'saya tak tahu?'


Sunday, 10 August 2014

Bila Gajet Di Tangan

Dulu, rakaman foto dan video amat terbatas kemeriahannya. Hanya mereka yang mampu membeli kamera video boleh merakam senario sekitar untuk ditonton bersama ahli keluarga dan teman-teman rapat.

Rakaman gambar dan video pula lebih berfokus kepada aktiviti kekeluargaan dan percutian. Tak pernah di zaman 90an dan awal milenium rakaman video tersebar di media massa. Hanya rakaman-rakaman penting dan menarik sahaja yang mampu melepasi slot berita tv dan dokumentari.

Sekarang...rakaman gambar dan video boleh diakses oleh semua orang yang berakal dan sihat tubuh badan tetapi agak 'kurang cerdik'. Tidak timbul isu ketidakmampuan memiliki segala gajet yang mengandungi spesifikasi 'standard' gambar dan video. Rakaman boleh berlaku dalam setiap saat dan waktu.

Rakaman gambar dan video pula tidak terbatas kepada ahli keluarga dan kenalan. Konsep langit terbuka dan dunia tanpa sempadan digunapakai dalam mengaplikasi kecanggihan gajet yang tidak berakal.

Menambah buruk situasi, apabila wujud dajal laman-laman sosial bagi memberi laluan kepada segala peristiwa untuk dimuatnaik dalam waktu yang amat pantas.

Alhamdulillah jika rakaman yang dimuatnaik berupa peristiwa yang boleh diambil iktibar dan pengajaran. Tetapi apa yang berlaku sekarang, mereka tidak segan silu berkongsi kisah-kisah negatif lagi mengaibkan ke alam maya untuk diakses oleh makhluk dunia (mengambil contoh pesta bogel di Teluk Bahang). Amat keterlaluan rasanya perkongsian tersebut!

Masyarakat pula sudah tiada privasi menjalani kehidupan seharian. Bila berlaku sahaja senario yang menjengkelkan, jangan ingat ia akan berakhir disitu. Seseorang yang 'konon' nya prihatin akan meng'upload' kejadian untuk dikongsi banyak mata.

Polis trafik yang menahan kenderaan akan menjadi 'glamour' kerana rakaman sudah bermula dari dalam kenderaan tersebut. Bersoaljawab bagi mempertikaikan saman polis trafik dan menunjukkan bahawa mereka boleh mencabar undang-undang di mahkamah.

Mereka yang ditimpa musibah kemalangan akan dipopularkan oleh mereka yang mendakwa diri 'berakal'...merakam kejadian untuk perkongsian ramai. Akan terbitlah tonasi-tonasi simpati di laman sosial...kononnya...yang sebenarnya mereka tidak sedar telah melanggar privasi dan mengaibkan seseorang. (melainkan jika niatnya untuk mengutip sumbangan bagi meringankan beban mangsa).

Rakaman pertengkaran hangat antara guru dan Pengetua menjadi pilihan untuk dimuatnaik tanpa terbit rasa bersalah mengaibkan seseorang.

Rakaman ini semua diambil dengan melanggar privasi seseorang. Pastinya mereka mempersetankan amalan 'meminta kebenaran' terlebih dahulu sebelum merakam sebarang kejadian. Janji status 'wall' mereka mendapat ribuan 'like'.

Inilah nilai kehidupan di alaf milenium.

Hhmmmmm...hendak kulontar gajet ini, ia banyak memberi manfaat untuk aku mengikuti perkembangan semasa dan berkongsi pandangan.

Hendak kuboikot gajet ini, tidak lagi dapat kubaca al Quran walau di sudut mana aku jelajah dunia ini.

Hendak kulupakannya barang sebulan, maka sebulanlah nampaknya aku kekeringan bahan bacaan maya bagi mencerdaskan lagi pemikiranku.

Jadi...aku tekad untuk terus bersama gajet tetapi dengan bersyarat. Biarlah akal aku yang sihat ini yang mengawalnya tanpa memberi peluang kepada nafsu merajai hati...Insyaallah


Saturday, 2 August 2014

Bila Aku Mula Bercerita

Aku jarang berkongsi cerita. Jika mahu berceritapun, aku akan memilih pendengar yang secocok dan sabar mendengar...baru rasa berbaloi cerita yang aku luahkan.

Aku ingin bercerita. Tetapi kali ini aku akan menggunakan pendekatan penulisan. Aku tak perlu sesiapa untuk mendengar...hanya pembaca yang sudi melayari tulisanku. IQRA' Bacalah...

Baru-baru ini di hari raya pertama, aku dikunjungi saudara rapat bersama ibunya yang datang mengunjungi ibuku di kampung. Lumrah hari raya begitulah. Kereta Mercedes C200 model terkini yang agak 'sporty' meluru masuk ke perkarangan halaman rumah. Kelihatan kehidupan anaknya berciri mewah dan selesa. Jika mahu diimbas kronologi kehidupan lampau mereka, amat ketara dengan apa yang aku lihat sekarang.

