Translate

Friday, 29 March 2013

Sakit Untuk Bangkit


"Bila Allah beri sakit, akan ditarik tiga perkara. Kesihatan, rezeki dan dosa-dosanya. Sesudah sihat, akan dipulangkan kembali hanya dua perkara iaitu kesihatan dan rezeki manakala satu perkara lagi dihapuskan iaitu dosa-dosanya!". Maha suci Allah yang teramat menyayangi hamba-hambaNya.

Sakit yang bertandang jangan dipandang remeh. Segala urat sendi yang menderita bakal menanti ganjaran tetapi HARUS REDHA DAN SABAR! Amatlah rugi sekiranya kita ditimpa sakit berhari-hari juga mengumpul minggu tetapi gagal untuk mengembalikan fitrah baik yang ada dalam diri. Kita tak sabar, mendengus, gelisah, marah-marah, menyumpah seranah makanan yang serasa tawar dan entah apa lagi kata-kata kesat yang terfikir di benak.

Mana adab kita dengan Khalik, yang mencipta kita. Mana sifat hamba yang sepatutnya rela menerima apa sahaja yang mendatang. Mana perginya janji kita di alam roh yang mengaku taat kepada yang SATU. Inilah yang dinamai 'sakit mengundang padah'. Sakit sebetulnya menjadi kafarah kepada segala dosa-dosa lampau. Sakit ibu bersalin bertarung nyawa, menjadi penebus segala dosa sehingga tiada sisa yang tinggal seperti bayi yang baru lahir keadaannya.

Jika boleh diselit contoh Nabi Ayyub. Dugaan yang Allah turunkan amat hebat kepada insan ini. Dari punyai segala-galanya, harta benda, isteri dan anak-anak...semuanya jauh beredar bila sakit bertandang. Sehingga diriwayatkan Nabi Ayyub diletakkan di kawasan pembuangan sampah kerana bauan busuk dari tubuhnya yang mengganggu masyarakat sekeliling!!!

Sakitnya dihinggapi ulat-ulat yang memamah daging dan apa sahaja yang boleh dimakan oleh ulat-ulat itu. Apabila ulat-ulat itu jatuh, diambil oleh Nabi Ayyub dan diletakkan kembali ke atas kulitnya untuk tidak memutuskan rezeki ulat-ulat itu.

Isterinya bersuara, "Kau seorang Nabi maka pintalah kepada Allah untuk segera menyembuhkanmu". Nabi Ayyub bertanya kembali kepada isterinya sudah berapa lama dia hidup sihat dan dijawabnya selama empat puluh tahun. Jawapan Nabi Ayyub ringkas, "Jika Allah beri aku sihat selama empat puluh tahun, maka aku akan bersabar sekiranya Allah timpakan sakit kepadaku empat puluh tahun juga!!!". Begitu sekali sabar insan ini terhadap sakit yang menimpa (jika ilmu sekarang, sakit Nabi Ayyub dinamai sebagai sakit kusta).

Di atas sabar dan redha, Allah anugerahi semula apa yang pernah Nabi Ayyub miliki. Kesihatan, rezeki harta benda dan keluarga.

Itu kisah Nabi...apakah mampu kita menurutinya? Ya, persoalan sebegini sering keluar dari mulut yang jahil. Allah tidak zalim. Mana mungkin Allah menimpa sesuatu di luar kemampuan seseorang. Jika dia seorang Nabi, maka taraf nabilah ujian menimpa. Jika kita insan marhain, taraf biasa-biasa sahaja sebenarnya ujian yang mendatang.

Yang buta mata adalah kita. Yang pekak tuli adalah kita. Yang sombong angkuh adalah kita. Yang jahil ilmu juga kita!!! Itu semua membuat kita rasa Allah tak adil, kita diuji tetapi mereka yang di luar merdeka senang lenang. Kita sakit, kawan-kawan sekeliling bebas berterbangan menghirup udara segar. Kita tak lalu makan, keluarga pula laju menjamah selera tanpa batas. Kita berharap pula agar mereka juga ditimpa sakit sepertimana menderita kita menghadapinya...baru adil agaknya!

Aduhai...Kita yang sakit itu sebenarnya insan terpilih untuk Allah hapuskan dosa...jika kau tahu. Kita yang terlantar itu yang menjengah perhatian Allah untuk dinaikkan martabatnya di mata makhluk...jika kau sedar. Kita yang tak berdaya lemah itu yang Allah kirimkan malaikat untuk dicatat beribu kebaikan atas sabar dan redha...JIKA KAU AMATI!!!

Bersyukurlah bila sakit bertandang. Allah pilih untuk balas segala dosa kita di dunia ini sebenarnya. Jangan fikir jika segala dosa ditangguh pembalasannya di akhirat...tak mampu kita menanggungnya!

Sakit yang berperanan untuk mengembalikan kita kepada Pencipta. Timbul kesedaran, keinsafan untuk berubah. Untuk bermaksiat kembali, sakit itu mengingatkan kita betapa perit menanggung azab...terbantut niat jahat itu.

Sakit mencipta peluang untuk kita bertaubat, muhasabah diri dan menyedarkan betapa hidup ini amat singkat...menuju mati. Setiap hari berlalu mengurangkan umur walau kita berdoa panjang umur. Tak kurang tak lebih, sampai waktu Malaikatulmaut akan hadir menjalankan tugasnya. 

Jadikanlah sakit untuk kita berakit menuju mati. Bila ingat mati, dunia tidak merajai hati. Yang ada hanyalah kebaikan yang sebanyak mungkin cuba diraih untuk dibawa ke alam itu nanti.

Bayangkan kita tanpa sakit...contoh jelas dan boleh dilihat sehingga ke hari ini, mayatnya yang telah diawet...FIRAUN. Firaun hidup tidak berteman sakit. Terleka dirinya apabila melihat makhluk lain sakit dan mati. Timbul rasa bertuhan dalam diri...aku lengkap segala dan akulah TUHAN!

