Translate

Sunday, 10 June 2018

Mak Berbohong

Sedang ralit aku membaca, kedengaran bunyi mesej aplikasi 'whasapp' masuk menuntut perhatianku. Aaahh..berita dari kampung, mak tak dapat tidur sepanjang malam..sakit dada dan semput, adik menulis. Keadaan mak agak stabil selepas badan mak ditegakkan bersandar di atas katil.

Adik perempuan bercadang membawa mak ke IJN. Mak pernah bermastautin di sana selama lebih sebulan. Kami beradik membuat giliran shif menjaga mak. Cadangan anak perempuan mak ditolak. Mak nak beraya di rumah. Mak takut lama kena tahan di hospital.

Aku yang berada di lapangan terbang KLIA untuk ke Pulau Pinang, meminta adik-beradik yang lain untuk kemaskini status mak lantaran tidak sempat untukku menalipon mak. Aku sedang bergegas untuk memasuki pesawat.

Petang seusai habis mesyuarat sambil menunggu untuk menaiki pesawat pulang ke KLIA, aku telefon mak bertanya khabar. Alhamdulillah mak pulih dari sesak nafas tapi mak tak boleh banyak berjalan...cepat letih, ujar mak.

Di kepala katil mak ada loceng untuk mak tekan jika berlaku kecemasan. Sambungan loceng berada di bilik adik lelaki. Aku tanya kenapa mak tak tekan loceng? Mak lambat menjawab...takpe la..mak boleh tahan lagi. MAK BERBOHONG!!!

Aku kenal mak. Aku tahu isi hati mak. Mak memang tak suka susahkan anak-anak. Kalau dah tak tahan sangat, barulah mak minta bantuan anak-anak. Aku mengomel dengan mak. Takkan sampai mak dah tak larat nak tekan loceng baru mak nak minta tolong anak-anak! Mak tergelak kecil dengan ngomelan aku.

Sebelum perbualan kami tamat, mak beritahu aku tak usah bimbang. Mak kata susah-susah je semua anak-anak telefon mak bertanya keadaan.

MAK TAK MAHU ANAK-ANAK TELEFON BERTANYA KEADAAN MAK? SEKALI LAGI MAK BERBOHONG! Sebenarnya itulah rawatan paling mujarab untuk mak..mendengar suara anak-anak di hujung talian. Aku biasa berborak dengan mak...mak pernah beritahu kadang-kadang teringat pada anak-anak. Kalau ada yang menalipon tu, lega rasa..bangga adanya.

Itulah mak...pendekatan mak yang penuh berhemah, merapatkan lagi cinta kami pada mak. Anak, menantu, cucu...semua sayang mak. Mak tak penting diri. Kehidupan mak dikelilingi kasih sayang kerana mak kaya dengan kasih sayang kepada dunia luar.

Selamat berehat MAK.



Wednesday, 6 June 2018

Dimensi Yang Tersembunyi

Bilamana bertemu dengan seseorang, jangan sesekali menelah yang bukan-bukan terhadapnya. Apa yang dilihat hanyalah watak luar yang mewakili 10% dari dirinya.

Begitu juga bila kita memasuki sesuatu pertandingan..bolasepak contohnya. Jangan sesekali memandang rendah keupayaan lawan yang kita tidak tahu sejauh mana prestasinya. Jalan selamat dan kurang risiko, dengan menganalisa permainan mereka melalui perlawanan persahabatan mahupun dari rakaman video. Ia mungkin boleh membantu untuk kita ketahui di mana kelemahan dan kelebihan yang dimiliki. Seterusnya kita mulakan dengan menyusun strategi untuk memenangi perlawanan tersebut.

Berbalik kepada watak seseorang. Merupakan satu kesilapan besar jika kita menidakkan keupayaan seseorang lantaran kita masih belum mengenali siapa dia.

Bagi mereka yang suka mempromosi diri, jawapannya bakal tertera dalam perbualan-perbualan santai. Mereka suka bercerita itu dan ini dan segala perjalanan cerita berpusat kepada diri sendiri. Dari situ, senang untuk kita menelah siapa dia.

Tetapi bukan semua orang suka bercerita kelebihan yang dimiliki. Mereka terlebih selesa bekerja dalam diam. Watak tersebut sukar diduga malah hampir tidak dapat dikesan oleh pancaindera manusia. Di mana status keupayaan mereka...menjadi tandatanya.

Monolog bermula...

"Habis tu? kenapa cepat sangat nak berlagak sombong? Ilmu Allah kan luas. Mahu aku bacakan kisah Nabi Khidir yang Allah utus untuk menjawab pertanyaan Nabi Musa bahawa adakah manusia yang lebih alim dari baginda. Nabi Khidir diberi keistimewaan dengan ilmu 'laduni', ilmu yang mengetahui perkara yang belum terjadi...baca surah al Kahfi ayat 60-82".

