Hidayah bukan milik kita...milik kita hanya usaha pencarian untuk diberi hidayah. Hidayah merupakan milik total yang Maha Pencipta. Tidak diberi hidayah kepada mereka yang wewenang menjalani hidup tidak mengikut syariat.
Tetapi jangan dilupa, jika ia milik Allah...maka terpulang kepadaNYA untuk menyapa pintu hati sesiapa sahaja yang bisa menggapai perhatianNYA.
Mungkin amalan tidak sebanyak mana tetapi dek taat dan menjaga kebajikan kedua ibubapa, hidayah menyusup masuk mendatangi hatinya.
Tarafnya hanya manusia biasa tetapi digenggamnya syariat lima waktu tanpa culas, Allah anugerahinya hidayah yang merubah hidupnya untuk tidak mencintai dunia.
Jika mahu dikata alim, jauh sekali...memandang hidupnya yang berteman noda dan dosa yang terpalit setiap hari. Tetapi siapa tahu di setiap malam dia merenung-renung kehidupan jahiliyah untuk mencari titik perubahan seperti yang dialami oleh seorang artis selebriti di tahun 90an. Renungannya berhasil menggapai hidayah Allah.
Bila diberi hidayah, perlukah kita membelakangkan akhlak? Ya...ini kerap berlaku jua boleh berlaku kepada semua mereka yang diberi hidayah.
Dari mana asalnya kita? Semuanya bermula dengan zaman jahil lagi menjengkelkan. Jadi, mengapa tergamak kita mengutuk-ngutuk sijahil?
Ini berlaku kepada seorang selebriti dunia hiburan yang menukar cara hidup ke arah lebih diredhai. Diapi-apikan rasa dendam kepada dunia yang pernah dulu dia bersekongkol bersama. Implikasinya...rakan-rakan artis yang lain menyindir cara dia berdakwah, 'tidak berhemah' kata mereka.
Situasi itu tidak membantu menarik sijahil mendekati Islam...amat tidak membantu! Tidak terlepas kepada isteri, suami, jua anak-anak yang diberi hidayah.
Berhemahlah dalam berdakwah...letakkan akhlak di hadapan agar diri kita tidak diletak di belakang. Ingat...setiap dari kita ada sejarah kabur dan gelap, DIA tutup rapat sejarah itu tanpa pengetahuan makhluk. Jadi, iringilah rasa malu pada diri sendiri sekira-kira mahu dituding jari mengutuk dunia luar.
Pengembaraanku sebagai kerjaya bermula di tahun 2004. Misinya tidak berubah...memberi khidmat nasihat di bidang makanan halal kepada syarikat- syarikat penerbangan antarabangsa. Bunyinya mudah tetapi pelaksanaannya rumit.
Konsep 'from farm to plate' yang digunapakai menterjemah betapa segala skop harus diambil kira bermula seawal perancangan meng HALAL kan sesebuah premis itu.
Bukan itu yang ingin kukisahkan di sini. Yang bermain di pemikiranku adalah betapa 'Halalkah Pengembaraanku' ini. Mengembara pasti ditemani warna-warni pelangi. Adakalanya putih bersih, boleh juga warna emas kekuningan. Yang hitam galak menerjah, yang merah dan kuning kerap jua menujah.
Mengembara berseorangan pasti berteman sunyi. Kesunyian adakalanya indah untuk aku bermuhasabah walau bukan di tikar sejadah. Tetapi sunyi itu juga boleh menjadi musuh ketatku di kala aku ingin berbicara. Kejauhan dari keluarga sebenarnya lebih merapatkan hubungan kami. Ya lah..diberi rasa kehilangan sebentar orang-orang yang tersayang, menambahkan lagi rasa kasih untuk mensyukuri nikmat hidup berkeluarga.
Dinukilkan di dalam hadis betapa sipengembara menikmati kelebihan yang mana doa mereka amat mustajab, selagi mana permusafiran mereka menuju kebaikan. Ini yang ingin kugapai!
Aku bukan bertaraf Ulama mahupun pakar dalam bidang keagamaan yang boleh memberi banyak manfaat kepada masyarakat. Jasaku kepada umat manusia tidak memadai rasanya untuk aku meraih pahala apatah lagi bauan syurga.