Jadi jika ditimpa sakit, bersyukurlah sebanyak mungkin kerana Allah sudah mula memberi perhatian kepada kehidupan kita yang alpa segala. 

Tidak akan tunduk anak Adam melainkan ditimpa tiga perkara...ditimpa sakit, diuji dengan kefakiran dan diambil nyawa insan tersayang. 

Lihat betapa sombongnya manusia sehingga lupa untuk mengucap syukur dan tunduk sujud sebagai hamba. Lantaran itu Allah hadirkan sakit untuk kita sujud kepadaNya meminta belas harap agar disembuhkan sakit demi kesedaran untuk bertaubat dan beribadat.

SAKIT ITU JUA TEGURAN KASIH DARI NYA...JIKA KAU TAHU!!!


Wednesday, 27 March 2013

Bermula alif ba ta


Permulaan kita belajar adalah sedari dalam kandungan lagi. Perilaku ibu amat mempengaruhi anak yang dikandung. Ceria ibu, cerialah bayi. Berduka siibu sepanjang mengandungkan bayi, kesannya bakal ditanggung anak.

Lahir kita yang lengkap segala sifat bakal diajar pelbagai ilmu yang berada di sekitar. Kita mula belajar meniarap, merangkak, bertatih dan seterusnya berjalan jatuh. Pernah berlaku bayi lahir terus berjalan? Tak pernah wujud dalam sejarah manusia melainkan keadaan itu tidak tertakluk kepada sunnatullah seperti Nabi Isa yang bercakap sewaktu masih bayi, anak Masyitah yang masih bayi bercakap untuk menenangkan hati ibu yang diugut mati oleh Firaun.

Pertama kali disuap ilmu, kita akan belajar huruf alif ba ta, a b c, 1 2 3. Seterusnya jadilah kita manusia yang menguasai ilmu dan mula mencipta pelbagai alat dan barangan untuk menakluk dunia.

Sudah terang lagi bersuluh...proses pembelajaran harus dimulai dari asas seperti bangunan yang mempunyai tapak yang kukuh untuk menyokongnya agar tidak rebah.

Penyampaian mesejku bermula di sini...

Ajaran sesat...bagaimana boleh wujud segala macam bentuk ajaran baru dan disokong pula oleh ramai pengikut. Benar...kerana asas agama longgar. Apabila kita mula mencari jalan pintas untuk belajar maka fikiran mula menidakkan segala yang asas.

Pengalamanku di Darul Syifa'...menghadapi seseorang yang ingin mencari kebenaran. Tanpa mengenal syariat, kosong pengetahuan tentang peribadi Nabi Muhammad SAW juga buta mata tentang sirah Rasulullah, dipelajarinya ilmu zikir yang amat asing bunyinya. 

Dia jahil...diyakininya bahawa zikir itu yang dicari selama ini, anugerah seseorang katanya. Maka tanpa sedar dia sebenarnya mengamal campuran mentera bagi menyeru makhluk perosak...jin dan syaitan.

Kelihatannya dia mengamal Islam tetapi makin hari makin tersasar perilakunya. Mula meminta-minta apa yang bukan miliknya...dakwanya arahan Sunan Derjat. Pernah dilukis gambaran wajah ulama' berserban...guru yang mengajar dari kejauhan katanya. Di landasan akhir, dia sudah rajin berbicara sendiri seolah teman karib berada di sampingnya.

Syaitan yang diseru tak pernah gagal menghadir diri...terus akrab hari ke hari dan terpisahlah insan ini dari dunia nyata. Dia hidup dalam alam ilusi ciptaan sendiri, berakar umbi dari tidak mengenal ALIF BA TA!

Sahabat...tuntutlah ilmu kerana dengannya kita kenal Allah, PesuruhNya juga mengenal diri. Disiplinkan diri dalam menuntutnya kerana sekali berlaku pintasan menuju 'short cut' maka kau bakal menjadi saksi kejahilan yang membawa padah.

Jalan pintas hanya akan memanjangkan perjalanan sukarmu kerana syaitan akan mengiringi mereka yang punyai kesedaran untuk berubah tetapi tiada kesedaran untuk meredah dari angka 0 (kosong).

Kenal huruf agar dapat mengamal ma'aruf. Tempuh sukar agar dapat mengelak mungkar.

Kesan kepada ilmu yang diberkati adalah semakin tawaduk dan tunduk seseorang itu walau selaut ilmu dapat ditaklukinya. 

Selamat menuntut ilmu...    

Friday, 22 March 2013

Semanis Iman

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Tiga perkara yang sesiapa memiliki (ketiga-tiga perkara itu) nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu mencintai Allah dan RasulNya melebihi cinta kepada selainNya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana benci akan dicampakkan ke dalam api neraka (hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Haa...kemanisan iman hanya untuk mereka yang taat suruhan Allah dan Rasul serta istiqamah dengan ketaatan itu. Taat yang bagaimana? Taat dalam ertikata menyegerakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya.

Bagaimana untuk menggapai manisnya iman? Betulkan SYARIAT dahulu. Apabila agama telah dipasak kuat dalam jiwa, rukun iman dan Islam sudah sebati dengan diri, maka fasa pertama telah kau lepasi.

Fasa kedua pula menjurus kepada jalan kebenaran. Jalan itu telah dan sedang kau lalui. Jangan menoleh lagi kerana di kiri kananmu penuh dengan tipudaya. Teruskan perjalanan walau penuh liku dan itulah yang dipanggil TARIKAT.

Jalan sudah nampak terang dan kau akan jadi bertambah yakin. Di fasa ini, kau sudah mula merasai manis menerima ujian. Sifat sabarmu semakin terserlah dan redhamu semakin ikhlas. MAKRIFAT itu sudah menjadi dirimu.

Bahawa di fasa terakhir inilah kau akan merasa kelainan. Kau mula gundah tanpa ujian...katamu Allah telah melupakanmu? Ujian dirasa sudah sebati dalam diri dan kau tak betah tanpanya. Inilah HAKIKAT yang datangnya KEMANISAN IMAN!!!