Di meja makan sambil menjamu hidangan, aku galak mengorek-ngorek kisah hidupnya. Si ibu nampak segan silu untuk bercerita apalagi anak perempuannya...agaknya takut macam nak menunjuk-nunjuk kehidupan selesa yang dia nikmati sekarang. Tetapi bila dia nampak aku beriya-iya bertanya itu ini, mulalah dia meraikanku...berceritalah ibunya.

Inilah ceritanya...

Ibunya berkahwin muda dan amat taat kepada suami. Tidak bekerja lantas membantu suami dengan membuat kuih untuk ditumpang di gerai-gerai jualan juga mengambil upah memasak untuk hidangan orang-orang bujang yang membuat praktikal di Kementerian Kesihatan yang berdekatan. Wang hasil membuat kuih dan memasak lauk diguna untuk meringan beban suami.

Ibunya manusia biasa yang tentunya berkeinginan kepada segala macam kemudahan dan keselesaan. Dia ingin rumah besar berbanding rumah sekangkang kera untuk sebuah keluarga besar, kereta selesa juga wang saku untuk dia bebas membeli apa sahaja. Dia suka melihat saudara-mara dan jiran tetangga memiliki segala kemudahan tersebut tanpa sedikitpun wujud rasa dengki dan irihati. Tetapi jauh di sudut hatinya berharap agar Allah juga makbulkan doanya untuk memiliki seperti apa yang mereka miliki.

Tahun berganti tahun. Anak-anaknya ada yang menuntut di Universiti juga ada yang sudah bekerja. Mereka sekeluarga sama-sama membangunkan ekonomi keluarga dan mengelak dari meminta-minta dari saudara-mara.

Hasil berdikit-dikit menyimpan, si ayah dapat membeli sebidang tanah di kampung dan dibina sebuah rumah kecil bertujuan berehat-rehat di kampung bila tiba musim buah. Waktu berlalu, setelah rumah ditambah bilik dan dibesarkan sedikit saiznya, mereka membuat keputusan untuk terus menetap di rumah tersebut.

Alhamdulillah, rumah kecil tiang seribu itu sudah melalui 4 fasa pembesaran dan taraf rumah tersebut sudah menjadi sebuah banglo yang lengkap dengan peralatan dan berhawa dingin. Ada lagi lebihan duit, dibina sebuah surau bersambung dengan rumah mereka untuk anak cucu mudah bersolat bila ramai berkumpul di kampung.

Maha suci Allah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya dari jalan yang tidak disangka-sangka. Inilah yang berlaku kepada keluarga tersebut. Anak-anak mereka banyak menyumbang. Setiap bulan tak lupa menghulur wang dan dibawa kedua ibubapa untuk menunaikan umrah dan haji.

Takdir Allah datang menduga. Ayahnya ditimpa sakit...sakit yang memerlukan perhatian penuh keluarga. Ayah menghidapi sejenis ketumbuhan di dalam kepala dan membabitkan saraf-saraf otak yang mengakibatkan si ayah tidak tahu untuk menguruskan diri sendiri lagi.

Ujian sakit tersebut agak berat untuk ditanggung berseorangan oleh si ibu atas faktor usia dan tenaga yang semakin berkurangan. Anak-anak bersilih ganti mengambil giliran setiap minggu bagi mengendalikan si ayah.

Puas rasanya keluarga tersebut menjaga si ayah yang di akhir-akhir kehidupannya hanya terlantar di katil. Takdir Allah tiba jua...ayah dijemput pergi dalam tidurnya. Anak-anak tidak sempat untuk berada di samping ayah...mereka pasrah. 

Ya...ibu itu amat sabar dalam menjalani kehidupannya. Berbagai-bagai ujian ditempuh yang menjadikan dirinya idola bagi anak-anak dan cucu-cucunya. Dia sering bercerita kepada cucu-cucunya berkenaan kisah silam untuk dijadikan panduan dan iktibar.

Sekarang zaman menuai. Si ibu sudah habis tanggungjawabnya membesarkan anak-anak dan menjaga keperluan suami. Ibu itu sekarang banyak berehat dan beramal. Duit pencen suami ditambah dengan pemberian anak-anak setiap bulan menjadikan dirinya seorang penderma kepada yang memerlukan.

Ibu itu sudah dapat merasa kesemua yang diidamkannya dahulu. Tiada apa lagi yang dimahukannya lagi. Sekarang giliran untuk dia banyak memberi...dia mampu.

Itu cerita ibu. Yang paling rapat dengan si ibu adalah anak perempuannya. Inilah kisahnya...

Sejak dari mula berkeluarga sendiri, dia seakan tidak betah untuk berenggang dengan kedua ibubapa. Sering dipelawa kedua orang tuanya duduk bersama di hujung minggu. Kerap juga dibawa mereka berjalan-jalan. Dia menanggung perbelanjaan keduanya untuk menunaikan umrah dan haji. Pendek kata apa sahaja keperluan dan hajat keduanya, pasti ditunaikan...ya, memang dia mampu.