Jadi...pengembaraan ini memberi kesempatan kepadaku untuk banyak berdoa, banyak meminta jua banyak bermunajat kepadaNYA. Mungkin dengan sedikit kesabaran menghadapi segala ketidakselesaan di sepanjang pengembaraan seperti cuaca yang pelbagai, gangguan waktu tidur yang rutin, kerenah penangguhan waktu penerbangan, makanan yang jauh dari selera dan sebagainya bakal menganugerahkan aku sedikit pahala buat menambah bekalan di alam lain.
Ya...aku mengembara bagi membawa misi halal. Di waktu selari, aku jua mengharapkan agar DIHALALKAN PENGEMBARAANKU INI...kerana hidupku tidak lama, tiba masa aku akan pergi mengadapNYA membawa berjuta persoalan yang menanti jawapan. Semoga semua yang kulakukan ini bisa meraih laba di dunia untuk dibawa berjumpa denganNYA...Insyaallah
Catatan pengembara...Shanghai, Jinan, Qingdao. 19 Feb 2014.
Slot 'Motivasi Pagi' di siaran radio IKIM menerjah halwa telingaku bersama cerita yang agak menarik untuk kukongsi.
Dia yang bergelar 'ketua jabatan' sedang menunaikan umrah di tanah suci. Masalah menimpa yang mana dirinya tidak boleh tidur. Puas cuba, habis dipaksa...mata masih terkelip-kelip melawan waktu. Bersamanya ditemani PA lelaki yang menguruskan segala keperluan 'boss'nya di tanah suci.
PA nya pergi berjumpa Ustaz yang bertugas untuk mengadu dan meminta buah fikiran bagi menyelesaikan masalah 'boss' nya.
Bila PA bercerita, 'boss' nya seorang yang terlalu komited dengan kerja. Risaunya bukan kepalang jika sesuatu kerja tidak menepati 'timeline' yang diberi. Apatah lagi jika kelewatan berpunca dari orang bawahan.
Dia sukar meletak kepercayaan kepada pekerja-pekerjanya. Dia sendiri akan turun padang untuk memastikan semua berjalan lancar. Selagi sesuatu projek belum selesai, selagi itulah 'risau' menjadi sahabat karibnya.
Ustaz mula faham. Diarah PA itu untuk menyuruh 'boss' nya melakukan solat taubat. Mengapa? Dosanya kerana kebergantungan hidup hanya bersandar akal...tidak menyerahkan segala pekerjaan kepada Allah selayaknya bertawakal.
Segalanya hanya bersandar logik minda, seolah hidupnya bertuhankan akal...tidak langsung mahu berlapang dada menyerah segala urusan kepada Allah. Risau yang bukan kepalang!!!
Disampaikan nasihat itu kepada 'boss'. Mulanya kelihatan agak marah dan bengkeng tetapi apabila secara perlahan dia amalkan solat taubat dan bertaubat secara bersungguh, lena tidurnya bukan kepalang. Dia mula sedar, risaunya merembes segala hormon-hormon negatif di dalam tubuh dan menyekat mesej 'tidur' ke otak.
Apabila kita bertawakal penuh kepadanya, minda akan jadi penuh 'relax' dan tenang.
ITULAH SISTEM BIOLOGI MANUSIA CIPTAANNYA!
Bangun pagi kita sudah memilih baju apa untuk dipakai, sarapan apa untuk dimakan dan kerja apa yang harus diberi prioriti.
Bila membeli-belah kita memilih barangan apa yang perlu dibeli. Bila hendak bercuti, sekeluarga berbincang ke mana destinasi yang sesuai. Di bidang kedoktoran, pakar akan memberi nasihat atas keputusan yang terbaik buat pesakit.
Ya...di setiap saat, ketika dan waktu, kita tidak akan terlepas dalam membuat keputusan apatah lagi jika ia membabitkan masa depan. Soal pelajaran, kerjaya, teman hidup, keluarga...serba-serbinya berlandaskan keputusan yang datangnya dari diri sendiri.
Hendak lari dari membuat keputusan? Oohhh...jadi kita merelakan pihak ketiga untuk memutuskan apa yang terbaik buat kita. Bukan begitu caranya...terlalu berhati-hati sehingga tidak mampu membuat keputusan adalah satu kesalahan jenayah terhadap diri sendiri. Kita adalah diri kita yang mana kita harus bertangungjawab penuh dalam menentukan hala tuju sendiri.