Sejauh mana kita betah dengan ujian? Jika menempuh sesak jalanrayapun tak mampu untuk mengawal diri dan menyumpah-nyumpah jadinya, maka tak hairanlah jika kita menjadi 'emo' bila sakit bertandang, kewangan susut dan kematian keluarga terdekat berlaku.

Iman kita tawar hambar dan selagak tiada nilai untuk diri sendiri. Iman kita tidak mampu membantu menenangkan hati. Iman kita serasa satu beban pula untuk 'ditanggung haram'.

Rapuhnya iman. Kita solat, puasa dan amal pelbagai amalan sunat tetapi menjadi OKU dalam menempuh ujian.

Untuk mengecap kemanisan iman tak perlu berbelanja besar...tetapi ia memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Memusuhi syaitan, berperang dengan nafsu adalah dua agenda besar untuk misi kemanisan iman.

Manis iman tidak lagi melihat cerita makhluk...

Dianiaya...dia berserah
Dizalimi...dia pasrah
Disakiti...dia mampu tersenyum
Dinafikan hak...dia berdoa kebaikan
Ditidakadili...dia tetap seperti biasa meneruskan hidup

Yang terserlah di mata hanyalah Allah...kekuasaan yang mutlak. Tiada kuasa yang melebihi kekuasaanNya. Mereka hanya meletak kebergantungan hidup kepadaNYA. Mereka tidak akan membalas segala perbuatan jahat juga ketidakadilan yang berlaku...malahan Allah yang bakal membalas perbuatan aniaya manusia kepada insan ini. Itulah anugerah Allah kepada insan-insan yang terpelihara ini.

..aduhaiiii MANISNYA IMAN


Monday, 18 March 2013

Lihatlah KAMI

Aku jarang menonton kecuali rancangan berkenaan benar-benar menarik minatku. Sudahnya aku hanya menonton berita perdana juga dokumentari...memasuki dunia flora dan fauna.

Hari itu sedang aku bersantai di ruang tamu rumah bersama segelas teh panas, aku berkongsi rancangan yang ditonton anakku...filem KAMI yang dibintangi Allahyarham Sudirman. Memang sudah berkali-kali filem itu ke udara tetapi auranya amat dalam merentasi sempadan diriku.

Filem keluaran awal tahun 80an itu membawa kita ke sudut yang tiada orang ambil kisah. Kalau kisahpun mereka tidak meletak ibrah ke atas diri sendiri. Kerana apa? Kerana cerita itu bukan kita. Kerana itu cerita orang lain yang tiada kena mengena dengan kehidupan kita. Kerana kita cukup segala.

Ya...memang benar pandangan tasawwuf, bila perut kenyang kita pasti terlupa kepada mereka yang berlapar kerana kita menyangka semua orang kenyang. Tetapi cuba kita berpuasa, secara automatik kita turut akan merasa penderitaan mereka yang tak cukup makan...kerana waktu itu kita lapar dan kita pasti ada yang senasib malah lebih teruk berlapar dari kita.


Kisah yang memaparkan seorang anak yatim yang dihalau ibu tirinya. Dia lari meninggalkan rumah 'neraka' membawa diri ke kota metropolitan. Di situ dia memulakan hidup dengan melakukan apa sahaja kerja yang boleh mendatangkan hasil. Membersih laman, cuci kereta, jaga parking dan sebagainya. Di kota dia bertemu dengan seseorang yang senasib...hiduplah mereka seperti ayam, 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Kalau tak kais, tanpa makananlah jawabnya hari itu.

Banyak perkara yang menyentuh sebenarnya tetapi mengapa jiwa kita tak tersentuh? Mereka tak bersekolah kerana menjadi mangsa keadaan. Mereka tiada pakaian sempurna kerana tiada keluarga untuk menyempurnakannya. Mereka tak cukup makan kerana tiada ayah dan ibu di sisi untuk menyediakannya. Mereka tiada rumah kerana rumahtangga itu telah di'neraka'kan. Tetapi mereka ada dua perkara yang tinggi nilainya.

Pertama mereka tidak meminta-minta tanpa berusaha. Mereka berusaha gigih....menyara diri dengan rezeki halal walau terpaksa bertarung dengan sekumpulan India untuk berebut kawasan.

Kedua, kasih sayang mereka amat sejati. Tookoo sanggup menjual 'cassette' kesayangannya dengan harga rendah demi membeli makanan (nasi bungkus) untuk Din, sahabatnya.

Aku percaya, kisah sebegini ada di mana-mana tetapi di mana kita untuk mengerling ke arah mereka? Yang benar berlaku, kita tak ambil kisahpun jika ada orang menekan loceng rumah untuk sedikit derma dari hasil jualan. Malah kekadang kita halau mereka agar tidak diganggu. Alasannya, itu semua sindiket hendak mengutip wang cara mudah.

Di pasar malam, kita hanya melewati orang-orang buta dan cacat yang menghulur tisu untuk dijual kerana hati bersuara, "Ah, mereka duduk senang-senang dapat duit. Entah-entah dalam poket tu dah beratus ringgit dikumpul".

Persetankanlah alasan-alasan remeh itu kerana kita sebenarnya sedang mencipta alasan untuk mengelak dari menderma.

Sebenarnya, apa sahaja yang dilakukan adalah berdasarkan niat. Jika niat ikhlas untuk berderma, maka pahala derma itu akan sampai dan menjadi hak kita. Jangan dikira ke mana halanya derma itu...bukan urusan kita untuk memikirkannya. Dibimbangi akan terluput segala yang kita sumbang jika hati mula berprejudis tentang halatuju saluran derma.

Untuk melakukan perkara baik harus dimulakan dengan yang baik juga. Buang jauh-jauh segala prasangka dan bantulah mereka seadanya tanpa disulami tanda soal. Niat yang baik dan di pertengahannya curiga, bakal menghapus dan merosakkan amalan dan pahala.