"Kau tahu tak Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW kekasih Allah merupakan seorang yang buta huruf seumur hidup! Tetapi dakwah Baginda tersebar ke merata pelusuk dunia!"

"Pernah kau baca kisah Khalifah Umar yang sedang memberi khutbah Jumaat, diberi ilham untuk beliau tahu bahawa tentera Islam hampir kalah (seolah-olah nampak di hadapan matanya) lalu terpacul suaranya memberi amaran kepada tentera Islam yang sedang berperang untuk mencari posisi berlindung ke sebuah gunung. Tentera Islam dengar akan teriakan Saidina Umar yang beratus batu jauhnya lalu menuruti arahan untuk ke gunung".

"Kau lihatlah bagaimana seorang yang berusia lanjut yang dipandang rendah keupayaannya, akhirnya telah mencipta sejarah menerajui negara Malaysia buat kali ke2". 

"Lihat sahajalah bagaimana Allah telah membuang ego manusia dengan segala macam cara yang tidak terfikir oleh logik akal manusia!"

"Kau tahu tak hanya dengan kalimah KUN FAYAKUN, jadilah apa yang Allah kehendaki terjadi. Tiada yang mustahil".

"Jangan kau terperanjat bilamana didatangkan seseorang di hadapanmu bagi menundukkan segala keegoan yang bersarang di hatimu".

"Segala ilmu adalah milik Allah. Kau, aku, kita semua lahir kosong tangan, kosong dada. Ilmu yang aku, kau, kita semua ada, merupakan anugerahNYA. Jadi, mengapa harus memandang jengkel pada mereka? Manusia yang hadir di hadapanmu adalah utusan Allah guna untuk kau belajar dan insaf tentang siapa kita".

"Belajar muhasabah diri! Apa yang berlaku ke 'atas diri'..tak penting, tetapi apa yang berlaku 'dalam diri' yang harus kau perhalusi kerana di situ letaknya hati yang kau miliki. Hati yang bersih akan mengimarah apa sahaja yang ada di sekeliling, sementara hati yang kotor akan selalu mempertikai segala yang berlaku tanpa mengambil sebarang iktibar".

"Berbaliklah kepada fitrah kebaikan yang dicipta untuk kita seawal roh ditiup ke dalam rahim di hari ke 120. Jangan kau tersasar dengan segala kebaikan yang dianugerahi buatmu".

"Pandang melalui mata hati!'


Sunday, 3 June 2018

Hukuman DariNYA

Di dunia apabila seseorang melakukan kesalahan, mereka dibicarakan dan akan dihukum sekiranya didapati bersalah (tidak termasuk mereka yang tertakluk di bawah ISA - tanpa perbicaraan).

Di akhirat pula, setiap manusia tidak akan terlepas dari mahkamah perbicaraan yang paling adil sehingga masing-masing hanya memikirkan nasib sendiri tanpa peduli nasib ahli keluarga. Begitu gerunnya mahkamah tersebut kerana seluruh anggota badan akan menjadi saksi terhadap segala yang diperlaku sewaktu hidup.

Tetapi pernahkah kita terfikir sewaktu di dunia, bagaimana cara Allah hukum mereka yang beriman selain dari hukuman fizikal? Hukuman bisu yang mendera mental. Hanya mereka yang benar-benar beriman merasai betapa peritnya hukuman tersebut dan tidak bertangguh untuk bertaubat.

Bagaiman bentuk hukuman tersebut?

1. Kita bertangguh untuk berbuat kebaikan
2. Liat rasa untuk bangun bertahajud
3. Berat lidah untuk beristighfar apatah lagi untuk mengamal solat taubat setiap hari
4. Dijauhi rasa untuk istiqamah membaca al Quran
5. Tidak terasa nikmat melakukan ibadah


Itulah di antara perkara digariskan oleh Ulama' betapa Allah sedang menghukum seseorang yang melakukan dosa sehingga dijauhkan dari rahmatNYA.

Imam Ghazali pernah ditanya oleh mereka yang berbuat dosa tetapi serasa tiada apa-apa balasan hukuman yang diterima. Jawabnya...tiada rasa nikmat dalam beribadah dan tidak bertambah amalan apatah lagi untuk memperelokkannya. Itulah hukuman Allah terhadap si pendosa yang bertangguh untuk bertaubat.

Itu mesejNYA...hanya hati yang celik bisa mengungkap apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Jika kita mengabaikan mesej tersebut, semakin jauh, jauh dan jauhlah hubungan kita denganNYA...ITU MERUPAKAN SATU HUKUMAN!