Translate

Monday, 8 September 2014

Aku Malu!!!

Di kejirananku, ada seorang lelaki yang sudahpun berkahwin dan berkeluarga. Dia baik dan peramah, ramai yang senang dengan kehadirannya. Aku juga mengenalinya tetapi tidak rapat. Kami hanya bertemu di surau dan bertegur sapa ala kadar. Selebihnya jika terserempak di mana-mana, kami hanya tersenyum.

Aku terperasan, sudah agak lama tidak ketemu lekaki ini. Jangankan di kawasan penempatan, di surau juga tidak nampak lagi kelibat lelaki tersebut. "Sudah berpindah agaknya", suara kecilku memberi jawapan mudah.

Setelah beberapa bulan kehilangan dirinya, lelaki itu tiba-tiba terpacul dan solat di sebelahku di surau. Aku hanya terperasan setelah memberi salam tahiyat akhir dalam solat. Sehabis Imam membaca doa, aku menegurnya.

"Lama tak nampak?"
"Adaaaaaaa", jawabnya sambil tersenyum.

Aaaahhh...jawapan ringkas itu memberi seribu persoalan kepada mindaku kerana dia bercakap tanpa memandang mukaku. Kami beredar.

Keesokannya aku bertemu lagi dengannya. Seusai solat nampak dia berbual-bual dengan jiran tetangga yang lain dengan tidak memandang muka! Aku terperangkap di dalam kemelut misteri yang tidak terungkai. Mengapa begitu lagaknya...adakah dia malu? Apa yang hendak dimalukannya?

Aku menghampiri salah seorang jiran untuk bertanyakan hal lelaki tersebut.

"Oooohhh...diakan baru 'operate'. Ada ketumbuhan serius di bahagian kepala dan mesti dibuang. Hendak membuang ketumbuhan itu pula bakal memberi kesan kepada saraf mata. Dia dah tak nampak apa-apa objek sekarang ni. Hanya boleh membezakan terang dan gelap sahaja."

Masyaallah!!! aku kaget dan terlopong mendengar penjelasan tersebut. Anak matanya langsung tidak menunjukkan sebarang kecacatan...masih cantik sihat berseri. Lagaknya macam orang biasa...berjalan macam biasa dan masih ke surau seorang diri. Macam mana tu?

Jiran memberitahuku, atas keinginannya yang tinggi untuk ke surau...dia telah mengarahkan anaknya untuk memimpinnya ke surau selama beberapa hari untuk dia membuat pengecaman. Setiap langkah akan dikira untuk sampai ke simpang, longkang, belokan dan sampai ke surau. Kiraan langkah yang tepat itu yang membolehkannya ke surau seorang diri!

Subhanallah!!! Maluku tidak terkira kerana dengan mata yang celik inipun aku masih memilih-milih untuk mahu ke surau atau tidak!!!

No comments:

Post a Comment