Gandakanlah kebaikan dengan cara tersendiri dan mengikut kemampuan. Orang miskin yang tak punya harta masih boleh menyumbang tulang empat kerat membantu mereka yang memerlukan. Orang kaya yang kurang amalan boleh mendapat pahala lebih dengan banyak berderma dan meringankan beban simiskin. Ikatannya seperti batu-bata bangunan yang mengikat dan mengukuhkan antara satu sama lain.

Lihatlah KAMI...kerana di dalam KAMI ada banyak cerita yang terhijab. Terhijab dek kemewahan yang diraih sehingga serasa tiada masa untuk memikir keperluan mereka yang terdesak.

Al Fatihah buat Allahyarham Dato' Sudirman Hj Arshad. Kesan lakonanmu amat menyentuh. Kau berjiwa rakyat, senimu untuk semua lapisan masyarakat. Kau jua telah memasyarakatkan peminatmu untuk berjuang dengan cara sendiri.

Ameeeen...

Saturday, 16 March 2013

Travelog - catatan diari pengembara 3

14 Mac

Aaaaahhhh...terasa inginku sambung tidur tetapi aku ada tugas. Tugasan terakhirku untuk hari ini. Hari yang merupakan penentu untuk mereka...mereka yang mengharap sesuatu. Sesuatu itu juga harusku analisa dengan adil...adil bukan hanya untuk mereka tetapi adil yang bakal kujawab di akhirat.
@ jam 1000 - Aku bersiap. Seperti biasa kumulakan langkah kaki dengan solat Dhuha. Walau betapa yakin aku dengan misi ini, walau sudah beberapa kali kuhadapi pihak pengurusan dan aku biasa dengannya, walau aku tiada masalah berhadapan dengan mereka...tetapi aku terus-terusan akan mendidik diri untuk bergantung penuh kepadaNya...bertawakal. Aku hamba yang tak punya apa-apa..kosong, kosong. Konsep Ubudiyyah itu yang seharusnya kita rasa agar sifat perhambaan itu sebati dalam diri. Aku sedar dalam diri bahawa dengan bantuanNya selama ini yang melonjak kapasitiku untuk pergi jauh. Jadi...solat Dhuha merupakan nadi untuk semua ini. 

Sesi latihan dan penutup berjalan seperti yang dirancang. Tiada hujah emosional, semua menjadi profesional. Itulah mentaliti tahap pengurusan sepanjang pengalamanku bersama mereka. Selesai.

@ jam 2130 - aku sudah berada di terminal untuk kutinggalkan segalanya yang perlu mereka praktik. Aku puas...ya, puas kerana mereka begitu berdisiplin dan komited tentang ilmu ini...HALAL. Walau untuk kelancaran bisnes tetapi mereka akur dan patuh...dari peringkat atasan hinggalah ke kakitangan bawahan. Kami berpelukan sebelum berpisah...sesuatu yang tidak dirancang tetapi gerak hati yang ikhlas membuat hati kami bertaut melakukannya.

Menunggu di ruang terminal sambil membaca. Sekali sekala mataku mengerling ke arah seorang wanita kakitangan penerbangan yang mengurus penumpang. Penampilannya biasa, berbadan agak gempal, rendah dan hitam manis (bukan kategori cantik). Aku sejujurnya tertarik dengan cara dia melayan orang ramai. Manis senyum tak lekang di bibir dan dia tampak ceria sepanjang masa. Ya...dia mula nampak cantik di mataku, cantik sangat atas peribadinya yang dituntut Islam sebenarnya.

Di sebelahku selang tiga kerusi ada sepasang 'mat saleh' ber 'T shirt' lusuh, berseluar pendek dan hanya berselipar jepun. Sekali imbas, penampilan mereka lagaknya seperti orang yang tiada arah tujuan...macam 'hippies'. Apa yang menariknya, golongan mereka ini memang suka membaca. Bukan di sini sahaja malahan di mana-mana sepanjang pengalamanku bermusafir, kelibat 'mat saleh' dan buku di tangan sudah sinonim. Sedari awal aku duduk di situ sehinggalah pengumuman dibuat untuk menaiki pesawat, mereka leka membaca. IQRA' - mereka yang kafir sebenarnya lebih banyak menuruti lima ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah! Tidak menghairankan mereka naik menjadi bangsa yang berjaya di dunia.


Sekumpulan wanita Melayu bertiga boleh kubandingkan betapa terkebelakang kehidupan orang Melayu Islam. Membelek barangan di kedai bebas cukai dan seusai 'shopping' mereka duduk berborak-borak santai dengan membiar masa berlalu tanpa sebarang perkara yang bermanfaat. Aahhh...aku mengutuk bangsa sendiri. Bangsa yang takkan hilang di dunia bak kata pahlawan Melayu. Ya, bangsa Melayu tak hilang tetapi bangsa ini banyak kehilangan ilmu kerana kurang membaca. Aahhh...akukah sebahagian dari mereka itu? Tidak...aku tak mahu ayat IQRA' terlepas begitu sahaja tanpa kuambil manfaat darinya.






15 Mac

Alhamdulillah aku selamat mendarat di Malaysia jam 0630. Agak letih tetapi disaluti kepuasan. Syukran ya Allah di atas bantuanMu.

Uluhiyyah, Rububiyyah dan Ubudiyyah bersatu dalam jiwa.

Thursday, 14 March 2013

Travelog - catatan diari pengembara 2

13 Mac

@ 0700 - Kami bertolak dari hotel menuju  dunia haiwan. Haiwan milikNya untuk diuruskan manusia. Entah berapa banyak ayam-ayam itu menjadi diri kita. Kita berbuat maksiat, meninggalkan solat, ponteng puasa..tetap ayam-ayam itu menjadi rezeki kita. Amat agung sifat Arrahman, Arrahim jua Arrazaq Allah untuk manusia.


Kami menempuh perjalanan sukar dengan pendakian gunung dan menempuh hutan tebal. Jarak 250km sepatutnya mengambil masa 3-4 jam telah melewati 7 jam termasuk berhenti makan dan solat.