Keputusan yang kita lakukan pastinya disertai risiko. Ia boleh jadi keputusan yang baik mahupun di sebaliknya. Tidak mengapa...kerana sebetulnya minda kita telah dilatih untuk bertanggungjawab ke atas diri sendiri. Belajarlah dari keputusan-keputusan yang silap, jadikan ia sebagai panduan untuk kita lebih yakin dalam membuat keputusan-keputusan lain di masa hadapan.
Peranan pihak ketiga boleh diambil kira dalam menasihati dan memberi input tentang sesuatu perkara. Kunyah lumat segala informasi dan telan hadamkan di minda untuk kita keluarkan satu resolusi yang bernama 'keputusan muktamad'.
Tidak yakin dengan keputusan sendiri? Di situlah peranan umtuk kita berhubung dengan Pencipta. Amalan syariat yang wajib dan sunat secara konsisten amat-amat membantu dalam keyakinan kita membuat keputusan. Hampirnya kita dengan DIA bakal dianugerahi ilham-ilham jernih dan seterusnya melorong diri untuk yakin dalam membuat keputusan.
Setelah bulat tekad dalam menentukan sesuatu, serah segalanya secara total kepada Allah..bertawakallah kerana DIA bersama hamba-hambaNYA yang sentiasa berdamping denganNYA di waktu susah dan senang.
Jangan takut membuat keputusan kerana yang lebih ditakuti apabila kita gagal dalam menentukan apa yang terbaik buat diri!
EJ, hari ini genap umurmu setahun. Lahirmu pada tanggal 12 Februari 2013. Kau sebetulnya merubah landskap perjalanan hidupku. Banyak masa yang kuperuntukkan buatmu...kupilih dirimu kerna 'tenang' ada di situ.
EJ, lahirmu bersama harapan yang bisa membentuk diriku menjadi insan yang kritis dan suka menganalisa apa sahaja yang melintas. Tanpamu fikiranku gersang menyongsang arus. Aku dewasa bersamamu, aku terasa jika kehilanganmu, aku serasa berkuasa jika mula mengadapmu.
EJ, di sepanjang perjalanan setahun bersamamu, banyak kisah, banyak cerita jua banyak peristiwa yang sempat dirakam olehmu. Kau seolah menjadi medan dakwah untuk aku menterjemah apa yang kurasa. Banyak pengalaman yang kuraih bersama hadirmu. Kenalan, sahabat juga yang tidak kukenali...ramai yang menyokong dalam memberi tumpuan terhadapmu.
EJ, adakah mereka percaya jika kukatakan di usia setahun jagung, kau mampu meraih ramai kenalan di serata dunia. Di Malaysia sahaja teman-temanmu seramai 3360 orang. Di Amerika Syarikat jumlah yang menatapmu mencapai 1613 insan. Seterusnya di negara Russia, kenalanmu mencecah 386 orang. Di Indonesia, kau mampu melonjak dirimu bersama 231 orang. Diikuti negara German seramai 94 orang. Korea Selatan, India, Brunei, UK dan Vietnam juga tidak mahu ketinggalan untuk menatapmu.
EJ, jika populariti yang kau cari, aku pasti kisahmu tidak ke mana. Ia bakal terawang-awang di dunia maya tanpa melekap di hati mereka. Tetapi jika wajahmu bersulam ikhlas dan hanya keranaNYA...maka Insyaallah kau bisa bertahan dalam meng EVOLUSI kan JIWA mereka.
SELAMAT HARI LAHIR YANG PERTAMA...EVOLUSI JIWA.
Nampak amalannya konsisten. Nampak susun atur ayatnya berhemah. Nampak penampilannya lengkap menuruti syara'. Apalagi... dia newakili lelaki Muslim di eranya.
Tetapi ada perkara lain yang dia terlepas pegangan talinya...adab, akhlak dan tingkah-laku. Makannya tidak perlahan. Dijangkau tangan bagi mencapai lauk di hujung sana. Kunyahannya pantas, belumpun habis yang lain mengunyah suapannya sudah masuk tiga kali...errmmm agak gelojoh.
Emosinya berbahang. Belum habis yang lain bercakap, sudah disampuknya. Marah bila cerita hukumnya disanggah..,tidak berlapang dada menerima percanggahan pendapat.
Akhlak adalah permulaan dakwah. Jangan mimpi hendak berdakwah jika miskin akhlak, gersang adab juga kontang sivik. Berdakwah bakal di kelilingi mata-mata yang memerhati. Kekadang tidak perlu sangat banyak bicara kerana 'body language' itu mampu menyampaikan apa yang tersirat!!!