Diwaktu ayahnya sakit, dia dan suami tidak pernah mengelak untuk menyempurnakan tanggungjawab untuk menjaga ayah. Malahan dibawanya tinggal bersama beberapa hari bagi meringankan beban si ibu yang hampir 'stress' melayan kerenah suami yang seperti keanak-anakan lakunya. Memandi, menyiap, memberi makan...sehingga mencebuk berak ayahnya! 

Apa yang mengkagumkan, dia seorang anak yang berjaya di dalam kerjaya dan berkedudukan tinggi dalam syarikat begitu juga suaminya tetapi kejayaan hidup yang dikecapinya tidak mengubah perhatiannya terhadap orang tuanya. Aku kagum dalam diam.

Kini giliran dia diuji pula. Ditakdirkan suaminya yang sering 'outstation' mengalami masalah visa untuk kembali ke tanahair. Keadaan berlarutan sehingga lebih dari 6 bulan...ketiadaan suami merupakan ujian yang benar-benar mencabar ketahanan mentalnya. Hidupnya berendam airmata.

Dalam kemelut masalah, dia tetap mengambil peranan menjaga si ayah...tidak dilepaskan tanggungjawab itu sama sekali.

Alhamdulillah...selepas suaminya dibenarkan kembali ke Malaysia, mereka berdua berlepas ke tanah suci menunaikan fardhu Haji...mengucap syukur tidak terhingga.

Habis ceritanya.

Kereta Mercedes berjenama baru itu bergerak keluar dan hilang dari pandanganku selepas habis beraya. Kereta itu milik anak menantunya...berkat doa ibu.

Kisah keluarga itu mendominasi mindaku...aku terkesan. Kisah yang dimulai dengan penuh susah payah berakhir dengan warna gemilang. Kehidupan yang dinaungi berkat itu boleh dilihat dengan keluarga yang bahagia dan bersatu hati.

Dengar cerita, keluarga besar itu mengadakan Hari Keluarga pada setiap tahun. Hasil dari kesepakatan mengumpul duit seawal tahun. Cemburu aku mendengarnya.

Ya...damai dan harmoni milik keluarga itu. Apalagi kalau bukan doa seorang ibu yang makbul di sisiNYA.

Aku memandang dari persepsi berbeza...

Untuk si ibu yang taat kepada suami...sabar dan redha itu sudah menjadi darah dagingnya, maka ketentuan Allah datang bagi mengubah nasib keluarganya.

Untuk anak-anak keluarga itu...apabila ketaatan kepada kedua ibu bapa menjadi tunjang dalam kehidupan mereka, janji Allah untuk merahmati mereka terlaksana di dunia ini lagi. Subhanallah...

Cerita aku bernoktah di sini dengan harapan tiada noktah untuk kita sentiasa mendoakan kedua ibu bapa...baik yang masih hidup mahupun yang sudah mengadap Ilahi. Berbaktilah kepada mereka selagi hayat mereka ada kerana kesan kebaktian itu bakal Allah terjemahkan ke mata dunia.

Terimakasih kerana sudi membaca cerita bisu ini. Aku pula ingin menjejaki kisah tersebut untuk kuadaptasikannya dalam kehidupanku...mungkinkah.



Friday, 1 August 2014

Erti Kemenangan Menempuh Ramadhan

Baru sahaja aku menonton rancangan Forum Perdana versi Hari Raya. Teruja pula aku untuk berkongsi ilmu yang disampaikan oleh ahli panel.

Ulama menukilkan untuk kita ketahui bahawa adakah kita termasuk ke dalam golongan mereka yang berjaya dalam ujian Ramadhan, maka lihatlah senarai di bawah:-

1. Tawadhuk - mereka yang berjaya dalam tarbiah Ramadhan akan bersikap lebih tawadhuk dan mengelak untuk dipuji walau pujian itu layak diterima. Mereka beramal dengan berasa amalan orang lain lebih hebat dan diterima Allah berbanding amalan baik yang mereka lakukan.

2. Qana'ah - sentiasa berasa cukup dalam menjalani kehidupan di dunia. Makan, minum, pakaian dan peralatan rumah dibentuk dengan ala kadar tanpa mahu membazir. Bersyukur dengan yang sedikit dan berkongsi dengan yang banyak.

3. Wara' - konsisten dengan amalan wajib dan bertambah amalan sunat. Terlalu berhati-hati bila berurusan dengan makhluk dan sentiasa beralah dalam apa jua situasi. Bersyukur apabila mendapat kecaman manusia asalkan bukan mereka yang malakukan perkara tersebut. Sentiasa bersedia memaafkan demi sebuah silaturrahim.

4. Yakin - mereka yakin dengan kebergantungan total kepada Allah. Mereka tidak berasa sedih dengan ketidakadilan makhluk kerana percaya Allah akan membela mereka.

Inilah senarai tanda-tanda bagi mereka yang berjaya di sepanjang ujian Ramadhan dan untuk mereka meraikan kemenangan di Hari Raya. 

Jika tiada tanda-tanda tersebut pada diri, tanamkanlah rasa malu untuk kita leka berhibur dan makan minum keterlaluan...meraikan hari kemenangan kononnya!