Menjarah hutan tebal merupakan pengalaman baru buatku. Najis-najis gajah bersepah di sana-sini malahan ada yang masih baru (berkeadaan lembab). Cuma kami tak berkesempatan untuk melihat kelibat gajah liar.


Kami berhenti untuk menikmati pemandangan air terjun juga panorama haiwan yang jarang dapat dilihat seperti monyet berbulu hitam dan berambut emas. Rama-rama yang bebas berterbangan mendamaikan jiwa. Aku terasa dekat sangat dengan alam...alam yang tiada tanggungjawab untuk dibawa ke alam lain. Mereka hidup bebas tanpa sekatan...mereka tiada dosa malah kita yang berdosa pabila dengan rakus menjarah kediaman mereka!



Di atas gunung itu juga ada empangan hidro elektrik yang luas...berpeluang aku bergambar.

Kami sampai ke destinasi tepat jam 2 petang. Memasuki dunia ayam pula. Ayam jua tanpa dosa sebab itu Islam menggariskan untuk lebih berhemah dalam mengendalikannya. Istirehatkannya sebelum disembelih juga gunakan pisau yang tajam. Ingat...haiwan bukan milik kita, ia milik Allah. Sebab itu syariat menggariskan cara berhemah dalam kita mengendalikan segala milik Allah.

Jika kita punya kenderaan dan diberi pinjam kepada yang lain, kita juga pasti ingin kenderaan itu diselenggara dengan baik. Bagaimana ia diambil begitu jua keadaannya apabila ia dipulangkan. Itu kita...apalagi Allah!!!

Sebab itulah ilmu tasawwuf wujud. Tasawwuf adalah ilmu jiwa yang mengajar erti adab, hemah, disiplin jiwa, kerendahan hati jua sifat kasih kepada apa sahaja yang dinamakan makhluk.

Alhamdulillah selesai tugasan...kami pulang melalui jalan biasa kerana kenderaan tidak dibenarkan melalui perjalanan gunung melewati jam 6 petang. Bahaya...hutan tebal.

Sampai di hotel jam 10 malam. Aku tak bertangguh lagi...terus mandi, solat jama' takhir dan zzzzz...


Tuesday, 12 March 2013

Travelog - catatan diari pengembara 1

11 Mac 
@ jam 0930 - Sebelum bertolak, aku menghadiri taklimat dari ketua jabatan membabit isu-isu halal syarikat. Sedikit nasihat diberi olehnya untuk misiku. Aku banyak belajar darinya juga banyak menderita kerananya (menderita atas kapasiti carakerja yang sering menolak kami ke hadapan sehingga terkadang melangkaui kemampuan dan akal fikiran). Kepercayaannya yang jitu membuat aku cepat belajar tentang selok belok dan kerenah pengurusan.

@ jam 2000 - Persiapanku berjalan lancar. Seperti biasa sebelum berlepas, aku akan menagih restu ibu. Aku meletak prioriti untuk tahap ini atas keyakinanku kepada Nas Hadis yang bermaksud "redha Allah terletak kepada redha kedua ibubapa".

Mendengar suara ibu di hujung talian sudah cukup melegakanku. Aku tak sudi membayang kiranya ibu sudah tiada (sepertimana ayah). Siapa lagi yang mampu mengambil alih peranan itu. Jadi, ruang dan peluang ini kuambil agar aku boleh rakam sebanyak mungkin segala nasihat mahupun kata-kata perangsang ibu. "Mak tahu awak boleh buat". Ringkas tapi amat memberi kesan pada aku yang mendengar sehingga aku dapat merasai bahawa kata-kata itu amat benar dan jujur tonasinya.

Pengembaraanku bermula...siri travelog seorang AKU...Kochin, India.

Di dalam pesawat - dalam sedang leka membaca, ekor mataku ternampak pemuda di sebelah menoleh beberapa kali ke arahku. Bacaanku terganggu lantas aku berpaling kepadanya bagi memastikan aku tidak menjadi masalah ketidakselesaannya. Aaaahhh...aku ber'prejudis' lagi. Pemuda itu tersenyum untuk menjemput aku makan!!!


12 Mac
@ jam 0845 - Di hotel membuat persiapan. Aku memulakannya dengan solat Dhuha. Aku tak pinta rezeki wang berjuta mahupun kemewahan hidup...cukup untuk aku memohon agar urusan duniaku dimudahkan, kesihatanku terpelihara, keluarga yang kutinggalkan selamat dalam jagaanNya juga agar misiku selesai dengan jaya.

@ jam 0900 - Aku bersama mereka...misi menghalalkan sistem dan proses. Ucapan pembukaanku tampak lancar. Mereka terlalu mengharap sesuatu dariku...mereka terdesak atas kapasiti perniagaan yang memerlukan sehelai kertas. Sesuatu yang menjadi cabaran jua untukku menanganinya. Aku melatih gerahamku untuk menggigit kuat aura syari'atullah...aku tak menjanjikan apa-apa, cuma janjiku untuk berlaku adil...keadilan yang jauh dari meminta-minta, keadilan bahawa maruahku tidak boleh dijualbeli. Allah bersamaku.

@ jam 1400 - Aahh..nampak ketat raut wajah mereka. Agaknya penampilanku nampak serius. Untuk meredakan keadaan, aku mula berseloroh...kutepuk-tepuk bahu mereka menunjukkan yang aku bukan pengikut Jamalul Kiram III dan pengganas Sulu yang ingin menawan Sabah. Aku pemuda Islam yang hanya ingin memastikan konsep halal dipatuhi. Islam itu mudah dan aku berpegang kepada konsep itu. Perjalanan audit berjalan lancar. Mereka nampak mula ceria dengan sikap liberalku...aku sedang berdakwah kukira.

@ jam 1630 - Pulang ke hotel. Misi hari pertama tamat. Aku mengejar status jama' takdim jua qasar...Alhamdulillah sempat. Esok aku bakal menempuh perjalanan jauh dalam jarak pemanduan 250 km. Sesuatu yang sudah menjadi 'imun' buatku. Jauh perjalanan luas pemandangan terbuka pemikiran.