Amalan adalah terjemahan Syariat, akhlak yang melengkapkan diri agar Syariat itu diterima.
Cubalah hayati...ikhlas dariku.
Dunia terhidang di hadapan mata, sinarnya menyilau setiap sudut pandangan. Apa mampu kita lepaskan dunia tatkala kita bisa menggapainya? Ia bagaikan magnetik yang punya kuasa hebat menarik setiap lintasan yang melaluinya.
Adakah dunia tercipta buat manusia atau manusia sahaja yang mengejar dan dikejar dunia? Si Adam terlerai genggamannya di syurga oleh liciknya Iblis yang memanipulasi kelembutan Hawa.
Usah alpa wahai cucu cicit Adam. Turunnya Adam ke dunia disebabkan Iblis dan wanita. Iblis dan wanita juga menyusuli dan mendiami dunia. Mereka sentiasa ada di persekitaranmu...berwaspada.
Adakah lahirmu hanya untuk berseronok mendiami dunia lantas dunia menunggu-nunggu kepulanganmu ke bawah dasarnya. Sejak dari Adam sehingga kini...siapa yang kekal mendiami dunia?
Perut bumi tidak mengenal siapa. Yang soleh, fasik, beriman mahupun kufur...habis semua ditelan hadam ke bawahnya. Hanya menanti untuk dibangkitkan semula bagi menghadiri sebuah mahkamah yang paling adil.
Tegasnya...**LAHIRMU BUKAN UNTUK DUNIA TETAPI DUNIA MENUNGGU KEPULANGANMU...
**mengambil lirik lagu Sweet Charity
Hey...kenapa asyik nak marah-marah? Bawa-bawalah bertenang. Tak kuasa lah aku nak melayan orang yang pemarah ni. Apa yang dia dapat...kepuasan? Puas sebab dapat melampiaskan nafsu amarah kepada orang tertentu.
Orang pemarah ni hati dia tak tenang, berkecamuk. Kesian mereka sebab hidup yang sesingkat ini dibazirkan untuk menjauhkan orang-orang di sekeliling. Muka pulak nampak kusam dan menjengkelkan...eeeiyyyyy...hilang seri wajah.
Orang pemarah adalah mereka yang individualistik dan pentingkan diri sendiri. Mana taknya...cuba tengok kebanyakan orang yang marah tu sebab apa? Eerrmmm lebih kepada kepentingan peribadi kan.
Tak dapat apa yang dihajati, tak puas hati sebab orang tak layan, tak dapat naik pangkat, isteri masak tak sedap, orang lambat bayar hutang, kereta meragam bla bla bla...
Fikir balik laa...ade ke kita rasa marah kalau kita terlepas solat subuh pagi tadi? Kalau kita juga anak-anak tak mengaji? Kalau isteri asyik ber 'shopping' tak ingat solat. Kalau kita tak hulur duit pada peminta sedekah? Kalau Baginda Rasulullah dihina?
Eerrmmmm...muhasabah diri ye. Masih nak marah lagi pada perkara-perkara yang tak sepatutnya? Silalah...kerana kesannya diri sendiri yang tanggung...kesiaaaan.
Sering, kita berasa selesa dengan segala kemudahan yang terpamer di hadapan mata. Tidak salah untuk kita nikmati keselesaan itu kerana itu juga nikmat anugerah Allah kepada mereka yang berusaha untuk mendapatkannya.
Tetapi apabila segala tampak mudah dan tidak memerlukan daya usaha keras, di situ timbul masalahnya. Jika diberi pilihan dua jalan yang berbeza laluan, pasti dipilih jalan yang mudah. Tak sakit kepala dan tak perlu bersusah payah untuk menebas segala semak-samun yang merintangi jalan.
Itu pilihan pasif!!!
Mereka yang ingin berjaya apabila ditunjuki dua laluan untuk dibuat pilihan akan mengatakan, "mengapa perlu ada dua jalan? Saya akan hanya melalui satu jalan yang sukar untuk sampai ke destinasi".
Bukan semua orang tega untuk menempuh sukar di laluan mereka. Dielak-elak masalah dan direka-reka alasan bagi menidakkan laluan sukar itu.
Tetapi tidak bagi mereka yang ingin berjaya. Orang yang cemerlang akan memilih THE ROAD NOT TAKEN! Itulah jalan yang dipilih para Nabi dan Rasul.
Selamat menempuh laluan itu.