Melewati kata-kata tasawwuf, bantuanNya tidak tertakluk kepada hukum alam. Fizikal mungkin keletihan tetapi 'letih' itu juga makhlukNya. Makhluk itu akan tunduk patuh arahan Allah. Jadilah diri cergas dan kita tidak lagi berada di bawah status hukum alam yang normal. Aku cuba menerap konsep itu...berbekal yakin, Insyaallah. 

Friday, 8 March 2013

Tolonglah..Cuma Sehari Sahaja Lagi


Agak tenteram sedikit apabila berseorangan. Tiada jerit pekik anak-anak bergaduh, tiada bebelan isteri, tiada bunyi mesin rumput, tiada deruman lori sampah di depan rumah, tiada surat-surat mengejut dari pihak bank mahupun mahkamah, tiada surat saman dari penguasa...segalanya tiada.

Hidup tanpa masalah...alangkah bahagia dan selesanya jika keadaan ini berlarutan. Aku boleh beristirehat semahunya menikmati apa yang tidak dapat kukecapi sejak aku bergelar suami dan ayah. Aku ingin damai, aku ingin tenang juga aku ingin segala macam ramuan keselesaan hidup.

Sejak menyentuh alam perkahwinan, aku berjuang tanpa henti. Dari memelihara seorang wanita sehinggalah beberapa putra dan putri...tanpa henti. Bernafaspun hanya sekali sekala aku dapat menghelanya dengan puas. Selebihnya tercungap-cungap aku meminta udara. Aku lemas dengan situasi ini...jua aku rimas! Bila agaknya hidup yang penuh dengan permasalahan ini akan berakhir. Tetapi aku sedar permasalahan itu sebenarnya sebuah tanggungjawab yang aku harus 'tanggung' dan 'jawab' kelak.

Memang aku bukan bermain-main dengan permasalahan dan tanggungjawab ini. Aku serius menanganinya sehingga tiada apa yang tinggal buatku. Semuanya untuk sebuah kehidupan...bukan kehidupan aku tetapi lebih kepada kehidupan orang-orang di bawah tanggunganku. Sebab itu aku letih...letih yang memerlu rehat yang panjang. Rehat tanpa gangguan.

Nah...aku dalam situasi rehat sekarang. Benar-benar berehat yang tanpa dicuit masalah. Bahagianya berseorangan sebentar. Biarlah mereka pergi dan tiada di sisiku...buat sementara waktu kerana aku letih melayannya. Aku perlu memikir tentang 'AKU' pula. Mana hak aku selama ini. Segala yang aku lakukan hanya memenuhi hak orang lain, demi kepuasan mereka aku berkorban. Tetapi mana pengorbanan mereka untuk aku?

Aahh...aku harus ketepikan itu semua kerana segala dorongan perlakuan adalah tuntutan agama. Itu memang tanggungjawabku. Jika aku mula meminta-minta 'HAK', maka ikhlas itu bakal sirna dari pandangan. Oleh itu tak mengapalah...aku tak minta balasan atas tenaga dan tulang empat kerat. Biarlah Allah menilainya di neraca timbang yang bakal menentukan di mana kediaman kekalku. Aku terus terlena dibuai mimpi..zzzzz.

Aaahhh...nikmatnya tidur sebentar tadi. Serasa mahu kusambung semula layanan mimpi indah. Hhmmm...rasa sunyi pula jadinya bila lama berseorangan. Mana keluarga aku? Mana isteri dan anak-anak? Dia orang ni tak ingat rumah ke?
"Orang perempuan ni kalau dah diberi lesen keluar, sampai tak ingat nak balik rumah", dengus hatiku.

Perut dah lapar, mana hidangan di atas meja seperti yang selalu disajikan oleh isteriku. Mana anak-anak yang selalu berada di meja makan menunggu suapan ayah terlebih dahulu.

Hati mula gusar, perasaan mula berbaur. Dah nak masuk waktu Maghrib masih tak kelihatan kelibat yang tersayang. Aku mencari-cari suis untuk kubuka lampu bagi menerangi rumah yang semakin gelap. Bunyi cengkerik mula kedengaran.

Tiba-tiba kudengar bunyi telapak kaki di atas bumbung rumah dan bunyi itu semakin menjauh...DUMM DUMM PRANNGGG!!!! Eh...siapa pula yang tiba-tiba muncul di hadapan aku?

"MAA ROBBUKA?"

Ya Allahu Rabbi...aku di mana? Inikah janji Allah yang sering kudengar sewaktu di dunia? Alam Barzakh kah ini?

Patutlah aku berseorangan. Patutlah sekelilingku gelap gelita. Patutlah bunyi cengkerik bersahutan. Patutlah aku mendengar bunyi telapak kaki...rupanya itu merupakan orang terakhir yang menziarahiku dan muncullah Malaikat untuk episod soal jawab.

Badanku mula menggeletar...aku gugup, panik, kaget dan segalanya bercampur baur...kerana ini alam baru. Alam yang sering dimomok-momokkan oleh mereka yang sering mendustakannya. 

Aku ingin kembali ke dunia untuk kulunaskan segala yang tertangguh...tanggungkawab, hutang piutang. Aku ingin memelihara silaturrahim, aku mahu berbuat baik kepada semua makhluk Allah. Aku ingin berbuat amalan-amalan sunat disamping istiqamah dengan yang wajib. Aku tidak akan meminta-minta sebaliknya akan banyak memberi untuk kutuai hasilnya di alam yang abadi.

"Tolong ya Allah...BERI AKU PELUANG SEHARI SAHAJA LAGI!!!" Lelehan airmata tak terbendung lagi mengenang nasib aku selepas ini.
"Ayah, ayah bangun dah Maghrib...jom solat sama-sama", suara anakku yang berusia 7 tahun mengejutkanku.

"Aaahh..ya Allah aku masih hidup, aku masih hidup!" hatiku tak tertahan-tahan lantas terus mendakap erat anakku. Tetapi terasa lelehan airmata mimpi itu benar-benar wujud, membasahi pipiku.

Syukur ya Allah di atas kesedaran ini. Aku tidak mampu merungut lagi. Biarlah aku hidup bergelumang dengan masalah jika itu menjadi hasil tuaianku di akhirat. Biarlah aku letih tanpa rehat jika itu dapat membasuh dosa-dosaku. Biarlah surat saman mahupun surat dari mahkamah menjadi mainan hidupku jika itu merupakan ujian dan anugerah Allah untukku.

Biarlah aku pasrahhhh......



Nota: Tangisan di dalam mimpi yang dibawa ke alam nyata merupakan petanda kuat untuk hidayah itu hadir. Jangan bertangguh lagi.

Thursday, 7 March 2013

Manusia Tak Adil?

Dia insan biasa, punya hati dan perasaan. Rasa hatinya sering diluahkan kepadaku. Tentang keluarga, kerjaya juga masa depan. Aku tak pernah menjemput mahupun menolak kehadirannya. Aku tiada masalah untuk mendengar malahan kuluangkan masa untuk itu dan aku memberi perhatian serius dengan warna penceritaannya.
Aku tahu jiwanya memberontak, hatinya tidak merelakan dan perasaannya sering terganggu dengan apa yang berlaku iaitu apa yang dinamakan KETIDAKADILAN!!!

Seluruh tenaga sudah diperah, dikerah dan diserah kepada majikan dan syarikat...apalagi yang tak kena? Mana lagi yang tak betul? Tak cukupkah lagi dengan komitmen yang diberi? Kenapa susah sangat majikan hendak mempertimbang apa sahaja insentif demi mengiktiraf sumbangannya?

Sumbangan? Bunyinya sumbang sebenarnya. Sumbang atas kapasiti syariah...kerja sebagi ibadah. Memang betullah setiap dari kudrat yang dikeluarkan haruslah dibayar...itulah gaji bulanan yang kita kecapi. Tetapi apabila kita melakukan lebih dari yang sepatutnya dan mula meninjau-ninjau peluang kenaikan mahupun insentif, nampak tercalar sedikit konsep 'kerja sebagai ibadah' itu.

Aku menyentuh satu perkara untuk dia merenunginya. Waktu keberadaan kita di tempat kerja sebenarnya lebih lama dari waktu kualiti untuk keluarga. Jika dikira waktu pejabat, 8 hingga 12 jam bersama rakan pejabat dibanding dengan hanya 3 hingga 4 jam bersama keluarga adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Dengan fakta tersebut mengapa kita harus perjudikan konsep 'kerja sebagai ibadah' itu? Berapa banyak pahala yang kita boleh kumpulkan sewaktu bekerja...ya, bekerja dengan ikhlas. Biarlah kudrat dan tenaga itu menjadi simpanan kekal di akhirat demi membantu meringankan siksa kita yang kurang amalan. Jika habuan dunia yang kita tagih, dibimbangi Allah kabulkan tetapi tiada lagi yang bakal dibawa ke akhirat.

Lebih sudi rasanya kita timbang keseronokan bekerja yang waktunya lebih lama berbanding di rumah. Mengapa harus disiksa jiwa dengan menagih habuan, membahaskan ketidakadilan dengan pelbagai rempah ratus kebencian terhadap makhluk. 
Bukan salah sesiapa tetapi lebih kepada kejahilan kita dalam mengawal emosi. Silap kita yang kabur dengan syari'atullah dan mundur kita dengan sifat tamak terhadap habuan dunia.

Ciptalah keseronokan dalam bekerja, Insyaallah jiwa bakal disapa tenang dan bahagia. Habuan? Siapa yang tak nak! Biarlah yang diidam itu hadir sendiri tanpa desakan hati. Jangan siksa jiwa dengan ancaman ketidakadilan kerana sifat makhluk memang tak adil!!! Sebab itu dicipta akhirat untuk Allah timbang dengan seadil-adilnya segala yang didakwa tak adil di dunia. Jangan hairan dengan tak adilnya manusia tetapi terapkan rasa 'hairan' dengan diri atas pelbagai nikmat yang Allah beri bilamana tak sempat untuk kita mengucap syukur. Adil ke tu?

Yakinlah bahawa sekiranya rezeki itu telah Allah cipta untuk kita, tiada apa yang dapat menghalanginya untuk sampai kepada kita begitu juga sebaliknya. Jadi, mengapa harus gundah dengan ketidakadilan? 

Baru-baru ini aku terima e mel darinya mengenai artikel 'sabar' dengan kerenah manusia. Hatiku berbunga dan harumnya boleh kuhidu atas perubahan dirinya. Kelihatan senyumnya makin melebar dan raut mukanya tampak muda. Agaknya dia mula sudi menyerap segala yang dikatakan tak adil itu.

Terimakasih sahabat.

Friday, 1 March 2013

Fatwa Hati

"En Azizi macam mana ni? Siapa yang nak tanggung dosa kami? Dah banyak makanan haram yang masuk ke dalam perut kami!"

Masyaallah...aku mengucap panjang dalam hati. Ini kata-kata orang jahil yang tak nampak salah sendiri. Sudahlah buat perkara yang terlarang, dikecamnya pula orang sekeliling atas apa yang berlaku.

Tetapi aku harus lebih rasional dalam menangani situasi 'pointing finger' ini. Aku sekarang bersama mereka maka aku juga harus menjadi sebahagian dari mereka...selesaikan masalah mereka, fahamkan mereka juga sedarkan mereka bahawa hanya yang berilmu sahaja yang nampak di mana silap itu, bukan mencari-cari silap. Ini kerja orang jahil.

Kelas latihan hari itu sebahagiannya dihadiri oleh pekerja dari bahagian pastri dan bakeri. Dapur yang berisiko tinggi dalam penggunaan bahan-bahan tambahan seperti pewarna, penaik juga perasa makanan. Memang naluriku merasakan bahawa isu itu akan dihangatkan dengan pertanyaan-pertanyaan dari kakitangan yang inginkan kepastian.

Diringkaskan cerita pihak JAKIM telah membuat pengumuman bahawa produk 'tuuut' (sensor) telah dicemari oleh DNA babi. Produk berkenaan diarah ditarik balik dari pasaran dan proses sertu harus dilakukan.

Apabila berita tersebar, seperti murai tercabut ekor lagaknya semua bercerita. Lahir ramai para ustaz dan ustazah 'adhoc' menghukum mereka yang memakan makanan yang mengandungi campuran produk tersebut. Yelah...masyarakat Melayu ni memang amat sensitif dengan terma BABI. Yang tak solat, yang kaki mengumpat, yang curi tulang semuanya bersatu sekiranya BABI itu muncul menjadi isu...terlebih alim pula mereka yee...

"Baiklah..sekarang dengar penjelasan saya. Saya bukan hendak menjatuh hukum tetapi lebih kepada memberi penerangan berdasarkan kepada pandangan syariah".

"Betul...kita telah menggunakan produk yang telah dicemari bahan terlarang iaitu DNA babi. Bahan tersebut hanya disedari oleh pihak JAKIM setelah ujian sampel dijalankan. Produk yang sama sebelumnya bebas dari bahan tersebut. Bermakna bukan salah pengguna tetapi kelalaian pihak pengeluar".

"Pihak JAKIM dengan kerjasama JAIS telah mengawal keadaan ini dan peralatan yang ada di dapur terbabit akan disertu. Ini isu nasional bukan di syarikat kita sahaja".

"Ok satu bab dah selesai, bab yang lain pula...bagaimana anda yang telah memakan produk yang mengandungi bahan terlarang tersebut. Soalannya SIAPA YANG NAK TANGGUNG DOSA ANDA SEMUA?"

"Sesuatu yang dilakukan dengan tidak sengaja mahupun haramnya tidak kelihatan, itu tidak menjadi dosa kepada yang memakan atau yang menggunakannya. Konsep 'berhukum atas sesuatu yang jelas' harus digunapakai".

"Tetapi ada satu perkara yang anda semua sisihkan dari pandangan. Saya beri contoh, apa hukumnya kita menghadiri kenduri dan menjamu selera dalam keadaan kita tidak dijemput". Provokasiku bermula.

"Mana boleh, haram memakan lauk kenduri tu", jawab salah seorang peserta.

"Apa alasan kamu, makanan tu kan halal?" aku memasang perangkap.

"Makanan tu halal tapi bukan milik kita. Kena minta izin atau jadi tetamu jemputan, baru boleh makan". Yakin peserta itu menjawab.



"Jadi, mengapa salahkan pihak lain bila anda semua makan segala makanan di dapur tu? Siapa yang izinkan? Ada ke surat pekeliling yang membenarkan makanan itu boleh dimakan sesuka hati? Isu sekarang bukan DNA babi tetapi lebih kepada memakan makanan tanpa izin". Aku mula mengeluarkan peluru satu persatu.
"Hai En Azizi, logik la kalau kerja di bahagian dapur. Mesti kena makan punya, mana ada orang yang tak makan!" peserta itu membalas tembakanku.

"Eerrmm itu logik kamu. Logik syariat pula jika anda ingin merasa makanan maka itu dibenarkan atas kapasiti makanan tersebut mesti menepati piawaian yang telah ditetapkan. Tetapi jika makan sampai kenyang dan kekadang seperti pesta jadinya maka itu yang haram". Peluru kedua kulepaskan.


"Dalam sistem Muamalat Islam, 'akad' merupakan kaedah yang penting dalam keharusan jualbeli. Kerelaan penjual dan pembeli haruslah jelas untuk menghalalkan transaksi tersebut. Anda rela makan tetapi adakah pihak syarikat merelakannya? Anda semua makan sebab hanya mengikut tradisi bukannya hukum. Pihak syarikat sudah menyediakan makanan halal percuma di Cafe, mengapa masih mencari yang haram di dapur?" Aku campak peledak pula untuk letupkan hati dan minda mereka yang kabur itu.

"Maaf, anda semua bertaklid buta kepada majoriti yang jahil tentang hukum. Betul, boleh kata semua pekerja makan di dapur tapi perlukah kita mengikut mereka? Hukum syariat tidak berdiri atas demokrasi pilihan majoriti. Jika haram ia tetap haram walau majoriti tidak bersetuju begitu juga sebaliknya".

"Jikapun ada yang menyanggah pasti yang satu itu bakal tersisih atas pegangannya. Benar Hadis Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa di akhir zaman, yang benar-benar berpegang kepada ISLAM akan nampak pelik dan tersisih dari majoriti manusia". 

"Makanan di dapur adalah halal tetapi cara kita mengambilnya menuju HARAM. Anda seolah mencuri di dalam terang. Kita lebih kepada menurut tuntutan nafsu yang tak terkawal. Bukan jihad dalam peperangan fisabilillah yang Baginda Rasulullah tekankan tetapi JIHAD MELAWAN HAWA NAFSU lebih diutamakan". 

"Saya juga seperti anda, pernah menjamah makanan di dapur tetapi itu berlaku sewaktu saya jahil tentang hukum hakam. Tetapi bila ilmu itu hadir, baru saya sedar yang saya hanya mengikut arus perdana jahil di kelompok ramai".

"Sebelumnya anda jahil tetapi saya pasti sekarang anda dihujani ilmu...MINTALAH FATWA DARI DIRI ANDA SENDIRI...kerana dosa itu amat meresahkan jiwa bagi yang sedang mecari kebenaran! Doa kita terhijab dek kerana yang haram merajai hati kita". Aku menutup bicara.

Kelas sunyi sepi...sesepi hatiku mencari sinar. Tiada lagi soalan..moga ada sesalan. Harap mereka berubah, Insyaallah.